Khairy dicabar buktikan Anwar kaut kekayaan dari DEB - Khalid Ibrahim
SEREMBAN, 26 Nov (Hrkh) - Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dicabar membuktikan dakwaannya bahawa mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pernah mengaut kekayaan dari pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika Anwar berada dalam kerajaan, kata bekas Pengerusi Amanah Saham Nasional (ASN), Tan Sri Khalid Ibrahim.
Beliau yang kini menjadi Bendahari Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) melaungkan cabaran itu semasa bercakap dalam program Dialog Ekonomi dan Pelancaran Dana Pilihan Raya Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan (AMKNS) di Dewan Sekolah Tinggi Chung Hwa, di Seremban hari ini.
Turut hadir sebagai panelis dialog ialah, Naib Presiden Parti keADIlan Rakyat (PKR) Dr Lee Boon Chye dan Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Ezam Mohd Noor.Sementara Penolong Setiausaha AMK, Badrul Hisham Shahrin pula sebagai moderator program.
Turut menyerikan majlis ialah, Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Sembilan Dr Mohammad Azzam; Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani; Setiausaha Kelab Penyokong PAS Negeri Sembilan, Yau Khoon Seng; Ketua M|AMKNS, Haji Ramlan Roes dan Setiausahanya; Amiruddin Wahab merangkap Pengarah Program.Kira-kira 200 hadirin dari pelbagai latar belakang hadir dalam program tersebut.
Anwar tidak guna kedudukan
Mengulas lanjut cabaran itu Khalid berkata, kenyataan Khairy itu tidak berasas kerana baginya sepanjang mengenali Anwar, bekas TPM itu tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk mengaut kekayaan dari DEB.
Sebaliknya Anwar memiliki daya usaha sendiri yang diiktiraf dunia yang kini menjadi penasihat Bank Dunia dan Pelaburan di sebuah negara di Timur Tengah dalam urusan kewangan. Oleh itu Anwar katanya mendapat ganjaran yang tinggi dengan kepakarannya itu.
Guna kedudukan
"Tidak seperti Khairy yang berpendidikan dari Oxford University dalam jurusan etika, tetapi tidak ada etika di sini dengan menggunakan kedudukan sebagai menantu Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi untuk mendapatkan pinjaman bernilai RM8 juta dalam masa singkat untuk membuat pelaburan dalam satu syarikat berkepentingan kerajaan," katanya kepada peserta dialog.
Menurut Khalid yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, DEB yang dirangka kerajaan sejak dahulu adalah satu dasar yang cukup baik kepada seluruh peringkat rakyat.
Malangnya apabila pelaksanaannya dijalankan, pemimpin negara terutamanya pemimpin Umno menggunakan kedudukan bagi mengesampingkan kepentinmgan rakyat, sebaliknya mengutamakan kepentingan mengaut keuntungan sendiri, kata Khalid lagi.
Bolot kroni
Sebagai contoh banyak projek yang dijalankan hanya dibolot oleh segelintir individu yang duduk di dalam lingkaran pemimpin kerajaan (kroni) yang akhirnya hanya akan mengkayakan kelompok tersebut sahaja, katanya.
Akibatnya, ada sesetengah projek yang gagal dan tidak mencapai sasaran yang terpaksa pula ditanggung kerugiannya oleh rakyat.
"Inilah yang dikatakan kerajaan membuat kerugian, rakyat menanggung hutang, akhirnya rakyat yang sengsara, jurang kemiskinan kian melebar tidak seperti dalam tahun-tahun 70-an, tidak kiralah Cina, Melayu dan India, hanya segelintir sahaja yang kaya iaitu mereka yang rapat dengan pemimpin negara," katanya lagi.
Rasuah musuh nombor satu negara
Sementara itu Ezam pula dalam hujahnya berkata, masalah utama yang membelenggu negara ialah amalan rasuah di kalangan kakitangan kerajaan, pemimpin negara dan sektor korporat.
"Kita sibuk mengatakan bahawa dadah musuh nombor satu negara, tetapi tidak melihat bahawa rasuah adalah musuh nombor satu negara, saya tidak menolak dadah adalah berbahaya dan musuh tetapi perang terhadap rasuah itu sangat penting," katanya.
Beliau yang juga bekas kakitangan Kementerian Kewangan sewaktu Anwar menjadi menterinya berkata, dasar DEB yang dibawa kerajaan sejak sekian lamanya hanya tinggal sebagai satu legasi kepada sejarah pemimpin mengaut keuntungan dari pelaksanaanya.
Katanya, ini semua kerana amalan rasuah dan penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin negara sejak sekian lamanya sejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi PM hinggalah kepada zaman Abdullah, rakyat tidak merasai nikmat DEB kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pentadbir negara.
Apa yang perlu katanya, rakyat harus mengorak langkah bersama-sama membasmi gejala rasuah ini dengan menukar kerajaan yang sedia ada kepada sebuah kerajaan yang lebih bersih dan amanah.
Kata nak perang, tetapi dah tiga tahun terbiar
"Kita jangan hanya terpengaruh dengan lakonan seorang pemimpin negara yang hanya berkata nak memerangi rasuah sebaliknya setelah tiga tahun memerintah, indeks rasuah semakin meningkat kepada tahap yang lebih buruk, sementara ekonomi negara semakin merudum," katanya.
Untuk itu Ezam menggesa kerajaan meminda semula akta berhubung rasuah dan media dan segera meletakkan Badan pencegah Rasuah (BPR) di bawah kuasa Parlimen dengan memebri kuasa kepada BPR membuat pendakwaan.
Justeru beliau mengulangi seruan kepada rakyat supaya membuktikan kebencian kepada sebuah kerajaan yang rasuah dengan membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang.
"Kita tidak mahu lagi lihat lakonan memperjuang martabat Melayu, hak melayu oleh mereka yang menghunus keris di hadaoan rakyat kerana rakyat telah jemu dengan sikap berpura-pura pemimpin yang sebegitu rupa," katanya lagi.
Khairy dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini melemparkan tuduhan bahawa Anwar adalah pengkhianat negara dan mengaut kekayaan dengan pelaksanaan DEB.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home