SepangOnline

Sunday, April 16, 2006

RMK9 dedah kegagalan DEB – Wan Azizah

Malaysia Today

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpendapat, pembentangan dokumen RMK9 telah mendedahkan bahawa kepincangan negara zaman awal tahun 70-an masih membelenggu negara. Sudah 35 tahun negara bergelut dengan perbezaan jurang pendapatan antara kaum. Hal yang lebih dikesalkan ialah setelah begitu lama rakyat diyakinkan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah untuk membasmi kemiskinan, jumlah rakyat miskin masih pada tahap yang merunsingkan. Rayat sangkakan DEB telah dapat mengatasi jurang tersebut.


Malangnya, bukan sahaja jurang antara kaum gagal di atasi, wujud pula jurang lebar antara kawasan bandar dan kawasan luar bandar. Di kalangan kaum bumiputera pula ketara sekali perbedaan di antara kelompok yang mendapat keistimewaan pemerintah dengan kelompok majoriti yang hanya mampu menjadi pemerhati. Menurut kajian Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) ternyata Malaysia berada pada tahap yang paling buruk di Asia Timur. Hal ini lebih ketara jika ditinjau keadaan di Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Kedah, Pahang dan Perak.

Dalam ucapan membahas RMK9, beliau dipetik sebagai berkata, dokumen RMK9 juga mendedahkan bahawa polarisasi di antara kaum masih kekal di peringkat sekolah, universiti dan tempat pekerjaan. Apa yang dipaparkan seolah-olah segala usaha dan program interaksi kaum telah gagal mencapai sasaran dan matlamat walaupun ratusan juta telah dicurahkan ke arah itu.

Yang menghairankan lagi, ialah pemanjangan atau lanjutan jangkamasa DEB/Dasar Pembangunan Negara sehingga 2020, setelah kegagalan dasar merapatkan jurang pendapatan antara kaum. Dasar yang dirangka pada tahun 70-an itu masih terus digunapakai tanpa sebarang penilaian serius tentang keberkesanan dan kemampuannya untuk mencapai matlamat umumnya iaitu untuk membolehkan bumiputera memiliki 30% ekuiti korporat di dalam negara.

Walaupun dasar tersebut telah dapat mencapai beberapa matlamat seperti melebarkan peluang pendidikan dan pekerjaan, serta membentuk golongan kelas menengah bumiputera, kejayaan ini dicapai dengan kos yang tinggi. Diantara kos – kos tersebut adalah:


Peningkatan jurang pendapatan di kalangan masyarakat Bumiputera – dapat dilihat secara terus menerus dari penjelasan RMK9 di mana Gini coefficient (pengukur untuk jurang beza pendapatan) di negara, telah meningkat daripada 0.452 pada tahun 1999 kepada 0.462 pada tahun 2004.


Perkembangan pertumbuhan pendapatan per kapita di Malaysia turut ketinggalan apabila dibandingkan dengan negara-negara yang pada masa 1970 berada pada tahap yang sama. Seperti, Taiwan dan Korea Selatan yang dahulunya berada pada tahap sama sekitar USD 2000 tetapi kini telah mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu sekitar USD17000 berbanding USD10000 untuk Malaysia


Pada masa yang sama pemilikan ekuiti korporat di kalangan bumiputera masih di tahap yang sama semenjak 1990, iaitu sekitar 19%. Malah, menurut suatu kajian akademik yang dilakukan, 8% dari jumlah ekuiti negara ataupun 50% dari ekuiti milik Bumiputera sebenarnya dipegang oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan parti pemerintah.

Menurut Azizah, faktor utama untuk menjayakan RMK 9 ialah kesediaan kerajaan mentadbir pengurusan kerajaan dengan cekap dan beramanah serta penuh pertanggungjawaban. Tanpa landasan tersebut segala kerangka dasar yang lunak tidak berupaya melakukan lonjakan kepada pertumbuhan yang diimpikan. Dasar-dasar perkauman sempit mesti dihentikan dan diganti dengan dasar-dasar yang menghormati insan sebagai ciptaan Allah yang mesti dilindungi maruahnya, hartanya dan darahnya.

Beliau juga menggesa kerajaan mentadbir negara dengan meletakkan kepentingan rakyat pada tempat yang paling utama setiap kali membuat dasar dan keputusan-keputusan penting negara. Sikap kepedulian kepada nasib rakyat terutama dari golongan berpendapatan rendah pastinya dapat mengelak negara dari menghadapi tekanan ketidaktentuan. Keputusan kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 30 sen bulan lalu amat dikesali. Alasan yang diberikan bahawa jumlah subsidi bernilai 4.4 billion tersebut akan disalurkan pada pembangunan peningkatan perkhidmatan awam merupakan satu alasan dangkal dan bersifat diskriminasi.

Tindakan kerajaan mengurangkan harga kereta yang kononnya bagi meringankan beban rakyat setelah menarik balik subsidi petrol sekali lagi telah mendiskriminasi rakyat golongan bawahan yang langsung tidak berpeluang membeli kereta walau setelah harga dikurangkan. Sedangkan mereka telahpun terkesan dari kenaikan harga petrol.

Malah apa yang lebih menghairankan ialah dasar bercanggah yang diambil kerajaan. Alasan kerajaan menarik balik subsidi petrol adalah untuk meningkatkan pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalanraya demi mengatasi masalah kesesakan, manakala tindakan menurunkan harga kereta ialah bagi menggalakkan setiap rumah mampu mempunyai sebiji kereta bagi menyemarakkan Dasar Automotif Negara, tambah Azizah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home