Wanita Keadilan tekad lakukan perubahan
Oleh Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 1 September (Hrkh) - Wanita Parti Keadilan Nasional (PKR) menyasarkan sembilan langkah drastik untuk meningkatkan tahap perjuangan selari dengan konsep melahirkan kepimpinan yang 'transformasi' atau kepimpinan ke arah perubahan.
Ketua Wanita Keadilan Pusat, Hajjah Fuziah Salleh, berkata langkah itu penting kerana negara berkemungkinan besar berhadapan dengan pilihan raya umum pada tahun hadapan.
Menyampaikan ucapan dasar bertemakan "Serikandi Memimpin Prubahan" pada Kongres Nasional Wanita 2006 di Hotel Equatorial Pulau Pinang, pagi tadi, Fuziah mengumumkan langkah drastik yang bakal diambil sayap wanita untuk turun ke padang bagi meninjau sendiri kekuatan parti di akar umbi.
Wanita Keadilan juga, katanya akan memperkemaskan struktur dan menghidupkan sayap wanita bahagian dengan meledakkan sasaran 90 bahagian wanita yang bermesyuarat agung dengan mengikuti syarat yang ditetapkan oleh Exco Wanita Pusat.
"Jika struktur organisasi wanita disusun rapi ianya akan membantukan perjalanan wanita menghadapi pilihan raya kelak," ujarnya.
Aspek latihan juga, kata beliau akan diberi penekanan dengan ahli jawatankuasa dan pemimpin akar umbi akan diasuh dengan keterampilan kepimpinan supaya lebih proaktif, berdaya saing dan mampu bergerak sendiri tanpa menunggu arahan.
Wanita Keadilan turut menyasarkan penambahan bilangan ahli dengan memberi tumpuan khas kepada ahli bukan Melayu.
Penumpuan ini, katanya memerlukan strateji, kemahiran gerak kerja yang tinggi agar impian mewujudkan intergrasi antara kaum dalam PKR dijalin dengan baik.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan gerak kerja wanita Barisan Alternatif (BA) yang telah dipersetujui bersama untuk mengadakan Konvensyen Pimpinan Wanita BA selewat-lewatnya pada Disember 2006.
Kongres Nasional Angkatan Muda dan Wanita PKR dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti itu, Dr Syed Husin Ali.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Syed Husin menyifatkan Dr Mahathir dan Abdullah umpama “serigala yang boleh mengganas”.
“Serigala tetap serigala, walaupun warna bulunya lain sedikit dan rentak langkahnya berbeza sedikit,” katanya sinis./tajdid
0 Comments:
Post a Comment
<< Home