SepangOnline

Wednesday, April 05, 2006

Keadilan akan atasi kelemahan: Wan Azizah

Malaysia Today

Tanggal 4 April merupakan ulang tahun ketujuh penubuhan Parti Keadilan Nasional yang mana kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pada Ogos 2003 untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat.

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam perutusannya sempena Hari Ulang Tahun parti bahawa wawasan parti adalah supaya keADILan tidak hanya sebagai sebuah parti pilihan raya tetapi juga menjadi sebuah parti politik untuk rakyat Malaysia dari semua kaum dan latar belakang agama serta budaya yang berjuang untuk membina kesaksamaan bangsa dan solidariti antara-etnik di setiap peringkat akar umbi.

Menurut Datin Seri Dr Wan Azizah, Keadilan sebuah parti yang muda berbanding parti-parti yang lain, masih mengalami kelemahan-kelemahan, tetapi itu semua akan diatasi satu demi satu. Keadilan, sebuah parti politik yang akan menyumbang secara bermakna dan bernas ke arah pembangunan institusi-institusi yang relevan, proses dan budaya demokrasi berparlimen, tambahnya.

Beliau menyatakan rasa bangganya kerana walaupun bermain di padang yang tidak rata dalam semua pilihan raya dan terpaksa menghadapi banyak ujian dan tribulasi politik – termasuk cubaan kerajaan melenyapkan suara parti, menyekat hak untuk berhimpun secara aman dan memenjara atau mendera pemimpin-pemimpin dan aktivis Keadilan – parti tersebut telah mampu menempa nama dalam arena politik Malaysia.

Beliau menambah bahawa usaha-usaha dalam hubungan rakyat-kepada-rakyat dan dialog antara-tamadun patut diperhebatkan bagi mencapai kefahaman yang lebih di antara Timur dan Barat, juga di antara Selatan dan Utara terutama sekali di antara Malaysia dengan negara-negara jiran dalam ASEAN.

Keadilan tidak akan bertolak-ansur dengan perjuangan menentang korupsi, kronsime dan nepotisme yang mana ianya berada di mana-mana sistem institusi dan kepimpinan di negara ini. Penyakit-penyakit sosial ini adalah ancaman-ancaman yang paling getir kepada dayasaing ekonomi dan kestabilan sosio-politik. Sekiranya ia tidak dibendung; korupsi, kronisme dan nepotisme akan memusnahkan corak tamadun dalam negara, tambahnya lagi.

Dr Wan Azizah menegaskan dan memberi jaminan bahawa, keADILan membuka pintunya kepada seluruh rakyat Malaysia dan bersedia untuk bekerja dengan parti-parti politik yang liberal dan progresif, NGO-NGO dan kuasa-kuasa sosial dalam penerusan membina bangsa di zaman globalisasi juga pergolakan global.

Belum pernah dalam sejarah negara ini, rakyat Malaysia telah terlibat dalam gerakan untuk perubahan sepertimana yang telah berlaku dalam tahun 1999. Di masa lalu, politik merupakan wilayah ahli-ahli politik, sementara orang ramai hanya berdiri di pinggir. Tahun 1999 melihat kemunculan rakyat mengambil peranan mendesak perubahan, tegas Setiausaha Agung, Parti Keadilan Rakyat, Datuk Kamarul Baharin Abbas, sempena ulang tahun ke-7 parti tersebut.

Ramai yang mengukur kejayaan parti-parti politik dalam pilihan raya. Walaupun ia tidak menafikan memenangi pilihan raya adalah penting, parti ini unik kerana ia mengukur kejayaan bukan dengan bilangan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya tetapi lebih penting sama ada objektif perjuangan telah dicapai.

Hari ini, ramai rakyat Malaysia berani menyatakan pandangan mereka. Kemunculan banyak pertubuhan-pertubuhan, persatuan dan kumpulan-kumpulan yang berani menyatakan pandangan yang sebelum ini mereka membisu seribu bahasa. Mungkin tidak semua agenda yang mereka bawa dipersetujui, tetapi jelasnya, tidak lagi yang berkuasa dapat memaksa segala sesuatu ke atas rakyat.

Pada pemerhatian Datuk Kamarul, satu trend telah wujud. Trend tersebut telah dimulakan pada 1999. Kerajaan kini sedar bahawa ia perlu menjelaskan setiap tindakan yang diambil kepada rakyat. Cara lama yang menutup mulut media serta melenyapkan segala bantahan rakyat dengan menakutkan rakyat dengan tindak balas, tidak lagi berkesan. Dan pada tahun 1999 Parti Keadilan Rakyat hidup, wadah bagi rakyat memastikan kerajaan menerima pembaharuan.

Namun, Malaysia masih jauh daripada melihat pembaharuan yang tulen. Apa jua pembaharuan yang dilihat kini hanyalah “bahan pameran” semata-mata, yang dilakukan oleh kerajaan dengan berat hati kerana kerajaan tidak lagi mampu menolak kehendak rakyat. Dengan itu, masih banyak yang perlu dilakukan dan Parti Keadilan Rakyat mesti teruskan peranannya sebagai enjin untuk perubahan, jelas beliau.

Beliau melihat tahun-tahun yang mendatang akan menjadi lebih mencabar bagi negara. Malaysia perlu belajar bersaing dan efisien. Parti Keadilan Rakyat akan terus mengenakan tekanan dan memastikan kerajaan diingatkan bahawa rakyat sentiasa memerhati kerana Keadilan mewakili kehendak dan keazaman rakyat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home