SepangOnline

Thursday, July 28, 2005

Empat Indon samun rumah Ketua Bahagian Sepang

SEPANG: Empat lelaki dipercayai warga Indonesia memecah masuk kediaman zulkurnain, 42, di Kampung Teras Jernang dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Zulkurnain yang juga Ketua Bahagian Sepang Parti Keadilan Rakyat kerugian lebih RM1,700 termasuk kehilangan barangan kemas dan jam Rollex.

Ketika kejadian, mangsa dan isteri sedang lena di bilik tidur apabila terdengar dentuman kuat pada pintu bilik dan kemudian empat lelaki berpakaian serba hitam dan menutup mulut serta hidung dengan kain meluru masuk ke dalam bilik mereka.

Zulkurnain berkata, mereka mengikat tangan dan kaki kami dengan wayar talifon dan seorang daripada perompak itu menghunus parang ke arah saya meminta menunjukkan tempat menyimpan duit.

Zulkurnain berkata, dia dan isteri bersyukur kerana walaupun kehilangan barangan berharga, namun masih selamat dan tidak diapa-apakan perompak terbabit.

Zulkurnain berkata lagi, kumpulan itu memasuki rumah mereka melalui tingkap di belakang rumah dan menggeledah seluruh rumah sebelum ke bilik beliau.

Menurutnya, perompak itu menghentak tombol pintu bilik tidurnya menggunakan tong gas masak.

Katanya, perompak itu turut memotong wayar telefon di ruang tamu dan merampas telefon bimbitnya dan isteri.

Katanya lagi, pada kira-kira jam 5.30 pagi, dia baru berani bangun untuk melihat anak-anaknya dan keadaan rumah yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baru Bangi jam 7.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baru Bangi dan Sepang telah pergi ke rumah beliau untuk membuat siasatan lanjut.

Zulkurnain adalah merupakan Ketua Bahagian Sepang penggal 2004-2007. Beliau adalah penyokong reformasi dari mula sehinggalah menyertai Parti Keadilan Rakyat selepas Plihan Raya pada 2004 untuk memantapkan kembali Bahagian Sepang. Daripada pimpinannya Bahagian Sepang kembali pulih malah dapat menembusi kubu kuat BN dengan menubuhkan cawangan selain di kawasan melayu iaitu menubuhkan beberapa cawangan di dua DUN lain di dalam Sepang iaitu Sungai Pelek dan Tanjung Sepat selain di DUN Dengkil.

Thursday, July 14, 2005

Perbahasan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail

Wakil Permatang Pauh mengenai rang undang-undang
Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005

--------------------------------------------------------------------------------

Tuan Yang Dipertua,
1. Selepas penubuhan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) berikutan krisis kewangan 1997, rang undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 merupakan satu lagi cadangan memberi kuasa mutlak dan imuniti undang-undang kepada satu Perbadanan yang ditubuh oleh kerajaan, kononnya untuk memberi pelindungan terhadap kehilangan sebahagian atau kesemua deposit di institusi perbankan dan institusi kewangan. Demikian maksud Perenggan 4(1)(b) objektif Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005. Walaupun Perenggan 4(1)(d) menyelitkan objektif penubuhan Perbadanan sebagai usaha untuk menggalak atau menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan, keraguan tetap timbul apakah yang dibimbangi oleh kerajaan sehingga terpaksa mewujudkan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005?
2. Kami ahli-ahli parlimen mahu tahu kenapa deposit yang disimpan perlu diinsurankan? Bukankah didalam sistem ekonomi berasaskan pasaran modal, sistem perbankan yang kukuh dan selamat menjadi pra-syarat. Kawalan oleh Bank Negara Malaysia keatas institusi kewangan melalui Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 dan Akta Bank Islam 1983 sepatutnya mencukupi untuk memastikan deposit yang disimpan di bank selamat dan memberi pulangan kepada pendeposit. Rakyat digalak untuk menabung dibank dan tidak di bawah bantal dirumah. Simpan dibawah bantal dikira tidak selamat kerana takot rumah dimasuki pencuri. Tetapi melalui rang undang-undang ini terbongkar rahsia bahawa simpanan dibank juga tidak selamat dan perlu diinsurankan.

Tuan Yang Dipertua,

3. Izinkan saya meneruskan perbahasan dengan menyentuh 4 persoalan:

3.1 Apa perlunya Akta ini?
3.2 Kuasa Melampau dan Immuniti yang diberi kepada Perbadanan melalui Akta ini.
3.3 Kos kepada Pendeposit
3.4 Kesan ‘Capital Flight’ daripada perlaksanaan Skim Insuran Deposit.

4. Apa Perlunya Akta ini?

Didalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan menambah keyakinan pelabur, cadangan akta ini merupakan petanda jelas bahawa kerajaan mengetahui ada amalan tidak sihat didalam sistem perbankan kita sehingga menyebabkan sebahagian atau kesemua deposit diinstitusi perbankan dikhuatiri akan hilang. Rakyat ingin mengetahui bagaimana ini akan berlaku, apa puncanya, berapakah anggaran jumlah kehilangan dan manakah institusi kewangan yang terlibat? Melalui cadangan Akta ini kerajaan seolah-olah sudah mengetahui satu financial tsunami (dengan izin) akan melanda negara kita. Kalau tidak, apa perlunya ditubuhkan Perbadanan untuk mengatasi kehilangan deposit dibank? Kenapa deposit dibank perlu diinsuranskan? Fenomena ini sama dengan langkah seseorang yang mengetahui kemusnahan besar akan berlaku terhadap hartanya dan dia mengambil lindungan insuran yang besar untuk menampung kerugiannya.

5. Saya berharap Menteri Kewangan akan berkongsi dengan kita kebimbangannya. Sekiranya YAB menafikannya kami mempersoalkan cadangan Akta ini yang merupakan langkah retrogresif (dengan izin) didalam pengurusan sistem kewangan negara. Sepatutnya sistem kewangan dan perbankan terus melalui proses ‘Deregulation’ (dengan izin) untuk menarik modal dan deposit dari luar negara. Bayaran premium bagi insuran deposit akan menambah kos kepada pendeposit. Bukan sahaja modal luar tak akan masuk ke dalam negara kita bahkan kemungkinan besar deposit dalam negara akan mengalir keluar ke pasaran yang kurang kerenah birokrasi dan memberi pulangan tinggi.

Tuan Yang Dipertua,

6. Mengikut penganalisis pelaburan, bagi tahun 2006 hutang tidak berbayar akan meningkat di sektor perbankan dan sektor korporat pula akan melaporkan keuntungan yang berkurangan. Ini berlaku kerana iklim ekonomi yang lembab dikebanyakan sektor kecuali sektor minyak dan gas. Ketidakupayaan kerajaan menampung kelembapan ekonomi dan slack(dengan izin) yang berpunca dari kelemahan sektor swasta memburukkan lagi keadaan. Saya bersimpati terhadap Menteri Kewangan hari ini yang terpaksa memikul beban peninggalan dari Menteri Kewangan sebelumnya. Defisit 6 tahun berturut-turut, tambatan ringgit yang sudah melampaui masa, rasuah yang sudah berinstitusi dan kos pengurusan asset negara yang tinggi tidak memberi banyak pilihan kepada Menteri Kewangan selain tunduk kepada tekanan dan beban kewangan. Menteri Kewangan tidak cukup modal dan senjata untuk mengambil ‘counter-cyclical measures’(dengan izin) untuk mengimbangi putaran ekonomi yang lembab.

7. Saya mencadangkan supaya Menteri Kewangan lebih imaginatif(dengan izin) didalam mencari peluang untuk merangsang ekonomi negara. Banyak sudah diperkatakan tentang galakan kepada usahawan kecil dan sederhana (SME) tetapi komitmen agensi kerajaan dan pihak perbankan belum jelas. Suntikan projek RM2.0 billion tidak cukup untuk memenuhi keperluan kontraktor kelas F seramai 56,000 orang. Harus diingat bagi setiap kontaktor berdaftar ada lagi 5 kontraktor yang tidak berdaftar yang mencari peluang disektor swasta atau menjadi sub-kontraktor kepada kontraktor berdaftar. Kerajaan pernah dua kali memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM 7 billion. Kedua-duanya bagai mencurah air didaun keladi. Tiada pemulihan yang berlaku.

8. Mana ada syarikat atau usahawan yang mempunyai simpanan deposit diinstitusi kewangan? Semuanya berhutang, mencagar semua harta yang ada termasuk rumah peribadi, gagal membayar ansuran kereta dan rumah, terpaksa meminjam dari Ah Long dan hidup dalam keadaan resah. Hari ini, golongan peniaga, professional dan usahawan memang mengalami kesukaran yang teruk untuk melangsungkan perniagaan mereka.

Tuan Yang Dipertua,

9. Selain golongan kontraktor, mari kita jenguk sebentar kepada nasib golongan professional seperti jurutera, arkitek, juruukur, juruukur bahan dan peguam. Hari ini ramai yang muflis dan hampir muflis. Bilangan mereka bukan sedikit. Pada suatu ketika, mereka ini merupakan harapan negara dan harapan keluarga masing-masing. Mereka membuka syarikat perundingan dan guaman. Mereka menggaji bilangan pekerja yang ramai. Hari ini, mereka merupakan ‘silent majority’ yang menderita. Gaji kakitangan tidak berbayar. Segala aset sudah dicagarkan. Sebagai professional mereka masih mampu melempar senyuman, walaupun pada hakikatnya hidup penuh menderita. Mereka, atau syarikat mereka tidak menyimpan sebarang deposit dibank. Akta ini tidak relevan bagi mereka.

Tuan Yang Dipertua,
10. Saya mencadangkan supaya Government-linked Companies(GLC) digalakkan untuk membina dan meluaskan sistem vendor dan sistem payung dengan SME’s. Disamping itu, penubuhan bank untuk menyokong SME perlu disegerakan dengan mengguna kriteria pinjaman yang sesuai untuk menyokong kejayaan SME’s. Cadangan syarikat jaminan Credit Guarantee Corporation (CGC) untuk menjamin pinjaman SME secara lebih meluas dan mudah adalah satu pendekatan yang bijak. Kejayaan SME merupakan jaminan jangka panjang bagi kestabilan ekonomi negara.

Tuan Yang Dipertua,
11. Kerajaan sepatutnya mengatasi kebimbangan tsunami kewangan dengan dasar yang lebih imaginatif dan memfokus kepada golongan sasaran tertentu. Langkah menggalakkan GLC membimbing syarikat SME samada dipasaran dalam negara atau dipasaran luar negara perlu disegerakan. Bukankah Menteri Kewangan sudah sebut bahawa dah tak ada sekolah, hospital dan jalanraya yang hendak dibina didalam negara. Sekolah dan hospital yang dibina pun tak diguna dan sudah berkulat.

12. Program mengekspot perkhidmatan professional samada kejuruteraan, guaman atau kewangan perlu digalakkan. Ini boleh dilakukan dengan inisiatif syarikat GLC. Jangan pula syarikat GLC memperlekeh professional tempatan. Trend syarikat GLC melantik pengurusan asing atau perunding asing begi setiap urusan perniagaannya harus di timbang semula. Professional tempatan boleh berjaya kalau diberi peluang.

Tuan Yang Dipertua,
13. Hari ini sistem perbankan hanya berminat untuk membiayai perbelanjaan melalui kad kredit, pembelian kenderaan dan pembelian rumah. Pegawai bank mengelak membiayai bidang pembinaan dan perusahaan kerana risikonya tinggi.

14. Terdapat kes pihak bank enggan membiayai kontrak kerja daripada kerajaan kerana bimbang tidak dibayar atau terlewat bayar. Walaupun Kementerian Kewangan menetapkan bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari selepas kerja disahkan siap, namun di beberapa kementerian dan pihak berkuasa tempatan bayaran dari 8 sehingga 12 bulan dah jadi perkara biasa. Ada kalanya contractual dispute (dengan izin) sengaja dibiarkan berlarutan kerana pihak kerajaan tidak cukup wang. Selagi ada dispute, maka selama itulah kerajaan tidak bertanggungjawab untuk bayar. Saya memohon perkara ini disiasat kerana ramai pembekal dan kontraktor kerajaan dizalimi dengan cara yang sedemikian. Ini jugalah puncanya pihak bank mengelak dari membiayai kontrak kerja dan bekalan kerajaan.

15. Sudah sampai masanya Bank Negara mengkaji pinjaman berlebihan bagi kad kredit. Hari ini pihak bank telah memperkenalkan berbagai produk kad kredit untuk mencuri pelanggan dari syarikat kad kredit yang lain. Ada bank yang menawarkan kadar faedah 0% sekiranya pelanggan sanggup memindahkan baki kredit daripada akaun kad kredit yang lain. Ada pula bank yang menawarkan cash advance(dengan izin) dengan kadar faedah lebih rendah sehingga had maksima kad kredit. Memang betul, pelanggan jimat bayaran faedah dan mempunyai lebihan tunai untuk berbelanja. Tetapi pada jangka panjang rakyat semakin bergantung kepada kredit dan hutang. Akibat gagal membayar hutang, harta akan tergadai dan diishtihar muflis. Kadar muflis di kalangan mereka yang berusia 30’an dinegara kita telah meningkat akibat kemudahan kredit yang tiada batas.

Tuan Yang Dipertua,
16. Saya telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh dibuat oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia bagi menghadapi tsunami kewangan. Langkah-langkah menggalakkan pertumbuhan SME, mengekspot perkhidmatan professional, sokongan pembiayaan industri dan perdagangan dan kawalan kredit pengguna mampu memulihkan ekonomi yang lembab dan mengelak sistem perbankan menghadapi risiko kehilangan deposit. Apabila ekonomi subur dan meyakinkan, sistem perbankan mampu menjalankan fungsi menyediakan modal secukupnya dan tidak perlu bimbang berlakunya kehilangan deposit.

17. Kuasa Melampau dan Imuniti Kepada Perbadanan melalui Akta ini

Tuan Yang Dipertua,
Pada permulaan tadi saya telah menyatakan bahawa selepas penubuhan Danaharta, penubuhan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2005 merupakan satu usaha memberi kuasa mutlak dan imuniti undang-undang kepada Perbadanan yang diambil oleh kerajaan. Terdapat banyak persamaan diantara kuasa-kuasa Perbadanan dan kuasa Danaharta. Khususnya ialah peruntukan-peruntukan daripada perenggan 71 hingga perenggan 76 yang memberi kuasa-kuasa mutlak berikut kepada Perbadanan.

17.1 Mengambil alih kawalan keseluruhan aset, liabiliti dan urusan institusi anggota [71 (c) ]
17.2 Mengarahkan institusi anggoa berhenti menerima atau membayar deposit [71(1)(a)(ii)]
17.3 Memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk melantik penerima atau pengurus [71(1)(d)]
17.4 Mengemukakan petisyen bagi menggulung institusi anggota [ 71(1)(e)]
17.5 Perbadanan tidak perlu mendapatkan kelulusan pemegang syer atau pemiutang didalam mesyuarat Agung bagi apa-apa tindakan yang mahu dibuat melalui Akta ini [71(2)(a)]
17.6 Kuasa mengurangkan modal syer dan membatalkan syer institusi anggota. 75(1)
17.7 Tiada injunksi boleh dibenarkan dan tiada tindakan atau prosiding guaman boleh diambil keatas Perbadanan apabila ia mengambil alih kawalan anggota [7b(1)(a)]
17.8 Perbadanan dilindungi Imuniti dari tindakan guaman dan prosiding mahkamah didalam melaksana tanggungjawab di bawah Akta ini. 98(1)(c)

Tuan Yang Dipertua,
18. Jelas, kerajaan mahu Perbadanan kebal dari sebarang tindakan undang-undang dan Perbadanan memiliki ‘unimpeded powers’(dengan izin) untuk mengambil alih kawalan institusi anggota. Perbadanan juga mempunyai kuasa melantik penerima dan pengurus dan boleh mengemukakan petisyen menggulung institusi anggota. Perbadanan memiliki immuniti undang-undang. Perbadanan yang dilengkapi dengan kuasa-kuasa mutlak sedemikian semestinya ditubuh untuk menghadapi satu suasana darurat yang bakal melanda. Memahami maksud inilah dan jauh sekali dari mahu menakutkan saya katakana bahawa Akta ini dibentang untuk menghadapi tsunami kewangan yang hanya kerajaan sahaja yang tahu.

19. Kos Kepada Pendeposit

Tuan Yang Dipertua,
Tidak syak lagi, pengenalan insuran deposit akan menambah kos kepada pendeposit institusi kewangan. Hari ini kadar deposit memang rendah sekitar 3%. Dengan penetapan kadar premium tahunan sehingga 0.5%, pulangan bagi pendeposit akan berkurangan kepada 2.5%.

Bagaimana pula keadaannya apabila premium tahunan sudah dibayar dan atas keperluan kecairan deposit dilunaskan sebelum tempoh matang? Tidakkah ini merugikan pendeposit.

20. Kesan ‘Capital Flight’

Tuan Yang Dipertua,
Pelaksanaan skim insurans deposit akan menjadikan menabung didalam institusi kewangan negara kita tidak menarik. Pulangan menjadi rendah dan ditambah pula dengan birokrasi insuran. Modal asing tidak akan singgah ke negara kita sementara modal dalam negara akan mencari destinasi yang lebih menarik i.e Capital Flight(dengan izin). Kesan kepada sistem kewangan perlu difikirkan. Ini akan memberi tekanan kepada peningkatan kadar faedah dan penguncupan ekonomi negara.

21. Penutup

Tuan Yang Dipertua,
Akta ini memberi isyarat menakutkan mengenai sistem perbankan negara kita. Bank kita sudah tidak selamat. Seolah-olah simpanan rakyat dan syarikat didalam sistem perbankan akan hilang. Ini bukan cakap pembangkang atau khabar angin media asing. Ini kenyataan kerajaan dan menjadi sebab kenapa Akta ini digubalkan. Bank Negara seolah-olah tidak mampu mengawal perjalanan bank melalui Akta-Akta Bank sedia ada. Bank Negara bimbang simpanan deposit akan terjejas atau hilang. Inilah maksud Akta ini. Menteri Kewangan perlu menjelaskan kebimbangan ini. Saya menunggu jawapannya.

Kiriman Norashikin Baharuddin

Wednesday, July 13, 2005

KERAJAAN HARUS PERJELAS PENGUNAAN RM 40 JUTA WANG RAKYAT YANG DIBAYAR KEPADA HERITAGE FOUNDATION

--------------------------------------------------------------------------------

ANGKATAN MUDA MALAYSIA
Parti keadilan Rakyat (keADILan)
No.75A, Jalan Lawan Pedang 13/27,
Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor.
Tel : 603-5513 3416 Fax : 603-5512 9646
http ://www.partikeadilanrakyat.org

KENYATAAN MEDIA

11 JULAI 2005

Kerajaan Malaysia harus menjelaskan tindakan Kerajaan pada Februari lalu, melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membayar RM40 juta kepada Heritage Foundation, iaitu sebuah yayasan terdiri daripada para pelobi yang majoritinya Yahudi, bagi mengadakan hubungan dua hala antara pemimpin negara ini dengan pentadbiran Amerika Syarikat.

Akhbar Washington Post, sebelum ini mendedahkan pihak yang berkepentingan dan mempunyai hubungan dengan kerajaan Malaysia telah membantu mengatur satu perjumpaan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden AS George W. Bush, ketika hubungan dua hala kedua-dua negara di tahap kritikal.

Hubungan antara kedua negara telah bertukar menjadi hambar setelah pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan serangan yang bertubi-tubi Tun Dr Mahathir terhadap Yahudi.

Perjumpaan pemimpin tersebut pada Mei 2002 begitu instrumental dalam memperbaiki hubungan dengan Washington.

Sebelum itu, Tun Dr Mahathir telah di’singa’kan di dalam negara kerana kritikannya yang pedas terhadap AS.

akhbar Hong Kong Standard baru – baru ini melaporkan Pertemuan Mahathir-Bush pada Mei 2002 itu, dibiayai kerajaan Malaysia berjumlah RM5.3 juta yang dibayar melalui US-Malaysia Exchange Foundation (USMEA) dan Belle Haven Consultants berpengkalan di Hong Kong yang dipengerusikan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob menggunakan platform Heritage Foundation (berpusat di AS).

Pendedahan itu juga telah disiarkan secara meluas di beberapa media antarabangsa yang lain.

Di fahamkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meperolehi laporan komprehensif mengenai perkara ini dan pihak Angkatan Muda Malaysia sedang berusaha mendapatkan salinannya.

Lebih memeranjatkan apabila pembayaran turut berlaku selepas Dr Mahathir bersara dari Perdanam Menteri. Pembayaran terakhir yang direkodkan telah dilakukan pada Febuari 2005 ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Kesemua jumlah pembayaran telah mencecah sejumlah RM40 juta dan dibayar melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Heritage Foundation.

Jadi persoalannya sejauh mana ketelusan pengurusan TNB membayar sejumlah wang tersebut untuk membayar kepada Heritage Foundation, apakah tujuannya dan apakah alasan pembayaran yang begitu besar.

Adakah pembayaran tersebut diketahui oleh Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi ataupun bayaran tersebut merupakan arahan dari bekas perdana menteri semata – mata ?

Sehingga ke hari ini belum ada seorangpun pemimpin Umno atau pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri menafikan kenyataan yang dibuat Datuk Seri Anwar berulang kali.

Ini merupakan pembaziran wang rakyat yang serius. Angkatan Muda Malaysia menuntut agar Perdana menteri abdullah hj ahmad badawi sendiri menjelaskan perkara ini.

Salam Reformasi

“ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat”

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Timbalan Ketua Penerangan
Angkatan Muda Malaysia

ISU AP : ABDULLAH TERLALU LEMAH DAN TAKUTKAN MAHATHIR

--------------------------------------------------------------------------------

ANGKATAN MUDA MALAYSIA
Parti keadilan Rakyat (keADILan)
No.75A, Jalan Lawan Pedang 13/27,
Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor.
Tel : 603-5513 3416 Fax : 603-5512 9646
http ://www.partikeadilanrakyat.org

KENYATAAN MEDIA

11 JULAI 2005

Semalam muka depan Mingguan Malaysia melaporkan mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Hj Abdullah Bin Hj Ahmad Badawi yang menganggap isu berkenaan pertikaian pemberian AP mengimport kereta selesai.

Angkatan Muda menyifatkan laporan tersebut menggambarkan pentadbiran atau lebih tepat kepimpinan Abdullah yang benar - benar lemah. Ini kerana Abdullah menganggap isu itu selesai hanya apabila Datuk Seri Rafidah Aziz telah diarahkan oleh kabinet untuk menjawab isu AP itu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku Penasihat Proton.

Isu AP merupakan isu melibatkan ekonomi negara. Rafidah selaku Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), seharusnya bertanggungjawab kepada parlimen (baca; rakyat Malaysia) bukan kepada Dr. Mahathir. Beliau seharusnya mendedahkan dan memberi penjelasan mengenai pemilikan AP ini kepada Parlimen Malaysia.

Tindakan ini menunjukkan Mahathir masih menguasai negara dan Abdullah hilang kredibiliti sebagai Perdana Menteri.

Angkatan Muda sekali lagi * menyatakan pendirian menyeru Dr Mahathir agar berhenti sepenuhnya sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya dan pemimpin - pemimpin bermaruah dunia yang bersara. Gangguan seseorang dari luar kerajaan seperti bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir sebenarnya akan mewujudkan kekalutan pentadbiran yang bakal mengundang kemelut yang lebih menparahkan keadaan ekonomi yang kini sememangnya parah kerana kelemahan kepimpinan Abdullah dalam banyak hal.

Walaupun Dr. Mahathir telah bersara daripada jawatan pada oktober 2003 namum beliau masih menguasai beberapa kepentingan negara seperti Petronas, Proton, LADA dan banyak lagi secara langsung ataupun melalui kroni yang beliau lindungi selama berkuasa dahulu.

Abdullah seharusnya lebih berani dan bijak untuk membuat keputusan khususnya yang melibatkan kepentingan ekonomi demi menjaga kepentingan rakyat terbanyak.

Salam reformasi

“Ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat”

Sharifah Shahida Kamaruzaman
Naib Ketua
Angkatan muda Malaysia

Monday, July 11, 2005

KHALIL YAKOP HARUS MOHON MAAF BUKAN SETAKAT TARIK DATUK

--------------------------------------------------------------------------------

ANGKATAN MUDA MALAYSIA
Parti keadilan Rakyat (keADILan)
No.75A, Jalan Lawan Pedang 13/27,
Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam, Selangor.
Tel : 603-5513 3416 Fax : 603-5512 9646
http ://www.partikeadilanrakyat.org

KENYATAAN MEDIA

11 JULAI 2005

KHALID JAFRI BERSALAH TULIS MAKLUMAT PALSU “50 DALIL MENGAPA ANWAR TIDAK BOLEH JADI PM” , YANG BERSENGKONGKOL ?

Mahkamah Sesyen Ampang Jumaat 8 Julai 2005 telah menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Datuk Khalid Jafri setelah disabitkan kesalahan menulis maklumat palsu dalam buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM ".

Hakim Mohamad Saman Mohamed Ramli dalam hujahnya ketika menjatuhkan hukuman antaranya Khalid dijatuhkan hukuman bersalah dan disabitkan dengan tuduhan itu setelah meneliti bahawa kes tersebut melampaui keraguan

Khalid mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 12 Ogos 1998 dan pada peringkat pendakwaan, seramai 11 saksi memberi keterangan. Dia didakwa mengikut Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Maklumat palsu berkenaan terkandong di muka 50 buku itu.

Pada 19 Feb 2003, Mohamad Saman mengarahkan Khalid membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadapnya.

Pembelaan telah mengemukakan dua saksi iaitu Khalid sendiri dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan serta memanggil semula saksi pendakwaan Supt Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Kes ini telah menarik perhatian pemerhati dalam dan luar negara kerana berdasarkan maklumat fakta buku inilah Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad begitu yakin untuk memecat Timbalan Perdana Menteri Ketika itu Sdr anwar ibrahim atas tuduhan moral.

Kini mahkamah telah menetapkan bahawa maklumat dalam buku itu fitnah maka rakyat menanti bekas Perdana Menteri untuk tampil dan memohon maaf di atas tindakan beliau yang menyebabkan kerugian bukan sedikit kepada rakyat dan negara.

Semalam 10 Julai 2005 akhbar tempatan melaporkan Ketua Menteri Melaka Ali Rustam yang menyatakan bahawa anugerah Datuk kepada Khalid boleh ditarik balik jika rayuannya di tolak. Ini satu yang amat memalukan

Semasa tempoh perbicaraan tersebut juga Khalid telah dianugerahkan Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Melaka. Angkatan muda mempersoalkan tindakan ini kerana :

Anugerah Datuk ketika Khalid masih dibicarakan boleh dilihat sebagai balasan kerana menulis buku tersebut ini kerana Yang Dipertua Negeri Melaka, Khalil Yaakop yang mengurniakan anugerah Datuk kepada Khalid juga mempunyai kepentingan dalam kes pemecatan saudara Anwar Ibrahim.

Apakah sumbangan Khalid terhadap Negeri Melaka sehingga Yang Dipertuan Negeri Melaka menganugerahkan beliau Datuk.

Angkatan Muda Malaysia melihat penarikan Datuk kepada Khalid tidak membawa erti apa – apa. Kami menuntut supaya siapa yang terlibat dalam menganugerahkan tersebut perlu tampil memberikan alasan mengapa Khalid diberikan anugerah tersebut ? Adakah kerana balasan menulis buku fitnah ? Jika tiada alasan yang munasabah mereka perlu memohon maaf secara terbuka bukan setakat menarik semula Datuk dari Khalid.

Salam Reformasi

“ke arah memperkasakan kedaulatan rakyat”

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Timbalan Ketua Penerangan

SOAL 'AP' BELUM SELESAI

--------------------------------------------------------------------------------

Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) hairan bagaimana Menteri Datuk Rafidah Aziz dan kemudian PM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi boleh mengatakan soal AP dan kontroversi Proton sudah selesai semata-mata kerana Rafidah telah menghantar surat penjelasan kepada mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinet telah diberitahu tentang kandungan surat tersebut serta bersetuju dengannya.
Nyata sekali ini satu lagi percubaan untuk menutup tembelang yang bau busuknya sudah semerbak di merata alam. Satu ketika dulu, Dr Mahathir telah menutup tembelang Rafidah berhubung pembahagian saham kepada keluarganya dan keluarga pemimimpin lain. Sekarang Abdullah Badawi dan Rafidah sendiri cuba hendak menutup tembelang AP dan Proton pula. Dengan sikap serta tindakan demikian daripada para pemimpin utama Kerajaan, bagaimanakah masalah rasuah serta penyelewengan dapat dihapuskan?

Keadilan sekali lagi menuntut supaya senarai penuh mereka yang mendapat AP itu hendaklah diumumkan. Dr Mahathir telah membuat tuduhan secara terbuka bahawa 80 peratus daripada AP diberikan kepada 20 buah syarikat dan sepatutnya dengan sikap penuh tanggung jawab beliau harus mendedahkan senarai yang lengkap.

Kami mendapat tahu bahawa kebanyakan syarikat ini dimiliki oleh tokoh korporat sama, yang ada kaitan dengan menteri atau pembesar lain. Terangkanlah kroni, keluarga, pembesar, menteri dan sultan mana yang mendapat keuntungan besar dari pemberian AP itu. Sangat perlulah Rafidah, bahkan Kerajaan, memberikan penjelasan secara terbuka juga dengan mengumumkan surat Rafidah yang disetujui kabinet itu.

Selain itu, Keadilan menggesa supaya siasatan dilakukan oleh BPR terhadap Rafidah dan juga Dr Mahathir terhadap segala tuduhan dan pendedahan yang dibuat. Sekiranya ini benar dan terbukti rasuah atau penyelewangan telah berlaku, maka tindakan tegas hendaklah diambil dengan mengemukakan kes ke mahkamah. Tidak harus ada usaha untuk menutup busuk tembelang yang boleh membawa mudarat kepada masyarakat dan negara.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat