SepangOnline

Wednesday, January 31, 2007

TOL LEBUHRAYA NAIK LAGI (50sen - RM1)
- SELEPAS ITU KENAIKAN HARGA PETROL
& BARANG KEPERLUAN
HADIAH TAHUN BARU 2007 DOLLAH KPD RAKYAT
BERSYUKURLAH!
NAIKKAN SEMUA KADAR ELEKTRIK-AIR-PETROL-ROKOK
KERANA RAKYAT MALAYSIA SEMUA KAYA-KAYA
SEPERTI KAMALUDIN ANAK ABDULLAH BADAWI

Monday, January 22, 2007

Demo tol Cheras: Polis tangkap 17 aktivis

Harakahdaily
CHERAS, 21 Jan (Hrkh) -Polis bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan aman membantah kenaikan tol di Tol Batu 11 Cheras-Kajang petang ini.

Antara yang ditangkap ialah Bendahari PAS, yang juga Setiausaha Protes Kenaikan Harga Tol, Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Pemimpin DAP, Ronnie Liu serta empat lagi aktivis lain.

Kira-kira jam 4.40 petang, belum sempat Dr Hatta menghabiskan ucapan, polis bertindak ganas menangkap beliau serta yang lain.

Mereka yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kajang.

Peserta demonstrasi turut bergerak ke Balai Polis berkenaan. Setibanya di sana, mereka mula menyatakan bantahan atas tindakan penangkapan tersebut.

Kira-kira jam 5.35 petang, aktivis PKR, Ginie Lim pula ditangkap dalam bantahan tersebut.

Hari ini merupakan demonstrasi kali ke tiga membantah kenaikan tol anjuran pelbagai parti pembangkang, badan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja. Sebelum ini bantahan diadakan di Sunway Piramid, Subang Jaya dan Plaza Tol Gombak.

Kira-kira jam 6.00 petang, Tian Chua kelihatan dibawa keluar dari balai oleh sekumpulan anggota polis untuk dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui dan sekitar Balai Polis Kajang dikawal ketat oleh anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Kira-kira jam 6.20 petang, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng memberitahu melalui sidang media yang dibuat di hadapan Balai Polis Kajang bahawa Tian Chua dibawa ke hospital kerana kecederaan akibat kekasaran yang berlaku dan kelihatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Lim Kit Siang masuk ke balai menemui tahanan.

Sehingga kini 17 orang aktivis telah ditangkap dan ditahan di balai polis berkaitan dan orang ramai sekitar 100 orang masih menunjukkan bantahan di perkarangan balai polis tersebut.

Pukul 7.00 petang: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa tiba di Balai Polis Kajang dan masuk ke balai untuk melihat tahanan. Tidak lama selepas itu beliau mengadakan sidang media di hadapan balai dan menjelaskan jumlah tangkapan setakat ini telah mencecah 21 orang dan dijangka akan dibebaskan malam nanti.

Sementara itu jalan raya di hadapan Balai Polis Kajang telah ditutup untuk semua kenderaan (kedua-dua hala).

Pukul 7.30 malam: Jalan raya di hadapan balai dibuka semula dan berlaku kesesakan lalulintas. Orang ramai yang membantah masih belum bersurai.

21 ditahan dalam protes kenaikan kadar tol di Cheras

Malaysiakini.com - Jan 21, 07 9:20pm

Jika dalam dua protes anti-tol sebelum ini, pihak polis dianggap berlembut dalam menanganinya, tetapi hari ini, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya apabila 21 orang ditahan walaupun protes di Cheras belum bermula.

Antara yang ditahan ielah Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua; pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan pemimpin DAP, leader Ronnie Liu.

Demonstrasi di Cheras hari ini dianjurkan oleh Protes, iaitu gabungan parti politik, badan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja. Dr Hatta adalah setiausaha Protes.

Mereka yang ditahan itu dibawa ke balai polis Kajang. Empat daripada mereka, termasuk Tian Chua, cedera ketika bergelut dengan anggota polis dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang menemui pegawai polis, memberitahu pihak media bahawa beliau telah diberi jaminan bahawa semua mereka yang ditahan itu akan dibebaskan, selepas diambil kenyataan.

Kira-kira 50 orang berkumpul di hadapan balai polis Kajang menunggu mereka dibebaskan.

Protes di Cheras hari ini merupakan yang ketiga dianjurka oleh Protes sebagai membantah kenaikan kadr tol di lima lebuhraya di Kajang mulai 1 Januari lalu.

Dalam dua protes sebelum ini – yang pertama di plaza tol bandar Sunway di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dua minggu lalu dan yang kedua di Gombak minggu lalu – polis hanya mengawal perhimpunan itu yang berjalan secara aman.

Bagaimanapun, lain pula halnya hari ini.

Orang ramai terkejut

Sebaik sahaja mereka yang menyertai protes tersebut yang berjumlah kira-kira 100 orang, berkumpul di plaza tol Batu 11, Cheras untuk memulakan membantah kenaikan kadar tol, pihak polis terus mengarahkan mereka bersurai.

Ini diikuti dengan tindakan polis menahan 21 peserta protes tersebut. Anggota polis biasa dan dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terbabit dalam tindakan menyuraikan orangramai yang berhimpun di situ.

Terkejut dengan tindakan polis itu, mereka kemudian beredar dari tempat protes tersebut.

Polis turut membawa seorang wartawan malaysiakini ke balai polis Kajang dan merampas kameranya.

“Saya tidak ditahan tetapi mereka membawa saya ke sini. Saya bebas bergerak dan membuat panggilan telefon,” kata wartawan Andrew Ong melalui telefon bimbitnya.

Dia diberitahu yang pihak polis sedang menunggu arahan dari ketua polis Kajang. Katanya, polis mahu melihat gambar yang diambilnya mengenai protes tersebut.

Beliau kemudiannya dibebas dari balai polis Kajang dan polis memulang kameranya kira-kira dua jam kemudiannya.

Saturday, January 20, 2007

Umno salah guna dana awam untuk kempen politik

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Rakyat tidak seharusnya menanggung kos kempen pilihan raya parti pemerintah seperti Umno malah tindakan menyalahgunakan dana rakyat untuk kempen politik adalah tindakan pecah amanah dan salah guna kuasa serius yang seharusnya dianggap jenayah yang boleh dihukum.

Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setiap kali pilihan raya terutamanya semasa Pilihan raya Kecil umpamanya di Batu Talam, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet akan membuat pelbagai lawatan ke kawasan terbabit untuk merasmikan kemudahan atau membuat janji-janji dan pengumuman mengenai projek-projek yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut.


Lawatan-lawatan ini katanya lazimnya adalah satu rombongan besar dengan diiringi oleh pegawai-pegawai kerajaan dan semua mengakibatkan kos tinggi yang terpaksa ditanggung oleh negara khususnya rakyat.

"Perjalanan pegawai-pegawai terlibat perlu dibayar elaun dan perbelanjaan untuk program-program tersebut ditanggung oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan media yang disampaikan kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Ini sangat jelas katanya di Batu Talam apabila Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob membuat pengumuman mengenai projek bekalan air bernilai jutaan ringgit di salah sebuah kawasan Felda di situ dan Kerajaan Negeri bercadang mendahulukan wang untuk melaksanakan projek tersebut dan akan dibayar semula oleh Felda.

"Ini sama sekali tidak perlu kerana Felda tidak menghadapi sebarang masalah kewangan untuk membiayai projek tersebut," katanya.

"Sebaliknya ia adalah usaha terdesak BN Pahang untuk menunjukkan keprihatinan dan meraih sokongan," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjadikan perkara ini keutamaan di dalam merangka reformasi suruhanjaya tersebut dan pelaksanaan pilihan raya di Malaysia.

"United Kingdom misalnya, terdapat pekeliling khusus kepada kakitangan kerajaan untuk tidak terlibat membantu kempen parti politik atas kapasiti rasmi mereka," katanya.

Ini termasuk India katanya, juga mempunyai peraturan khusus mengenai perkara ini yang mensyaratkan agar para menteri tidak mencampuradukkan lawatan rasmi dengan usaha berkempen pilihan raya.

"Kenderaan dan kemudahan kerajaan juga ditegah daripada disalahgunakan untuk tujuan berkempen," katanya lagi.

Justeru katanya KeADILan mendesak agar penyalahgunaan kuasa sebegini dihentikan dan rakyat tidak seharusnya menanggung kos kempen pilihan raya parti pemerintah. - mks.

SPR berpihak kepada calon BN meskipun salah isi borang

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Talam, Raub telahpun tamat semalam dan menyaksikan dua pencalonan diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Meskipun proses itu telahpun tamat, SPR kini dihantui dakwaan berlakunya ketidaktelusan perjalanan penamaan calon di mana Angkatan Muda KeADILan mendedahkan bahawa SPR terbabit dalam membantu memastikan calon BN dapat bertanding.


"Kita dapat maklumat bahawa SPR memberi tunjuk dan panduan kepada calon BN, Abd Aziz, 47, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Raub untuk mengisi borang. Aziz telah didapati salah mengisi borang pencalonan beliau dan mendapat bantahan daripada DAP. Tetapi SPR menolak bantahan tersebut," kata Pemangku AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dalam satu kenyataannya semalam.

Berikutan laporan itu AMK mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid meletak jawatan sejajar dengan 'kelibatnya' yang didapati condong kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi usul tanpa bahas dalam Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda 2005 dan 2006 yang lalu.

Kecewa dengan Pengerusi SPR
"Angkatan Muda juga merasa kecewa dengan kenyataan Rashid baru-baru ini yang sanggup mengatakan bahawa alternatif tidak terlawan kekuatan dan jentera BN."

Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang Pengerusi SPR, katanya.

AMK juga melihat Rashid didapati tidak berani untuk menunaikan apa yang diperkatakan sebelum ini mengenai kewujudan pengundi hantu. Namun, beliau masih juga meneruskan pilihan raya tanpa memberi jaminan yang betul.

Bagi menjawab kenyataan Naib Ketua Umno, Khairy Jamaluddin dalam laporan Malaysiakini bertajuk “Anwar dan pemimpin pembangkang penakut, kata Khairy” pada 16 Januari lepas, Angkatan Muda masih dalam semangat juang yang tinggi dan memerangi ketidak adilan dalam SPR.

Cabar Khairy berdebat
Dalam kenyataan tersebut, Khairy mempersoalkan dimanakah slogan pembangkang satu masa dulu yang mengatakan lawan tetap lawan, kata Shamsul yang memetik kenyataan Khairy itu.

Sekiranya Umno berpendapat bahawa SPR menjalankan tugas mereka dalam konteks demokrasi, AMK mencabar Khairy dan seluruh barisan Pemuda Umno untuk ‘berlawan’ dalam satu gelanggang yang sama rata.

Untuk itu katanya Umno perlu membenarkan KeADILan dan pembangkang untuk dipapar dalam media, sama ada di televisyen mahupun di radio dan tidak memagari kebebasan media.

Justeru AMK mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka secara langsung dalam televisyen dengan AMK sekiranya benar-benar tohmahan yang mengatakan bahawa SPR ini benar-benar dalam landasan demokrasi.

Thursday, January 18, 2007

Selepas Razak, Altantunya diserah kepada Najib?
Oleh Zulkifli Mohamed

GEORGETOWN: Heret Datuk Seri Najib Tun Razak ke balai polis, bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kejam warga Mongolia, Altantuya Sharibuu, kata Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali.

“Saya tuntut, Keadilan tuntut dan rakyat tuntut supaya Datuk Seri Najib diheret ke balai polis untuk memberi keterangan kepada polis, bagaimana UTK beliau terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dari Mongolia.

“Saya tidak mahu tuduh Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri. Saya tidak mahu buat fitnah sebab saya mangsa fitnah, Datuk Seri Anwar Ibrahim mangsa fitnah, saya cuma nak tanya Datuk Seri Najib.

“Sebab daripada orang politik sehinggalah pemandu teksi, semuanya mengaitkan (kes tersebut) dengan Timbalan Perdana Menteri,” tegasnya pada ceramah di Batu Maung, dekat sini, Ahad lalu.

“Najib kena jawab, bagaimana ‘unit komando’ beliau boleh terlibat dalam kes tersebut.”

Jelasnya, pengalaman beliau selama 12 tahun dengan Anwar selaku Timbalan Perdana Menteri, memang ada kawalan khas dari UTK di kalangan komando.

“Mereka tidak menerima arahan daripada pegawai lain, melainkan daripada Timbalan Perdana Menteri.

“Apakah UTK ini mendapat arahan daripada ketuanya ?” soal Azmin.

Tambahnya, Altantuya dikatakan berkenalan dengan Razak Baginda, maka kenyataan juga harus diambil, iaitu selepas Razak Baginda siapa …..?

“Saya tidak mahu tuduh, sebab kita tahu selepas Razak Baginda, Altantuya diserahkan kepada orang lain, siapa orang lain tersebut?”

Azmin turut membangkitkan persoalan siapakah pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan yang meluluskan penggunaan ‘bom C4’ yang di bawah kawalan kementerian terbabit, yang digunakan untuk meletupkan Altantunya bagi memusnahkan bukti dan anak dalam kandungannya.

“Sebab atas prinsip Datuk Seri Najib sebagai Menteri Pertahanan, beliau kena menjawab persoalan ini.”

Tambahnya, rakyat juga inginkan jawapan, siapakah yang memberikan arahan kepada Jabatan Imigresen untuk memadamkan rekod perjalanan Altantunya ke negara ini.

Malah, kata Azmin, Najib juga perlu disiasat berhubung pemberian kontrak pembelian kapal selam yang diberikan kepada Razak dengan komisyen berjumlah RM530 juta, seperti yang didedahkan Anwar.

“Bank Dunia mengesahkan dengan Datuk Seri Anwar bahawa ini adalah komisyen tertinggi yang pernah direkodkan dalam dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Azmin berkata Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Hassan, pula perlu melaksanakan tugas secara berprinsip dan bertanggungjawab, kerana akhirnya beliau akan berdepan dengan Allah S.W.T.

“Dan Musa Hassan, jangan kamu kecualikan Datuk Seri Najib dan jangan kamu mangsakan pegawai UTK ini.

“Kenapa sehingga sekarang kenyataan bertulis pihak polis daripada Datuk Seri Najib tidak diambil?”

Secara sinis, beliau yakin Musa mempunyai kehebatan luar biasa untuk memperolehi bukti sepertimana beliau menjumpai ‘bulu’ dalam kes Anwar dulu.

“Wahai Musa Hassan, yang sekarang menjadi Ketua Polis Negara, kamu ada kekuatan dan kebolehan yang luar biasa, (kalau) kamu boleh jumpa bulu, maka kamu boleh jumpa bom…”

Tuesday, January 16, 2007

Spekulasi Matawang Asing di Bank Negara

Tun Dr. Mahathir baru-baru ini menafikan kenyataan saya bahawa Bank Negara Malaysia kerugian sebanyak RM30 bilion di dalam spekulasi matawang asing pada tahun 1990an. Beliau mendakwa bahawa kerugian yang dicatatkan adalah kecil berbanding keuntungan keseluruhannya.

Berdasarkan akaun yang diaudit oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM33.8 bilion di dalam spekulasi matawang asing antara 1989 hingga 1993. Bank Negara walaubagaimanapun mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion pada tahun 1990. Secara keseluruhan, kerugian tersebut berjumlah RM31.3 bilion, sebagaimana kenyataan saya sebelum ini.


Sehingga tahun 2003, Bank Negara terpaksa membayar sehingga RM868 juta setahun hasil kerugian tersebut.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Nor Mohamed Yakcoplah yang melaksanakan transaksi matawang asing sejak 1986 di Bank Negara pada waktu itu sebagai Pembantu Gabenor. Tun Daim Zainuddin merupakan Menteri Kewangan pada waktu itu. Tambahan lagi, menurut Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein, Nor Mohamed Yakcop telah menyembunyikan kerugian sebenar dari beliau.

Di atas nasihat Nor Mohamed Yakcop, Gabenor Bank Nergara telah menghantar laporan awal kepada saya yang kemudian dibentangkan di Kabinet dan Parlimen yang mana kerugian tersebut disifatkan sebagai 'kerugian di atas kertas' kesan pergerakan kadar pertukaran matawang dan dapat ditebus kembali. Ini kemudian terbukti silap dan kerugian yang dicatat adalah amat besar. Gabenor Bank Negara mengambil tanggungjawab kerana memberi maklumat yang salah kepada Perbendaharaan walaupun beliau tetap bertegas bahawa Nor Mohamed Yaakcop yang bertanggungjawab. Saya menerima perletakan jawatannya dan menerusinya, mengarahkan Nor Mohamed Yaakcop turut berbuat demikian.

Berikutan skandal tersebut, beliau boleh didakwa di mahkamah sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan dan ditetapkan agar tidak boleh memegang apa-apa jawatan di dalam industri kewangan.

Nor Mohamed Yakcop kemudian dibawa kembali oleh Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat ekonomi. Perdana Menteri hari ini telah pergi lebih jauh lagi dan melantik Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Memandangkan kerugian kepada kerajaan, dan secara tidak langsung rakyat Malaysia, sebuah suruhanjaya bebas seharusnya dilantik untuk menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya dan mengenalpasti dalang sebenar kerugian tersebut.

ANWAR IBRAHIM

Tuesday, January 09, 2007

Galeri Gambar Demonstrasi Anti-Kenaikan Tol Lebuhraya, Bandar Sunway

Demonstrasi Anti-Kenaikan Tol Lebuhraya yang diadakan pada 7 Januari 2007 baru-baru ini telah dihadiri lebih kurang 5 ribu orang. Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan!

Hakcipta gambar di atas Leonard, Moderator Forum LensaMalaysia
Hakcipta semua gambar berikut Helme Hanafi, Suara Keadilan





Untuk lebih banyak gambar, sila layari Forum LensaMalaysia .

Monday, January 08, 2007

18 SOALAN TENTANG KENAIKAN TOL LEBUHRAYA!

Kerajaan menaikkan bayaran tol bermula 1 Januari 2007. Tol-tol manakah yang terlibat?

Tol-tol yang terlibat adalah:

Lebuhraya Sebelum RM Selepas RM Naik RM Naik %
D'sara - Puchong (LDP) 1.00 1.60 60 sen 60%
- Penchala
- Sunway
- Puchong B
- Puchong S

Shah Alam Expwy (Kesas) 1.50 2.20 70 sen 47%
- Awan Besar
- Sunway
- Kemuning

Cheras - Kajang
- Batu 9 0.70 1.00 30 sen 43%
- Batu 11 0.60 0.90 30 sen 50%


KL - Karak
- Gombak 4.00 5.00 1.00 25%
- Bentong 2.50 3.00 50 sen 20%


Guthrie Corridor 1.00 1.40 40 sen 40%
- Rawang S
- Lagong
- Elmina



Kenapakah kerajaan menaikan kadar tol sebanyak 20% hingga 60%?.
Samy Vellu memberitahu dalam perjanjian di antara kerajaan dengan pemilik konsesi, syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tol mengikut tempoh yang dipersetujui. Tetapi sekiranya kadar kenaikan tidak dipersetujui, maka kerajaan terpaksa membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi!.
Menurut Samy Vellu, sehingga kini kerajaan telah membayar ganti rugi sebanyak RM2 bilion. Dengan itu kerajaan mengeluarkan subsidi berjumlah RM2 bilion bagi mengelakkan rakyat membayar kenaikan tol tersebut!

Timbalan menteri, S Veerasingam pula berkata bahawa kerjaan tidak ada pilihan selain daripada menaikkan kadar tol!. Jika tidak kerajaan akan berterusan membayar ganti rugi kepada syarikat-syarikat konsesi!.

Kerajaan juga menyatakan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan tentang perjanjian yang telah dibuat di antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi tersebut.

Jika begitu siapakah sebenarnya yang mentadbir negara ini?

Daripada penjelasan menteri, timbalan menteri dan kerajaan seolah-olah syarikat-syarikat konsesi yang mewakili golongan kapitalis dan kroni inilah yang lebih berkuasa daripada kerajaan!.

Tidakkah perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuhraya ini berat sebelah?

Ya, perjanjian ini amat berat sebelah. Perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat konsesi telah dijalankan secara tidak telus dan terlalu banyak rahsia. Kepentingan syarikat-syarikat konsesi sentiasa diutamakan dan kepentingan rakyat secara berterusan dipinggirkan.

Di peringkat manakah dalam perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi dinyatakan bahawa harga tol boleh dinaikkan?.

Dari awal perjanjian ditandatangani lagi. Bahkan, sebagai contoh kadar kenaikan tol di LDP untuk 30 tahun telah siap ditentukan sejak awal lagi!.

Kenapa kerajaan dengan mudah bersetuju dengan kenaikan yang terkandung dalam perjanjian tersebut?.

Inilah persoalan yang membingungkan. Sebagai contoh kadar tol yang dipersetujui oleh kerajaan di LDP pada tahun 1998 adalah RM1.50. Tetapi tol yang dikenakan kepada pengguna adalah RM1.00. Ini bermakna kerajaan membayar 50 sen untuk lapan tahun bermula dari tahun 1998 hingga tahun 2006!.

Seperti dalam kes LDP, kenapa dari awal lagi kerajaan tidak runding untuk tetapkan harga tol pada RM1.00? Dengan itu kerajaan tidak dibebankan membayar pampasan atau ganti rugi kepada syarikat konsesi berkenaan?

Ya, benar. Perjanjian seumpama itu ditandatangani oleh kerajaan seolah-olah bagi membolehkan kerajaan menyalurkan wang rakyat kepada syarikat-syarikat konsesi!.

Mengapa kerajaan benar-benar mahu melindungi syarikat-syarikat konsesi ini. Apakah syarikat-syarikat ini mengalami kerugian teruk?.

Laporan Tahunan 2006 Litrak, iaitu pemilik konsesi LDP menunjukkan keuntungan bersih sebanyak RM80 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 43% dari keuntungan bersih RM56 juta pada tahun 2005. Laporan itu juga menunjukkan Litrak mencatat rekod baru dengan kutipan sebanyak RM243 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2006 berbanding dengan kutipan sebanyak RM227 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanakah keuntungan ini boleh dicapai?.

Pada awalnya LDP dibina bagi menampung 1 juta kenderaan setahun. Namun bilangan kenderaan telah meningkat kepada hampir 3 juta setahun. LDP berada di tengah-tengah jalur perdagangan cergas Bandaraya Kuala Lumpur. Perhatikan saja kesesakan kenderaan di tol tersebut pada waktu-waktu puncak.

Apa lagi yang rakyat tidak tahu tentang kenaikan kadar tol ini?.

Banyak lagi yang rakyat tidak tahu!. Contohnya, walaupun bermula dari 2007 kadar tol di LDP adalah RM1.60, tetapi kadar sebenar dalam perjanjian adalah RM2.10. Ini bermakna kerajaan akan terus membayar pampasan kepada syarikat konsesi sebanyak 50 sen sehingga tahun 2015!. Rakyat tambah dari saku sendiri sebanyak 50 sen dan kerajaan tambah lagi 50 sen dari wang rakyat!. Apapun syarikat konsesi yang kaya raya!.

Jika begitu kenapa kerajaan masih meluluskan kenaikan kadar tol?.

Inilah salah satu daripada kepincangan dasar penswastaan kerajaan yang terlalu memihak kepada kepentingan syarikat konsesi, kroni dan golongan kapitalis serta sekali gus tidak mengendahkan kepentingan rakyat.

Memang sejak awal dasar penswastaan jalanraya kerajaan tidak mengendahkan kepentingan rakyat. Kerajaan bersikap berlepas tangan dalam kerja-kerja untuk terus memajukan sistem jalanraya dan kemudahan-kemudahan yang berhubung dengannya. Layanan EPU (Economic Planning Unit di bawah Jabatan Perdana Menteri) terhadap projek-projek jalanraya kendalian JKR amatlah sepi berbanding projek-projek syarikat konsesi. Itulah antara sebab mengapa kerajaan sanggup terlibat dengan perjanjian yang begitu berat sebelah dengan syarikat konsesi.

Jika kerajaan berterusan membayar pampasan kepada syarikat konsesi, sudah tentu pampasan yang terpaksa dibayar oleh kerajaan lebih tinggi daripada pembinaan lebuhraya?.

Betul!. Samy Vellu menyatakan bahawa kos pembinaan semua lebuhraya di atas tidak termasuk Guthrie adalah RM4.13 bilion. Setakat ini kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM4.86 bilion. Ini bermakna tanpa menswastakan pembinaan lebuhraya sekali pun, kerajaan mampu membina lebuhraya-lebuhraya tersebut!.

Bolehkah kerajaan membina lebuhraya tanpa melalui penswastaan?.

Boleh!. Contohnya pembinaan Jambatan Pulau Pinang dan pembinaan Lebuhraya KL-Seremban peringkat pertama dahulu. Disebabkan tindakan tergesa-gesa untuk menjalankan dasar penswastaan, agensi kerajaan yang telah menjayakan kedua projek ini ditukar menjadi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan peranannya diperkecilkan hanya untuk menyelaras perjalanan projek yang diserahkan kepada syarikat-syarikat konsesi.

Kerajaan semasa menaikkan harga petrol mengatakan bahawa tujuan kenaikan tersebut adalah untuk menjimatkan RM4.4 bilion. Kini kenaikan harga tol pula dikatakan untuk menjimatkan RM2 bilion. Adakah rakyat akan mendapat manfaat daripada penjimatan ini?
Tidak mungkin rakyat akan mendapat manfaatnya. Ini kerana, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Sulaiman pada 13 Dis 2006 memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan berbelanja sehingga RM11 bilion untuk mengambilalih (sebenarnya bailout) tujuh syarikat yang mengalami masalah pengurusan dan kewangan selepas diswastakan terutamanya Star LRT, Putra LRT dan MAS.
Jika demikian apakah kedudukan ekonomi negara buat masa ini?.

Kucar kacir!. Kenaikan harga minyak pada 28 Feb 2006 merupakan tertinggi dalam tempoh 20 tahun. Pada awal tahun 2006 cukai pintu dan cukai tanah telah dinaikkan. Pada awal Februari 2006 pula tambang bas sekolah turut dinaikkan. Tidak lama selepas itu, pada bulan Jun 2006, kadar tarif elektrik juga dinaikkan. Ini disusuli pula dengan kenaikan tarif air sebanyak 15% oleh Syabas di Kuala Lumpur, Putra Jaya, Selangor dan di negeri Perak. Kadar inflasi pada bulan Mac 2006 adalah 4.8%, iaitu paras yang tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Tanggungjawab siapakah untuk memastikan keadaan kewangan dan ekonomi negara berada dalam keadaan yang sejahtera?

Menteri Kewangan Malaysia!.

Siapakah Menteri Kewangan Malaysia!.

Abdullah Ahmad Badawi!.

Bukankah beliau juga merupakan Perdana Menteri Malaysia?

Ya!. Perdana Menteri yang paling hebat mengkucar-kacirkan ekonomi negara!.

Monday, January 01, 2007

Perutusan Khas Tahun Baru 2007

Isnin, 01 Januari 2007
PERUTUSAN KHAS TAHUN BARU 2007
PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT
YB DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL

29 Disember 2006

Assalamualaikum wbt dan Selamat Sejahtera,

Fajar 2007 kian menjelang, genap sudah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Perayaan Jubli Emas Hari Kemerdekaan negara harus dinikmati oleh setiap warganegara. Jangan hendaknya tercicir mana-mana individu atau mana-mana kelompok masyarakat.

Setiap kita harus berbangga berpijak di tanah tumpah darah yang telah merdeka selama 50 tahun. Namun persoalannya apakah perasaan bangga wujud di hati penduduk Kampung Berembang dan Kampung Chubadak yang baru-baru ini dihalau merempat di negara sendiri? Hak mereka dinafi dan tempat tinggal mereka dimusnah di depan mata. Apakah ini ciri sebuah masyarakat penyayang? Persoalan ini perlu dijawab dengan jujur oleh pemerintah yang diberi mandat dan amanah untuk membela nasib rakyat.


Lebih malang lagi tahun baru disambut dengan pengumuman berupa ugutan tentang kenaikan harga tol. Rakyat yang masih tersentak dengan kenaikan harga petrol baru-baru ini kini dihimpit pula dengan kenaikan tol hingga mencecah 60%. Rakyat dibebani menanggung kos ini. Para peniaga juga diberi amaran jangan menaikkan harga barang walaupun mengikut hukum matematik dan ekonomi adalah mustahil untuk mereka tidak berbuat demikian.

Marilah kita berazam dan bertekad melakukan satu perubahan kepada masyarakat dan negara pada tahun ini dan tahun-tahun yang bakal menjelang. Perubahan dalam amalan serta prinsip demokrasi tulen, menjayakan konsep pengagihan kekayaan negara untuk rakyat, mengembalikan martabat dan maruah setiap insan, membela dan memelihara keadilan untuk semua. Mari bersama memantapkan lagi perpaduan di kalangan seluruh rakyat Malaysia.

Bagi keADILan sambutan tahun baru memberikan kekuatan untuk meningkatkan keazaman dalam perjuangan. Mari bersama turut serta di dalam perjuangan ini bagi melakukan suatu perubahan untuk menjana kecemerlangan masyarakat dan negara. Bersama kita jadikan tahun 2007 ini sebagai pencetus bagi membina Malaysia yang merdeka menjadi kebangggaan setiap warganegara dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.

Selamat Menyambut Tahun 2007.