SepangOnline

Monday, January 22, 2007

Demo tol Cheras: Polis tangkap 17 aktivis

Harakahdaily
CHERAS, 21 Jan (Hrkh) -Polis bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan aman membantah kenaikan tol di Tol Batu 11 Cheras-Kajang petang ini.

Antara yang ditangkap ialah Bendahari PAS, yang juga Setiausaha Protes Kenaikan Harga Tol, Dr Hatta Ramli; Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi; Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; Pemimpin DAP, Ronnie Liu serta empat lagi aktivis lain.

Kira-kira jam 4.40 petang, belum sempat Dr Hatta menghabiskan ucapan, polis bertindak ganas menangkap beliau serta yang lain.

Mereka yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kajang.

Peserta demonstrasi turut bergerak ke Balai Polis berkenaan. Setibanya di sana, mereka mula menyatakan bantahan atas tindakan penangkapan tersebut.

Kira-kira jam 5.35 petang, aktivis PKR, Ginie Lim pula ditangkap dalam bantahan tersebut.

Hari ini merupakan demonstrasi kali ke tiga membantah kenaikan tol anjuran pelbagai parti pembangkang, badan bukan kerajaan dan kesatuan sekerja. Sebelum ini bantahan diadakan di Sunway Piramid, Subang Jaya dan Plaza Tol Gombak.

Kira-kira jam 6.00 petang, Tian Chua kelihatan dibawa keluar dari balai oleh sekumpulan anggota polis untuk dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui dan sekitar Balai Polis Kajang dikawal ketat oleh anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Kira-kira jam 6.20 petang, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng memberitahu melalui sidang media yang dibuat di hadapan Balai Polis Kajang bahawa Tian Chua dibawa ke hospital kerana kecederaan akibat kekasaran yang berlaku dan kelihatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Lim Kit Siang masuk ke balai menemui tahanan.

Sehingga kini 17 orang aktivis telah ditangkap dan ditahan di balai polis berkaitan dan orang ramai sekitar 100 orang masih menunjukkan bantahan di perkarangan balai polis tersebut.

Pukul 7.00 petang: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa tiba di Balai Polis Kajang dan masuk ke balai untuk melihat tahanan. Tidak lama selepas itu beliau mengadakan sidang media di hadapan balai dan menjelaskan jumlah tangkapan setakat ini telah mencecah 21 orang dan dijangka akan dibebaskan malam nanti.

Sementara itu jalan raya di hadapan Balai Polis Kajang telah ditutup untuk semua kenderaan (kedua-dua hala).

Pukul 7.30 malam: Jalan raya di hadapan balai dibuka semula dan berlaku kesesakan lalulintas. Orang ramai yang membantah masih belum bersurai.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home