SepangOnline

Wednesday, November 22, 2006

Dua jam berdemonstrasi, akhirnya pemaju akur tuntutan penduduk

Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Setelah hampir dua jam berdemonstrasi dan berhimpun di hadapan pejabat pemaju Sentul Murni Sdn Bhd, di Jalan Titiwangsa, dekat sini, akhirnya penduduk Kampung Chubadak Tambahan (KCT) mendapat jaminan daripada pihak pemaju tersebut untuk menangguhkan kerja merobohkan rumah-rumah di situ.

Jaminan itu diputuskan setelah pihak penduduk yang diwakili lapan orang penduduk dibenarkan untuk mengadakan rundingan dengan pihak pemaju.

Rundingan tersebut yang diadakan di pejabat pemaju turut dipantau oleh seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul.

Salah seorang wakil penduduk yang hadir dalam rundingan, Rashida Ramli, berkata pemaju bersetuju bahawa bermula hari ini iaitu selama tujuh hari mereka akan diberikan satu surat untuk menetapkan tarikh perbincangan antara pemaju dan penduduk.

Katanya, dalam tempoh itu juga pihak pemaju tidak akan mengadakan apa-apa aktiviti perobohan.

Sebelum itu, kira-kira lima puluh penduduk termasuk kanak-kanak berdemonstrasi di tepi Jalan Titiwangsa bagi membantah tindakan pemaju meroboh rumah mereka.

Mereka juga berkumpul di hadapan pejabat pemaju untuk berjumpa dengan pemaju tetapi permintaan mereka tidak dilayan.

Bagaimanapun, selepas dua jam penduduk tidak berganjak dari situ barulah pihak pemaju membenarkan lapan wakil penduduk memasuki pejabat bagi mengadakan rundingan.

Sementara itu, Jawatankuasa Bertindak Kampung Chubadak Tambahan (JBKC) mendakwa pemaju bersama pihak berkuasa meroboh secara haram dua buah rumah penduduk dan dewan komuniti JBKC pada 15 November lalu.

Kampung berkenaan diterokai sejak 47 tahun lalu. Sehingga sekarang lebih kurang 100 keluarga menetap di situ.

JBKC yang ditemui di perhimpunan berkenaan berkata, masalah mereka diatasi secara perbincangan bagi menuntut ganti rugi yang berpatutan ke atas dua buah rumah dan dewan yang diroboh secara haram.

Perhimpunan tersebut turut mendapat sokongan dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti politik antaranya ialah dari Parti KeADILan Rakyat (PKR), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pasukan polis juga ditempatkan di situ bagaimanapun perhimpunan berlangsung secara aman. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home