SepangOnline

Tuesday, November 21, 2006

Fitnah Anwar bakar bendera, KeADILan buat laporan polis


Oleh Mohd Sabri Said

BUKIT MERTAJAM, 21 Nov (Hrkh) - Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap ucapan Perwakilan Pemuda Umno Terengganu, Razali Idris kononnya Dato' Seri Anwar Ibrahim bertindak membakar bendera Malaysia.

Laporan tersebut dibuat di hadapan Konstabel Amiza Ahmad di Balai Polis Kubang Semang, Bukit Mertajam pada pukul 11.29 pagi, 19 November lalu.

Ketuanya, Amizudin Ahmat dalam laporan itu menganggap tindakan tersebut merupakan satu fitnah jenayah yang boleh mewujudkan kebencian rakyat kepada Anwar.

Beliau ditemani oleh Ketua AMK Kedah, Khairul Anuar Ramli serta beberapa orang exco AMK peringkat negeri.

Justeru itu, AMK Pulau Pinang meminta pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan terbuka terhadap Fitnah Jenayah yang tertera di bawah Seksyen 503, 504 dan 505 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun yang sama atau mana-mana peruntukan jenayah yang berkaitan.

Bukan itu sahaja bahkan, beliau disaran agar memohon maaf secara terbuka kepada Dato' Seri Anwar.

Kenyataan beliau disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 14 November lalu di mana kenyataan itu menyifatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai 'ayam sabung patah taji' yang telah melakukan kesalahan besar seperti pernah membakar bendera Umno dan Jalur Gemilang.- mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home