SepangOnline

Tuesday, December 12, 2006

Anugerah Untuk Pengamal Poligami? Print E-mail
Selasa, 12 Disember 2006

Wanita KeADILan mengecam cadangan seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Wan Mohd Wan Hassan, untuk memberi anugerah kepada lelaki yang mengahwini Ibu Tunggal sebagai isteri baru, adalah satu pandangan yang dangkal mindanya serta sexist.

"Walaupun Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh telah menghantar SMS kepada media yang menjelaskan bahawa kenyataan kontroversi Wan Mohd Wan Hassan bukan merupakan keputusan dan perancangan Kerajaan Negeri Terengganu, namun hakikatnya seorang Exco Kerajaan Negeri yang portfolionya merupakan Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Masyarakat telah membuat kenyataan lisan di hadapan wartawan," demikian dikatakan oleh Ketua Wanita KeADILan Hjh Fuziah Salleh dalam kenyataan media.

Katanya, kenyataan tersebut memperlihatkan pemikiran sempit di kalangan pemimpin Barisan Nasional sehingga mengandaikan masalah Ibu Tunggal dapat diselesaikan dengan cara berkahwin serta memandang rendah terhadap kemampuan Ibu Tunggal untuk berdikari dalam menjaga keperluan kewangan keluarga dan juga maruah mereka.

"Manakala kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa anugerah tersebut boleh menggalakkan poligami di Terengganu pula mendedahkan betapa sempitnya minda seorang Menteri Wanita hanya melihat dari satu sudut anti poligami tanpa memberi penyelesaian yang lebih konkrit."

Wanita KeADILan juga mempersoalkan samada program berkaitan pembangunan ibu tunggal di Terengganu telah menemui jalan gagal sehingga ahli Exco berkenaan terpaksa memikirkan penyelesaian yang di luar penerimaan norma dan amalan manusia biasa.

"Wanita secara amnya dan Ibu Tunggal yang malang khasnya bukanlah merupakan barang dagangan di mana layak ditawarkan insentif atau anugerah kepada kaum lelaki yang berusaha memiliki mereka."

"Maka, adalah wajar Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukan wang bagi usaha-usaha kajian dan penyelidikan ke atas bagaimana menjadikan program memberdayakan ibu tunggal di Terengganu lebih efektif," ujar Hjh Fuziah Salleh.

Wanita KeADILan juga berpendapat bahawa sekiranya ada kaum lelaki yang berhasrat murni untuk memperisterikan ibu-ibu tunggal dengan niat membantu mereka, dan syarat-syarat seperti: Isteri pertama setuju dan redha serta sedia mengizinkan demi sama-sama membantu kaum sejenis; Si Suami berkemampuan dari segala segi mengikut hukum syarak; Si Ibu Tunggal juga merasakan bahawa dengan cara berkahwin dapat menyelamatkan maruah beliau dan keluarga beliau, maka, tidak wajarlah orang lain memandang rendah terhadap keluarga yang mempunyai niat murni ini.

Tegasnya, "Pemimpin Barisan Nasional mestilah sedar tentang amanah rakyat ke atas mereka dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berhati-hati serta mampu pula mencari jalan penyelesaian yang efektif dalam menangani pelbagai permasalahan rakyat."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home