SepangOnline

Saturday, January 20, 2007

Umno salah guna dana awam untuk kempen politik

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Rakyat tidak seharusnya menanggung kos kempen pilihan raya parti pemerintah seperti Umno malah tindakan menyalahgunakan dana rakyat untuk kempen politik adalah tindakan pecah amanah dan salah guna kuasa serius yang seharusnya dianggap jenayah yang boleh dihukum.

Bendahari Agung Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setiap kali pilihan raya terutamanya semasa Pilihan raya Kecil umpamanya di Batu Talam, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet akan membuat pelbagai lawatan ke kawasan terbabit untuk merasmikan kemudahan atau membuat janji-janji dan pengumuman mengenai projek-projek yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut.


Lawatan-lawatan ini katanya lazimnya adalah satu rombongan besar dengan diiringi oleh pegawai-pegawai kerajaan dan semua mengakibatkan kos tinggi yang terpaksa ditanggung oleh negara khususnya rakyat.

"Perjalanan pegawai-pegawai terlibat perlu dibayar elaun dan perbelanjaan untuk program-program tersebut ditanggung oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan media yang disampaikan kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Ini sangat jelas katanya di Batu Talam apabila Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob membuat pengumuman mengenai projek bekalan air bernilai jutaan ringgit di salah sebuah kawasan Felda di situ dan Kerajaan Negeri bercadang mendahulukan wang untuk melaksanakan projek tersebut dan akan dibayar semula oleh Felda.

"Ini sama sekali tidak perlu kerana Felda tidak menghadapi sebarang masalah kewangan untuk membiayai projek tersebut," katanya.

"Sebaliknya ia adalah usaha terdesak BN Pahang untuk menunjukkan keprihatinan dan meraih sokongan," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjadikan perkara ini keutamaan di dalam merangka reformasi suruhanjaya tersebut dan pelaksanaan pilihan raya di Malaysia.

"United Kingdom misalnya, terdapat pekeliling khusus kepada kakitangan kerajaan untuk tidak terlibat membantu kempen parti politik atas kapasiti rasmi mereka," katanya.

Ini termasuk India katanya, juga mempunyai peraturan khusus mengenai perkara ini yang mensyaratkan agar para menteri tidak mencampuradukkan lawatan rasmi dengan usaha berkempen pilihan raya.

"Kenderaan dan kemudahan kerajaan juga ditegah daripada disalahgunakan untuk tujuan berkempen," katanya lagi.

Justeru katanya KeADILan mendesak agar penyalahgunaan kuasa sebegini dihentikan dan rakyat tidak seharusnya menanggung kos kempen pilihan raya parti pemerintah. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home