Ucapan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail,
Ahli Parlimen Permatang Pauh
--------------------------------------------------------------------------------
Tan Sri Yang DiPertua,
Terima kasih memberi peluang kepada saya berucap dan terima kasih juga kepada YAB Perdana Menteri yang telah membentangkan dokumen RMK-9 bertemakan ‘Membina Tamadun Menjulang Martabat Negara’ di Dewan yang mulia ini. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak khususnya pegawai dan kakitangan kerajaan di semua peringkat yang telah bertungkus lumus menghasilkan dan menyiapkan dokumen RMK 9 tersebut. Melihatkan segala data dan perangkaan yang dibentangkan menunjukkan kajian secara komprehensif telah dilakukan oleh pihak-pihak terlibat.
Tan Sri Yang DiPertua,
Tema Membina Tamadun dan Menjulang Martabat Negara adalah suatu tema besar. Justeru, tugas untuk merealisasikan tema tersebut agar menjadi realiti juga amat besar dan bukanlah satu tugas yang mudah serta boleh dilakukan dengan sambil lewa. Tugas tersebut memerlukan persiapan yang rapi, selain kekuatan fizikal, ia juga menuntut kekuatan mental dan emosi yang tinggi serta keinginan politik yang tidak berbelah bagi.
Apabila dokumen RMK-9 dibentang jelas sekali cabaran yang dihadapi pemerintah bukan tentang bagaimana peruntukan RMK-9 mahu diagihkan dan kepada siapa harus diberikan. Cabaran utama ialah bagaimana pelaksanaannya mahu dilakukan kerajaan bagi mencapai matlamat dan sasaran. Janganlah hendaknya dokumen RMK-9 di jadikan sebagai janji baru setelah RMK-8 gagal mencapai sasaran 37%. Pemerintah berhadapan dengan cabaran sosio-politik yang lebih besar yang diwarisi dari zaman penjajah. Persoalan yang berkaitan dengan kerukunan hidup setiap kaum yang sama-sama mewujudkan bangsa Malaysia.
Tan Sri Yang DiPertua,
Malaysia akan meraikan hari Kemerdekaan yang ke 50 di dalam tempoh pelaksanaan RMK-9. Pada usia 50 tahun, sepatutnya sudah ada asas kukuh untuk membina kegemilangan bangsa Malaysia. Perpaduan kaum dan persefahaman agama sepatutnya bukan lagi menjadi satu masalah dan sudah lama dibereskan. Persoalan kemiskinan, jurang pendapatan dan pengagihan kekayaan sepatutnya sudah berjaya diatasi.
Pembentangan dokumen RMK-9 sebaliknya telah mendedahkan bahawa kepincangan negara zaman awal tahun 70-an masih membelenggu dan memerlukan jangka waktu yang panjang untuk ditangani. Sudah 35 tahun kita bergelut dengan perbezaan jurang pendapatan antara kaum. Hal yang lebih dikesalkan ialah setelah begitu lama kita diyakinkan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah untuk membasmi kemiskinan, jumlah rakyat miskin masih pada tahap yang merungsingkan. Kita sangkakan DEB telah dapat mengatasi jurang tersebut.
Malangnya, bukan sahaja jurang antara kaum gagal diatasi, wujud pula jurang lebar antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Di kalangan kaum bumiputera pula ketara sekali perbezaan di antara kelompok yang mendapat keistimewaan pemerintah dengan kelompok majoriti yang hanya mampu menjadi pemerhati. Menurut kajian Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) ternyata Malaysia berada pada tahap yang paling buruk di Asia Timur. Hal ini lebih ketara jika ditinjau keadaan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Kedah, Pahang dan Perak.
Dokumen RMK-9 juga mendedahkan bahawa polarisasi di antara kaum masih kekal di peringkat sekolah, universiti dan tempat pekerjaan. Apa yang dipaparkan seolah-olah segala usaha dan program interaksi kaum telah gagal mencapai sasaran dan matlamat walaupun ratusan juta telah dicurahkan ke arah itu.
Tan Sri Yang DiPertua,
Apa yang telah didedahkan Perdana Menteri merupakan ’recipe for disaster’. Suatu perkara yang menggusarkan adalah pemanjangan atau lanjutan jangka masa DEB/Dasar Pembangunan Negara sehingga 2020. Dasar yang dirangka pada tahun 70-an ini masih terus diguna pakai tanpa sebarang penilaian serius tentang keberkesanan dan kemampuannya untuk mencapai matlamat umumnya iaitu untuk membolehkan bumiputera memiliki 30% ekuiti korporat di dalam negara.
Walaupun dasar tersebut telah dapat mencapai beberapa matlamat seperti melebarkan peluang pendidikan dan pekerjaan, serta membentuk golongan kelas menengah bumiputera, kejayaan ini dicapai dengan kos yang tinggi. Di antara kos – kos tersebut adalah:
• Peningkatan jurang pendapatan di kalangan masyarakat Bumiputera – dapat dilihat secara terus menerus dari penjelasan RMK 9 di mana Gini coefficient (pengukur untuk jurang beza pendapatan) di negara kita telah meningkat daripada 0.452 pada tahun 1999 kepada 0.462 pada tahun 2004.
• Perkembangan pertumbuhan pendapatan per kapita di Malaysia turut ketinggalan apabila dibandingkan dengan negara-negara yang pada masa 1970 berada pada tahap yang sama. Seperti contoh, Taiwan dan Korea Selatan yang dahulunya berada pada tahap sama sekitar USD 2000 tetapi kini telah mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu sekitar USD17000 berbanding USD10000 untuk Malaysia
• Pada masa yang sama pemilikan ekuiti korporat di kalangan bumiputera masih di tahap yang sama semenjak 1990, iaitu sekitar 19%. Malah, menurut suatu kajian akademik yang dilakukan, 8% dari jumlah ekuiti negara ataupun 50% dari ekuiti milik Bumiputera sebenarnya dipegang oleh mereka mempunyai kaitan dengan parti pemerintah.
Sekiranya itu yang disedari oleh pemerintah ia mestilah ditangani dengan segera. Faktor utama untuk menjayakan RMK 9 ialah kesediaan kerajaan mentadbir pengurusan kerajaan dengan cekap dan beramanah serta penuh pertanggungjawaban. Harus diingat, tanpa landasan tersebut segala kerangka dasar yang lunak tidak berupaya melakukan lonjakan kepada pertumbuhan yang diimpikan. Dasar-dasar perkauman sempit mestilah dihentikan dan diganti dengan dasar-dasar yang menghormati insan sebagai ciptaan Allah yang mesti dilindungi maruahnya, hartanya dan darahnya.
Kerajaan juga harus mentadbir negara dengan meletakkan kepentingan rakyat pada tempat yang paling utama setiap kali membuat dasar dan keputusan-keputusan penting negara. Sikap kepedulian kepada nasib rakyat terutama dari golongan berpendapatan rendah pastinya dapat mengelak negara dari menghadapi tekanan ketidaktentuan. Keputusan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 30 sen bulan lalu amat dikesali. Alasan yang diberikan bahawa jumlah subsidi bernilai 4.4 billion tersebut akan disalurkan pada pembangunan peningkatan perkhidmatan awam merupakan satu alasan dangkal dan bersifat diskriminasi.
Mana mungkin kerajaan menarik balik subsidi petrol bagi rakyat luar bandar dan pedalaman dan menggunakan wang tersebut untuk membina monorel, jambatan bertingkat dan lain-lain pengangkutan canggih bagi kegunaan warga kota metropolitan dan bandaraya-bandaraya. Tidakkah kerajaan merasakan bahawa ia telah bertindak zalim pada rakyat di Sabah dan Sarawak yang tidak pernah terfikir menggunakan perkhidmatan monorel sedangkan subsidi minyak juga telah ditarik ke atas mereka. Sikap kerajaan yang tidak meletakkan kepedulian kepada nasib rakyat inilah yang akan menggagalkan sebarang usaha untuk merapatkan jurang antara kaum dan juga jurang antara bandar dan pedalaman.
Tindakan kerajaan mengurangkan harga kereta yang kononnya bagi meringankan beban rakyat setelah menarik balik subsidi petrol sekali lagi telah mendiskriminasi rakyat golongan bawahan yang langsung tidak berpeluang membeli kereta walau setelah harga dikurangkan. Sedangkan mereka telahpun terkesan dari kenaikan harga petrol.
Malah apa yang lebih menghairankan ialah dasar bercanggah yang diambil kerajaan. Alasan kerajaan menarik balik subsidi petrol adalah untuk meningkatkan pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya demi mengatasi masalah kesesakan, manakala tindakan menurunkan harga kereta ialah bagi menggalakkan setiap rumah mampu mempunyai sebiji kereta bagi menyemarakkan Dasar Automotif Negara. Nampaknya semakin kerap kerajaan melaksanakan dasar yang serba tak kena ini.
Tan Sri Yang DiPertua,
Pencapaian Misi Negara menjelang 2020 bergantung kepada andaian peningkatan produktiviti sektor awam dan sektor swasta. Unjuran kadar pertumbuhan 6% sehingga tahun 2010 dikira berdasarkan pertumbuhan pelaburan awam dan pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 11.2%. Kegagalan sektor awam mencapai sasaran produktiviti dan sebarang ketidaktentuan pasaran akan menjejaskan pelaburan swasta. Ini akan menjejaskan sasaran pertumbuhan dan pencapaian objektif sosio-ekonomi.
Di dalam ucapan saya ketika membahaskan kajian separuh penggal RMK-8 saya telah membangkitkan tentang kegagalan RMK-8 mencapai sasaran produktivitinya. Pada separuh penggal RMK-8, kadar produktiviti faktor keseluruhan (Total Factor Productivity) yang dicapai ialah 25.5% berbanding dengan sasaran asal 37.2%. Ini menunjukkan bahawa keupayaan pengurusan dan penggunaan teknologi belum berjaya meningkatkan produktiviti perkhidmatan. Walaupun pada penghujung tempoh RMK-8, tahap produktiviti sedikit meningkat tetapi masih gagal mencapai sasaran. Saya berharap unjuran kadar produktiviti faktor keseluruhan bagi RMK-9 sebanyak 35.8% dapat dicapai. Sekiranya tidak, pelaburan berjuta ringgit meningkatkan keupayaan pengurusan dan pelaburan dalam teknologi seperti ICT menjadi sia-sia.
Tan Sri Yang DiPertua,
Melihatkan tahap ekonomi Malaysia hari ini, keperluan menarik pelabur asing untuk memperolehi modal asing dan kepakaran serta teknologi tidak dapat tidak mesti dilakukan. Malaysia dilihat kurang menarik kepada pelabur asing mutakhir ini. Alasan bahawa persaingan dari negara China dan India tidak dapat kita terima. Ini justeru kerana negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura kian berjaya dan mendapat tumpuan. Malah negara yang dilanda kemelut ekonomi yang dahsyat pada akhir 90an seperti Korea Selatan telah berjaya memacu pertumbuhan yang lebih segar dan meyakinkan.
Bagi mengekalkan pelaburan swasta di dalam jajaran RM30 billion hingga RM40 billion setahun, kerajaan perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan iklim pelaburan negara. Tahap urus tadbir yang tinggi di sektor awam dan swasta, kewujudan pekerja berpengetahuan dan terlatih, kebebasan media, dan sistem perundangan yang bebas dan adil merupakan pra-syarat untuk menarik pelabur. Galakan cukai dan insentif merupakan ‘final pull’ bagi usaha ini.
Tan Sri Yang DiPertua,
Pelan pembangunan RMK-9 telah mencadangkan zon pembangunan baru di utara, pantai timur dan selatan yang merentasi sempadan negeri. Pada waktu ini, ketiga-tiga kawasan yang dicadangkan merupakan campuran kawasan bandar, pekan dan perkampungan. Ia sudah wujud beratus tahun bermula dengan kawasan penempatan semula jadi.
Cadangan zon pembangunan baru boleh membawa satu transformasi sosial dan fizikal yang besar. Cadangan tersebut memerlukan penelitian rapi supaya kawasan yang kini aman dan teratur tidak menjadi musnah akibat kerakusan pemaju dan kontraktor.
Tan Sri Yang DiPertua,
Saya berharap cadangan rancangan Pertanian Baru dan Bioteknologi tidak dibuat tergesa-gesa sebagaimana pemerintah melancarkan projek Multimedia Super-Corridor (MSC) yang kini boleh kita umpamakan seperti indah khabar dari rupa. Walaupun saya sangsi dengan persediaan kerajaan, saya berharap kepakaran yang cukup berilmu dan berpengalaman di bidang yang berkenaan perlu ada sebelum wang sebanyak RM2.0 billion untuk Bioteknologi dibelanjakan.
Kita perlu akui kita berada di belakang negara Eropah, Jepun dan India di bidang Bioteknologi. Di negara-negara tersebut produk bioteknologi pertanian, bioteknologi kesihatan dan farmaseutikal sudah lama mendapat tempat di pasaran. Kita sewajarnya membangunkan produk bioteknologi berasaskan sumber tempatan yang telahpun melalui proses penyelidikan melalui institut penyelidikan dan universiti. Produk-produk inilah yang sepatutnya ditingkatkan pemasaran, pembungkusan dan penjualannya.
Tan Sri Yang DiPertua,
Peruntukan asal RMK-8 iaitu sebanyak RM110 billion telah ditambahkan sebanyak RM60 billion (55%) untuk menjadikannya RM170 billion. Alasan yang diberi Kerajaan terhadap tambahan tersebut ialah untuk menampung tambahan kos dan tambahan projek RMK-8. Kerajaan tidak pula mengakui bahawa wujudnya penyelewengan dan ketirisan.
Saya tegaskan bahawa jangan pula nanti tambahan drastik juga berlaku pada peruntukan RM200 billion di bawah RMK-9 kerana jumlah ini telah begitu besar berbanding jumlah asal RMK 8.
Tan Sri Yang DiPertua
Nampaknya, Kementerian Kerjaraya begitu gembira dengan kelulusan senarai projek di bawah RMK-9 iaitu 2 buah universiti, 409 buah sekolah, 8 buah hospital, jambatan dan monorel di Pulau Pinang dan beratus kilometer jalan raya cukup untuk diagihkan kepada kontraktor. Sektor pembinaan khususnya pada infrastruktur dan utiliti telah mendapat peruntukan tertinggi dalam RMK9 iaitu 23% dari jumlah peruntukan iaitu bernilai RM43.8 billion. Kali ini jangan sampai pisang berbuah dua kali- kerajaan hendaklah memastikan peristiwa MRR2 tidak berulang lagi. Hampir 3 kali wang dibelanjakan atas projek yang sama. Kalau perkara seperti ini berlaku di negara lain, saya yakin kerusi Menteri sudah pasti dikosongkan. Berbeza pula di Malaysia, bukan sahaja Menterinya masih kekal, kejadian Tuhan pula dipersalahkan dan peruntukan yang tinggi dianugerahkan.
Tan Sri Yang DiPertua,
Saya bersimpati dengan nasib YAB Perdana Menteri yang terpaksa menongkah arus dalam usahanya untuk memerangi rasuah, rasuah di dalam partinya dan rasuah di dalam kerajaan. Ungkapan Patah Sayap, Bertongkat Paruh cuba dibayangkan betapa tingginya hasrat membersihkan negara dari gejala rasuah ini. Apa yang saya dan rakyat jelata harapkan, jangan hendaknya hasrat tinggal hasrat dan ungkapan lunak hanyalah pemanis bibir.
Saya percaya Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Badan Pencegah Rasuah mempunyai maklumat yang lebih banyak mengenai perbuatan rasuah. Rasuah atas nama apa sekali pun dan dilakukan oleh siapa sekali pun tidak boleh dimaafkan.
Justeru sekali lagi saya menyarankan pihak kerajaan Barisan Nasional mestilah mempunyai kesediaan mengkaji semula DEB yang terbukti gagal mencapai sasaran. Kerajaan mesti juga bersedia mengakui bahawa terlalu banyak penyalahgunaan kuasa dan ketirisan yang memihak kepada kelompok kecil dan kepentingan keluarga. Seperti mana dengan AP, saham kontrak dan penswastaan agihan kepada kelompok kecil dilakukan dengan menggunakan nama bumiputera. Fenomena yang berlaku di dalam syarikat seperti MAS dan Renong misalnya, berbillion ringgit telah digunakan bagi menyelamatkan syarikat tersebut juga atas nama bumiputera. Maka dasar pembahagian yang tidak adil dan hanya menguntungkan kumpulan kecil wajib diberhentikan. Kami mengusulkan agar pendekatan RMK-9 dikaji semula dengan mengambil kira pendekatan pembasmian kemiskinan yang berkesan. Dasar yang lebih realistik yakni membina rangkaian niaga dan usahawan menengah hendaklah difikirkan secara mendalam.
RMK-9 melalui teras ke lima iaitu untuk memperbaiki Perkhidmatan Awam tidak terdapat apa-apa penyelesaian yang akan menamatkan permasalahan sistem ini. Dalam erti kata lain tidak terdapat sebarang tindakan yang bakal dilakukan bagi memastikan ketelusan dan kebebasan dari rasuah. Benar, dua institusi telah dinamakan iaitu Institusi Integriti Nasional dan Badan Pencegah Rasuah untuk bertindak memastikan pelaksanaan rancangan berlaku dengan baik. Namun dari segi realitinya, melengkapkan pegawai BPR dengan teknologi penyiasatan terkini dan komputer paling canggih tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah selagi badan tersebut tidak diberi kebebasan untuk bertindak. Malah di sebalik niat murni dalam menubuhkan Institut Integriti tersebut, persoalan yang timbul ialah bagaimanakah gejala rasuah dapat dihapuskan dengan ceramah dan seminar sahaja?
Tan Sri Yang DiPertua,
Pembentukan Bangsa Malaysia yang bersatu padu, saling hormat menghormati di antara satu sama lain dan komited untuk mempertahankan kedaulatan negara merupakan objektif rancangan pembangunan sosio-ekonomi. Biar rancangan tersebut rancangan 5 tahun, 10 tahun atau 30 tahun, objektifnya tetap sama.
Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan satu Agenda Ekonomi Baru yang berani dan saksama yang berteraskan prinsip-prinsip berikut:
• Membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum – berpaksikan kepada keperluan bukannya keturunan.
• Membekalkan kaum Bumiputera dengan kemahiran dan peralatan untuk bersaing dengan kaum lain serta memupuk semangat kerja keras dan hemat berbelanja tanpa penggantungan pada mana-mana pihak termasuklah polisi-polisi kerajaan dan kerajaan pula tidak melindungi mereka dari menghadapi persaingan.
• Mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar telus dan berani ditegur dan diperbetulkan dengan memberi kebebasan kepada badan-badan seperti BPR, Badan Kehakiman dan badan-badan penguatkuasaan dengan penyeliaan yang secukupnya untuk mereka melakukan tugas.
• Mengamalkan sikap kepedulian sosial dengan pembangunan mapan dan mesra alam.
Saya yakin melalui prinsip-prinsip di atas dan dengan landasan pengurusan kerajaan yang cekap, beramanah dan penuh pertanggungjawaban serta amalan yang mengutamakan kepedulian terhadap nasib rakyat, usaha untuk membina sebuah bangsa yang bertamadun akan mencapai kejayaan. Akhirnya martabat negara pasti terjulang dan lahirlah Malaysia yang aman dengan jiwanya sendiri dan dikagumi dunia.
Sekian.