Agih kontrak kepada Kamaluddin, Gerak lapor kepada BPR
Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (Gerak) telah membuat satu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tuntutan mengadakan satu siasatan terhadap Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi atas dakwaan mengagihkan kontrak kepada keluarganya, kata Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Noor.
Berdasarkan laporan yang dibuat, Gerak berpendapat BPR telah mempunyai asas yang cukup untuk memulakan siasatan ke atas penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri dan keluarganya di dalam pengagihan kontrak kerajaan di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, katanya.
Sebagai Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, Abdullah mesti dipertanggungjawabkan dan siasatan mesti dimulakan terhadapnya,katanya kepada pemberita selepas selesai menyerahkan laporan itu kepada BPR hari ini.
Laporan itu diterima oleh Penolong Penguasa, Pusat Pengurusan Maklumat dan tatatertib BPR, Haryazi Baharom di Ibu pejabat BPR pada jam 11.15 pagi tadi bagi pihak Ketua Pengarah BPR Malaysia di Putrajaya.
Pada 26 Oktober 2006, Abdullah Badawi dalam sidang medianya telah membuat kenyataan dan disiarkan dalam hampir semua media utama yang mana dalam kenyataannya terkandung pengakuan beliau sendiri tentang agihan kontrak kerajaan yang dipolehi oleh syarikat yang mempunyai kepentingan anaknya Kamaluddin Abdullah.
Selain itu Abdullah juga mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengagihkan kontrak kepada anaknya semasa bekas Presiden Umno itu menjadi Perdana Menteri.
Pengakuan ini merupakan satu pengakuan yang serius mengenai penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri, kata Ezam.
Melalui laporan ini juga dipanjangkan laporan polis yang telah dibuat Gerak pada 1 November lalu di Balai Polis Dang Wangi, katanya.
"Bersama laporan ini kami kepilkan dua laporan polis terdahulu antaranya satu laporan mengenai Military Cookhouse Privatisation Agreement' yang merupakan tender yang dianugerahkan secara luar biasa kepada Kamaluddin," kata Ezam.
Selain itu beliau juga menyrahkan salinan perjanjian tender kerajaan yang di tandatangan kerajaan Malaysia dan Kamaludin Abdullah.
Dalam laporan yang sama Ezam juga menyerahkan laporan mengenai transaksi penggabungan ECM Libra dan Evenue Capital dan beberapa laporan dari agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Semua dokumen tersebut diyakini cukup untuk membantu BPR memulakan siasatan ke atas Penyalah gunaan kuasa Perdana Menteri dan keluarganya, katanya lagi.
BPR harus melihat laporan ini dengan serius khususnya apabila persepsi dunia melihat Malaysia semakin parah dari sudut jenayah rasuah, ujarnya.
"BPR harus memulakan siasatan dan mengheret mereka ini ke muka pengadilan atau mengisytiharkan mereka ini bersih dari amalan penyalahgunaan kuasa dan korupsi,"katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home