Kerugian matawang: Anwar dedahkan nama mereka yang terbabit
Arfa'eza A Aziz (Malaysiakini) Jul 19, 06--Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan siapakah ‘pemain-pemain’ utama – di belakang Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaffar Hussein – yang terbabit dalam spekulasi pasaran wang asing (forex) yang mengakibatkan kerugian sehingga RM30 bilion antara tahun 1992 dan 1994. Sambil menyifatkan episod tersebut sebagai “pengalamannya yang paling buruk” sewaktu dalam kerajaan, Anwar mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop turut bersekongkol yang mengakibatkan kerugian tersebut, yang masih belum diperolehi semula oleh Bank Negara sehingga hari ini. “Ia (membabitkan) Nor Mohamad, (Dr) Mahathir dan Daim. Ia berlaku ketika saya baru masuk (sebagai Menteri Kewangan). Tetapi saya mempercayai Jaffar yang tidak tahu sehingga saya bertanya mengenainya. Dia fikir ia membabitkan jumlah yang kecil sahaja,” kata Anwar dalam wawancara selama dua jam di pejabat malaysiakini di Bangsar Utama minggu lalu. “Pada masa saya mendapatkan gambaran mengenainya, masalahnya sudah besar. Kita bercakap mengenai kerugiaan yang hampir mencecah AS$10 bilion,” katanya. Anwar mendakwa, beliau tidak tahu langsung mengenai spekulasi matawang asing itu sehinggalah beliau berada di luar negara di mana rakan-rakannya telah memaklumkan kepadanya bahawa Bank Negara merupakan antara tiga pemain utama dan dianggap sebagai sebuah bank ‘penyangak’. “Saya mendapat tahu dari seorang rakan di Switzerland yang memberitahu saya bahawa spekulasi ringgit Bank Negara begitu besar. Saya berkata ia tidak mungkin kerana kita perlu melindungi simpanan kita. Tetapi dia memberitahu saya bahawa ia (Bank Negara) merupakan salah satu daripada tiga pemain utamanya. Saya kata (ianya) mustahil yang kita boleh menjadi antara (negara) yang memiliki berbilion-bilion dolar untuk membuat spekulasi mengenai matawang asingm,” katanya. Katanya, selepas editor Far Eastern Economic Review turut menemuinya berhubung isu tersebut, beliau mengambil keputusan untuk mendapatkan penjelasan daripada Jaffar, yang ketika itu juga tidak tahu mengenainya. Anwar berkata, terdapat usaha-usaha awal untuk mendapat penjelasan daripada Dr Mahathir, tetapi beliau (Dr Mahathir) sebaliknya tidak mahu masalah itu diperbesar-besarkan dan menuduh media berat cuba merosakkan Malaysia. Anwar juga berkata, Nor Mohamed – yang ketika itu merupakan penolong gabenor Bank Negara dan merupakan orang utama dalam spekulasi matawang asing itu – sepatutnya didakwa di mahkamah sekiranya dia tidak dipaksa meletakkan jawatan. Tetapi ini juga telah mengakibatkan penyingkiran Jaffar, yang juga patut bertanggungjawab terhadap kerugian tersebut. Anwar juga kesal dengan keputusan Dr Mahathir melantik Nor Mohamed sebagai penasihat ekonominya empat tahun kemudiannya."Anda bercakap mengenai seorang yang telah mengakibatkan negara kerugian 10, 15, 20 bilion ringgit...dan namun (Abdullah) melantiknya menjadi menteri kewangan (kedua)," katanya. Ketua Pembangkang Lim Kit Siang dari DAP baru-baru ini mengulangi perkara yang dibangkitkanaya di Parlimen lebih 12 tahun lalu mengenai kegagalan kerajaan berhubung kerugian yang besar itu. Isu kerugian yang dialami Bank Negara akibat spekulasi matawang asing itu timbul semula baru-baru ini selepas Tan Sri Tajudin Ramli membuat beberapa dakwaan dalam saman balasnya. Ekoran itu, Lim menggesa ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk mendedahkan siapakah yang mengakibatkan kerugian tersebut. Kekesalan Anwar Sementara itu, Anwar juga melahirkan kekesalannya kerana gagal untuk melaksanakan pembaharuan apabila beliau berada dalam kerajaan. Katanya, beliau sedang dalam proses membentangkan Akta Pendidikan yang baru yang akan menyaksikan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan memberi lebih perlindungan kepada sekolah jenis kebangsaan, apabila beliau dipindahkan ke Kementerian Kewangan. Menurutnya, draf rang undang-undang tersebut telahpun diedarkan, tetapi penggantinya di Kementerian Pendidikan tidak meneruskan usaha tersebut. Beliau juga kesal kerana tidak bertindak tegas ketika itu untuk membantah pembinaan Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur di Sepang dan Ampangan Bakun di Sarawak. "Sesetengah pihak berkata saya sepatutnya lebih tegas....tapi jika saya berbuat demikian ketika itu, mungkin saya sudah dipecat pada 1993,” katanya. Anwar juga diminta mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz bahawa Malaysia masih merupakan destinasi menarik untuk pelabur asing. Dalam hal ini, Anwar menyifatkan dakwaan menteri itu bahawa pelaburan asing negara berjumlah RM6.08 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2006 sebagai ‘propaganda kerajaan’. “Bila sebuah syarikat membawa pelaburan sebanyak RM10 bilion, mereka bermula pada tahun 2007 dan berakhir pada 2020. Ia sepatutnya diagihkan sama rata dalam tempoh tersebut, tetapi (kerajaan) sebaliknya melonggokkan keseluruhan angka tersebut dalam statistiknya. “Itulah sebabnya apabila anda bertanya sama ada saya kesal menyertai kreajaan, jawapan saya adalah ‘tidak’ kerana saya telah dapat belajar selok-beloknya. Anda tidak lagi boleh memperbodoh-bodohkan (saya) dengan angka...,” tambahnya. Dalam wawancara tersebut, Anwar juga bercakap panjang lebar mengenai beberapa pembaharuan ekonomi yang perlu dilakukan negara bagi memulihkan semula dayasaingnya, termasuk menghapuskan Dasar Ekonomi Baru. |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home