SepangOnline

Thursday, July 20, 2006

Mangsa DBKL: Wan Azizah sedia bela penduduk Puah Seberang

Oleh Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa satu jam melihat sendiri nasib penduduk Kampung Puah Seberang, Sentul yang menjadi mangsa roboh rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1 Jun lalu.


Wan Azizah yang menerima memorandum penduduk berkenaan di Parlimen 6 Julai lalu, berkata, beliau mahu melihat sendiri keadaan penduduk yang didakwa tidak ubah seperti pelarian itu.

Sebaik sahaja tiba di kawasan berkenaan jam 11.00 pagi, hampir 50 orang penduduk menyambut kedatangannya.


Beliau melawat satu persatu khemah yang menempatkan dua atau tiga anggota keluarga sambil bertanya khabar dan meminta mereka bersabar dan bertenang.


Walaupun cuaca agak panas, Wan Azizah tidak keberatan meninjau keadaan dalam khemah yang padat dengan barang-barang serta pakaian bergantungan di sana sini.


Bliau turut menyampaikan sumbangan makanan termasuk beras, minyak, sardin dan biskut kepada penduduk.


Beliau juga menawarkan khidmat peguam percuma kepada penduduk untuk membawa masalah mereka ke muka pengadilan.


"Kami akan beri khidmat penguam, kami ada penguam yang gigih, dan kami pun akan memberi sumbangan setakat yang termampu," katanya di hadapan penduduk.


Sebanyak 13 keluarga terus tinggal di kawasan berkenaan biarpun rumah mereka telah dirobohkan oleh DBKL.


Penduduk mendakwa mereka mahukan penjelasan, rundingan dan pampasan yang setimpal.


Kira-kira 50 penduduk kehilangan tempat tinggal kerana terpaksa memberi laluan kepada projek Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) dan pembinaan tiga plaza tol.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home