SepangOnline

Tuesday, January 16, 2007

Spekulasi Matawang Asing di Bank Negara

Tun Dr. Mahathir baru-baru ini menafikan kenyataan saya bahawa Bank Negara Malaysia kerugian sebanyak RM30 bilion di dalam spekulasi matawang asing pada tahun 1990an. Beliau mendakwa bahawa kerugian yang dicatatkan adalah kecil berbanding keuntungan keseluruhannya.

Berdasarkan akaun yang diaudit oleh Ketua Audit Negara, Bank Negara mencatatkan kerugian sebanyak RM33.8 bilion di dalam spekulasi matawang asing antara 1989 hingga 1993. Bank Negara walaubagaimanapun mencatatkan keuntungan kecil RM2.5 bilion pada tahun 1990. Secara keseluruhan, kerugian tersebut berjumlah RM31.3 bilion, sebagaimana kenyataan saya sebelum ini.


Sehingga tahun 2003, Bank Negara terpaksa membayar sehingga RM868 juta setahun hasil kerugian tersebut.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Nor Mohamed Yakcoplah yang melaksanakan transaksi matawang asing sejak 1986 di Bank Negara pada waktu itu sebagai Pembantu Gabenor. Tun Daim Zainuddin merupakan Menteri Kewangan pada waktu itu. Tambahan lagi, menurut Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Jaffar Hussein, Nor Mohamed Yakcop telah menyembunyikan kerugian sebenar dari beliau.

Di atas nasihat Nor Mohamed Yakcop, Gabenor Bank Nergara telah menghantar laporan awal kepada saya yang kemudian dibentangkan di Kabinet dan Parlimen yang mana kerugian tersebut disifatkan sebagai 'kerugian di atas kertas' kesan pergerakan kadar pertukaran matawang dan dapat ditebus kembali. Ini kemudian terbukti silap dan kerugian yang dicatat adalah amat besar. Gabenor Bank Negara mengambil tanggungjawab kerana memberi maklumat yang salah kepada Perbendaharaan walaupun beliau tetap bertegas bahawa Nor Mohamed Yaakcop yang bertanggungjawab. Saya menerima perletakan jawatannya dan menerusinya, mengarahkan Nor Mohamed Yaakcop turut berbuat demikian.

Berikutan skandal tersebut, beliau boleh didakwa di mahkamah sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan dan ditetapkan agar tidak boleh memegang apa-apa jawatan di dalam industri kewangan.

Nor Mohamed Yakcop kemudian dibawa kembali oleh Tun Dr. Mahathir sebagai penasihat ekonomi. Perdana Menteri hari ini telah pergi lebih jauh lagi dan melantik Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan Kedua.

Memandangkan kerugian kepada kerajaan, dan secara tidak langsung rakyat Malaysia, sebuah suruhanjaya bebas seharusnya dilantik untuk menyiasat perkara tersebut sedalam-dalamnya dan mengenalpasti dalang sebenar kerugian tersebut.

ANWAR IBRAHIM

0 Comments:

Post a Comment

<< Home