SepangOnline

Wednesday, April 05, 2006

63 sertai Keadilan, cawangan Umno lumpuh

Oleh Zulkifli Mohamed

BAGAN SERAI: Selepas lebih 30 tahun bersama Umno, akhirnya Shafiee Ishak, 53, mengetuai 62 ahli Umno cawangan Parit Satu, Kubu Gajah, di sini, mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

Majlis penyerahan borang keahlian menyertai Keadilan disampaikan kepada Presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam majlis ringkas yang diadakan di sini, 2 April lalu.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Keadilan Bagan Serai, Munawir Mahmud dan Yang Dipertua PAS Bagan Serai, Ustaz Sabran Asmawi.

Menurut Shafiee, beliau dan rakan-rakannya telah hilang kepercayaan kepada perjuangan Umno, yang kononnya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Pemimpin Umno bukan sahaja mungkir janji, bahkan terlibat dalam pelbagai penyelewengan, antaranya tentang pembahagian tanah di sini,” kata Ahli Jawatankuasa Umno Cawangan Kubu Gajah.

“Saya akan berusaha menarik lebih ramai ahli Umno meninggalkan parti itu untuk menyertai Keadilan,” katanya yang juga ahli Persatuan Kebajikan Islam (PEKIDA) itu.

Beliau antara pengasas Umno cawangan kampung tersebut dan antara penggerak utama jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya lalu, pengundi di UPU Kubu Gajah turut menyumbang kepada kekalahan calon PAS, Ustaz Sabran Asmawi dengan majoriti 94 undi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri, Gunong Semanggol,

Calon PAS memperolehi 5836 undi, berbanding calon Umno, Muhamin Abdul Rahman Nazri yang mendapat 5930 undi.

Jelas Shafiee, pihaknya akan mengadakan satu lagi majlis penyerahan borang menyertai Keadilan pada 14 April depan, yang akan dihadiri Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Noor.

Pada Mac lalu, Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub telah menghadiri majlis yang sama di kampung tersebut.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home