SepangOnline

Thursday, June 08, 2006

Jangan dewa-dewakan Mahathir, kata Azmin Ali

Oleh Roy Rasul KUALA LUMPUR, 8 Jun (Hrkh) - Naib Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Azmin Ali mengingatkan pimpinan Barisan Alternatif (BA) dan rakyat jelata tidak terperangkap dalam isu pertelagahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan jangan sekali-kali mendewa-dewakan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau mendakwa, apa yang jelas, isu tersebut ialah soal kreadibiliti yang mana kedua-dua pemimpin itu tidak berminat untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

"Saya lihat serangan Mahathir bersifat peribadi dan dendam kepada Abdullah. Oleh itu saya meminta rakyat jangan terperangkap dengan serangan Mahathir yang tidak diasaskan kepada kreadibiliti.

"Apa yang dikecam Mahathir terhadap Abdullah juga menjadi amalan beliau semasa memerintah negara sebelum ini. Pemerintahan Mahathir pun sama juga mengamalkan kronisme, nepotisme, rasuah dan perkara negatif lain, jadi mengapa beliau serang Abdullah di atas perkara yang sama dilakukannya," dakwanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.

Dalam satu sidang akhbar di ibu kota semalam Mahathir dipetik mengecam kepimpinan Abdullah.

Beliau mendakwa Abdullah telah melanggar janji untuk meneruskan keputusan yang dibuat oleh pentadbirannya sebelum ini.

Antaranya ialah mengenai soal jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, kedudukan kereta nasional Proton, pembangunan Putrajaya dan dasar kewangan serta ekonomi negara.

Oleh itu Azmin berkata, jangan sekali-kalai pemimpin BA mahupun rakyat mendewa-dewakan Mahathir sehingga ghairah untuk meletakkan Mahathir sebagai Ketua Pembangkang Negara dan penghormatan lain.

Menurutnya jika ini berlaku ia menunjukkan BA dan rakyat terperangkap dalam isu dalaman Umno.

Katanya, jangan mengukur Mahathir sebagai pemimpin Umno yang berani mengkritik kerajaan itu adalah orang yang bersih dan bertanggungjawab.

"Beliau dikenali sebagai pemimpin yang rakus rasuah dan serangan beliau terhadap Abdullah tidak boleh bersihkan namanya walaupun beliau cuba menutup kesalahan dan juga mengalihkan pandangan rakyat mengenai apa yang dilakukan beliau," dakwanya sambil sekali lagi mengingatkan rakyat tidak mendewakan Mahathir.

Sehubungan itu dakwanya, tidak ada langsung pengisian Umno dalam mengatasi masalah-masalah besar negara seperti ekonomi, keselamatan, pelaburan asing, dan sosial.

"Ini yang sepatut menjadi tangungjawab pemimpin BA untuk mencari jalan penyelesaian bukan membuang masa berbicara masalah dalaman Umno," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home