SepangOnline

Sunday, February 13, 2005

Kenyataan Media PKR - Hormati Hak Asasi Pekerja Asing

PARTI KEADILAN RAKYAT (Keadilan) mahu kerajaan menangani beberapa masalah pendatang tanpa izin (PATI) dengan mengambil kira isu hak asasi pekerja asing, kepentingan majikan dan syarikat agar tiada pihak yang tertindas.
Sekalipun Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa PATI; melalui kerajaan Indonesia mempunyai hak untuk menyaman beberapa syarikat di Malaysia; tetapi dalam masa yang sama beliau turut menyatakan bahawa tindakan itu “akan timbul masalah” di samping “akibat yang tidak diingini.”

Kenyataan Perdana Menteri adalah merujuk rancangan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Saudara Fahmi Idris yang dilaporkan melantik sepuluh peguam untuk menyaman beberapa syarikat di negara ini yang tidak membayar gaji kepada PATI yang pulang ke republik berkenaan sejak tamat proses pengampunan, 30 Januari 2005.

Dalam masa yang sama, terdapat keluhan daripada banyak syarikat yang kini terjejas operasi kerana kekurangan pekerja.

Kerajaan langsung tidak menumpukan perhatian kepada isu hak asasi yang selama ini menjadi isu pokok sehingga banyak pihak yang tertindas dan teraniaya tidak terbela. Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Right Watch: HRW) telah beberapa kali mendesak agar kerajaan mengubal akta imigresen 2002 yang mengenakan hukuman sebat dan denda ke atas PATI. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pula merekodkan keadaan yang penuh sesak di kem-kem tahanan.

Memetik daripada HRW, pada 2003 sehingga Disember tahun lalu, ada laporan yang menyebut seramai 18 ribu PATI dihukum rotan. Sejak itu timbul kebimbangan bahawa akan ada syarikat dan majikan di negara ini yang akan mengambil kesempatan tidak membayar gaji kepada PATI yang akan dihantar pulang.

Dengan Islam Hadhari yang ditonjolkan kerajaan, Keadilan menggesa supaya prinsip pembelaan terhadap para pekerja yang tertindas harus berasaskan maksud hadis iaitu membayar upah kepada pekerja sebelum keringnya peluh mereka.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

PKR News

0 Comments:

Post a Comment

<< Home