SepangOnline

Thursday, December 14, 2006

Surat terbuka kpd Menteri Pelajaran

MAKLUMAN MEDIA PKR

OLEH YAB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
[AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH]


Rujukan: http://unesdoc.unesco.org/images/0014/001477/147794E.pdf

* Sila pehatikan muka surat 262, 263, 264, 265, 266, 267, 268, 269, 314, 315, 316, 317, 318, 319, 320 dan 321.

Kamar Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh
No 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara 50490 Kuala Lumpur.
Telefon: 03-2094 8298 Faks: 03-2092 3606
Email: wawi9@yahoo.com

13 Disember 2006

YB Datuk Seri Hishamuddin bin Tun Hussein
Menteri Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Kompleks Kerajaan Persekutuan Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya.

YB Datuk Seri,

SURAT TERBUKA KEPADA MENTERI PELAJARAN :

SEKOLAH RENDAH DI MALAYSIA PADA TAHAP NEGARA DUNIA KETIGA!

Saya merujuk kepada Perbahasan Cadangan Usul oleh YB Lim Kit Siang dari Ipoh Timur yang dibentangkan pada. 27 hb November bagi memotong gaji Menteri Pelajaran, Timbalan-timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran sebanyak RM10.00 atas alasan antara lain kegagalan mereka meningkatkan mutu dan memperkasa Pendidikan Sekolah Peringkat Rendah terutama di SRJK (Cina) dan SRJK (Tamil).

Saya telah mencelah bagi menyokong Usul tersebut dengan memetik laporan dari Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO), ‘Education for All Global Monitoring Report 2007’ yang dilancarkan di Paris pada 26 Oktober 2006. Laporan tersebut telah dengan jelas menunjukkan tahap Pendidikan Rendah di dalam negara kita jauh ketinggalan bukan sahaja berbanding dengan negara-negara membangun yang lain malah dengan beberapa negara di Benua Afrika. Menteri yang turut terperanjat dengan pendedahan tersebut telah meminta saya mengemukakan laporan yang dimaksudkan walaupun pada perkiraan saya Menteri seharusnya telah sedia maklum.

Saya mengambil kesempatan ini membuat ringkasan analisa dengan memetik beberapa statistik penting bagi memudahkan YB Menteri membuat penganalisaan lanjut. Laporan telah antara lain mengumpulkan statistik pendidikan antara tahun 1999 hingga tahun 2004 bagi negara-negara di dunia termasuk Malaysia.

Perbelanjaan Kerajaan Malaysia bagi Pembelajaran Peringkat Rendah untuk setiap murid mengikut peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ialah pada kadar 13.1% (Jadual 11, m/s 317). Meskipun kadar ini meletakkan negara kita lebih baik berbanding negara seperti Laos (4.0%), Indonesia (2.5%), Filipina (10.3%), Uganda (8.7%) dan Zambia (9.4%) tetapi pada masa yang sama kita berada di belakang negara-negara membangun di Afrika seperti Kenya (23.3%), Malawi (13.4%), Senegal (13.6%) dan Afrika Selatan (13.4%). Butiran ini juga telah menunjukkan berlaku kemerosotan pada tahap pendidikan di Malaysia kerana pada tahun 1992 peratusan bagi Malaysia ialah pada kadar 14.1%.

Laporan tersebut juga telah menunjukkan Malaysia tersenarai di antara 24 buah negara dimana peratusan kanak-kanak yang mendapat pendidikan sekolah rendah telah merosot bersama negara-negara seperti Maldives, Palestin, Lithuania dan Malawi. Pada tahun 1999 peratusan kanak-kanak di Malaysia yang mendapat pendidikan sekolah rendah berada pada kadar 98% tetapi pada tahun 2004 angka ini merosot kepada 93% (Jadual 5, m/s 265).

Maklumat ini sebenarnya telah dilaporkan di dalam akhbar the Star pada 28 Oktober 2006 (‘Primary School Enrollment Has Dropped, Says UN Report). Penganalisa dasar laporan tersebut, Dr. Nicole Bella menyatakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh sekolah-sekolah rendah di Malaysia ialah kesukaran untuk menarik dan mengekalkan kanak-kanak dari keluarga-keluarga terpinggir untuk mendapatkan pendidikan.

Memandangkan kerajaan hari ini bercakap mengenai pembangunan modal insan yang menjadi elemen penting Rancangan Malaysia Ke-9 semestinya statistik yang dibentangkan di dalam laporan UNESCO ini dan analisa oleh Dr Nicole Bella perlu dikaji secara mendalam dan dengan berlapang dada. Kita melihat bagaimana universiti-universiti kita tercicir di dalam senarai antarabangsa dan lebih 80,000 orang mahasiswa kita menganggur, meskipun peratusan perbelanjaan Pendidikan Tinggi kita agak kompetitif. Jelas sekali, kelemahan di peringkat asas pendidikan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemerosotan mutu pendidikan tinggi negara. Kegagalan mengatasinya akan meneruskan tren dimana Malaysia yang semakin ketinggalan di dalam segala aspek dari segi daya saing antarabangsa.

Bersama ini saya sertakan jadual-jadual yang dirujuk di atas agar dapat dimanfaatkan untuk tindakan sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Ahli Parlimen Permatang Pauh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home