SepangOnline

Thursday, June 01, 2006

Di manakah 60% pengguna TNB yang tidak terjejas dengan 12% kenaikan?

Malaysia Today

Pada hari pertama tarif elektrik dinaikkan 12%, TNB perlu jelaskan mengapa Independent Power Producers (IPP) tidak perlu pikul beban kenaikan harga bahan bakar, dan terus menikmati harga gas subsidi yang sudah diberi diskaun. Begitu juga, TNB perlu buktikan bahawa 60% pengguna TNB tidak terjejas oleh kenaikan 12% tarif elektrik kerana bil mereka kurang daripada RM44.

Kepimpinan BN kian terputus daripada kehidupan dan kesengsaraan rakyat jelata dengan mengatakan tahap kehidupan rakyat tidak terjejas dengan kenaikan kadar tarif elektrik. Hal ini kerana kononnya majoriti rakyat tidak terkesan dengan kenaikan tersebut.

Kebanyakan pengguna memang tidak percaya yang kenaikan tarif elektrik hanya melibatkan 40% daripada pengguna. Memang mudah bagi menteri mengatakan, lebih banyak penggunaan elektrik, lebih tinggi bayarannya, namun, kebanyakan rakyat tiada pilihan kerana penggunaan elektrik ialah satu keperluan bukan bermewah-mewah.

Pada ketika rakyat jelata terbeban dengan kenaikan harga minyak dan elektrik, tiada alasan dan keadilan sosio ekonomi untuk membiarkan beberapa IPP yang kaya-raya untuk terus mengaut keuntungan yang besar, harga diskaun bahan bakar dan perniagaan yang berisiko rendah. Dalam perjanjian IPP dengan TNB, mereka dibenarkan menyalurkan kos inflasi, antara lain, kepada TNB. Klausa tersebut membuatkan perniagaan membekalkan tenaga oleh IPP, satu perniagaan yang tiada risiko dengan menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Petronas telah memberi subsidi kepada sektor tenaga sebanyak lebih RM25 bilion sejak 1997, RM14 billion daripadanya atau 55% pergi kepada IPP, sementara baki RM 11 bilion dinikmati oleh Tenaga. Bagi Tenaga yang mahu menaikkan tarif sedangkan ia menikmati subsidi sebanyak RM 11 bilion adalah tidak dapat diterima, tidak bertanggungjawab dan bukan demi kepentingan negara.

Subsidi Petronas kepada IPP sebanyak RM 14 bilion sejak 1997 mesti dihentikan. Subsidi tersebut lebih wajar dibelanjakan ke atas pembiayaan perbelanjaan dan keperluan penyelenggaraan Tenaga. Oleh kerana IPP adalah syarikat swasta dan menikmati kadar istimewa bagi menjana tenaga elektrik yang TNB terpaksa bayar walaupun tidak memerlukannya, tiada alasan bagi IPP mendapat subsidi yang besar sebanyak RM 14 bilion, yang mendapat keuntungan di atas Tenaga dan pengguna TNB.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home