SepangOnline

Wednesday, November 29, 2006

KENYATAAN MEDIA PKR

KES PEMBUNUHAN WANITA MONGOLIA:
PUCUK PIMPINAN PERLU JELASKAN TIGA SOALAN
Kiriman: Penerangan Keadilan


Semakin banyak sekarang ini timbul tanda tanya tentang apakah peranan ataupun keterlibatan pucuk pimpinan negara dalam kes wanita Mongolia itu. Tanda tanya tersebut, yang sudah menjadi buah mulut, berkisar sekitar tiga perkara:
Pertama. Bagaimanakah seorang penganalisis politik seolah-olah dengan begitu mudah boleh mendapat khidmat dari dua orang anggota Unit Tindakan Khas (UTK). Pada hal UTK boleh dikatakan sebuah unit elit dalam pasukan polis, dan berkhidmat khusus kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Adakah kerana ada apa-apa hubungan istimewa?

Kedua. Dipercayai bahawa bahan letupan yang digunakan ke atas mangsa ialah jenis C4. Kami diberitahu bahan ini agak baru dan disimpan dengan jagaan keselamatan yang rapi. Bagaimanakah bahan ini dapat diperolehi mereka yang dituduh meletupkan mangsa sehingga hancur berkecai? Sekali lagi, adakah kerana apa-apa hubungan yang istimewa?

Ketiga. Pihak tertuduh utama dalam kes pembunuhan ini dibebaskan oleh mahkamah dengan bon tanpa jaminan. Setahu kami, ini hanya kali kedua kes pembunuhan dibenarkan bebas. Tetapi ia merupakan kali pertama tertuduh dibebaskan tanpa membayar ikatan jamin. Yang anehnya pihak Pendakwa tidak membantah sama sekali. Apakah ada udang besar di sebalik batu?

Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat, saya ingin menggesa supaya pucuk pimpinan Kerajaan segera memberikan penjelasan yang kukuh tentang ketiga-tiga perkara di atas, sama ada benar atau tidak. Jikalau didiamkan, berita angin akan semakin meluas, dan inilah yang akhirnya dipercayai umum.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

28 November 2006. Kiriman Penerangan Keadilan -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home