Ambang 2007: Di Sebalik Mimpi Rakyat
Kita sedang berada di bulan terakhir sebelum tahun 2006 melabuhkan tirainya. Kebanyakan rakyat Malaysia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menantikan fajar 1 Januari 2007 menyinsing, kerana tahun 2007 dianggap tahun keramat kerana ia bertepatan dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara. Ramai pemerhati politik juga tidak sabar untuk menantikan momentum baru politik yang dijangkakan akan berlaku, dan ramai juga ingin melihat sejauh mana Dollah Kaki Tidur mampu mempertahankan kedudukan dan pengaruh anak menantunya.
Tahun 2007 juga dilihat sebagai kayu penanda aras politik di negara kita kerana pilihanraya dijangkakan bakal berlangsung pada tahun 2008. Melihat kepada perkembangan terkini, nyata sokongan rakyat terhadap parti-parti alternatif semakin meluas, dan keADILan umpamanya sudah mula meraih sokongan muda mudi di Johor, kubu kuat UMNO. Senario positif ini memungkinkan UMNO untuk membuat persediaan lebih awal bagi memangkas sebarang unsur undi protes yang boleh meranapkan imej mereka di mata rakyat. Di Johor umpamanya, kebanyakan rakyat memandang sinis Dollah kerana kegagalan beliau meneruskan pembinaan jambatan Indah, dan tindakan Dollah mengalih projek jambatan itu ke Pulau Pinang sudah pasti sedikit sebanyak menghiris perasaan penyokong tegar UMNO Johor.
Mereka juga tidak berpuas hati dengan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar kerana melihat WPI itu tidak lebih dari menguntungkan Singapura berbanding Johor sendiri. Jika perasaan tidak puas hati ini berterusan, penyokong UMNO yang masih setia di belakang idealisme Mahathir sudah pasti
akan bertindak nekad memprotes dasar-dasar songsang Dollah Kaki Tidur melalui peti undi nanti. Keadaan ini mampu memberikan Dollah mimpi ngeri yang berpanjangan andai kata pembangkang berjaya membuat kejutan di Johor dalam pilihanraya umum akan datang. Sungguhpun ia dilihat tidak realistik, namun sentimen anti Dollah sudah mula dilihat membuak-buak di permukaan politik di negeri itu.
Tangisan Rakyat Malaysia
Tahun 2007 juga dilihat sebagai satu tahun di mana rakyat kelas bawahan bakal terus diinjak diinjak, dibelasah dan disepak terajang seperti anjing kurap dalam apa yang dipanggil operasi ‘setinggan sifar’ kelolaan insan paling sampah dalam sejarah Malaysia bernama Khir Toyo. Di dalam operasi ini, media menggambarkan penduduk setinggan sebagai penduduk yang tinggal di tanah kerajaan dan tidak membayar cukai, media juga menggambarkan penduduk setinggan ini anti pembangunan dan wajar dihalau dari tempat asal mereka. Ini bagi meraih sokongan rakyat agar menganggap sesungguhnya peneroka bandar ini adalah sarang berlakunya gejala sosial yang semakin menghambat negara kita kini. Dengan alasan semudah ABC itu, maka bulldozer menjadi jawapan bagi membumikan penempatan-penempatan setinggan milik orang kampung tanpa sebarang kompromi.
Sedangkan penduduk setinggan itu ‘berkurun-kurun membayar cukai tanah’, justeru itu tindakan angkuh lagi sombong kerajaan negeri Selangor itu wajar dijadikan dalil mengapa kita wajib mengtongsampahkan Khir dan toyol-toyol belaannya dalam pilihanraya umum ke 12 akan datang. Takziah buat mangsa-mangsa di kampung Berembang di Ampang dan juga kampung Chubadak Tambahan di Sentul.
Giliran Pro Najib Popular
Di awal tahun, Khairy Jamaluddin bergelut dengan masalah ECM Libra Avenue sehingga beliau kononnya meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat. Selepas itu, cerita panas mengenai Khairy sudah mula menjadi suam-suam kuku dan akhirnya dingin senyap begitu sahaja. Ini strategi Khairy bagi mengelak
kontroversi berpanjangan disebabkan pendedahan media secara berterusan terhadapnya boleh meninggalkan impak yang tidak baik dalam karier politiknya. Adalah lebih baik jika Khairy Jamaluddin senyap sunyi dari pentas kontroversi. Dalam keadaan yang senyap sunyi ini, beliau boleh membuat pelbagai perancangan rapi untuk menguasai politik Malaysia secara tersusun tanpa perlu berdepan dengan bantahan rakyat marhaen. Kurangnya liputan media terhadap Khairy menyebabkan orang ramai semakin melupakan kontroversi pergabungan ECM Libra dengan Avenue Capital itu.
Rakyat lebih tertumpu kepada peningkatan mendadak yang dicapai oleh CIMB Bank. Terbaru CIMB melalui Synergy Drive telah membayangkan untuk mengambil alih Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope Plantation. Jika ini terjadi, berkemungkinan CIMB bakal menjadi kumpulan perbankan nombor satu di Malaysia dalam masa yang terdekat ini. Apa yang menjadi misteri ialah pengerusi CIMB Dato’ Nazir Razak merupakan adik kepada TPM Najib Razak. Secara kebetulan Razak Baginda yang dituduh membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu juga adalah salah seorang think tank Najib Razak. Mengapa sejak akhir-akhir ini terlalu banyak liputan media yang diberikan kepada mereka yang berkait rapat dengan Najib? Adakah ini strategi Khairy Jamaluddin bagi menunjukkan kepada dunia betapa kronisma dan nepotismanya manusia Glokal ini?
Ekonomi Semakin Baik… Tapi Rakyat Makin Sengsara
Sekalipun Gabenor Bank Negara Dr. Zeti Akhtar Aziz menegaskan betapa ekonomi Malaysia semakin berkembang, namun beliau barangkali terlupa untuk menyebut mengenai indeks persepsi rasuah yang semakin parah memusnahkan rakyat Malaysia. Di saat indeks Malaysia mencecah paras 1000 mata, semakin rakyat sengsara kerana kos sara hidup semakin meningkat. Ramai rakyat di negara ini masih menikmati pendapatan bulanan lebih rendah dari RM 900 di Kuala Lumpur. Dengan kata lain, tiada maknanya indeks Bursa Malaysia meningkat dalam keadaan rakyat terpaksa bertungkus lumus mengerah tenaga bagi mencari sesuap nasi. Apalah maksudnya jika ekonomi negara dikatakan makmur di saat kebajikan rakyat tidak diberi pembelaan? Sampai bila kita harus membiarkan diri ini dibuli dan ditindas oleh dasar-dasar laknat pengkhianat rakyat bernama UMNO-BN?
Bagaimana AMMB Holdings boleh membenarkan campur tangan asing Australian New Zealand Bank dalam pegangan syarikatnya. Mengapa kerajaan memberi lampu hijau dengan menerima pengaruh asing di dalam sektor perbankan tempatan di negara kita? Bayangkan selepas FTA dikuatkuasakan nanti, agaknya apakah nasib bank-bank tempatan dan pengusaha-pengusaha industri asas tani di negara kita? Mampukah mereka terus hidup atau hanya sekadar tinggal nama? Dan mengapa Rafidah Aziz begitu suka ria berunding dengan Amerika mengenai FTA ini? Walau apapun alasan, kita terpaksa menerima hakikat bahawa Amerika selaku kuasa ekonomi dunia bakal mengungguli perjanjian FTA. Tidak perlulah bermimpi mengharap FTA ini mampu memajukan Malaysia. Anda fikir kita boleh bersaing dengan produk Amerika Syarikat? Lupakan!
Terlalu banyak persoalan apabila tahun 2006 semakin melabuhkan tirainya, dan nampak gayanya rakyat semakin hari semakin tersepit dengan perlakuan dan dasar-dasar kerajaan yang dilihat persis penjajah zaman British dahulu. Benar Dollah orang Melayu, benar UMNO itu orang Melayu, tetapi siapa tahu? Kerana sesungguhnya hanya musang berbulu ayam sahaja yang boleh membaham ayam. Dan maruah kita rakyat Malaysia bukanlah setaraf ayam-ayam itu. Kita punya harga diri, ayuh bangkitlah dari lena, bangkitlah dari dihina, dicerca dan dikubangpasukan oleh kerajaan UMNO-BN. Sekarang ini adalah masa untuk perubahan. Ayuh! Bangkitlah kita ke arah Malaysia yang lebih adil. Jangan biarkan maruah anda dicalarbalarkan mereka. Jangan biarkan hidup anda dianiaya oleh pemimpin rakus dan zalim! Marilah kita berubah dari menyokong kulup-kulup UMNO yang tidak bermoral itu. Sama-samalah kita bersatu hati menegakkan keadilan di Malaysia.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home