SepangOnline

Friday, December 15, 2006

Projek Iskandar Harus Lapor Kepada Parlimen

 Ahli Parlimen Permatang Pauh (KeADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mencadangkan bahawa Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar 2006 (nama singkat “Projek Iskandar”) yang mampu mencerna iklim perkembangan ekonomi Malaysia untuk melaporkan setiap perkembangan projek tersebut kepada Parlimen.

Demikian dikatakan oleh Dr Wan Azizah dalam ucapan beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Projek Iskandar semalam (13 Dis) dalam Parlimen.

Beliau tidak dapat menyokong Rang Undang-Undang Projek Iskandar kerana berpendapat bahawa rang undang-undang tersebut harus diberi lebih masa untuk didebat dan dianalisa dengan selanjutnya.

Dr Wan Azizah membangkitkan persoalan pertamanya berkenaan pihak mana yang bertanggungjawab ke atas Projek Iskandar kerana projek tersebut membabitkan isu tanah yang terletak di bawah bidangkuasa Kerajaan Negeri, apatah lagi tanah merupakan sumber yang amat berharga bagi negeri Johor.

"Kalau kuasa ini dialihkan walaupun secara tidak langsung kepada Kerajaan Persekutuan pastinya ini akan menjejaskan konsep Negara Persekutuan yang diamalkan sejak 1957.”

“Persoalan kedua, pihak manakah yang akan bertanggungjawab jika timbul permasalahan semasa perlaksanaan Projek Iskandar?”

Dr Wan Azizah menyatakan kebimbangannya bahawa Seksyen 50 dan 51 memberi kuasa kekebalan luarbiasa kepada Pihak berkuasa dan pelaksana Projek Iskandar dari tindakan mahkamah walaupun mereka bertindak secara cuai, ingkar dan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka pada tahap profesionalisme yang munasabah.

Tambah beliau, “Pihak Berkuasa Wilayah Iskandar telah diberi kuasa yang luarbiasa dalam menentukan persoalan dasar dan pelaburan termasuk urusan mendapatkan dana dari pihak bank dan Institusi kewangan dari dalam dan luar negara.”

“Tidakkah dengan kewujudan seksyen-seksyen tersebut akan menjadikan pelabur khususnya dari luar negara merasa gentar untuk melabur? Mana mungkin pelabur akan percaya terhadap pihak berkuasa dan para pelaksana projek, yang kelihatannya tidak mempunyai sikap pertanggungjawaban terhadap tugas mereka?”

Dr Wan Azizah akhirnya menanyakan soalan peranan Parlimen dan Wakil Rakyat dalam Projek Iskandar dengan menggunakan contoh Akta Suhakam yang menetapkan laporan tahunannya diserah kepada Parlimen untuk dikaji dan dianalisa.

Beliau berpendapat bahawa Parlimen harus diberi kuasa untuk memantau projek ini secara terperinci supaya wang rakyat tidak dibelanjakan sewenang-wenangnya, khususnya jika dirujuk Seksyen 33 (2)(a), Parlimen akan memperuntukkan perbelanjaan yang cukup besar hingga mencecah berbillion ringgit bagi menjayakan projek ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home