SepangOnline

Thursday, December 14, 2006

ANGKATAN MUDA CABAR KHAIRY, KAMALUDDIN ISYTIHARKAN HARTA


Angkatan Muda Keadilan (AMK) memandang serius kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa tuduhan nepotisme terhadap beliau bertujuan untuk menjatuhkan beliau walhal di dalam hal yang sama, PM Abdullah mengambil sikap mempertahankan anak dan menantu beliau.

AMK menegaskan amalan mempertahankan anak dan menantu secara terbuka di dalam media jelas menunjukkan bahawa PM Abdullah cenderung kepada amalan nepotisme iaitu mempertahankan kaum kerabat daripada sebarang kritikan dan teguran. Ini bukan kali pertama beliau mempertahankan anak dan menantu beliau di dalam media massa.

Sehubungan dengan itu, AMK ingin mencabar Kamaluddin dan Khairy untuk tampil kehadapan dan mempertahankan diri mereka secara sendirian tanpa berselindung di sebalik nama dan institusi Perdana Menteri itu sendiri. AMK mendesak Kamaluddin dan Khairy untuk mengikut prinsip "berani kerana benar, takut kerana salah" dengan mengisytiharkan kesemua harta dan kekayaan yang mereka miliki sebelum dan selepas PM Abdullah menjadi Perdana Menteri. AMK percaya ramai usahawan muda Malaysia ingin tahu apakah "formula" yang telah digunakan oleh mereka berdua untuk cepat menjadi kaya.

AMK menyokong iltizam PM Abdullah untuk terus memerangi rasuah dan korupsi. Justeru, di atas prinsip "kepimpinan melalui teladan", AMK mencadangkan agar PM Abdullah memulakan dengan diri sendiri dengan memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap diri, anak dan menantu beliau agar terbukti bersih dari amalan rasuah, korupsi dan salah guna kuasa.

Dengan nada yang sama, AMK mencadangkan agar PM Abdullah segera mengarahkan para pegawai BPR untuk menyiasat laporan yang dibuat oleh Pengerusi GERAK, Sdr. Mohamad Ezam Mohd. Noor terhadap anak beliau, Kamaludin Abdullah di atas dakwaan salah guna kuasa.

AMK percaya bahawa negara mesti dipulihkan daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan kadar yang segera apatah lagi di dalam keadaan Malaysia berada pada kedudukan tangga ke 44 Indeks Persepsi Mengenai Rasuah.

Selamatkan Negara daripada Rasuah.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD. AKIN
Pemangku Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

0 Comments:

Post a Comment

<< Home