SepangOnline

Thursday, December 14, 2006

MAKLUMAN MEDIA PKR

UCAPAN MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG
PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006
OLEH YAB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
[AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH]


UCAPAN MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006

Oleh:
YAB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
[AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH]

MESYUARAT KETIGA PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KESEBELAS

Pada:
13 DISEMBER 2006
_______________________________________________________

Terima kasih Tuan Pengerusi,

Izinkan saya bertanyakan beberapa soalan mengenai Rang Undang-undang yang dibentangkan pada hari ini dan izinkan saya menggunakan istilah singkat iaitu “Projek Iskandar” untuk merujuk RANG UNDANG-UNDANG PIHAK BERKUASA WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR 2006.

Pertama:- Siapakah yang sebenarnya pihak yang bertanggungjawab ke atas Projek Iskandar? Adakah pihak dari Kerajaan Persekutuan ataupun pihak dari Kerajaan Negeri Johor?

Rang Undang-undang yang dibentangkan secara tergesa-gesa oleh Yang Berhomat Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri minggu lalu, persoalan bidangkuasa nampaknya masih begitu kabur walau pada hakikatnya persoalan bidangkuasa adalah Intipati bagi setiap Rang Undang-undang.

Mengikut muka surat 14 “Keanggotaan Pihak Berkuasa”, seolah-olah memperlihatkan kedua-dua pihak Iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai hak dan bidangkuasa yang dibahagikan secara saksama.

Walau bagaimanapun, Seksyen 8(1)(d) pula menunjukkan sebaliknya dimana kuasa Perdana Menteri mengatasi kuasa Menteri Besar Johor. Seksyen 8(1)(d) adalah seperti berikut;

“dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Menteri dengan persetujuan Menteri Besar….”

Kita harus memahami sistem pentadbiran di dalam negara ini. Perdana Menteri merupakan pihak yang mempunyai kuasa yang amat luas jika tidak mutlak.

Walaupun dalam beberapa akta lain, misalnya, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 1999:- perlantikan Pesuruhjaya SUHAKAM dikatakan mesti mendapat persetujuan dari Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Agong tetapi secara praktiknya persetujuan tersebut hanyalah sekadar menenuhi upacara Istiadat (dengan izin) ‘Ceremonial”.

Adakah keadaan ini sama dengan apa yang dikatakan memerlukan “persetujuan Menteri Besar”. Adakah persetujuan ini juga hanya satu acara “ceremonial” atau persetujuan yang sebenar perlu diambil?

Saya mengemukakan soalan ini kerana Projek Iskandar membabitkan isu tanah yang terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri. Kalau kuasa ini dialihkan walaupun secara tidak langsung kepada Kerajaan Persekutuan pastinya ini akan menjejaskan konsep Negara Persekutuan yang diamalkan sejak 1957.

Sistem Persekutuan Negara Malaysia digelar sebagai (dengan izin) “Assymetrical Federation” iaitu, kuasa yang diberi kepada negeri-negeri dalam Persekutuan tidak saksama dan Ia berkaitrapat dengan faktor sejarah dan adat resam di dalam sesuatu negeri ataupun kewujudan ciri-ciri yang istimewa yang berlebihan atau khas dalam negeri-negeri tertentu.

Namun kewujudan “assymetrical federation” tidak bermakna Ia menghakis bidangkuasa dalam pentadbiran mana-mana negeri. Ini merupakan persefahaman yang wujud sejak era kemerdekaan ketika pembentukan Persekutuan Malaysia.

Akhbar ‘The Star’ semalam (12 Disember) melaporkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjawab soalan dari pihak media, berada dalam keadaan defensif terutama apabila dikatakan bahawa Projek Iskandar tersebut akan diambil-alih oleh Kerajaan Persekutuan. Perdana Menteri berkeadaan demikian kerana pada masa yang sama rakyat juga melihat Perdana Menteri telah memberikan tumpuan, kepentingan dan keutamaan yang luar biasa kepada Projek Iskandar Ini.

Tetapi sejak pengumuman Projek Iskandar kebimbangan utama yang masih belum berjawab adalah berkaitan pihak mana yang mempunyai bidangkuasa sebenar dan perkara-perkara yang membabitkan isu pembahagian kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Apatah lagi tanah merupakan sumber yang amat berharga bagi negeri Johor.

Soalan Kedua saya melibatkan pihak manakah yang akan bertanggungjawab jika timbul permasalahan semasa perlaksanaan Projek Iskandar?

Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar telah diberi kuasa yang luarbiasa dalam aspek menentukan persoalan dasar dan pelaburan termasuk dalam urusan mendapatkan dana dari pihak bank dan Institusi kewangan dari dalam mahupun luar negara.

Seksyen 50 (Perlindungan terhadap tindakan guaman dan prosiding undang-undang) yang menyatakan seperti berikut:-

“Tiada tindakan guaman pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa dimulakan atau dibuat dalam mana-mana mahkamah terhadap-

a. Menteri;
b. Pihak Berkuasa;
c. Mana-mana pihak anggota Pihak Berkuasa, mana-mana anggota Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan, mana-mana anggota jawatankuasa, atau mana-mana pegawai, perkhidmat atau ejen Pihak Berkuasa, atau
d. Mana-mana orang lain yang bertindak dengan sah bagi Pihak Berkuasa,

“Berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati atau apa-apa peninggalan yang ditinggalkan olehnya dengan suci hati atas sifat yang sedemikian.”

Amat menakjubkan kerana seksyen ini telah digubal semata-mata untuk memberi kuasa kekebalan luarbiasa kepada Pihak yang berkuasa dan pelaksana Projek Iskandar dari tindakan mahkamah walaupun semasa menjalankan tugas, mereka telah bertindak secara cuai, ingkar dan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka pada tahap profesionalisma yang munasabah. Kita semua sedia maklum bahawa tafsiran 'sucihati' mempunyai tafsiran yang amat luas dan bersifat subjektif.

Seksyen seterusnya iaitu Seksyen 51 yang merujuk kepada Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, juga memberi kekebalan (“immuniti”) yang sama.

Gabungan Seksyen 50 dan 51, dengan Seksyen 49 “Obligasi Kerahsiaan” amat membimbangkan.

Saya inginkan satu penjelasan dari Jabatan Perdana Menteri, bagaimana kita dapat memastikan bahawa terdapat ketelusan dan sikap pertanggungjawaban pihak-pihak di dalam Projek Iskandar Ini?

Tidakkah dengan kewujudan seksyen-seksyen tersebut akan menjadikan para pelabur khususnya dari luar negara merasa gentar untuk turut melabur? Masakan tidak, kerana jika berlaku permasalahan dalam projek dan akibat darinya pelaburan mereka terjejas, mereka pula dihalang dari merujuk masalah mereka bagi mendapatkan pembelaan hatta kepada mahkamah sekalipun. Mana mungkin para pelabur akan percaya terhadap pihak berkuasa dan para pelaksana projek, yang kelihatannya tidak mempunyai sikap pertanggungjawaban terhadap tugas mereka?

Soalan terakhir saya adalah – Apakah peranan yang akan dimainkan oleh Parlimen dan para Wakil Rakyat?

Sebagai contoh, bagi Akta SUHAKAM, laporan tahunannya perlu diserah kepada Parlimen untuk dikaji dan dianalisa oleh institusi tertinggi negara. Tetapi hal demikian tidak wujud bagi Projek Iskandar. Seksyen 17 (Penyata, laporan, akaun dan maklumat) menyatakan seperti berikut:

“17. (1) Pihak Berkuasa hendaklah memberikan kepada Menteri dan mana-mana pihak berkuasa awam sebagaimana diarahkan oleh Menteri, apa-apa penyata, laporan, akaun dan maklumat berkenaan dengan harta dan aktiviti-aktiviti Pihak Berkuasa sebagaimana yang dikehendaki atau diarahkan oleh Menteri dari semasa ke semasa.”

Ini merupakan satu praktis yang tidak telus dan tidak harus diamalkan. Projek Iskandar dikatakan satu projek Gergasi yang samada (dengan izin) “Make or Break” serta mampu mencerna Iklim perkembangan ekonomi Malaysia. Justeru Parlimen harus diberi tanggungjawab serta kuasa untuk memantau projek ini secara terperinci supaya wang rakyat tidak dibelanjakan sewenang-wenangnya.

Selain dari itu jika dirujuk Seksyen 33 (2)(a), muka surat 35 Parlimen akan memperuntukkan perbelanjaan yang cukup besar hingga mencecah berbillion ringgit bagi menjayakan projek ini.
Saya berpendapat adalah lebih wajar dan wajib bagi Pihak Berkuasa Projek Iskandar untuk melapor setiap perkembangan dan permasalahan projek tersebut kepada Parlimen.

Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat pula, kita wajib bertanggungjawab secara langsung jika wang dan pelaburan rakyat mahu dibelanjakan oleh pihak yang lain.

Kesimpulan saya Ialah, Rang undang-undang ini harus diberi lebih masa untuk didebat dan dianalisa dengan merujuk kepada pendapat dan cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli di dalam Dewan yang mulia ini.

Kita tidak seharusnya dipaksa untuk meluluskan rang undang-undang ini dalam keadaan tergesa-gesa. Justeru, saya mencadangkan supaya rang undang-undang ini diberi tempoh masa yang cukup supaya Parlimen dapat mengkaji setiap terma dan butiran di dalamnya dengan teliti dan terperinci.

Maka dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab, buat masa Ini saya tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang Projek Iskandar yang dibentangkan ini.

Sekian, terima kasih.

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home