SepangOnline

Monday, December 11, 2006

Ekonomi Malaysia Hilang Hala Tuju


 Malaysia kini berada di persimpangan: kita boleh bergerak ke hadapan dengan menekankan pembinaan daya saing nasional dan mengurangkan jurang antara kaya dan miskin; atau kita boleh kekal tanpa hala tuju sambil mempertikaikan kuota kaum ketika kedangkalan, rasuah dan jurang ekonomi semakin bertambah.

Ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menuntut campurtangan kerajaan dan penggubalan undang-undang bukan untuk membantu golongan miskin tetapi semata-mata untuk kroni-kroni mereka, negara-negara yang sebelum ini jauh di belakang kita sedekad yang lalu sedang giat berusaha untuk memotong kita, jika tidak ketika ini pun, sekurang-kurangnya pada masa yang dekat. Pada tahun 1970an and 1980an kita berada pada tahap Singapura, Taiwan dan Korea ¡V kini mereka sudah jauh di hadapan kita. China dan India telah bangkit sebagai gergasi ekonomi. Kita kini sedang tewas kepada Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Kerajaan telah gagal sama sekali dalam memacu ekonomi kita. Untuk menikmati pertumbuhan ekonomi yang kita kecapi antara 1970an hingga 1990an, kita perlu menarik pelaburan asing. Pada tahun 1990, UNCTAD meletakkan Malaysia keempat di dunia dari segi daya tarikan kepada pelaburan asing, kini kita di nombor 62. Malah pelaburan swasta kita telah merudum kepada peratusan yang kurang daripada 1990. Di sebalik sentimen yang sedikit positif di Bursa Malaysia baru-baru ini ¡V Thailand, Singapura, Korea dan Taiwan ¡V yang ketinggalan berbanding kita dari segi 'market capitalisation' telahpun memotong kita.

Pentadbiran yang ada pada hari ini telah meletakkan membanteras rasuah sebagai janji utama mereka pada pilihanraya yang lepas. Tetapi tiada keazaman politik ditunjukkan untuk membuka kes-kes rasuah yang besar, sementara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri saling tuduh-menuduh siapa yang memberi lebih banyak kontrak dan projek kepada anak-anak mereka. Tidak hairanlah kita telah jatuh lima tangga lagi ¡V dari 39 kepada 44 ¡V dalam Indeks Persepsi Rasuah Transperency International.

Keadaan rakyat juga terus meruncing. Lebih 80,000 graduan kita menganggur. Malaysia tidak meningkatkan daya saing ekonomi kita kerana kita terus-menerus bergantung kepada pekerja asing untuk bekerja pada upah yang rendah. Tetapi ketika kita tidak boleh bersaing dengan tenaga kerja mahir Korea, Taiwan atau Singapura, kita juga tidak boleh lagi bersaing dengan kadar upah yang rendah di China, Vietnam atau Indonesia. Orang ramai juga dibebani peningkatan harga yang berterusan ketika inflasi diramalkan berada pada tahap tertinggi dalam tujuh tahun sementara kadar upah dan gaji tidak berubah.


ANWAR IBRAHIM
Penasihat Parti Keadilan Rakyat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home