UCAPAN PERASMIAN
KONGRES WANITA DAN ANGKATAN MUDA KEADILAN
OLEH TIMBALAN PRESIDEN, DR SYED HUSIN ALI
Kiriman: Penerangan Keadilan
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah (swt) kerana rahmatNya membolehkan kita semua berhimpun untuk Kongres Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat hari ini. Kehadiran ramai Perwakilan dan Pemerhati di Majlis Perasmian ini sangat menggembirakan.
Saya juga gembira kerana dapat menjalankan tugas merasmikan Kongres ini. Sebenarnya, beberapa bulan lalu Majlis Tertinggi Parti (MPT) telah meluluskan permohonan saya untuk bercuti panjang dari tugas-tugas Parti sehingga penghujung tahun. Saya tidak perlu menerangkan mengapa permohonan itu dibuat.
Sehubungan itu, saya berkira-kira tentu tidak berkesemptan datang untuk merasmikan Majlis ini dan untuk menghadiri Kongres Parti. Akan tetapi, apabila saya beritahu, Penasihat meminta saya berusaha hadir juga. Saya menghormati permintaannya. Itu sebab saya berdiri di sini sekarang. Alhamdulillah.
KONGRES MENGHADAPI PILIHANRAYA
Kongres Parti tahun ini sangat penting. Ia merupakan Kongres menghadapi Pilihanraya. Pilihanraya Umum ke-12 mungkin diadakan secara mengejut tahun depan, atau selewat-lewatnya dalam tahun 2008. Oleh sebab keadaan “perang saudara” yang kini melanda Umno, kedudukan ekonomi dunia serta negara semakin menurun, dan kebimbangan Umno Sdr Anwar boleh bertanding selepas April 2008, maka mungkin Pilihanraya diadakan lebih awal.
Saya percaya seluruh perwakilan Wanita dan Angkatan Muda hari ini menyedari bahawa perjuangan kita bukan semata-mata untuk menyertai pilihanraya yang diadakan setiap 4-5 tahun sekali. Perjuangan Parti, ertinya perjuangan saudara-saudari, perlu berterusan untuk membela rakyat ramai, kerana kepedulian kita terhadap nasib mereka.
Perjuangan kita juga untuk membawa perubahan yang kita laungkan sebagai Reformasi. Secara berterusan kita menuntut serta bekerja keras untuk Reformasi dalam pelbagai aspek dan sistem pemerintahan. Kita mahu menegakkan keadilan, mengukuhkan demokrasi, menguatkan perpaduan dan memastikan tata cara pentadbiran yang bertanggungjawab, bersih serta telus.
Kita mahu pembahagian kekayaan negara yang adil. Kita mahu pembelaan bagi rakyat yang menganggur, miskin, terpinggir, berpendapatan rendah dan didiskriminasi. Kita mahu sistem kehakiman yang adil serta berwibawa. Kita mahu pasukan polis yang mesra rakyat dan tidak mengganas. Kita mahukan kebebasan media bertanggungjawab. Kita mahu pemansuhan undang-undang zalim.
Selanjutnya, kita mahu pimpinan negara yang brtanggungjawab, bersih dan telus. Kita mahu kronisme, korrupsi dan nepotisme dihapuskan. Kita mahu Pilihanraya Umum yang bebas serta saksama. Dan banyak lagi yang kita mahu demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.
Saudara saudari semua menetahui bahawa untuk mencapai segala matlamat ini kita harus memerah fikiran serta tenaga dan mengorbankan masa serta wang, jikalau tidak boleh setiap hari atau setiap minggu, sekurang-kurangnya setiap bulan sepanjang tahun. Kita harus terus-menerus berusaha melakukannya dengan fokus, keazaman serta disiplin yang penuh, selagi terdaya dan kesihatan serta hayat membenarkan.
Menyertai Pilihanraya merupakan salah satu daripada cara atau kaedah perjuangan kita. Kita telah memilih cara aman dan mengikut Perlembagaan. Daripada pengalaman parti kita sendiri serta parti pembangkang lain dan banyak pengamatan tentang proses pilihanraya umum di negara ini, kita mengetahui bermacam-macam penipuan dan kecurangan dilakukan oleh pemerintah untuk menjamin kemenangan. Mereka memperalatkan Suruhanjaya Pilihanraya yang membenarkan diri dikembiri sehingga tidak bebas.
Ada segolongan kecil yang menyuarakan masanya sudah tiba untuk kita meninggalkan cara Pilihanraya dan memilih cara lain. Salah satu daripadanya cara Jalanraya. Kami mengakui bahawa di beberapa buah negara, pemerintahan kuku besi serta korup berjaya ditumbangkan dan diganti dengan tindakan Jalanraya. Tetapi di sana prasyaratnya wujud. Rakyat sudah tidak percaya sama sekali dengan elit berkuasa dan kaedah pilihanraya. Tindakan Jalanraya mendapat sokongan besar rakyat dari pelbagai lapisan.
Di negara kita masih ramai yang menentang tindakan Jalanraya, kerana mereka mendakwa ini menimbulkan kekacauan serta keganasan dan menjejas kemudahan awam serta perniagaan. Ini persepsi orang ramai. Kita tahu selalunya tindakan jalanraya yang kita anjur atau kita sertai berjalan dengan aman. Akan tetapi, pihak polislah yang selalu merosakkan keamanan dengan menembak meriam air pemedih mata, memukul dan menangkap dengan ganas. Persepsi buruk timbul oleh kerana propaganda hitam pimpinan pemerintah yang luas dibesar-besarkan pula oleh media pengampu mereka.
Sebaliknya, majoriti rakyat masih mempercayai proses Pilihnraya. Ketibaannya disambut sebagai satu perayaan. Pilihanraya dilihat oleh sesetengah pihak, terutama yang mata duitan, sebagai satu sumber “durian runtuh” daripada parti-parti pemerintah yang kaya. Ramai yang masih melihat Pilihanraya sebagai cara adil untuk menentukan siapa patut memerintah. Mereka tidak mengambil peduli sama ada padang perlawanan sama rata atau tidak, politik wang digunakan atau tidak dan SPR adil atau tidak.
Pokoknya, mereka tidak melihat jalan lain, terutama yang mereka anggap di luar garisan undang-undang, yang lebih berkesan untuk menukar Kerajaan dan mengubah dasar. Selagi ini berlaku kita belum boleh mengubah cara atau kaedah Pilihanraya itu.
Sebagai sebuah parti yang halal, kita memilih cara dan kaedah Pilihanraya. Kita akan berusaha untuk membongkar segala pekung SPR dan pilihanraya yang diselenggaranya. Kita akan mendesak serta bertindak agar Pilihanraya bertambah bersih, adil dan telus. Akan tetapi, tidak bererti Pilihanraya saja kaedah perjuangan yang terbuka kepada kita. Kita harus mengambil sikap terbuka. Cuma dalam keadaan sekarang cara dan kaedah pilihanraya masih diutamakan.
Akan tetapi, kita tidak harus menolak terus tindakan Jalanraya. Bahkan kita mesti bersedia menggunakan pelbagai kaedah yang berlainan, termasuk Jalanraya, mengikut keperluan, desakan rakyat dan tuntutan masa serta keadaan. Yang pentingnya ialah kita perlu menjalankan segala usaha dan pelbagai aktiviti sepanjang masa. Ini boleh membantu kita menguatkan parti, mengeratkan hubungan kita dengan rakyat dan membantu kita memenangi pilihanraya.
MASALAH DAN KESULITAN PARTI HADAPI
Kita semua menyedari, sebagai sebuah parti pembangkang dan masih muda pula lagi, kita mengalami banyak masalah serta kesulitan dalam perjuangan kita. Izinkan saya bentangkan sebahagian daripadanya, bukan sebagai alasan mengapa kita lemah atau patut berdiam diri. Saya kemukakannya sebagai cabaran untuk kita hadapi dan atasi dengan bijaksana. Kita masih belum begitu berjaya mengatasi segala masalah dan kesulitan ini. Namun, kita tidak harus lemah semangat. Pantang pendekar lari sebelum bertarung.
Saya mempunyai penuh harapan dan kepercayaan khususnya kepada golongan muda, tidak kira yang lelaki atau perempuan. Saya percaya dan yakin penuh kepada saudara saudari dari sayap Wanita dan Angkatan Muda yang hadir di sini. Saudara saudari adalah harapan parti dan negara untuk masa hadapan.
Tidak syak lagi saudara saudari mampu bertindak sebagai pendekar serta pelopor yang akan berusaha dengan penuh gigih untuk mengatasi segala masalah, kesulitan serta rintangan. Insha Allah, dengan saudara saudari di barisan hadapan, kita pasti berjaya mencapai dengan cemerlang cita-cita dan matlamat perjuangan Parti.
Kita mengakui, dari segi dalaman, susunan organisasi kita belum sekuat yang kita harapkan. Semangat ramai pemimpin dan anggota masih perlu dinaikkan lagi, disiplin organisasi masih perlu ditingkatkan lagi, kesedaran politik masih perlu ditinggikan lagi; sumber tenaga aktivis dan kewangan masih perlu diperbanyakkan lagi. Saya akan menghuraikan nanti apa langkah-langkah yang patut diambil dan apa usaha-usaha yang harus dijalankan.
UNDANG-UNDANG ZALIM: Kita memahami, dari segi luaran banyak sekatan dan tekanan yang dikenakan ke atas kita. Sebagaimana yang saya tegaskan tadi, semua ini harus dianggap sebagai cabaran. Pelbagai ancaman serta ugutan politik dan undang-undang zalim menimbulkan psikologi takut di kalangan rakyat sehingga mereka hampir kaku dan beku. Isa, Akta Cetak, Osa, Auku, Akujanji, Akta Polis, Akta Pekerjaan dan macam-macam lagi mengancam dan menghantui mereka.
Malang sekali, akibat psikologi ketakutan ini sesetengah anggota parti kita pun ada yang bimbang atau teragak-agak untuk bergerak cergas. Keadaan ini tidak boleh dibenarkan berlarutan. Ia mesti berubah dan kita harus sama-sama berganding bahu dalam usaha mengubahnya. Bukankah kita semua ingin melihat keadilan dan demokrasi sejati ditegakkan di negara kita? Bagaimana kita mahu membawa perubahan jikalau kita sendiri tidak mempunyai semangat pendekar, pelopor serta reformis yang berani?
KAWALAN MEDIA: Selain itu, ruang media perdana ditutup untuk kita. Pelbagai aktiviti, termasuk ceramah dan kenyataan Parti dan pimpinannya, yang mendapat sambutan luas di pekan serta desa dalam seluruh negara, tidak dilapor media sama sekali.
Berapa ramaikah orang yang tahu banyak ceramah yang sering diberikan oleh Sdr Anwar Ibrahim di merata pelusuk negara mendapat sambutan hangat - sampai 30 atau 50 ribu orang hadir membanjir? Berapa ramaikah orang, termasuk anggota Parti, yang sedar tidak sepatah pun ucapan Presiden dalam Parlimen mengenai Belanjawan dan lain-lain hal tidak dilaporkan media perdana?
Ruang berita adalah tertutup kepada kita. Cuma satu dua akhbar siber atau akhbar kecil saja yang berani memberikan liputan sekali sekala. Mengapakah hal ini berlaku? Sebenarnya, media cetak atau elektronik utama milik parti-parti pemerintah dan mereka mendapat arahan supaya jangan memberi liputan yang positif kepada pemimpin-pemimpin utama Keadilan dan juga kepada parti Keadilan.
Jikalau boleh, mereka mahu tutup segala ruang dan peluang publisiti untuk Parti kita, kerana inilah cara pemerintah boleh membuktikan para pemimpin kita tidak bergerak dan Parti kita tidak wujud. Sedih sekali ada pula suara kera sumbang yang mendesak supaya Keadilan ditutup saja.
Kita hanya mempunyai akhbar kita sendiri, iaitu “Suara Keadilan”, untuk menyediakan berita Parti. Itupun hanya boleh diterbitkan dua kali sebulan. Sehingga hari ini Suara tidak diberikan permit KDN, walaupun permohonan sudah lama dikemukakan. Presiden kita menimbulkan perkara ini dalam Parlimen dan menulis surat kepada Perdana Menteri. Kerajaan sudah berjanji dalam Parlimen untuk memberinya.
Kita sudah lama menunggu dan masih tidak diberikan permit penerbitan. Kitalah satu-satunya parti politik yang tidak mendapat permit untuk menerbitkan suara rasminya. Janji Menteri janji bohong!
Namun begitu, kita tidak peduli. Kita terus menerbitkan Suara, walaupun cara ini melanggar undang-undang. Kita terus mengedarkan Suara walaupun banyak pengedar yang diugut. Kita tidak ada pilihan lain. Pihak berkuasa menuduh kita melanggar undang-undang. Akan tetapi, dengan menafikan hak kita untuk bersuara, sebagaimana yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan sebenarnya menggalakkan kita melakukan aktiviti di luar undang-undang. Ini tuntutan masa dan keadaan.
MASALAH KAUM: Selain yang diterangkan lebih awal, ada lagi masalah yang kita hadapi. Kita adalah parti berbilang kaum. Dari mula kita membuat keputusan untuk membina sebuah parti yang membuka keanggotaannya kepada pelbagai kaum dan agama. Kita tidak mahu membina dan menambah sebuah lagi parti dalam kancah politik negara yang membatas anggotanya hanya kepada satu golongan kaum dan agama. Begitu juga, kita tidak mahu membina sebuah parti yang mempunyai dasar yang cuba menarik dan cuba memenuhi tuntutan satu kaum dan agama saja.
Dalam amalan demokrasi, kita sepatutnya tidak boleh menyekat penubuhan apa saja corak parti, asalkan bertanggungjawab, tidak liar dan tidak menanam kebebencian kaum dan agama. Dalam realiti negara kita yang berbilang kaum dan agama, parti yang berasaskan satu kaum dan agama, terutama sekali apabila ia menjalankan dasar perkauman atau keagamaan yang sempit, tidak akan membantu usaha untuk mencipta satu bangsa yang bersatu padu. Salah satu sebab Umno-Bn gagal mencapai agenda membentuk satu rupa bangsa ialah kerana ia melanjutkan dasar “pecah dan perintah” yang diwarisi daripada penjajah.
Pemisahan kaum masih wujud lagi dalam negara kita. Ketegangan dan pergaduhan kaum sering berlaku. Akhir-akhir ini ada tanda-tanda yang menunjukkan perbezaan dan ketegangan kaum serta agama semakin meruncing. Ini satu trend berbahaya. Ia merupakan bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa.
Proses politik yang dijalankan di negara ini dipengaruhi kuat oleh unsur kaum dan agama. Dasar “pecah dan perintah” diamalkan oleh Kerajaan apabila mereka menghadapi masalah keretakan dalaman, untuk merapatkan barisan dan memastikan kemenangan dalam pilihanraya. Dasar ini pasti menimbulkan perpecahan di kalangan rakyat. Ia juga menimbulkan masalah bagi kita.
Keadilan sebuah parti yang tidak mahu dan tidak rela mengeksploitasi faham perkauman. Kita menentang politik perkauman kerana ia boleh membawa perpecahan dan penderitaan. Kita menyaksi banyak negara di dunia ini hancur dan rakyatnya menderita kerana pergaduhan kaum dan perselisihan agama.
Oleh itu, kita perlu membuat perubahan dengan azam memperjuang dan melaksanakan politik progresif yang menggalak kenal-mengenal, hormat-menghormat dan persefahaman tulen antara kaum dan juga antara agama. Ini sulit dilakukan. Tetapi ia perlu kita lakukan jikalau kita inginkan perpaduan, keamanan, keselamatan dan kesejahteraan bagi anak cucu kita.
CABARAN WANITA DAN ANGKATAN MUDA
Saya telah menghuraikan faktor-faktor luaran yang menimbulkan masalah serta kesulitan yang sekaligus menjadi cabaran kepada Keadilan umumnya. Selain itu ada juga beberapa faktor luaran lain yang terpaksa dihadapi sebagai cabaran oleh Wanita dan Angkatan Muda Keadilan secara khusus.
PERIHAL WANITA: Kita ketahui bahawa bilangan penduduk dan pengundi wanita melebihi sedikit daripada separuh jumlah besar bagi seluruh negara. Tidak boleh dinafikan wanita merupakan tenaga penentu yang penting bagi mencapai apa-apa perubahan. Ada pandangan bahawa wanita itu lebih konservatif daripada lelaki. Saya tidak tahu sama ini benar atau tidak, kerana tidak mengetahui sebarang kajian saintifik mengenainya. Yang saya tahu ini lebih merupakan persepsi yang meluas di kalangan sesetengah lelaki terutamanya.
Setahu saya juga, besar bilangan wanita menyokong Umno, yang dalam banyak hal adalah sebuah parti berpendirian konservatif. Begitu juga, kita semua tahu, ramai wanita, khusus dari kalangan sudah berumur, memilih untuk setia kepada Umno. Mereka menumpahkan setia seperti kepada cinta pertama. Mereka silap pendapat bahawa parti itu saja yang boleh memberi perlindungan dan menyediakan kemudahan serta perkhidmatan bagi mereka sekeluarga. Kita perlu mengkaji dan memahami asas sikap mereka ini kerana hanya dengan demikian baru kita boleh menganjak mereka dari kesetiaan ini.
Saya harap para pemimpin Wanita Keadilan tidak putus harap dan menjadi pesimis. Keadaan masyarakat semakin berubah. Kampung-kampung terbuka kepada pengaruh moden, dan proses pembandaran semakin meluas. Lebih penting, pendidikan memainkan peranan untuk membuka mata sebilangan besar wanita. Ia membuat mereka lebih bersedia melepaskan diri daripada ikatan tradisi serta nilai yang mengongkong, dan seterusnya mencari jalan perubahan maju ke hadapan.
Pendidikan juga memungkinkan proses mobiliti sosial, yang mengurangkan bilangan golongan petani kampung dan menambah jumlah pekerja di sektor-sektor moden. Ia juga membesarkan lagi bilangan pegawai, profesional dan juga pengusaha wanita, yang turut membentuk golongan menengah masyarakat.
Sekarang ini lebih ramai wanita yang sampai ke peringkat universiti. Prestasi wanita dalam pelajaran serta peperiksaan di semua peringkat jauh mengatasi lelaki. Lebih ramai wanita yang mendapat kelulusan cemerlang daripada lelaki. Kian bertambah wanita yang memegang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta. Sudah tentu wanita yang berpendidikan dan mencapai pelajaran tinggi dan berjaya dalam pekerjaan, tidak akan setia dan kasih secara buta tuli hanya kepada parti dan pemimpin yang berkuasa. Sebagai anggota golongan menengah mereka mempunyai potensi untuk memangkin perubahan.
Sudah tentu mereka ini memahami bahawa kemudahan, perkhidmatan serta perlindungan yang kononnya diberi oleh Kerajaan itu adalah berpunca daripada kekayaan negara, iaitu wang rakyat sendiri. Mereka tahu mana saja parti yang menjadi pemerintah mampu menyediakan kemudahan, perkhidmatan serta perlindungan kepada rakyat.
Ada di antara mereka percaya parti yang tidak korup, tidak membazir, dan mempunyai kepedulian rakyat boleh bertindak lebih baik lagi. Sikap serta nilai baru ini luas terdapat terutama sekali di kalangan wanita muda. Kesedaran sosial mereka dan sikap lebih terbuka mereka, tentu sekali boleh mempengaruhi masyarakat wanita pada umumnya.
Kita harus mengakui bahawa Umno juga menyedari hal ini. Itu sebab, sebagai penarik, Kerajaan melantik wanita ke jawatan-jawatan tinggi dan penting dalam politik, pentadbiran, universiti, bank dan lain-lain.Mereka memupuk dan membaja Puteri Umno dengan sumber tenaga serta wang yang banyak untuk bergerak luas dan menganjur pelbagai aktiviti bagi memenangi hati wanita muda dan ibu tunggal. Pintu semua institusi pengajian tinggi, yang ditutup kepada parti-parti pembangkang, dibuka luas kepada Puteri untuk menyebarkan pengaruh.
Memandangkan semua perkara ini, para pemimpin dan anggota Wanita Keadilan perlu mempunyai strategi serta pelan tindakan yang baik untuk menarik golongan wanita baru yang kebanyakannya agak sinis terhadap Umno, pimpinan serta dasarnya.
PERIHAL ANGKATAN MUDA: Angkatan Muda pula menghadapi masalah dan cabaran yang berlainan sedikit. Melalui badan-badan tertentu yang dikuasai atau dipengaruhinya, Umno menganjurkan bermacam-macam jenis rancangan hiburan cara besar-besaran.
Sama ada dirancang atau tidak, banyak pesta hiburan ini membuat ramai orang muda lalai terhadap masalah rakyat dan negara, dan menjadikan mereka lupa peranan serta kewajipan mereka. Kita tidak menyekat muda mudi berhibur. Kita hanya bimbang jikalau ia keterlaluan dan melanggar batas moral serta tatasusila yang murni.
Sambil melalaikan orang muda dengan hiburan, Kerajaan nampaknya cuba melalikan pula mereka dengan bermacam-macam jenis peraturan serta undang-undang untuk menyekat kebebasan mereka yang hak. Ini dilakukan terutama sekali ke atas pelajar-pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi. Mahasiswa hari ini tidak lagi dibenarkan mempunyai persatuan yang mereka kelola sendiri.
Akta Universiti dan Kolej Universiti diadakan untuk menyekat kegiatan para pelajar, walaupun yang sah di sisi undang-undang. Penglibatan dengan segala aspek politik diharamkan (melainkan dengan parti pemerintah). Pegawai-pegawai khas universiti diwujudkan untuk mengawal kegiatan pelajar. Lebih buruk, pegawai-pegawai ini menjadi pengantara kepada parti politik pemerintah untuk campur tangan, dengan segala amalan korupsinya, dalam pilihanraya wakil-wakil ke Majlis Pelajar.
Di kalangan orang muda pada umumnya ada sikap yang berbeza terhadap politik. Selama beberapa waktu mereka dari masyarakat Tionghua merasakan peluang untuk berjaya dan menjadi kaya melalui perniagaan dan perusahaan adalah lebih baik daripada bergiat secara langsung melalui politik parti. Tetapi, mereka merapati juga parti pemerintah untuk memastikan mudah mendapat peluang perniagaan.
Hal ini meluas berlaku, akan tetapi dalam beberapa tahun ini, oleh kerana keadaan ekonomi yang agak lembab dan tidak memberi peluang yang banyak, terdapat juga orang muda Tionghua yang mula mengalih pandangan kepada politik.
Sebaliknya, di kalangan anak muda Melayu, kebanyakannya melihat peluang untuk naik ke atas dari segi kekuasaan ataupun kekayaan ialah dengan menyertai politik secara langsung. Sudah tentulah parti yang selalu dipilih ialah Umno, kerana melalui parti inilah mereka sering mengharap dan mendapat jawatan baik dalam politik, pentadbiran bahkan dalam bidang akademik pun.
Akan tetapi oleh sebab suasana politik dan ekonomi yang kian merosot, peluang pun turut berkurang. Apatah lagi sekarang ini dengan pengangguran kira-kira 60,000 siswazah, yang kebanyakannya Melayu.
Siswazah menganggur ini masih mengharapkan pertolongan dari pemerintah. Tetapi ini tidak datang bergolek semudah atau secepat yang dijanjikan. Ada di antara mereka yang mulai gelisah dan melihat Kerajaan gagal menyediakan peluang hidup kepada mereka. Pada masa yang sama, saya gembira kerana sekarang ini semakin ramai pelajar universiti dan kolej kurang senang terhadap kekangan dan kawalan ke atas mereka melalui pelbagai peraturan serta akta.
Mereka tidak puas hati dengan campur tangan ahli politik dalam urusan pemilihan umum mereka dan juga pembuangan beberapa orang mahasiswa aktivis yang dituduh kononnya melanggar disiplin, tetapi tidak diambil semula walaupun mereka menang kes di mahkamah.
Saudara saudari, selaku pemimpin dan anggota Parti, perlu memikirkan strategi dan pelan tindakan untuk menghadapi masalah serta cabaran yang saya huraikan dan juga banyak yang lain. Saudara saudari perlu bertindak dari sekarang untuk meluaskan lagi sayap pengaruh Angkatan Muda bagi menarik lebih ramai ahli dan penyokong.
APA PERLU DIBUAT?
Masalah, kesulitan dan rintangan yang dihadapi oleh Parti, terutama sekali Wanita dan Angkatan Muda, memang banyak. Saya huraikan bukan untuk memudahkan saudara saudari membuat helah atau memberi alasan mengapa susah hendak bergerak dan payah hendak berkembang.
Saya memohon maaf dan meminta kebenaran daripada semua saudara saudari kerana hendak bercakap dengan terus terang sedikit, dari hati ke hati. Tujuan saya ikhlas, kerana dengan rasa rendah hati ingin memperbaiki keadaan. Saya yakin saudara saudari sanggup menimbangnya, kalau pun tidak menerima sepenuhnya, dengan ikhlas juga atas asas berani bermuhasabah, berani mengkritik diri.
Saya huraikan segala supaya kita mamahami semuanya sebagai cabaran, bukan untuk difahami semata-mata tetapi untuk diatasi. Jikalau kita tidak berani menghadapi segala cabaran dan tidak berusaha mengatasinya, kita tidak mungkin berjaya membuat perubahan. Seperti yang selalu saya tegaskan, perubahan atau reformasi mesti bermula dengan diri dan organisasi kita sendiri.
ORGANISASI: Bersesuaian dengan ini, pertama sekali Wanita dan Angkatan Muda perlu memperbaiki dan memantapkan organisasi. Dengan kekuatan dalaman, iaitu organisasi parti yang kuat, lebih mudah bagi kita mengatasi segala cabaran luaran. Kita semua menyedari bahawa dari segi organisasi, terdapat masih banyak kelemahan dan kekurangan. Terdapat beberapa Bahagian Parti yang tidak mempunyai sayap Wanita dan Angkatan Muda. Nasib baiklah bilangannya kecil.
Ada Wanita dan Angkatan Muda di peringkat Bahagian, walaupun wujud, tidak bergerak dan gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan. Mereka seolah-olah hidup segan mati tak mahu. Hubungan di antara sesetengah bahagian Wanita dan Angkatan Muda dengan Pusat kurang licin dan dalam beberapa kes, tidak wujud sama sekali.
Lebih buruk, ada tendensi merajuk atau memboikot apabila timbul perbezaan pandangan. Kadang-kadang ini berkaitan dengan soal kepimpinan dan pengurusan. Secara terus terang saya ingin menyatakan, mengikut laporan yang saya terima dan lihat, di banyak negeri keadaan organisasi Wanita lebih baik sedikit daripada Angkatan Muda.
Soal kepimpinan adalah penting bagi parti di peringkat Pusat dan Bahagian. Perlu ada perpaduan pimpinan yang mantap terutama di peringkat Pusat. Satu cara membina kemantapan ini ialah dengan sering berunding dan bermusyawarah sebelum membuat keputusan penting berkaitan dasar dan aktiviti, supaya semua pemimpin merasa bertanggungjawab untuk melaksanakan keputusan itu.
Tendensi sesetengah pemimpin membuat keputusan atau mengambil tindakan secara bersendirian tanpa rundingan perlu dielakkan, kerana ini boleh mengasingkan mereka yang tidak dirundingi, dan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.
Apabila pimpinan Pusat mantap, masa dan tenaga tidak terbuang kerana hendak menyelesaikan perselisihan dan kecil hati. Masa itu lebih berfaedah digunakan untuk menumpu tenaga guna membantu membaiki keadaan Bahagian yang lemah dan menguatkan lagi Bahagian yang memang sudah agak kuat.
Sekiranya ada perbezaan dan perselisihan pandangan atau pendekatan, kita harus berbincang untuk menyelesaikannya segera. Kita tidak harus membenarkannya menjadi pergaduhan yang berlarutan. Kita berbeza dan berselisih di antara sesama kawan dalam parti sama dan perjuangan sama. Kita tidak harus menjadikannya serupa dengan penentangan terhadap musuh. Kita harus belajar mengenal siapa kawan dan siapa lawan dalam perjuangan kita.
Saya mendapat tahu ada pimpinan peringkat Bahagian yang tidak pernah mengadakan mesyuarat. Ini berlaku kadang-kadang oleh kerana para pemimpin yang dipilih hilang atau kurang semangat. Kadang-kadang pula ia disebabkan amalan bergerak mengikut klik. Perbincangan dan kegiatan dijalankan hanya dengan anggota klik sendiri, tanpa mahu melibatkan semua pemimpin dan anggota. Apabila ada lawatan atau kegiatan (seperti ceramah) oleh Penasihat, Presiden atau pemimpin lain yang dipuja, misalnya, baru mereka menunjukkan kesibukan mengatur segala-galanya bersama klik sendiri.
Malangnya, ada kala mereka tidak menjalankan sendiri semua tugas. Tetapi, untuk mencari jalan mudah, mereka serahkan tugas kepada parti lain yang mungkin lebih cergas dan tersusun. Walaupun parti ini parti sahabat, hal ini tidak sepatutnya berlaku, terutama bagi kegiatan yang kita katakan kegiatan parti kita sendiri. Perbuatan seperti ini tidak menguatkan organisasi.
Malangnya, amalam berklik dan menyerah tugas kepada anggota-anggota parti lain kadang-kadang berlaku juga di peringkat lebih tinggi dari Bahagian. Amalan seperti ini perlu dibanteras. Ia menimbulkan malu dan salah anggap terhadap Parti dan pemimpin kita. Semua pemimpin mesti mengajak anggota-anggota terlibat merancang dan bergerak sebagai satu pasukan. Ini menjamin kemantapan pimpinan dan kekuatan organisasi.
Satu aspek lagi yang berkaitan dengan Organisaasi ialah keanggotaan. Keadilan baru berumur setahun jagung, dibanding dengan beberapa parti lain yang lebih lama, anggota kita masih belum ramai lagi. Oleh kerana kita merupakan sebuah parti massa, kita perlu mempunyai anggota yang ramai dalam organisasi yang meluas, meliputi setiap jalan, kampung, ladang, kilang, bandar, wilayah dan negeri di seluruh negara.
Akan tetapi, kita tidak harus menekankan hanya bilangan atau kuantiti. Kita hendaklah mengimbangkan bilangan atau kuantiti dengan mutu atau kualiti. Kita mesti memastikan wujud suatu teras keanggotaan yang menjadi aktivis dan kader parti, selain daripada pimpinan, di peringkat akar umbi khususnya.
Mereka ini harus mempunyai disiplin. Mereka perlu patuh kepada keputusan yang diambil oleh Parti, di peringkat-peringkat tertentu. Mereka harus bertindak secara kolektif untuk kemajuan Parti dan kebajikan rakyat bukan secara individu untuk keuntungan persendirian. Mereka harus bersemangat tinggi serta berazam kuat melaksanakan sebarang arahan dan kegiatan, untuk memastikan Parti berjaya dan Rakyat bahagia.
Semangat serta keazaman ini harus tinggi sepanjang masa dan tidak hanya selama dua tiga minggu dalam empat lima tahun sekali semasa pilihanraya. Anggota Parti perlu hidup dekat bersama rakyat, melihat serta mengalami segala penat jerih, sakit perit dan juga suka duka anggota masyarakat. Aktivis, kader dan pemimpin yang baik menjadi jurubicara dan juga pembela kepada rakyat. Oleh itu mereka hendaklah sentiasa bergerak bersama rakyat. Bukan bergerak hanya ketika dan untuk pilihanraya saja.
LATIHAN: Untuk membina Parti dan meningkatkan mutu pimpinan serta keanggotaan, kita perlu mengadakan banyak latihan secara berterusan dalam pelbagai bidang. Memang pada masa ini Parti, termasuk Wanita dan Angkatan Muda Pusat, selalu juga mengadakan kursus atau bengkel latihan. Tetapi saya rasa ia perlu dilakukan lebih sering lagi dan melibatkan peserta yang berbeza daripada semua peringkat parti.
Kursus-kursus harus tidak terbatas hanya kepada cara-cara menjalankan tugas sewaktu pilihanraya ataupun kaedah-kaedah untuk membaiki organisasi parti dan meningkatkan mutu pimpinan. Saya akui perkara-perkara ini memang perlu.
Akan tetapi, latihan hendaklah diluaskan lagi untuk meliputi penjelasan serta perbincangn tentang perkara-perkara seperti berikut: mengenal asas-asas pelbagai ideologi dan memahami sumber ideologi-politik Parti; mengkaji sejarah serta aliran-aliran politik secara umum dan di tanah air; mendalami matlamat dan asas perjuangan Keadilan; mengenal pelbagai isu serta masalah ekonomi dan sosial negara dalam konteks wilayah dan global; mempelajari budaya, adat resam, pantang larang dan kepercayaan serta nilai pelbagai kaum di Malaysia; membincang dan memahami soal perkauman, punca-punca ketegangan kaum dan langkah-langkah yang boleh dan patut diambil oleh Parti dan Negara untuk mengelak dan mengatasinya.
Semua latihan atau kursus boleh diadakan secara berperingkat-peringkat. Peringkat permulaan seboleh-bolehnya harus diberikan kepada semua anggota parti, khususnya yang baru masuk. Peringkat lebih tinggi untuk anggota serta pemimpin parti yang terpilih, termasuk aktivis dan kader, yang merupakan inti kepada Parti.
Saya merasakan latihan serta kursus mesti ditumpukan terutama sekali kepada lelaki dan perempuan yang masih muda, di bawah umur 30 tahun. Tetapi tidak bererti kita bengkalaikan pula yang lebih tua. Saya berpendapat bahawa untuk menjalankan segala latihan dan kursus secara sistemastis dan tersusun kita harus merancang dari sekarang untuk mendirikan sebuah Sekolah atau Pusat Latihan Parti.
KERJA MASSA: Kerja masa bererti kerja yang dilakukan di kalangan rakyat. Aktivis Parti, terutama sekali pemimpin dan kader, perlu bersama-sama dengan rakyat, merasakan denyut jantung mereka, menghayati masalah mereka, menyuarakan tuntutan mereka, membela nasib mereka, dan sama-sama memperjuangkan hak mereka. Selanjutnya golongan rakyat itu perlu disedarkan tentang hak mereka dan diperkasakan supaya mereka sendiri memperjuangkan hak mereka dan memimpin komuniti mereka.
Semua ini dapat dijalankan dengan berkesan sekiranya aktivis, kader dan pemimpin Parti sebati dengan rakyat. Sebaik-baiknya ialah jikalau mereka itu memang salah seorang daripada komuniti berkenaan. Sekiranya dari luar, ukuran kejayaan mereka ialah apabila rakyat mula-mula menerima pimpinan mereka dan selepas itu pimpinan mereka tidak diperlukan lagi, dan diganti dengan pemimpin yang muncul dari kalangan rakyat sendiri.
Saya ingin mengutarakan agar Wanita dan Angkatan Muda mempelopori langkah untuk membentuk satu pasukan aktivis dan kader seumpama ini. Mereka boleh dipilih daripada kalangan yang telah melalui kursus latihan Parti. Mereka boleh ditugaskan membuat kerja di kalangan satu sektor atau golongan rakyat, seperti petani, pekerja, peneroka bandar, pelajar, siswazah, peniaga kecil, profesional dan sebagainya.
Mereka harus bertindak bukan sebagai bomba yang datang bila dipanggil masa perlu saja. Mereka mesti berterusan dalam masyarakat untuk bersama-sama menyelesaikan masalah dan menjalankan kerja kebajikan dalam masyarakat itu. Pengalaman dan ujian yang mereka lalui, dan cara-cara mereka mengatasinya boleh dikumpul untuk memperbaiki bahan latihan. Kita boleh bermula dengan hanya satu dua orang bagi setiap negeri. Jangan bimbang. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Kerja massa memang lebih mudah dilakukan oleh aktivis dan kader di kalangan golongan rakyat yang sama bahasa dan budaya dengan mereka. Tetapi bersesuaian dengan sifat Parti kita yang tidak perkauman, kita mesti galakkan mereka dari latar belakang berlainan untuk turut serta. Ini adalah satu cara Parti boleh membuktikan kita memperjuangkan nasib dan hak rakyat dengan tidak mengira bangsa.
Lagi pula, dengan ini aktivis dan kader Parti boleh didedahkan kepada golongan rakyat berlainan latar belakang. Mereka boleh mempelajari bahasa, memahami adat resam kaum yang berlainan. Bukankan ini cara yang baik untuk menimbulkan persefahaman yang boleh membantu pembentukan bangsa yang bersatu?
PENERANGAN: Sesebuah Parti politik perlu memberi penerangan tentang dirinya, tentang masalah-masalah yang dihadapi semua lapisan masyarakat dan juga tentang isu-isu semasa. Di negara yang dikatakan bebas dan demokratik ini, Keadilan tidak mendapat ruang dalam akhbar utama, apatah lagi TV. Akhbar parti kita sendiri tidak diberi permit. Oleh kerana tiada permit, kita susah hendak menjual akhbar kerana pengedar selalu diugut. Wanita dan Angkatan Muda perlu menyertai kegiatan untuk menyebar luas “Suara Keadilan”.
Pertama sekali, saya menggesa setiap anggota Parti membeli atau melanggan suara parti ini. Saya merasa keciwa melihat ramai pemimpin Parti daripada Wanita, Angkatan Muda, bahkan Pusat juga, yang tidak membaca, apatah lagi membelinya. Pada hal ini adalah salah satu saluran terbaik dan terpenting untuk memahami pendirian parti terhadap masalah-masalah negara dan rakyat dari semasa ke semasa.
Kedua, saya mecadangkan supaya secara sistematik Bahagian-bahagian Wanita dan Angkatan Muda menyusun aktiviti penjualan Suara di kawasan masing-masing - di tepi jalan, depan masjid atau tempat ibadat lain, di pasar raya, di pasar minggu ataupun di warung-warung, dan yang paling penting di majlis-majlis ceramah Parti. Ini boleh dijadikan satu kegiatan anggota-anggota Bahagian. Ia boleh memperkenalkan parti dan pemimpin tempatan kepada rakyat sekitar. Dan ia boleh juga menjadi sumber wang untuk bahagian melalui potongan dalal.
Selain menjual akhbar Parti, golongan muda, lelaki dan perempuan, perlu juga digalak bahkan ditarik untuk turut mengedarkan risalah secara percuma. Risalah ini tidak perlu panjang, cukup dengan satu dua muka bertulisan besar dan diedarkan apabila sesuai. Isinya ialah mengenai isu-isu atau masalah-masalah nasional dan tempatan.
Risalah isu tempatan hendaklah disediakan oleh Bahagian atau Negeri yang berkenaan. Risalah isu nasional pula hendaklah disediakan oleh Pusat supaya seragam di seluruh negara. Seperti penjualan akhbar, pengedaran risalah ini jarang sekali dilakukan oleh Parti. Sekali lagi, saya ingin menyeru supaya Wanita dan Angkatan Muda mempelopori aktiviti ini secara berterusan.
PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI
Saya telah mengemukakan di bawah empat tajuk apa yang perlu dilakukan oleh Wanita dan Angkatan Muda, bahkan Parti seluruhnya. Saudara saudari tentu melihat bahawa ini adalah tugas-tugas yang perlu dilaksanakan oleh Wanita dan Angkatan Muda sebagai rancangan jangka panjang. Akan tetapi, pada ketika ini ada rancangan aktiviti yang perlu diselenggarakan dalam jangka pendek dan dengan segera. Ini berikutan pergaduhan dan perpecahan yang sedang berlaku di dalam Umno sekarang.
Saya tidak hendak mengemukakan apa-apa pandangan tentang langkah-langkah yang patut saudara saudari ambil dalam hal ini. Saudara saudari dalam Kongres masing-masing perlu menentukannya. Wanita dan Angkatan Muda boleh berbincang dan mengemuka pendapat sendiri. Akan tetapi, kesimpulan atau rumusan tentang apa yang perlu dibuat lebih baik dilakukan dalam mesyuarat jawatankuasa masing-masing. Tidak ada untungnya kita umumkan dalam Kongres semua langkah yang hendak diambil. Yang perlu ialah memberitahunya kemudian kepada pemimpin, kader dan aktivis untuk pelaksanaan secara berkesan.
Namun begitu, benarkanlah saya menyentuh sedikit tentang pergaduhan ini. Saya melihat puncanya yang sebenar ialah perebutan kuasa di antara dua pemimpin dan golongan yang berebut untuk merompak dan membolot kekayaan negara bagi diri sendiri dan suku sakat di sekeliling pinggang. Sumber kekayaan negara semakin berkurang akibat keadaan ekonomi dunia dan negara yang belum pulih lagi, bahkan semakin merosot. Oleh itu, perebutan menjadi bertambah sengit.
Kita lihat sekarang ini mantan PM Dr Mahathir Mohamad lebih banyak menyerang PM Abdullah Ahmad. Mahathir dan kroni-kroninya bertindak ofensif untuk menunjukkan beliau baik, bagus, bersih dan partriotik, manakala Abdullah sebaliknya. Oleh kerana Abdullah memilih untuk berdiam diri, selain dari mempertahan “kesucian” anak dan menantunya, dalam satu temuramah TV, Mahathir kelihatan lebih menyakinkan.
Mahathir mendapat sokongan, walaupun secara terbatas, daripada sebilangan anggota Umno dan juga segelintir pemimpin serta anggota oporcunis parti pembangkang. Akan tetapi, oleh sebab Mahathir tidak lagi mempunyai kuasa, walaupun azamnya kuat dan duitnya banyak, sulit juga baginya hendak mengalahkan Abdullah.
Baru-baru ini, Mahathir memberitahu agensi berita AFP beliau tidak berhajat untuk menjatuhkan Abdullah. Beliau mendakwa beliau hanya tidak bersetuju dengan pembatalan projek jambatan bengkok, yang sudah menjadi masyhur seantero dunia. Katanya, jikalau jambatan bengkok didirikan, beliau akan berhenti mengkritik Abdullah dan Kerajaan. Sebenarnya, Mahathir hendak menghantar mesej kepada dunia bahawa beliau bukannya tamak kuasa dan harta seperti yang disangka.
Tetapi saya lihat ini sebagai satu helah saja. Isu-isu yang dibangkitkan oleh Mahathir bukannya jambatan bengkok satu saja, tetapi mengenai banyak hal lagi, seperti Proton, AP, Augusta, projek mega dan lain-lain. Mahathir menuduh Abdullah lemah dan mungkir janji, menteri-menterinya (hampir semua menteri-menteri Mahathir juga dulu) lembek belaka, “half past six”, dan hendak menjual negara kepada kuasa asing.
Saya lihat tujuan asal Mahathir memang hendak menjatuhkan Abdullah. Beliau terlepas cakap dalam ucapannya di hadapan mahasiswa Universiti Petronas. Mengapa Mahathir mahu menggulingkan Abullah?
Pertama, beliau sangat takut menghadapi mahkamah. Beberapa kes, seperti yang berkaitan dengan Anwar dan Tajudin Ramli sangat-sangat menakutkan Mahathir. Beliau tidak mahu diheret ke mahkamah, kerana segala pekung dan tokaknya yang selama ini berjaya disembunyi akan terdedah. Dia mahukan seorang PM yang boleh menguasai kehakiman untuk menyebelahi kepentingnnya. Abdullah tidak boleh menjamin perkara ini boleh berlaku. Sudah terbukti, di bawah Abdullah mahkamah merasa berani membebaskan Anwar.
Kedua, Mahathir mahu memastikan segala warisannya, terutama dalam bidang politik dan pembangunan, tidak akan pudar semasa hidupnya lagi. Daripada tuduhan Mahathir, kita dapat membaca Abdullah berjanji hendak mempertahan dan melanjutkan apa yang dimulakan oleh Mahathir. Sekarang dia dituduh memungkiri janji. Sebenarnya, Abdullah bertindak demikian bukan untuk membuat perubahan besar, tetapi untuk melindungi kepentingan politik dan ekonomi sendiri dan kroni serta keluarganya.
Mahathir hendakkan seorang PM boneka yang boleh didalanginya. Harapan asalnya kepada TPM Najib Razak mengeciwakan. Sekarang Mahathir tiada calon. Beliau sudah tentu tidak boleh mengemukakan diri sendiri. Jadi, adakah dalam desperasi beliau akan mengutarakan mana saja katak yang sedia melompat untuknya? Atau adakah beliau akan memikirkan Tengku Razaleigh yang mungkin menunggu di pinggir? Malangnya, Mahathir tahu peluang beliau menang sekarang agak tipis, melainkan ada sesuatu yang ajaib berlaku.
Sebenarnya, tidak ada perbezaan di antara Mahathir dengan Abdullah. Mungkin stail pemerintahan mereka berbeza sedikit. Tetapi pada asasnya dasar dan amalan mereka sama saja. Kedua-dua mereka mengamalkan dasar pemerintahan yang mirip “kuku besi” (authoritarian); mereka serupa saja menggunakan undang-undang zalim dan menyekat kebebasan media.
Mahathir menggunakan Isa dan Abdullah meneruskannya untuk menahan dan melanjutkan penahanan ramai yang dituduh mengancam keselamatan, tetapi tidak pernah dibuktikan kesalahan mereka dalam mahkamah terbuka. Penguasaan Mahathir terhadap media dan polis, yang tidak memberi ruang kepada pembangkang, dilanjutkan oleh Abdullah, kadang-kadang dengan lebih ketat lagi.
Dari segi ekonomi, Mahathir menggunakan kekayaan negara, terutama dari Petronas, Kwsp, Warisan dan beberapa badan lain untuk berbelanja mewah dan membina projek-projek mega kebanggaannya. Sekaligus projek-projek ini dapat memberikan kontrak besar kepada kroni-kroninya. Abdullah, oleh kerana kekurangan sumber kewangan kerajaan mula-mula cuba mengubah haluan. Tetapi sekarang ini, untuk mendapat sokongan daripada golongan kontraktor dan pengusaha Melayu, Abdullah sudah mula berjanji akan melaksanakan projek-projeknya sendiri, yang besar dan kecil.
Semasa pemerintahan Mahathir, amalan korupsi dan kronisme meluas, lebih parah daripada sebelumnya. Abdullah berjanji hendak memeranginya. Dalam dua tahun Abdullah berjaya membuktikan kegagalannya. Beliau mengikut jejak Mahathir, dan meneruskan banyak penyelewengan dalam pemerintahan yang dimulakan oleh Mahathir.
Kita tidak ada pilihan di antara kedua-dua pemimpin ini. Mahathir tidak boleh disokong atau diterima semula pimpinannya, walaupun melalui boneka, melainkan beliau meminta ampun kepada rakyat dan daripada Allah kerana segala kezaliman dan korupsi yang dilakukan olehnya dan kroni-kroninya. Beliau perlu bertaubat nasuha.
Seperti Mahathir, Abdullah juga serigala yang boleh mengganas. Serigala tetap serigala, walaupun warna bulunya lain sedikit dan rentak langkahnya berbeza sedikit. Selagi Abdullah tidak membuktikan beliau akan melakukan perubahan yang dijanjikan semasa pilihan umum dulu, dan melaksanakan program reformasi tulen, tidak ada sebab beliau boleh disokong.
Keadilan sudah membuat keputusan tidak menyokong sama ada Mahathir atau Abdullah serta rancangan-rancangan mereka yang tidak menguntungkan negara dan merugikan rakyat. Kita mesti terus meneroka jalan kita sendiri. Kita harus berusaha untuk bergerak menjana perubahan yang kita rancangkan. Kita harus berusaha melaksanakan matlamat serta tujuan perjuangan kita untuk menegakkan keadilan, demokrasi, kebenaran, perpaduan dan ketelusan. Slogan kita ialah Keadilan Untuk Semua. Tindakan kita berlandaskan Kepedulian Terhadap Rakyat.
Sebagai penutup, saya ingin menyeru Wanita dan Angkatan Muda berusaha dengan penuh disiplin, keazaman dan kegigihan untuk menguatkan organisasi Parti. Saya mengharapkan sangat-sangat agar saudara saudari menjadi pendekar dan pelopor di barisan hadapan untuk menyelamatkan negara, membela rakyat dan membawa perubahan tulen yang adil. Saya mendoakan kejayaan saudara saudari menjalankan misi mulia ini.
Dengan kalimat Bismillah, saya merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda hari ini dengan gembira serta bangga.
Pulau Pinang
1hb September 2006

0 Comments:
Post a Comment
<< Home