SepangOnline

Wednesday, November 22, 2006

Rumah diragut MPAJ: Penduduk berkhemah, bersesak, berkesejukan

Oleh Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Hrkh) - Apakah slogan setinggan sifar oleh Menteri Besar Selangor cuba direalisasikan secara kejam sehingga memaksa para penduduk Kampung Berembang tinggal dengan berlantaikan tanah, berbumbungkan langit dan berdindingkan angin malam yang dingin?

Mungkin itu yang boleh disimpulkan oleh wartawan Harakahdaily, apabila mendapat panggilan pada pagi 20 November lalu dan berkejar serta melihat secara dekat betapa rakusnya tangan-tangan penguasa yang merobohkan mahligai-mahligai yang telah didiami oleh para penduduk di kampung berkenaan sejak 30 tahun yang lalu.

Nampaknya, slogan 'Modal Insan' oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diperlekehkan oleh Mohamad Khir Toyo sendiri sehingga tangisan, rintihan, ratapan pelbagai warga Kampung Berembang di pagi hari itu tidak langsung terbenih rasa ehsan di hati para penguasa MPAJ.

Bersesak, berhimpit dan berkesejukan dalam khemah

ImageTinjauan di kampung berkenaan hari ini pula mendapati hampir kesemua penduduk bertindak mendirikan khemah untuk berteduh, sementara menunggu kediaman mereka yang dijanjikan siap dibina.

Kamaruddin Ramli, berkata beliau bersama isterinya, Norhafisha Abu Hasan; dan tiga anak mereka Noralia Fatiha, 11 bulan; Nofara Adila, dua tahun setengah dan Normanisha Izana, empat tahun setengah terpaksa berteduh di dalam khemah buat sementara kerana tiada tempat lain untuk berteduh.

Lebih mengharukan, khemah kecil itu cukup-cukup untuk mereka lima beranak dan terpaksa berhadapan dengan kesejukan khususnya pada waktu malam.

"Kami buka tak mahu berpindah, tapi sediakan dulu rumah untuk kami. Jika selesai masalah itu, kami akan berpindah. Kami tak halang kemajuan, kami tak membenci pembangunan," keluh beliau.

Ulangkaji pelajaran dalam khemah

ImageApa yang dikesali, bukan sahaja rumah yang dihuni oleh penghuninya sejak sekian lama diragut secara rakus oleh pihak penguasa, tetapi ia dilakukan ketika musim tengkujuh serta di saat anak-anak kampung berkenaan berdepan dengan peperiksaan.

Ketika tinjauan dilakukan di sekitar perkampungan tersebut, terpandang dua remaja berpakaian sekolah sedang duduk mentelaah pelajaran.

Suziyana dan Syed Firdaus, 17, baru selesai menduduki kertas peperiksaan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hari ini ketika kami menghampiri mereka.

Mahu atau tidak, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kelang itu terpaksa berhadapan dengan keadaan yang merumitkan, demi pelajaran dan masa depan mereka.

Warga emas, kanak-kanak, wanita dirempuh MPAJ

ImageDalam kejadian pada pagi 20 November itu, mahligai-mahligai sudah didiami sejak hampir 30 tahun lalu, dirobohkan dalam suasana yang cukup tragis apabila 'benteng manusia' dirempuh pihak penguasa tanpa belas kasihan.

Tidak kira warga emas, wanita dan kanak-kanak, pihak berkuasa MPAJ tidak mempunyai sedikit pun rasa belas kasihan meruntuhkan rumah serta merempuh mereka.

Ketika itu hanya air mata dan tangisan mengiringi pencerobohan pihak berkuasa tempatan dengan disertai hujan yang turun dengan lebatnya.

Suhakam akui MPAJ salahguna kuasa

ImageSementara itu, kehadiran Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam, turut tidak diendahkan penguasa dan dengan bangganya mengatakan bahawa mereka hanya menjalankan tugas.

Ketika operasi ini berjalan, kira-kira 23 orang ditahan, termasuk beberapa aktivis ketika mereka bertelagah dengan pihak berkuasa bagi mempertahankan kampung mereka.

Malah, ada di kalangan mereka yang cedera dan tidak sedarkan diri hingga terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Gleneagles Intan.

Rentetan peristiwa tersebut, keesokkan harinya, beberapa wakil penduduk dan para aktivis mengunjungi Suhakam, di mana Dato' Siva sendiri mengadakan sidang media berhubung kes berkenaan.

Pada majlis itu, Dato' Siva diberitahu tentang kejadian sebenar ketika operasi meroboh itu, khususnya insiden penangkapan penduduk dan aktivis.

Beliau yang mengakui tindakan MPAJ mengasari penduduk itu sebagai penyalahgunaan kuasa, menegaskan pihaknya akan segera bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo, bagi membincangkan perkara ini dengan lebih serius. - mks.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home