Pemimpin yang rompak Melayu adalah pengkhianat sebenar - Anwar
Oleh Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 22 Nov - Pengkhianat sebenarnya ialah pemimpin-pemimpin yang merompak orang-orang Melayu, Cina dan India, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
"Pengkhianat ialah mereka yang merompak orang-orang Melayu, Cina dan India. Hakikatnya, para pemimpin Melayulah yang merompak dan mengkhianati orang-orang Melayu.
"AP. Siapa yang paling banyak merompak? Nama-nama Melayu. Kontrak-kontrak besar. Nama-nama Melayu. Jika sub-kontrak tidak diberikan kepada orang-orang Cina, ia diberikan kepada orang-orang Melayu ... Sudahlah penipuan ini," Malaysiakini melaporkan beliau berkata.
Ketika Perhimpunan Agung Pemuda Umno baru-baru ini, dalam apa yang dilihat sebagai percubaan untuk menonjolkan diri, naib ketuanya, Khairy Jamaluddin mendakwa Anwar sebagai pengkhianat bangsa, munafik dan memutarbelitkan fakta.
Menantu Perdana Menteri yang semakin dianggap sangat berpengaruh dalam menentukan keputusan bapa mertuanya itu mendakwa, tuduhan Anwar bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan semangatnya tidak diperlukan lagi kerana hanya mewujudkan segelintir Bumiputera yang kaya raya, mencerminkan sifat munafik.
Retorik Khairy, yang sering dianggap sebagai posmen untuk menghantar pasport ke rumah Anwar selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibebaskan, bagaimanapun mendapat sambutan yang hambar dari para perwakilan perhimpunan itu.
Anwar, yang menekankan bahawa masalah ekonomi berpunca dari kepimpinan, polisi dan program yang lemah, menyatakan apa yang mahu dilakukan pihaknya ialah merangka polisi untuk semua rakyat Malaysia "supaya tidak ada sesiapa pun yang terpinggir".
"Saya yakin akan berlaku perubahan. Mereka mendakwa Malaysia tidak bersedia, kita tidak seharusnya melupakan kepentingan orang-orang Melayu. Jangan mencabar Islam, jangan mencabar itu, jangan mencabar ini. Ini isu temberanglah," katanya.
Anwar ternyata mengecewakan mereka yang menyerangnya apabila beliau enggan menjawab serangan peribadi malah mentertawakannya.
"Kita perlu menangani isu-isu asas," katanya ketika menekankan perkara yang perlu diberi keutamaan.
Anwar juga menegaskan bahawa beliau tidak menyerang program yang membantu orang-orang Melayu tetapi menyerang pemimpin-pemimpin yang merompak orang-orang Melayu.
Malah, Anwar mencabar para pemimpin Umno untuk berdebat secara rasional mengenai isu tersebut berdasarkan fakta-fakta dan bukan berasaskan propaganda perkauman.
"Apa yang yang saya serang bukan program yang membantu orang-orang Melayu. Apa yang saya serang ialah pemimpin-pemimpin yang merompak orang-orang Melayu. DEB digunakan sebagai alat untuk memanfaatkan para pemimpin, keluarga dan kroni mereka," Malaysiakini memetik beliau.
"Saya percaya semakin ramai orang-orang Melayu yang mula memahami bahawa DEB kini menjadi gimik kepada mereka yang berkuasa di dalam Umno untuk merompak peluang kekayaan untuk diri mereka sendiri".
Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi mengenai hak-hak Melayu.
"Ya, kita komited untuk mempertahankan hak-hak orang-orang Melayu, mereka yang terpinggir dan miskin," tegas beliau.
Tetapi, beliau menolak mereka yang menggunakan DEB untuk merompak orang-orang Melayu.
Menyentuh polemik mengenai DEB, beliau menyifatkan perkara itu merupakan percubaan yang ketara untuk mengalih perhatian dari isu-isu asas yang fundamental mengenai kemajuan pertumbuhan dan keadilan pembahagian kekayaan.
Apa yang sebenarnya berlaku, kata beliau, orang-orang Melayu tidak mendapat manfaat.
"Majoriti besar orang-orang Melayu tidak mendapat manfaat dari AP, Scomi, ECM Libra, Patrick LIm di Terengganu dan lain-lain," katanya.
Beliau seterusnya mendedahkan bahawa para pemimpin Umno, termasuk Pemuda Umno yang menggunakan isu perkauman dan menyerang serta mengancam orang-orang bukan Melayu termasuk dalam Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini sebenarnya tidak mempertahankan kepentingan orang-orang Melayu tetapi demi kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka.
Perhimpunan tersebut, katanya, adalah satu "kepalsuan" dan perjalanannya bersifat perkauman.
Dalam satu kenyataan kemudiannya, Anwar mengecam perdebatan ‘penuh emosi’ dalam perhimpunan itu dan menyifatkannya lebih kepada usaha untuk mengalih perhatian dari isu-isu pokok yang menjadi cabaran kepada negara hari ini.
“Memainkan sentimen perkauman sememangnya meningkatkan emosi di Perhimpunan Agung Umno, tetapi apakah hasilnya?
“Kehilangan dayasaing ekonomi, pengangguran yang terus meningkat, kadar kemiskinan yang semakin serius – isu-isu ini tidak selesai dengan terus memukul gendang perkauman,” katanya.
Anwar berkata, apa yang selalu berlaku ialah mereka yang paling kuat menjerit mempertahankan Dasar Ekonomi Baru (DEB), merekalah juga yang sebenarnya menggondol kekayaan dari DEB untuk keluarga dan kroni mereka.
“Sudah sampai ketikanya agar agenda ekonomi Malaysia menjurus kepada pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang adil.
“Sebarang isu yang melibatkan kaum dan agama juga harus ditangani secara berhikmah menerusi prinsip dialog oleh pemimpin yang tegas pada prinsip,” kata beliau.
Walaupun pernah menjadi pemimpin kedua tertinggi di negara ini, Anwar sekali lagi membuktikan keberaniannya apabila meminta kerajaan melantik satu suruhanjaya bebas dan berwibawa untuk menyiasat mana-mana tokoh besar yang dituduh terlibat dengan rasuah.
“Seandainya kita jujur semua pemimpin dan bekas pemimpin negara perlu sedia disiasat secara adil oleh suruhanjaya bebas,” katanya dalam pendirian yang dianggap berani itu.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home