SepangOnline

Wednesday, February 09, 2005

BANTUAN KEADILAN KE ACEH NYARIS DISEKAT

Salah satu bantuan yang diselenggarakan di bawah Parti Keadilan Rakyat untuk rakyat Aceh yang dilanda malapetaka tsunami nyaris-nyaris lagi tidak dibenarkan masuk. Ada pihak di kalangan tentera Indonesia (TNI) yang cuba menyekatnya. Tetapi dengan campur tangan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, kebenaran akhirnya diberikan.

Bantuan itu berupa sebuah alat jentera penapis air, yang bernilai hampir RM10 juta (USD2.5 juta). Alat ini dihadiahkan oleh General Electric (GE) hasil usaha Penasihat Keadilan Datuk Seri Anwar, dan dikirim dari Doha. Apabila pihak tentera cuba menyekat, Anwar meminta Ezam Mohd Nor, Ketua Angkatan Muda, menemui Naib Presiden Indonesia, yang segera memberikan jasa baiknya.

Selain itu, dua buah kapal terbang yang penuh sarat dengan ubatan serta makanan kering, sebuah dari Afrika Selatan dan sebuah lagi dari Emiriah Arab Bersatu, telah juga sampai melalui Jakarta. Nilainya melebihi RM5 juta. Bantuan dari negara-negara ini, yang diperolehi melalui usaha dan hubungan baik Anwar dengan pemimpin mereka, juga disampaikan atas nama Keadilan.

Satu rombongan parti, termasuk Ezam dan Tian Chua, Ketua Penerangan, telah sampai ke Banda Acheh baru-baru ini. Mengikut Tian, bantuan tersebut mendapat sambutan yang baik. Katanya Keadilan telah bersedia untuk membina sebuah pusat anak-anak yatim. Tetapi perkara ini ditangguhkan dulu kerana pihak pimpinan Indonesia lebih memerlukan bantuan untuk membina hospital. Ezam telah menjanjikan Keadilan akan cuba berusaha mendapatkan bantuan setakat mana yang boleh.

Sekarang ini hubungan kerjasama Keadilan ialah dengan MerC Indonesia, satu kumpulan doktor-doktor sukarelawan, dan juga segolongan siswazah dari Universiti Islam Antarabangsa. Kerjasama ini “erat, ikhlas dan sangat baik”.

PKR News

0 Comments:

Post a Comment

<< Home