No 110-3, Jln Tun Sambanthan, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
(atas Hong Leong Bank, sebelah Monorail Station)
Telefon: 03-22723220, 03-22724220 Faks: 03-22721220
Website: www.keadilanrakyat.org Email: biropen@gmail.com
PERUTUSAN KHAS
PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT (keADILan)
YB DATIN SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
BERSEMPENA HARI PEKERJA 2007
Tanggal 1 Mei adalah merupakan tarikh keramat yang amat penting dan bermakna buat kita untuk mengenang jasa, bakti serta sumbangan golongan pekerja yang sememangnya diakui sebagai tulang belakang kepada setiap negara di dunia. Sambutan Hari Pekerja ini bukan hanya disambut di Malaysia bahkan juga menjadi tarikh penting buat semua warga dunia khususnya bagi golongan buruh atau pekerja.
Sumbangan golongan pekerja di dalam konteks Malaysia mahupun dunia tidak dapat dinafikan betapa besarnya peranan dan bakti mereka. Golongan ini bukan sahaja berperanan sebagai penentu kepada jatuh bangunnya sesebuah masyarakat dan negara bahkan juga sebagai golongan yang bertindak dalam memastikan wawasan dan aspirasi negara akan dicapai.
Walaubagaimanapun, tidak semua pihak termasuk golongan pemerintah yang begitu prihatin dengan nasib dan pembelaan golongan pekerja ini. Sungguhpun mungkin tidak dinafikan bahawa taraf dan kedudukan pekerja di negara ini dilihat secara relatif lebih baik berbanding di negara-negara membangun yang lain namun, ini tidak bermakna nasib dan kebajikan pekerja di negara ini boleh diabaikan begitu sahaja. Masih banyak ruang dan lompang kelemahan yang harus diperbaiki dalam usaha membela nasib dan memberi keselesaan kepada golongan ini.
Lantaran itu, keADILan sebagai sebuah parti yang sentiasa prihatin dan tidak terlepas pandang untuk membela nasib golongan pekerja ini menggesa kepada pemerintah supaya memperkenalkan kadar gaji minimum golongan pekerja di negara ini baik dalam sektor awam mahupun swasta sekurang-kurangnya pada kadar RM1500 sebulan dan ke atas. Selain itu, keADILan juga mengesa serta menuntut beberapa perkara lain yang antaranya kemudahan cuti bersalin yang lebih panjang kepada golongan pekerja wanita, jaminan perkhidmatan kesihatan percuma kepada semua golongan pekerja dalam sebarang kes kesihatan, pengecualian kos pendidikan kepada anak pekerja yang berpendapatan sederhana-rendah, penyediaan kemudahan rumah mampu milik dan faedah-faedah lain yang memberi manfaat kepada para pekerja.
Melalui kemudahan dan jaminan ini, diyakini akan dapat membantu mengurangkan bebas kos sara diri dan meningkatkan keselesaan kepada golongan pekerja khususnya yang berpendapatan sederhana-rendah. Ini sekaligus sebagai tanda penghargaan terhadap golongan pekerja yang menjadi penyumbang tenaga terbesar dalam menjanakan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan dan memastikan kesinambungan perjalanan fungsi negara sejajar dengan misi dan wawasannya.
Justeru itu, bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2007, saya dan seluruh pemimpin, ahli serta penyokong keADILan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ’Selamat Menyambut Hari Pekerja 2007’ kepada seluruh pekerja dalam setiap sektor di negara ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ucapan tahniah dan penuh penghargaan buat setiap pekerja di negara ini yang sanggup berkorban dan berjuang membangunkan negara tidak kira siang ataupun malam. Semoga jasa dan sumbangan anda semua akan dirahmati dan diingati.
Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh
0 Comments:
Post a Comment
<< Home