SepangOnline

Tuesday, December 19, 2006

Tol naik kerana rasuah

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Hrkh) - Kenaikan kadar tol berlaku kerana ada unsur-unsur rasuah dalam perjanjian di antara konsesi dengan kerajaan, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Proses penjanjian tol yang dibuat oleh tiga pihak iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan konsesi lebuh raya boleh dipersoalkan, kata beliau.

Semasa beliau menjadi Menteri Kewangan, kata Anwar lagi, konsesi datang melobi untuk menaikkan kadar tol beliau tetap menolak kerana ia amat membebankan pengguna jalan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS dijangka menghantar ribuan ahlinya untuk menyertai demonstrasi anti-kenaikan tol pada 7 Januari depan di plaza tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) bandar Sunway, Selangor.

Menurut ketuanya, Salahuddin Ayub, kenaikan tol yang berterusan sebenarnya tidak perlu kerana pemegang konsesi lebuh raya telah mendapat keuntungan besar kerana pertambahan kenderaan setiap tahun.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pemuda PAS sangat prihatin dengan kenaikan tol yang membebankan pengguna jalan raya terutama yang berpendapatan rendah.

“Mereka baru menanggung beban akibat kenaikan harga minyak dan kini tidak sampai setahun terpaksa membayar tol yang lebih mahal,” katanya.

Rakyat sudah bosan dengan alasan pihak berkuasa setiap kali mahu menaikkan kadar tol, katanya lagi.

Bantahan besar-besaran itu akan disertai oleh ahli-ahli parti pembangkang, kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.

Pengerusi jawatankuasa bantahan kenaikan tol, Syed Shahir Syed Mohamad berkata, sebelum mengadakan demonstrasi tersebut, pada 27 Disember ini, pihaknya akan menyerahkan memorandum bantahan ke pejabat Perdana Menteri.

Menurut beliau, antara lain memorandum tersebut katanya, mendesak kerajaan mendedahkan butiran perjanjian tol dengan konsesi kepada umum supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar projek pembinaan tol di negara ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home