SepangOnline

Monday, June 05, 2006

MIC: Seramai 201 ahli Bandar Bukit Mertajam sertai PKR

Oleh Mohd Sabri Said (Harakahdaily)

BATU KAWAN, 5 Jun (Hrkh) - Di celah-celah pergelutan merebut jawatan tertinggi parti MIC antara kumpulan Presiden MIC, Dato' Seri S. Samy Vellu dan timbalannya, seramai 201 orang ahli di dua cawangan Bahagian Bukit Mertajam bertindak meninggalkan parti itu dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.


Mereka diketuai oleh Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Bukit Mertajam, M. Pristiraj, 29, dan Ketua Wanita MIC Cawangan Sungai Rambai, Askusala Kumari, 35.


Borang kemasukan ahli PKR diserahkan kepada penasihat parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebelum beliau berucap dalam majlis ceramah bersama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam semalam.
Menurut M. Pristiraj, penghijrahannya ke PKR bukan hasil desakan sesiapa tetapi atas rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan negara daripada terus ditipu oleh kepimpinan yang rakus.


Beliau ketika ditanya menyokong kumpulan mana dalam MIC memberitahu, senario sekarang kedua-dua kem serupa dan mempunyai masalah yang tersendiri.


"Sekarang ini saya tak mahu lagi bercakap mengenai MIC kerana apa yang penting sekarang saya dah bersama PKR. Tugas saya ialah akan menarik lebih ramai kaum India menyertai PKR di Parlimen Permatang Pauh, " jelasnya.


Askusala Kumari pula menyifatkan, kemasukkannya ke dalam PKR bermatlamat membantu Barisan Alternatif (BA) yang dilihat lebih releven daripada Barisan Nasional (BN).


Baginya, kemelut yang berlarutan dalam MIC hanyalah agenda peribadi bukan berlandaskan kepentingan bangsa dan negara.


"Kemasukan beramai-ramai ahli MIC menunjukkan kami sudah bosan dengan karenah kepimpinan yang hanya bijak bercakap tetapi tidak pandai melaksanakan impian supaya menjadi kenyataan, " terangnya yang berkhidmat dalam MIC selama 15 tahun.


Dato' Seri Anwar ketika berceramah memuji langkah drastik 201 ahli MIC kerana berani melakukan perubahan demi menyelamatkan maruah negara daripada terus dikenali sebagai negara perasuah.


Tegas beliau, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi masih gagal tangani rasuah sedangkan semasa baru dilantik menerajui negara, beliau telah berjanji mahu membanteras gejala tersebut tanpa pilih kasih.


Sementara itu, Setiausaha PKR Negeri Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Kasim berkata, kemasukan ahli MIC merupakan usaha berterusan Dato' Seri Anwar yang sering turun padang ke negeri ini.


"Kita akan mengatur majlis penerangan dan pertemuan dengan masyarakat bukan Islam di mana jua pada masa depan supaya mereka memahami kedudukan negara sekarang, " jelasnya bangga.


Pada bulan Januari lalu, 1000 orang ahli MCA yang diketuai oleh Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choong Peng juga mengambil langkah sama meninggalkan parti berteraskan kaum Cina untuk menyertai PKR yang dilihat lebih kemampuan.


Hadir sama dalam ceramah anjuran PKR Negeri itu ialah Pengerusi PKR Negeri, Dato' Zaharin Mohd Hashim; Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Soid Mohd Amin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Sarawak, Dominique Kim Ho.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home