SepangOnline

Thursday, February 17, 2005

Angkatan Muda Desak FINAS Dibebaskan Dari Politik

KUALA LUMPUR, 16 Februari - Angkatan Muda Malaysia Parti Keadilan Rakyat menggesa ahli politik tidak campurtangan dalam urusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha reformasi industri perfileman negara.

Exco Angkatan Muda PKR, Zarerah Hanim Md Zaki berkata, pihaknya bangga di atas kejayaan filem Sanctuary yang dibuat oleh Pengarah, Ho Yu Hang, 32. Kata Zarerah, filem yang menggunakan format kamera digital ini telah berjaya meraih Kepujian Istimewa Juri dan Anugerah Rangkaian Penggalakkan Cinema Asia (NetPAC) di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ke-34 di Belanda baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam.

Menurut Zarerah, ketika mengulas filem ini juri telah menyatakan filem tersebut layak kerana stailnya yang berani dan tidak mengikut kebiasaan seni filem.

Bagi Angkatan Muda PKR, kejayaan tersebut dilihat penting untuk direnungi semua kerana filem ini pernah ditolak permohonannya untuk mendapatkan bantuan kewangan dari Finas.

Ketika rakyat seharusnya berbangga dengan kejayaan filem anak Malaysia ini Finas seharusnya malu dan mengakui kesilapan mereka ketika menolak permohonan bantuan kewangan untuk filem ini.

Ujar Zarerah, Ho Yang telah membuktikan bahawa Finas telah benar- benar melakukan kesilapan kerana anugerah di Belanda itu bukan pengiktirafan pertama yang dimiliki Ho Yang.

Sebaliknya, filem ini juga telah mendapat Penghargaan Istemewa Juri di Pesta Filem Antarabangsa di Pusan, Korea tahun lalu.

Menurut Zarerah, kejayan–kejayaan ini perlu dijadikan contoh kepada seniman negara supaya segera menuntut pembebasan industri dari pengaruh politik yang tidak memberangsangkan perkembangan industri itu sendiri.

Kata Zarerah, sebenarnya banyak penggiat filem kita yang berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa tetapi dipandang sepi oleh pihak berkenaan dalam negara sendiri.

Contohnya, Pengarah, James Lee telah memenangi anugerah Filem Asian Terbaik di Bangkok di mana turut disertai filem Putri Gunung Ledang (PGL) yang pulang dengan tangan kosong.

Manakala projek filem khas Fireword yang bakal diarahkan oleh lima pengarah islam berbakat termasuk U Wei Hj Saari terpilih untuk menerima anugerah Arte France Cinema di CineMart 2005 dengan mendapat bantuan kewangan penerbitan filem.

Angkatan Muda melihat perkembangan ini sebagai satu satu seruan jelas untuk mereformasikan Finas atau agensi terbabit.

Menurut Zarerah, badan-badan perfileman perlu bebas dan dikendalikan sendiri oleh mereka yang benar-benar layak dari kalangan mereka yang terlibat dengan industri perfileman.

“Ini bukan tuduhan tetapi jelas sesuatu perlu dinilai semula apabila filem–filem yang diberikan ruang melalui geran tajaan kerajaan ditewaskan oleh satu golongan aktivis seni yang sering dikesampingkan dari kemewahan dunia seni negara,"tegas Zarerah.

Contohnya filem PGL yang menelan belanja jutaan ringgit diberi liputan meluas oleh media telah ditewaskan oleh The Washing Machine yang dihasilkan oleh sekumpulan penerbit filem bebas Malaysia.

Menurut Zarerah, bagi Angkatan Muda PKR, ‘budget’ yang besar bukanlah jaminan kejayaan filem tersebut tetapi jalan cerita yang mantap, olahan, mesej dan bakat merupakan elemen yang lebih penting dalam kemajuan sesebuah filem.

Kata Zarerah, kelemahan ini belum mengambil kira jutaan ringgit yang telah dihabiskan oleh sebuah filem yang masil gagal disiapkan Pasir Salak di bawah YB Senator Jins Shamsudin.

Banyak wang telah dihabiskan namun filem ini masih gagal diselesaikan kerana alasan tidak cukup buget.

“Perkembangan-perkembangan ini telah menimbulkan bisikan adakah perlu untuk mendapat ‘endorsment’ politik atau hanya boleh menghasilkan idea yang jumud dan beku tetapi syaratnya perlu sealiran dengan pemegang tampuk untuk mendapat layanan wajar dalam industri ini?,"soal Zarerah.

Justeru bagi Angkatan Muda PKR, telah tiba masanya masyarakat seniman bangkit untuk mereformasikan badan–badan yang bertanggungjawab ke atas mereka dan yang paling penting bebaskan industri ini dari pengaruh politik.

1 Comments:

  • cter hot taon 2oo5 tpi bru skrg nak komen.....takpe la...kdg2 kite buat sesuatu tu sebab nak pujian sebab tu la fiem tak siap

    By Anonymous Anonymous, at 3:40 PM  

Post a Comment

<< Home