SepangOnline

Friday, July 14, 2006

Khalid mulakan tugas sebagai Bendahari Agung

oleh Claudia Theophilus (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Bendahari Agung baru Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sudah tiba masanya bagi beliau menyumbang secara terus bagi membetulkan kesilapan yang berlaku dalam pentadbiran negara selama ini.

Katanya, selama ini beliau banyak memainkan peranan di belakang tabir tetapi perkembangan terkini politik negara termasuk pendedahan pelbagai kesilapan kerajaan telah mendorongnya untuk memberi komitmen kepada politik.

“Tahun lalu saya banyak berceramah tentang faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan dalam merangka polisi masa depan antarnya termasuklah soal ketelusan, keadilan, kesamarataan dan hak mendapatkan maklumat.”

“ Kini telah terdedah banyak penyelewengan dan kesilapan kerajaan, oleh itu saya rasa inilah masa yang sesuai untuk menceburi politik,” kata tokoh korporat itu dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Beliau juga berpendapat inilah masa terbaik bagi Keadilan untuk bergerak kerana pentadbiran kerajaan tidak boleh dibiarkan terus disalahurus.

“Pengurusan kerajaan mestilah mengikut konsep yang betul. Cara dan matlamatnya mesti betul,” ujarnya.

Pada sidang media itu Khalid telah diserahkan secara rasmi surat perlantikannya sebagai Bendahari Agung Keadilan oleh Presiden parti itu, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Apa yang saya katakan tahun lalu telah menjadi kenyataan. Sekarang saya boleh terus memberi penjelasan bagi menghilangkan kekeliruan rakyat yang berpunca dari asas-asas yang salah selama ini,” tambahnya.

Menyentuh tentang krisis antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai beberapa dasar lama kerajaan, Khalid berkata, itu menunjukkan negara akan menghadapi pelbagai masalah.

“Krisis antara kedua-dua tokoh ini menunjukkan selama ini negara ini tidak ditadbir dengan baik. Pelbagai tanda-tanda salahurus dan penyelewengan akan muncul dan rakyat akan menanggung kerugiannya.

“ Drama membabitkan kedua-dua tokoh ini tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia adalah drama yang melibatkan jutaan Ringgit tetapi hanya menguntungkan segelintir pemimpin dan membebankan majoriti rakyat,” ujarnya.

Ditanya tentang rancangannya untuk Keadilan, Khalid berkata, beliau akan menggunakan segala pengalamannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Guthrie dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi merencana program ekonomi dan menguruskan kewangan parti.

“Saya sangat berminat dengan program pembangunan masyarakat dan berharap dapat merangka satu rancangan yang baik dan berkesan bagi mencapai strategi parti,” tambahnya.

Perlantikan Khalid sebagai Bendahari Agung baru Keadilan dibuat oleh Wan Azizah pada minggu lalu bagi menggantikan Abdul Rahman Othman yang meletakkan jawatannya. Khalid menjadi ahli Keadilan sebulan yang lalu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home