KeADILan tuntut kerajaan luluskan permit penerbitan Suara KeADILan
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh) - Laungan reformasi serta slogan yang menuntut kebebasan media oleh kira-kira 200 penyokong reformasi dari pelbagai latar belakang bergema di hadapan Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut kira-kira jam 2.15 petang tadi.
Perhimpunan anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah bagi menuntut kebebasan media serta hak-hak asasi lain yang dinafikan. Ini termasuk permit akhbar Suara KeADILan yang masih 'digantung tidak bertali' oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN). Dalam masa sama mereka menyerahkan memorandum kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam).
Perhimpunan dimulakan oleh moderator Timbalan Ketua Penerangan KeADILan Badrul Hisham dengan melaungkan kalimah "reformasi", "hidup rakyat" dan "bebas media" dengan disambut oleh para penyokong yang hadir.
Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah yang turut berucap menggesa kerajaan di bawah pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengembalikan hak dan kebebasan suara rakyat dengan memberi permit penerbitan kepada Suara Keadilan.
"KeADILan adalah sebuah parti politik berdaftar dan sepatutnya diberikan permit akhbarnya sendiri. Saya ucapkan terima kasih kepada semua parti politik, NGO, mahasisiwa dan rakyat yang memberi sokongan pada hari ini," katanya lagi.
Pada mulanya mereka berhasrat menemui pesuruhjaya Suhakam untuk menyerahkan memorandum tersebut. Bagaimanapun, Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N. Siva Subramaniam bersedia untuk turun ke tempat perhimpunan dan menerima sendiri memorandum tersebut.
Kemunculan Siva diiringi tepukan dan laungan reformasi. Seterusnya memorandum daripada Datin Seri Wan Azizah bertukar tangan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Bendahari Keadilan, Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden JIM yang juga Presiden GMI Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Ketua Penerangan KeADILan Badrul Hisham, Wakil DAP Lau Weng Sang, eksekutif SUARAM Yap Siew Seng.
Dalam ucapannya Badrul turut mengalu-alukan kehadiran Ketua Pengarang Kumpulan Harakah Ahmad Lutfi Othman yang datang memberi sokongan moral.
Siva yang diberi kesempatan untuk berucap berkata beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abdul Talib Othman dan memberi jaminan memorandum tersebut akan dikemukakan kepada pihak kerajaan.
"Suhakam sentiasa mengambil serius isu-isu kebebasan dan hak asasi di Malaysia. Suhakam sudah membuat syor kepada kerajaan supaya memberikan permit dan saya berjanji akan menyerahkan memorandum ini kepada pihak berkenaan ," katanya
Sebelum perhimpunan bersurai, Badrul Hisham sempat berseloroh.
"Kepada semua sebelum kita bersurai, pegang telinga masing-masing. Telinga kita masih ada dan tidak hilang. Ini bermakna tiada keganasan yang berlaku dan perhimpunan kita berlaku secara aman,"katanya sambil disahut ketawa peserta perhimpunan.
Dalam pada itu, sebelum majlis bersurai ditampilkan replika berbentuk peti penjara sebagai acara simbolik bagi memperjuangkan kebebasan media.
Majlis perhimpunan yang berjalan secara aman itu berakhir pada jam 3.30 tanpa sebarang insiden walaupun di pantau oleh sekitar 20 anggota polis. - mns.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home