SepangOnline

Friday, September 01, 2006

Ucapan Dasar Kongres Nasional AMK oleh Ketua AMK Sdr Ezam Md Nor

PERTAHAN AGENDA REFORMASI: MEMBELA KEPENTINGAN RAKYAT

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana atas limpah rahmatNya dapat kita berhimpun sekali lagi untuk melunaskan tanggungjawab melaksanakan Kongres Nasional Tahunan.

Bagi pihak Jawatankuasa Angkatan Muda keADILan Malaysia saya mengalu-alukan kehadiran saudara-saudari ke Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda keADILan Ketiga ini.

Meski Kongres adalah acara yang kita laksanakan secara tetap saban tahun, tidak seharusnya kita memandang ringan kepentingannya sebagai suatu komponen penting dalam menjayakan perjuangan kita; yakni perjuangan membela kepentingan rakyat.

Asas Agenda Reformasi

Parti kita ini ditubuhkan atas gelombang kebangkitan rakyat, atas semangat juang dan idealisme perjuangan yang tinggi. Malah sebelum kita bergerak sebagai sebuah parti, hampir semua kita secara individu telah akrab dengan perjuangan membela rakyat, meski dalam organisasi dan pada lapangan masing-masing.

Kita tidak gentar menghadapi ancaman dan ugutan, pendakwaan dan perbicaraan. Malah lokap dan penjara kita hadapi dengan tabah. Untuk apa dan kerana apa kita sanggup berhadapan dengan semua ini?

Kita lakukan segala-galanya untuk rakyat. Demi mempertahankan hak dan membela kepentingan rakyat kita ketepikan kepentingan peribadi. Di dalam perjuangan ini kita tidak mengejar keuntungan, melainkan untuk kepentingan rakyat semata-mata. Falsafah yang sama akan terus kita pegang selagi hak rakyat tidak didaulatkan dan segala kepincangan dibetulkan.

Falsafah perjuangan ini diungkapkan dalam Deklarasi Permatang Pauh yang dimasyhurkan pada 12 September 1998. Deklarasi ini menyatakan garis-garis besar yang memandu perjuangan Reformasi. Ia adalah satu gagasan, satu wawasan yang memperincikan agenda kita untuk rakyat dan masa depan Malaysia.

Pendahuluan deklarasi tersebut menggambarkan betapa perjuangan kita adalah bertunjangkan kepada nilai. Ayat pertama mengungkapkan kesedaran kita mengenai perintah al-Quran untuk melakukan pembaikan. Tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat menjadi ilham kepada usaha kita.

Kita menuntut dimartabatkan karamah insaniah agar tidak ada individu yang dianiaya, dizalimi dan dihina. Kita mahu menegakkan keadilan untuk semua termasuk di dalam soal pembahagian kekayaan negara secara adil.

Perjuangan untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah agenda kita sejak hari pertama. Keyakinan kita kepada demokrasi terpancar apabila kita menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah satu instrumen yang mampu menyekat kezaliman.

Meski Deklarasi Permatang Pauh bertumpu kepada mencirikan Gerakan Reformasi, bergeraknya kita dalam wadah kepartaian melalui keADILan tidak bermakna kandungan deklarasi itu tidak relevan lagi. Malah pencetus gerakan Reformasi dan deklarasi tersebut, Anwar Ibrahim sendiri sudah menjelaskan bahawa Parti keADILan Rakyat memikul beban sejarah yang amat berat untuk mengenengahkan reformasi yang tulen.

Ini petanda jelas bahawa perjuangan Reformasi belum selesai. Tekad rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa yang sama-sama melancarkan Gerakan Reformasi melalui Deklarasi Permatang Pauh belum terlaksana.

Justeru pada hari ini kita akan sama-sama memperjelaskan komitmen kita untuk terus mempertahankan agenda Reformasi bagi membela kepentingan rakyat.

Sepanjang jalan perjuangan ini, kita telah melihat mereka yang gugur. Kita melihat individu dan organisasi yang pada awalnya komited kepada perjuangan ini akhirnya tercicir. Malah kita tidak menolak kemungkinan mereka yang bersama gerakan Reformasi sejak ia mula diasaskan akhirnya hilang arah dan mengabaikan komitmen untuk melaksanakan agenda membela kepentingan rakyat.

Ini telah dan akan terus berlaku. Namun kita tidak seharusnya membiarkan keciciran mereka ini melemahkan semangat dan menggoyahkan komitmen kita. Kita akan terus komited kepada agenda Reformasi. Kita tetap percaya bahawa keutamaan kita adalah untuk membela kepentingan rakyat. Kerana itu Agenda Reformasi mesti dipertahankan. Kerana itu Agenda Reformasi mesti terus diperjuangkan.

Agenda Reformasi tidak mungkin dicapai dalam tempoh yang singkat. Sedari awal permulaannya kita sedia maklum bahawa ia perjuangan jangka panjang yang memerlukan ketahanan jiwa dan kebijaksanaan.

Kepada mereka yang hilang arah, atau mereka yang masih sehingga ke hari ini bertanya apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh gerakan Reformasi dan keADILan, atau yang menuduh gerakan Reformasi sebagai tandus falsafah dan idea besar yang memandu pergerakannya, kita anjurkan mereka menyemak semula Deklarasi Permatang Pauh.

Perjuangan membela kepentingan rakyat lwn. perjuangan peribadi

Di kala kita berjuang dan masih terus-terusan berjuang demi rakyat, kita melihat satu lagi bentuk perjuangan. Ia amat berbeza daripada perjuangan kita kerana paksinya bukan rakyat.

Kita melihat pertembungan antara seorang bekas Perdana Menteri dengan Perdana Menteri. Isu-isu yang menjadi tema utama ialah projek, janji untuk tidak mengubah keputusan yang telah dibuat dan anak siapa atau menantu siapa yang mendapat habuan.

Semangat juang kedua-dua pihak kita lihat tidak alah nyala dan kilauannya, meski pada peringkat ini hanya kenyataan akhbar, ceramah dan wawancara yang menjadi senjata pilihan.

Namun tema kedua-dua pihak sama. Semuanya berkisar mengenai wang dan kepentingan peribadi atau keluarga mereka. Ini yang membakar semangat juang mereka. Ini yang menjadi dasar perjuangan mereka.

Kerana itu perjuangan mereka dan kita berbeza. Tatkala kita menentang projek mega kerana ia membazirkan wang rakyat, mereka berjuang melaksanakan projek-projek mega yang di luar kemampuan negara sehingga memaksa generasi mendatang menanggung hutang yang bukan kepalang.

Manakala kita memikirkan bagaimana rakyat terbanyak dan golongan termiskin harus dibantu, mereka berusaha keras untuk memastikan anak pinak dan handai taulan mereka mendapat projek dan habuan.

Sebaliknya kita mahu kekayaan negara ini dinikmati oleh semua rakyat Malaysia tanpa terhad kepada keluarga tertentu dan golongan tertentu.

Prinsip ini yang mendasari perjuangan kita, sebagaimana yang diperintahkan di dalam al-Quran. Surah al-Hasyr, Ayat 7: ...supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu...

Sementara kita berusaha membina kesedaran dan membuat kenyataan mengenai rasuah dan masalah rakyat, mereka mengadakan sidang akhbar mempertahankan kekayaan yang dikumpul oleh anak dan menantu masing-masing.

Sistem yang pincang – Permulaan negara gagal (failed state)

Baru-baru ini, Mahathir Mohamad mengancam akan mendedahkan amalan rasuah seorang menteri yang memegang jawatan sejak pemerintahan beliau lagi. Malah beliau mengatakan terdapat banyak lagi kes-kes rasuah yang beliau akan dedahkan apabila tiba masanya.

Kita katakan kepada beliau, jangan berlengah lagi. Masa itu seharusnya sudah lama tiba, semasa beliau sendiri menjadi Perdana Menteri. Dedahkan rasuah demi rakyat dan bukan sebagai alat untuk memperolehi kelebihan politik. Kita tahu, rakyat juga tahu, bahawa rasuah sudah menjadi cara hidup di kalangan pemimpin UMNO-Barisan Nasional dan dibudayakan di bawah kepemimpinan Mahathir Mohamad.

Kita yakin, Mahathir sebagai pemimpin utama mereka untuk sekian lama lebih maklum dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan mereka. Beliau seharusnya sedar daripada dahulu lagi kesan buruk amalan ini terhadap rakyat dan negara. Oleh itu, walaupun agak terlambat, kita sarankan agar pihak berkuasa memulakan dengan kes-kes rasuah dan penyelewengan yang melibatkan diri dan keluarga Mahathir Mohamad sendiri.

Semenjak kita berdiri di bumi Malaysia ini, Angkatan Muda keADILan telah membuat pendedahan mengenai keadaan rasuah yang membarah di kalangan pemimpin UMNO-BN. Meskipun menghadapi ancaman tindakan undang-undang dan pelbagai ugutan, kita lakukan tanpa henti. Ternyata kini perkara-perkara yang telah kita bongkar didedahkan oleh mereka yang telibat.

Pada 27 Januari 2001, Pemuda keADILan telah membuat laporan polis berkenaan skandal penjualan saham Penerbangan Malaysia. Di dalam laporan yang ditandatangani oleh lebih seribu orang pengadu tersebut, kita menyatakan dengan jelas dan nyata bahawa skandal tersebut melibatkan bukan sahaja Tajudin Ramli, malah Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin. Kita meminta pihak polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Berikutan itu, pihak polis telah memanggil saya untuk memberi keterangan. Saya memberi kerjasama tetapi malang sekali pihak polis secara terang-terangan enggan memanggil Tajudin Ramli, Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin untuk memberi keterangan.

Lima tahun berlalu, tuduhan yang sama mengenai penglibatan aktif Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin dibuat oleh Tajudin Ramli sendiri dalam afidavit beliau. Saya percaya afidavit ini boleh muncul hanya kerana berlakunya perbalahan antara Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi.

Afidavit yang dibuat oleh watak utama dalam skandal yang merugikan berbilion-bilion ringgit wang rakyat tersebut mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh kita sejak sekian lama. Laporan polis, pendedahan yang dibuat oleh kita semuanya mempunyai asas yang kukuh.

Kenapa untuk lima tahun tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa?

Bagaimana pula dengan puluhan laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita selama ini? Apakah siasatan dilakukan dan tindakan diambil?

Bagaimana dengan laporan polis kita terhadap Kamaludin Abdullah yang diberikan kontrak membekalkan makanan kepada Angkatan Tentera untuk tempoh lima belas tahun? Suatu tempoh yang tidak pernah diberikan dalam mana-mana kontrak kerajaan sebelum itu.

Apakah pemberian kontrak ini yang dimaksudkan oleh Abdullah Badawi bahawa anaknya hanya menjalankan perniagaan di luar negara dan tidak mendapat manfaat daripada kontrak-kontrak kerajaan?

Kesungguhan mempertahankan anak pinak ini sehingga membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah kita lihat berlawanan sekali dengan sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Di dalam hadith yang masyhur, Rasulullah menyatakan: “Sesungguhnya umat silam telah binasa akibat (amalan diskriminatif), apabila orang besar mencuri mereka dibiarkan, tetapi apabila orang kecil yang mencuri mereka dijatuhi hukuman had (hudud). Demi Allah, andainya Fatimah puteri Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya!”

Peristiwa yang mendorong Rasulullah mengucapkan ayat ini ialah apabila seorang wanita bangsawan Fatimah al-Makhzumiyah yang ditangkap mencuri emas daripada Baitulmal. Kaum keluarganya dari kalangan bangsawan cuba melobi Rasulullah melalui anak angkat kesayangan Baginda, Zayid ibn Harithah, agar si pencuri dilepaskan daripada hukuman.

Percubaan menggugat prinsip keadilan ini benar-benar menimbulkan kemarahan Rasulullah. Begitu sekali Baginda tegas menolak amalan pilih kasih dan melebih-lebihkan anak pinak dan kaum keluarga masing-masing. Prinsip ini yang seharusnya mendasari tindakan pemimpin hari ini. Lebih-lebih lagi di dalam negara yang heboh dengan Islam Hadhari.

Kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap laporan polis yang telah dibuat menunjukkan bahawa sistem pentadbiran negara ini kucar-kacir, tempang dan gagal berfungsi. Jika dibiarkan keadaan ini berterusan, jika rakyat tidak segera bertindak, Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal atau failed state.

Untuk membetulkan masalah ini tidak memadai dengan sekadar menjawab beberapa soalan, mendedahkan beberapa butiran dan dokumen. Yang perlu dipulihkan adalah sistemnya. Yang perlu diperbaiki ialah pengurusan negara ini agar wujud urustadbir yang baik atau good governance.

Kita percaya perhatian sewajarnya mesti diberi kepada pembangunan sistem yang mantap. Di peringkat tertinggi sistem chceck and balance antara kerajaan dan parlimen mesti diperkasa. Usul-usul yang dikemukakan oleh pembangkang tidak seharusnya ditolak mentah-mentah dengan memberikan pelbagai alasan sebaliknya perlu dibahaskan dengan teliti.

Malang sekali Barisan Nasional mengambil sikap untuk menolak apa sahaja usul dan cadangan yang dibawa oleh pembangkang tanpa mengambilkira merit dan kepentingan usul tersebut. Ini jelas kelihatan apabila ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional tidak mengendahkan gesaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Shahrir Samad untuk menyokong usul Ketua Pembangkang berkenaan tuduhan salah guna kuasa Ahli Parlimen Jasin.

Sistem-sistem pengimbang yang sama perlu diwujudkan di setiap peringkat bagi mengelakkan penyelewengan dan salahguna kuasa. Sistem ini tidak seharusnya dirobah semata-mata untuk menyesuaikan dengan kehendak dan kepentingan pemerintah. Ia diwujudkan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dan siapa jua yang mencabar hak rakyat perlu menghadapi akibatnya.

Malang sekali rejim Abdullah ini tidak punya sebarang keinginan, tidak punya iltizam politik (political will) mahupun kekuatan untuk melakukan perubahan yang benar-benar bermakna.

Kerana itu kita melihat setelah lebih dua tahun memenangi pilihanraya, tidak ada sebarang pindaan undang-undang dilakukan untuk memperkemaskan usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

Ini amat berbeza dengan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminda Akta Pencegahan Rasuah hanya ketika memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan.

Penggubalan akta baru dan pindaan undang-undang adalah langkah pertama dalam melaksanakan usaha membasmi rasuah. Kegagalan Barisan Nasional di bawah pimpinan Abdullah melakukan langkah pertama ini adalah bukti nyata bahawa, kepada mereka, pembasmian rasuah hanya sekadar slogan-sloganan semata-mata.

Malah usaha kita berjuang membanteras rasuah dan mewujudkan sistem yang akan membasmi amalan rasuah, terus-terusan ditentang oleh BN. Kehendak rakyat agar Badan Pencegah Rasuah diletakkan di bawah Parlimen dan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan tugas, terus-terusan dinafikan.

Hak rakyat kepada maklumat

Tuntutan Mahathir Mohamad agar kerajaan mendedahkan dokumen-dokumen berkenaan pembinaan jambatan herot di Selat Johor yang dikategorikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) menjadi contoh nyata betapa kepentingan peribadi yang mendasari tindakan-tindakan beliau.

Sejak sekian lama kita menentang penyalahgunaan akta drakonian OSA ini yang seringkali diperalatkan untuk melindungi pemimpin-pemimpin BN yang mengamalkan rasuah dan pada masa yang sama menekan rakyat yang mendedahkan perbuatan mereka. Saya sendiri merasakan bahananya apabila terpaksa meringkuk di penjara kerana mendedahkan dokumen siasatan BPR terhadap kes rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik yang dicop RAHSIA.

Episod Mahathir-Abdullah ini jelas memperlihatkan sikap mereka yang hanya bertindak sekiranya membabitkan kepentingan mereka sendiri. Mereka sedia mendeklasifikasikan dokumen untuk mempertahankan diri tetapi tidak sanggup melakukan perkara yang sama terhadap dokumen rahsia yang membabitkan penyelewengan dan rasuah melibatkan jutaan ringgit wang rakyat.

Kenapa ketika itu, Mahathir Mohamad tidak mempunyai semangat yang sama? Kenapa selaku Perdana Menteri, beliau tidak bertindak mendeklasifasikan dokumen-dokumen berkenaan? Kenapa ketika itu beliau enggan mendedahkan mengenai amalan rasuah menterinya yang sudah disiasat oleh BPR?

Untuk menyekat penyalahgunaan OSA, kita sekali lagi mendesak agar diwujudkan Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information Act yang membolehkan rakyat memohon perintah mahkamah bagi mendapatkan maklumat-maklumat daripada kerajaan.

Kewujudan akta ini telah terbukti berkesan di beberapa negara. Di Britain misalnya, penggunaan peruntukan-peruntukan di bawah akta ini telah mendedahkan wujud unsur penyelewengan dalam bantuan Kerajaan Britain kepada Kerajaan Malaysia untuk membina Empangan Pergau di Kelantan. Bantuan tersebut diberikan sebagai balasan kepada pembelian senjata bernilai berbilion-bilion ringgit oleh Malaysia.

Mahkamah Tinggi di Britain kemudiannya membuat keputusan bahawa bantuan tersebut adalah tidak sah kerana pembinaan Empangan Pergau tidak memberi manfaat ekonomi mahupun kemanusiaan kepada rakyat Malaysia.

Perjuangan untuk mewujudkan akta ini perlu ditingkatkan secara gigih bersama organisasi-organisasi lain. Ini perubahan sistem yang kita mahukan demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Mereka perlu terus didesak merombak sepenuhnya akta drakonian seperti OSA. Ini yang enggan dilakukan oleh rejim Abdullah sedangkan ketika mula memegang kuasa beliau memperdaya rakyat dengan menjanjikan perubahan-perubahan yang meluas.

Selaras dengan kebebasan maklumat yang kita tuntut, kita juga menuntut kebebasan media. Tuntutan kita untuk media yang bebas bukan bermakna kita menuntut Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, stesyen-stesyen televisyen dan sebagainya yang dikuasai parti-parti pemerintah untuk simpati dengan perjuangan rakyat yang kita terajui.

Ini alat-alat propaganda yang dikuasai oleh parti-parti pemerintah. Maka sudah tentu liputan mereka berat sebelah. Sudah tentu mereka enggan berlaku adil kepada kita. Meski penguasaan parti pemerintah sering diselindungkan melalui penggunaan proksi, kita tidak mahu menghalang hak mereka untuk memiliki media massa. Malah mereka seharusnya berani untuk telus dan secara terbuka mendedahkan penguasaan mereka dalam syarikat-syarikat media tersebut.

Namun atas kepercayaan kepada hak untuk memiliki media massa ini, kita juga menuntut hak kita sebagai rakyat di negara merdeka ini untuk menerbitkan akhbar, mempunyai stesen televisyen, radio dan sebagainya. Hak ini tidak pernah diberikan. Malah permohonan permit untuk akhbar rasmi parti sekalipun sehingga kini dinafikan.

Seringkali pemerintah menafikan permohonan permit penerbitan dengan alasan bahawa organisasi atau individu yang memohon akan menyalahgunakannya untuk menghasut dan mengancam kestabilan negara.

Ini adalah pre-judgement yang sama sekali tidak berasas. Sama sahaja dengan penahanan tanpa bicara. Sama sahaja dengan serangan pre-emptive strike Amerika Syarikat ke atas negara-negara yang tidak pernah menyerang negaranya. Negara ini mempunyai undang-undang yang cukup untuk mendakwa sesiapa sahaja yang menyalahgunakan lesen penerbitan yang diberikan.

Keengganan rejim Abdullah memenuhi tuntutan-tuntutan kita mendapatkan hak ini mencerminkan nilai sebenar yang dipegang oleh beliau. Ia mendedahkan betapa kepercayaan beliau terhadap demokrasi dan kebebasan untuk rakyat sama rendahnya dengan sikap Mahathir semasa beliau memerintah dahulu.

Pastikan rakyat menjadi pemenang

Pada hemat saya, antara Abdullah dan Mahathir tidak ada bezanya. Mereka beroperasi menggunakan sistem yang sama. Keutamaan mereka juga sama – menguntungkan diri sendiri, keluarga dan kroni.

Adalah amat malang jika kita membiarkan episod pertembungan Abdullah-Mahathir ini menguasai gelanggang tengah kehidupan kita. Lebih malang jika kita buta bahawa membina institusi yang adil dan telus adalah lebih utama daripada membina jambatan herot.

Pendedahan Ketua Hakim Negara dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan mengenai betapa parah penyelewengan yang berlaku dalam sistem kehakiman tidak didebatkan dengan serius. Perhatian yang sewajarnya diberikan kepada isu yang sangat penting ini dicuri oleh serangan-serangan Mahathir Mohamad terhadap Abdullah Badawi.

Justeru saya menyeru rakyat khususnya elemen-elemen Reformasi – samada parti politik mahupun NGO – agar tidak terperangkap dengan drama politik kedua mereka. Kita mesti memahami keadaan yang berlaku. Kita harus perhalusi asas pertembungan mereka, yakni persoalan wang dan habuan untuk diri dan kelompok mereka semata-mata.

Jangan terikut-ikut dengan rentak mereka sehingga akhirnya dipergunakan untuk kepentingan mereka. Saya merayu agar jangan dikorbankan kepentingan rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan jangka pendek kelompok tertentu. Reformasi menyeluruh mesti diutamakan.

Kita mesti melakukan segala yang terdaya bagi memastikan pemenang sebenar dalam pertembungan ini adalah rakyat. Kita mahu natijahnya adalah perubahan berkekalan yang menguntungkan negara dan rakyat. Asas perjuangan kita tidak seharusnya untuk menyokong individu dan kepentingan sempit mereka.

Kita menyokong dan mendokong Reformasi bukan kerana individu. Kita menyebelahi Anwar Ibrahim ketika beliau menghadapi serangan Mahathir Mohamad adalah kerana kepentingan rakyat terbanyak.

Rekod Anwar Ibrahim dan komitmen beliau membela rakyat begitu terserlah. Justeru apabila beliau menghadapi masa-masa yang sukar maka sudah tentu rakyat yang menjulang beliau kembali. Ini rakyat lakukan kerana sedar Anwar Ibrahim adalah pilihan yang terbaik untuk memimpin Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.

Rakyat yakin, berdasarkan rekod dan komitmen beliau, kepentingan rakyat adalah menjadi keutamaan kepada beliau.

Kesemua ini membezakan antara perjuangan mereka dan perjuangan kita. Perjuangan mereka adalah perjuangan yang jahat. Perjuangan mereka mencabul hak rakyat. Selagimana mereka tetap dengan perjuangan ini, maka kita harus tegas dengan komitmen kita untuk membela kepentingan rakyat.

Kita sedar ketegasan kita ini mungkin mengundang padah. Sejak hari pertama kita melangkah ke alam perjuangan ini kita sedar. Adalah menjadi hukum alam kelompok yang berjuang demi keadilan dan kebenaran, demi membela kepentingan dan hak rakyat pasti akan bertembung dengan kelompok yang memperjuangkan kepentingan peribadi sehingga sanggup mencabul hak rakyat.

Namun kita juga sedar betapa tinggi harapan rakyat kepada kita untuk memimpin perjuangan membela hak mereka ini. Melihat kepada sambutan rakyat terhadap usaha kita memerangi rasuah dan penyelewengan, saya percaya kita sebenarnya sudah ada mandat rakyat untuk memimpin mereka.

Ini perlu kita zahirkan dalam bentuk kemenangan pilihanraya bagi membolehkan kita membentuk kerajaan dan melaksanakan janji-janji kita kepada rakyat.

Bersedia membentuk kerajaan alternatif

Berlangsungnya Kongres ini di Pulau Pinang adalah sangat bermakna kerana negeri ini yang akan menjadi fokus utama kita dalam pilihanraya yang akan datang.

Selaku sebuah parti politik sudah tentu kita bercita-cita untuk membentuk kerajaan melalui pilihanraya. Semua kita adalah demokrat dan pegangan teguh kita kepada demokrasi sebagai wahana perjuangan adalah jelas.

Meski kita pernah ditohmah dengan pelbagai fitnah sebagai bersikap militan, merancang untuk menggulingkan kerajaan dengan cara kekerasan, memiliki senjata dan berhasrat menimbulkan huru-hara; ternyata semuanya adalah dusta yang berniat jahat.

Bukan sahaja pihak yang menuduh tidak dapat membawa sebarang bukti untuk menyokong tuduhan mereka, malah rakyat sama sekali tidak menpercayai fitnah liar yang dihamburkan oleh mereka, meskipun diulang-ulang oleh media massa mereka.

Ini kerana komitmen kita kepada demokrasi adalah jelas dan nyata. Tetapi parti-parti di dalam BN yang kononnya mendokong demokrasi ternyata tidak mempunyai komitmen yang sama.

Sikap represif pemerintah, sekatan-sekatan terhadap rakyat, malah halangan-halangan terhadap demokrasi dalam perjalanan parti mereka sendiri membuktikan betapa rapuh pegangan mereka kepada demokrasi. Tindakan-tindakan menindas pemerintah selama ini membantutkan pertumbuhan demokrasi dan menjadikan keadaan negara ini sebagai demokrasi tempang atau illiberal democracy.

Apabila kita membentuk kerajaan usaha-usaha menyuburkan demokrasi akan menjadi keutamaan. Pengukuhan institusi-institusi demokrasi dan masyarakat madani akan kita perhebatkan. Kita akan mampu melakukannya kerana selaku demokrat tulen kita tidak takut kepada demokrasi.

Kita akan membentuk kerajaan melalui jalan pilihanraya. Kerana itu kita perlu terus-terusan meyakinkan seberapa ramai rakyat akan kemampuan dan keupayaan kita.

Rakyat harus tahu bahawa parti ini bukan sekadar pembangkang. Parti ini bersedia pada bila-bila masa untuk memikul amanah mentadbir negara. Yang kita tunggu hanya mandat rakyat melalui pilihanraya untuk membentuk kerajaan.

Sehingga itu diperolehi kita adalah a government in waiting.

Meski kita berhadapan parti lawan dalam keadaan padang yang tidak sama rata dan mereka pula memperalatkan sepenuhnya jentera-jentera negara untuk kepentingan politik, kita harus terus yakin bahawa kehendak rakyat akan akhirnya mengatasi semua kepincangan ini dan akhirnya kita akan mendapat mandat yang jelas untuk memerintah negara.

Membina wibawa ahli parti

Tatkala kita melakukan segala yang terdaya untuk mendedahkan dan menggagalkan segala tipu daya dan helah parti lawan dalam pilihanraya, kita jangan alpa bahawa masih banyak yang harus dilakukan untuk terus memperkukuhkan parti dan meningkatkan kualiti ahli.
Komponen asasi yang membina parti ini adalah ahli-ahlinya. Pada hemat saya komponen ini paling utama dan apabila kita memperkasakan ahli, maka sudah tentu parti dengan sendirinya menjadi perkasa, bahagian-bahagian menjadi mantap dan imej nasional keADILan akan kukuh.

Justeru saya menyeru para pejuang di hadapan saya ini dan seluruh Angkatan Muda keADILan untuk mengambil segala tindakan perlu bagi memantapkan kualiti ahli.

Bagi tujuan tersebut, terdapat cabaran-cabaran yang harus kita sama-sama atasi. Usaha mengatasinya adalah satu proses yang panjang. Namun kita tidak perlu menanti sehingga semuanya selesai. Sepanjang usaha tersebut, kita akan dapat melihat hasil dan kesannya.

Cabaran Pertama: Membudayakan ilmu dan menjadikan usaha menambah ilmu sebagai suatu gaya hidup.

Ahli parti yang benar-benar serius dalam perjuangannya akan mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan ilmu. Membaca seharusnya menjadi satu kelaziman dan malah kemestian setiap hari. Bidang dan topik yang dipilih sewajarnya tidak dihadkan kepada perkara-perkara ringan semata-mata, malah perlu meliputi tajuk-tajuk serius terutamanya mengenai perjuangan dan isu-isu kenegaraan.

Karya-karya yang mengungkapkan mengenai perjuangan rakyat secara obkejtif dan adil – samada di dalam negara atau di negara-negara asing – perlu diberikan perhatian. Sejarah adalah guru yang cukup berkesan. Pengalaman kejayaan dan kegagalan para pejuang boleh dimanfaatkan untuk perjuangan kita.

Saya yakin semua kita sedar akan kepentingan ilmu dalam memantapkan kualiti diri dan perjuangan. Hanya dengan ilmu kita akan dapat berhujah, secara lisan mahupun penulisan, dengan mantap. Hanya dengan ilmu kita akan dapat berjuang dengan lebih berkesan. Berbekalkan ilmu, kita dapat berkomunikasi secara mantap dengan rakyat untuk menyampaikan pendirian dan memperjelaskan dasar kita.

Untuk itu setiap bahagian seharusnya memulakan amalan mengadakan kumpulan-kumpulan diskusi secara tetap setiap minggu atau sekurang-kurangnya sebulan sekali. Perjumpaan ini tidak seharusnya digunakan untuk tujuan sembang-sembang ringan semata-mata. Ia harus dipandu oleh satu tajuk yang telah ditetapkan dan mempunyai bahan rujukan.

Ahli-ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Malaysia juga harus memberi komitmen kepada program ini di bahagian masing-masing. Selain itu mereka juga akan digalakkan untuk menulis dengan lebih aktif melalui pelbagai saluran dan media. Saya percaya Suara Keadilan akan bersedia memberi ruang yang lebih luas kepada pemimpin-pemimpin Angkatan Muda.

Untuk menyokong usaha pembudayaan ilmu ini, kita akan mendapatkan tokoh-tokoh masyarakat dan pemimpin-pemimpin parti untuk menulis makalah-makalah khusus yang akan dijadikan teks dan rujukan perbincangan.

Sebuah sekratariat perlu ditubuhkan di peringkat Pusat untuk memantau perkembangan usaha pembudayaan ilmu ini. Saya berharap ahli di setiap peringkat akan menyedari kepentingan usaha ini dan mengambil serius untuk menjayakannya.

Cabaran kedua ialah untuk meningkatkan kepedulian terhadap masyarakat setempat.

Di dalam keadaan kepentingan rakyat semakin terpinggir dan hanya projek-projek mega yang diberikan tumpuan oleh pemerintah, kita perlu mengisi kekosongan yang wujud. Saya sedar para ahli sentiasa prihatin terhadap isu-isu nasional. Namun pada masa yang sama, saya mahu kita memberikan perhatian yang lebih terhadap isu-isu setempat.

Kita seharusnya mampu menawarkan kepemimpinan dalam menghadapi masalah-masalah rakyat, meski ia adalah masalah yang terhad kepada sesuatu daerah atau kampung semata-mata.

Kita mahu pemimpin-pemimpin bahagian dikenali oleh masyarakat setempat. Pada masa yang sama kita harus berusaha mengenali seberapa ramai anggota masyarakat di kawasan kita. Malah penglibatan dalam organisasi-organisasi rakyat sewajarnya dipandang serius.

Kita harus menjadi nadi rakyat yang sentiasa sedar dan peka terhadap sebarang perkembangan atau masalah. Masalah-masalah yang dihadapi rakyat perlu kita angkat dan usahakan penyelesaiannya. Dalam keadaan sumber kita yang terhad, kita tidak seharusnya menunggu terjadinya tragedi atau masalah besar untuk bertindak.

Keprihatinan terhadap isu-isu harian rakyat akan membuatkan kehadiran kita benar-benar dirasai.

Cabaran Ketiga: Meningkatkan partisipasi aktif wanita muda dan keluarga.

Saya sangat bangga dengan penglibatan semakin ramai wanita muda dalam Angkatan Muda keADILan. Ini adalah satu petanda yang sangat baik dalam proses memperkasakan parti.

Namun penyertaan mereka harus kita transformasikan menjadi penglibatan aktif – dalam memegang jawatan di semua peringkat, dalam penyertaan aktiviti-aktiviti parti dan sebagainya. Malah kita tidak mahu menunggu lama untuk wanita mula memegang jawatan-jawatan utama dalam Angkatan Muda keADILan dan seiring memimpin pergerakan ini.

Dalam rangka mencergaskan parti, kita mahu semua ahli yang telah berumahtangga memastikan isteri atau suami mereka juga menjadi ahli dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti sekalipun tidak memegang jawatan.

Saya juga berharap ahli-ahli parti yang mempunyai anak muda dapat memastikan anak-anak mereka mendaftar sebagai ahli dan mengambil bahagian dalam aktiviti Angkatan Muda.

Saya gariskan hanya tiga cabaran utama. Ini yang asasi untuk kita segera atasi. Jika kita berjaya, saya yakin peningkatan ketara dalam kualiti dan kecergasan parti akan dapat dilihat dengan nyata.

Saya percaya usaha kita mengatasi cabaran-cabaran yang telah digariskan ini akan menjadikan kita benar-benar matang dan bersedia. Latihan yang dilalui dan pengalaman yang kita kutip akan memantapkan kita dan ia menjadi landasan bertolak untuk kita mencapai kejayaan yang lebih hebat.

Natijahnya ialah ia akan menjadikan kita benar-benar sebuah parti alternatif yang lebih baik kepada parti pemerintah sedia ada.

Menjamin keselamatan rakyat

Dewasa ini masyarakat menjadi semakin bimbang dengan kejadian-kejadian jenayah yang semakin berleluasa. Kes-kes ragut, bunuh dan sebagainya berlaku saban hari. Pihak berkuasa pula kelihatan seperti hilang punca dan tidak keruan dalam menangani masalah ini.

Kita menuntut pemerintah untuk merangka dan melaksanakan pelan yang mantap bagi menjamin keselamatan rakyat. Pada masa yang sama tindakan-tindakan segera perlu diambil untuk mengawal keadaan dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Apabila kita membentuk kerajaan, menjamin keselamatan rakyat daripada ancaman jenayah akan menjadi salah satu fokus utama. Kita akan tegas dalam mengambil tindakan terhadap penjenayah. Pada masa yang sama kita akan mengambil segala tindakan perlu untuk mencegah jenayah melalui usaha-usaha membina kesedaran dan sistem nilai di dalam masyarakat.

Sistem hukuman dan deraan semata-mata adalah tidak memadai untuk mencegah jenayah. Secara berperingkat-peringkat kita akan menghapuskan elemen-elemen yang mendorong perlakuan jenayah. Pengaruh negatif media massa, kesempitan hidup dan kehilangan arah hidup khususnya di kalangan anak muda adalah antara masalah utama yang mesti ditangani.

Kita tidak percaya dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional sekarang menahan tanpa bicara anak-anak remaja yang disyaki terlibat dalam kes ragut dan jenayah lain. Sebagaimana kita menentang penggunaan ISA untuk menahan tanpa bicara, kita juga menentang penggunaan Ordinan Darurat (EO) untuk menghadapi masalah jenayah.

Walaupun kita mahu jenayah dibasmi dan penjenayah menerima akibatnya, kita sama sekali tidak boleh berkompromi berkenaan hak tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil dan peluang membela diri.

Pendirian kita menolak penahanan tanpa bicara tidak bermakna kita tidak tegas menghadapi penjenayah. Mereka harus disedarkan bahawa crime does not pay. Kita yakin sistem keadilan sedia ada adalah memadai dan tidak ada keperluan untuk mencabul hak asasi manusia dalam usaha mencegah jenayah.

Antara punca berleluasanya jenayah adalah kerana masalah penyalahgunaan dadah. Gejala penyalahgunaan dadah mesti terus-terusan diperangi dan tumpuan kita nanti adalah terhadap pengedar-pengedar besar dan bukan lagi kepada pengedar runcit dan penagih semata-mata.

Kita akan menggerakkan usaha serius untuk mencantas masalah dadah ini di pangkalnya dan bukan hanya cuba mengubati simptomnya. Sekiranya perang terhadap dadah ini menuntut peruntukan yang lebih besar, kita perlu bersedia mengadakannya. Jika ia memerlukan kepada penglibatan lebih ramai tenaga manusia, maka ia perlu disediakan.

Kerana masalah ini serius. Kerana masalah ini sangat besar kesannya. Maka kita juga perlu serius. Kita juga perlu sanggup untuk bertindak secara besar-besaran mengatasinya.

Menjamin pembangunan yang adil untuk rakyat

Di dalam soal pembangunan, kita melihat masih berlaku ketempangan yang nyata. Sama seperti rejim sebelumnya, rejim Abdullah nampaknya memberikan tumpuan kepada pembangunan fizikal dengan pengumuman projek mega demi projek mega. Namun kita bimbang pada masa yang sama pembangunan insan dan sistem terabai.

Manakala perancangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) kelihatan cantik secara luarannya, pengalaman dengan program-program BN sebelum ini mengajar kita bahawa impak dan manfaat kepada rakyat adalah sangat terhad. Yang menjadi keutamaan kepada mereka ialah pembangunan fizikal yang menjanjikan kontrak-kontrak yang menguntungkan.

Masalah yang akan dihadapi ialah masalah pelaksanaan, rasuah dan ketirisan. Penggunaan begitu banyak wang rakyat, samada daripada Perbendaharaan mahupun tabung-tabung amanah dan Petronas sebahagian besarnya adalah untuk tembolok beberapa kerat kroni dan keluarga pemimpin BN semata-mata.

Langkah pertama untuk memastikan rakyat dapat menikmati kesan sebenar hasil negara ialah dengan membanteras rasuah dan penyelewengan. Ketelusan seharusnya menjadi amalan. Pemberian kontrak tanpa melalui proses tender terbuka, seperti pemberian kontrak pembinaan jambatan kedua di Pulau Pinang kepada UEM, mesti dihentikan dengan serta-merta.

Pemerkasaan BPR dalam menjalankan tugas akan memastikan manfaat kekayaan negara sampai kepada rakyat dan tidak hilang di peringkat perancangan dan pelaksanaan.

Pengumuman projek-projek besar dan Inisiatif Kewangan Swasta (PFI) yang melibatkan penyaluran keluar dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) adalah pendekatan pump priming untuk menggerakkan ekonomi negara. Pendekatan ini sudah terbukti tidak berkesan apabila yang dibina hanya bangunan dan struktur tanpa sebarang perancangan untuk mendatangkan perolehan secara tetap dan berterusan kepada negara.

Penglibatan Petronas, Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membangunkan kawasan-kawasan pertumbuhan baru di Utara, Pantai Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia menimbulkan keraguan. Ia sebenarnya mendedahkan kegagalan kerajaan untuk meyakinkan pelabur asing bagi membawa masuk Pelaburan Terus Asing (FDI).

Usaha membina keyakinan ini adalah perlu bukan kerana untuk mengikut telunjuk negara asing, tetapi demi kepentingan rakyat negara ini. Pembasmian korupsi, penyediaan iklim pelaburan yang adil dan perataan gelanggang (levelling the playing field) adalah antara keperluan-keperluan asas untuk meyakinkan pelabur asing. Sudah tentu semua ini juga baik kepada rakyat. Kerana itu kita selama ini berusaha keras menuntut perubahan-perubahan yang sama.

Kemasukan FDI khususnya di dalam sektor-sektor yang menyediakan pekerjaan yang banyak bagi rakyat Malaysia akan memberi perolehan secara berterusan kepada negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Yakin kepada generasi muda

Dalam usaha membangunkan insan, pelaburan sewajarnya perlu dibuat dalam bidang pendidikan – bukan sekadar membina universiti dan sekolah. Tetapi yang lebih utama ialah membangunkan kandungan pelajaran yang seimbang. Pendidikan seharusnya mampu membentuk insan berkualiti dan bukan sekadar memindahkan pengetahuan.

Kepincangan yang dilakukan oleh rejim Mahathir Mohamad selama ini harus diperbetulkan. Antara yang sangat jelas ialah dalam soal meminggirkan Bahasa Melayu. Pakar-pakar pendidikan dan bahasa telah mendedahkan dongengan yang digembar-gemburkan oleh Mahathir berkenaan perkara ini.

Apabila kita membentuk kerajaan, membetulkan kepincangan dan kecacatan yang ada akan terpaksa kita lakukan. Seiring itu, kita akan membina sistem dan melaksanakan pendekatan baru yang lebih berkesan.

Kita juga akan memperhebatkan pendemokrasian pendidikan khususnya di peringkat pendidikan tinggi. Setiap anak Malaysia yang layak dan ingin melanjutkan pelajaran akan disediakan tempat di dalam negara. Apabila tempat secukupnya disediakan di universiti dan institusi tempatan untuk pelajar ijazah pertama dan sarjana, penghantaran pelajar ke luar negara seharusnya ditumpukan kepada peringkat kedoktoran.

Untuk melahirkan pakar dalam bidang masing-masing, seharusnya tumpuan diberikan kepada penubuhan institut-institut untuk bidang-bidang khusus. Penubuhan Malaysian University of Science and Technology (MUST) misalnya, adalah langkah pada arah yang betul, tetapi kini kita tidak pasti dengan perkembangannya.

Kita perlu mencontohi institut-institut teknologi dan perubatan seperti di India. Institut yang mahu kita wujudkan nanti bukan sekadar untuk mendidik pelajar, tetapi pada masa yang sama ia akan berperanan untuk melakukan penyelidikan bertaraf dunia dan menjadi penggerak ke arah usaha Malaysia menjadi penyumbang kepada tamadun teknologi dunia.

Secara keseluruhan, pendidikan pada setiap peringkat harus mempunyai tujuan yang lebih tinggi daripada sekadar memindahkan ilmu pengetahuan. Pendidikan ialah untuk memupuk kebijaksanaan dan nilai murni yang akan menentukan kualiti insani. Ilmu yang akan membentuk citra dan wajah generasi muda kita.

Generasi muda adalah masa depan negara. Potensi mereka harus digilap dan dibimbing sehingga menjadi warga yang produktif dan menyumbang kepada kemajuan negara. Keyakinan mereka terhadap kemampuan diri perlu dibina dan dipupuk. Untuk tujuan itu, masyarakat perlu terlebih dahulu menunjukkan keyakinan yang teguh terhadap mereka.

Atas keyakinan ini, Angkatan Muda KeADILan membuat keputusan untuk mengusahakan pindaan Perlembagaan parti bagi menghadkan umur kesemua ahli – termasuk Ketua – Angkatan Muda keADILan hanya kepada 40 tahun sahaja. Ini adalah langkah progresif kita seterusnya setelah mengambil pendekatan berani membuka keahlian tanpa mendiskriminasi jantina.

Kita percaya satu pergerakan orang muda yang dipimpin oleh orang muda sendiri akan lebih dinamik dan mampu memahami permasalahan dan keperluan ahli-ahlinya. Justeru kepemimpinan organisasi tersebut akan benar-benar berkesan.

Antara sebab masalah yang dihadapi oleh belia di negara ini tidak dapat diatasi sebahagiannya adalah kerana kepemimpinan pertubuhan belia dipegang oleh mereka yang telah lanjut usia. Mereka ini tetap mahu terus memegang jawatan sebagai pengkalan untuk kepentingan politik.

Kita menyeru kerajaan untuk yakin terhadap golongan muda dan memberi peluang kepada mereka bagi memimpin organisasi mereka sendiri. Bagi menghadapi golongan yang memperalatkan organisasi belia untuk kepentingan politik, kerajaan perlu mempunyai ketegasan dan meletakkan syarat umur dan kelayakan yang jelas di dalam Akta Pembangunan Belia dan menguatkuasakannya.

Sikap was-was dan tidak percaya BN terhadap orang muda ini juga terserlah dengan keengganan mereka untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi menghapuskan larangan terhadap mahasiswa daripada melibatkan diri dalam organisasi kebangsaa atau di dalam politik.

Adalah tidak masuk akal melarang mahasiswa yang sudah layak mengundi pada umur 21 tahun daripada terlibat dalam politik. Mahasiswa harus dilihat sebagai suara hati rakyat yang tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi. Mereka tidak harus dikongkong atau disekat daripada menyatakan kebenaran dan mengkritik kepincangan.

Kenapa BN harus takut kepada mahasiswa sekiranya pemerintahan mereka jujur dan amanah? Pendekatan untuk cuba membisukan mahasiswa ini adalah kerana mereka gentar kelemahan dan kebobrokan mereka dibongkar oleh mahasiswa yang tidak dapat dikawal dengan rasuah.

Angkatan Muda KeADILan dengan ini sekali lagi menegaskan desakan agar bahagian Tatatertib di dalam AUKU dipinda dengan membuang kekangan terhadap berkembangnya idealisme mahasiswa Malaysia.

Membina Malaysia yang jujur kepada asasnya

Kebelakangan ini isu perhubungan antara agama menjadi topik perbincangan hangat di dalam masyarakat. Sejak sekian lama kita telah menganjurkan agar diadakan dialog antara tamadun. Dialog ini memungkinkan berlakunya perbincangan secara jujur dan waras.

Adalah amat malang jika perbahasan yang seharusnya menjadikan kita sebagai sebuah negara matang bertukar menjadi perbalahan yang merugikan. Hak setiap pihak untuk menyuarakan pandangan tidak seharusnya dinafikan. Namun dalam hal isu-isu sensitif, ia perlu dilakukan dengan penuh hati-hati agar ia tidak mengundang kemarahan pihak yang lain.

Kerajaan seharusnya memainkan peranan sebagai moderator atau orang tengah bagi memungkinkan dialog yang matang dan waras diadakan. Pihak-pihak yang terlibat mesti dipastikan mempunyai wibawa, mewakili kelompok masing-masing dan berfikiran terbuka untuk memberi dan menerima hujah yang rasional.

Namun malang sekali kerajaan ini gagal berbuat demikian. Kerajaan gagal melaksanakan tanggungjawab menyediakan saluran yang sewajarnya untuk dialog tersebut berlaku. Akibatnya mereka yang prihatin dengan isu tersebut mengambil inisiatif sendiri sehingga keadaan menjadi tidak terkawal dan bertambah buruk apabila mereka yang bukan ahli turut sama berhujah tanpa ilmu dan kepakaran.

Keadaan ini sebenarnya mencerminkan tahap keyakinan yang tersangat rendah di kalangan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional. Ia juga cerminan ketidakjujuran yang disemai di kalangan rakyat mengenai perjuangan awal pembentukan negara ini sebelum merdeka. BN hanya mahu menekankan mengenai kompromi antara kaum yang mereka juarai. Hakikatnya mereka tidak ingin rakyat memahami dengan mendalam asas-asas pembentukan negara ini. Akibatnya pembentukan negara dan bangsa kita menjadi tanpa roh, rapuh dan goyah.

BN tidak ingin membina Malaysia yang kuat dan jujur terhadap asasnya. Kerana apabila ini terbentuk, model mereka yang diasaskan atas kompromi yang menafikan hak sesuatu kumpulan sebagai balasan untuk memperolehi hak yang lain akan menjadi tidak relevan.

Untuk membina Malaysia yang mantap, kita perlu pertama sekali membetulkan tafsiran sejarah dengan adil dan jujur. Peranan pejuang-pejuang kemerdekaan perlu diiktiraf daripada seawal-awal gerakan menentang penjajah seperti Datuk Maharajalela, Tok Janggut, Mat Kilau dan Sharif Masahor sehingga kemudiannya Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam dan sebagainya.

Sumbangan organisasi-organisasi seperti Hizbul Muslimin, MPAJA, PKMM, Putera, AWAS dan API tidak sewajarnya dikesampingkan dan cuba dipinggirkan. Kita perlu jujur kerana hanya kejujuran yang akan memberi roh kepada negara ini.

Hanya sikap jujur akan memberi kekuatan untuk kita menghadapi dan menangani isu-isu sensitif seperti yang sedang melanda sekarang. Kegagalan atau keengganan kita berlaku jujur akan menyebabkan asas negara ini terus rapuh dan goyah.

Kepemimpinan berkesan asas penyelesaian konflik

Kelemahan Abdullah Badawi dalam memimpin memberi kesan negatif bukan sekadar kepada negara kita. Malah kelemahan yang sama memberi kesan yang ketara dalam hubungan antarabangsa dan serantau.

Masalah Myanmar misalnya terus melarat antaranya kerana kelemahan ASEAN dalam menanganinya. ASEAN memilih tafsiran yang terlalu luas dan kabur kepada prinsip tidak campurtangan (non-inteference) dalam hal dalaman negara anggota.

Penggunaan strategi ini terhadap Myanmar akan hanya menjauhkan lagi negara tersebut daripada demokrasi. Malah kini ia jelas kelihatan apabila Myanmar sudah memulakan usaha menjalin kerjasama dengan Korea Utara.

Kita percaya kemelut yang melanda rakyat Myanmar hanya boleh diselesaikan jika ASEAN meninggalkan dasar non-inteference yang sempit dan mengambil pendekatan constructive engagement. Pendekatan ini telah dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih sedekad lalu.

Oleh kerana pendekatan yang digunakan kini ternyata tidak memberi kesan, maka seharusnya ia diubah.

Yangon harus disedarkan bahawa mereka akan beroleh manfaat yang banyak sekiranya mereka memulakan langkah ke arah demokrasi. Langkah ini harus dibimbing oleh ASEAN secara kolektif sehingga akhirnya Myanmar akan dapat melihat bahawa mengamalkan demokrasi adalah memberi kelebihan kepada mereka.

Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih bermakna dalam hal ini. Namun apa yang boleh diharapkan daripada kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional yang tidak percaya kepada demokrasi dan hanya menggunakan pilihanraya sebagai jalan untuk memperolehi kuasa.

Konflik di Asia Barat berkali-kali meletus lalu mengakibatkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang bukan kepalang. Kita merakamkan simpati terhadap masyarakat di sana yang menanggung penderitaan yang tidak sedikit. Doa kita agar gencatan senjata akan dapat menjana keamanan yang berkekalan.

Jalan penyelesaian kepada konflik di Asia Barat perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh melalui dialog dan diplomasi. Antara punca ia sehingga sekarang masih tidak dapat diselesaikan adalah kerana kelemahan pemimpin-pemimpin Arab dan OIC sendiri.

Lebih malang apabila pertempuran yang tercetus diperalatkan untuk meraih keuntungan politik. Contoh paling jelas ialah demonstrasi yang diadakan oleh Pemuda UMNO untuk membantah serangan ganas Israel terhadap Lubnan dan Palestin. Sewajarnya Pemuda UMNO menggunakan sehabis-habisnya saluran dalaman untuk mengusahakan perubahan berkesan terhadap konflik yang berlaku. Kenapa mereka perlu melaungkan di jalanraya sedangkan mereka mampu menyuarakannya terus kepada kerajaan. Jelas mereka tidak serius dalam usaha ini.

Angkatan Muda keADILan mengutuk sekeras-kerasnya kezaliman Israel dan sekutunya terutama pentadbiran George W. Bush. Dalam waktu yang sama kita ingin menyatakan rasa kesal di atas kelembapan dan ketiadaan iltizam politik (political will) di kalangan pemimpin-pemimpin negara Islam dalam menghadapi tindakan ganas Israel ini.

Justeru Angkatan Muda keADILan menyeru anak-anak muda di seluruh dunia khususnya di negara-negara Islam untuk bangkit dan mendesak pemimpin-pemimpin negara mereka sendiri untuk menunjukkan kesungguhan dan mengambil tindakan bermakna bagi menghentikan kezaliman Israel.

Dalam konteks menghadirkan kepemimpinan berkesan bagi menanggapi kemelut dunia sekarang, beberapa negara telah mengemukakan cadangan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kita mengalu-alukan ini sebagai satu pengiktirafan kepada keupayaan dan kewibawaan beliau.

Pada masa yang sama, beliau telah melibatkan diri di peringkat antarabangsa. Antaranya sebagai Pengerusi Foundation of the Future dan juga ahli Lembaga Pengarah International Crisis Group. Peranan dan sumbangan beliau kepada masyarakat antarabangsa ternyata begitu bermakna dan dihargai.

Namun, Angkatan Muda keADILan berpendirian bahawa negara ini memerlukan kepemimpinan yang berkesan dalam menghadapi kemelut yang semakin parah. Malaysia perlukan Anwar Ibrahim.

Memperkukuh komitmen

Kita semua tahu bahawa jalan perjuangan yang kita pilih ini bukan sesuatu yang mudah. Namun demi masa depan rakyat dan negara ini, kita mesti menyempurnakannya. Kita perlu memperteguh komitmen dan iltizam melaksanakan tugas yang sudah kita mulakan.

Di Kongres yang lalu, saya menyebutkan mengenai pembinaan reformis tulen. Seorang reformis juga perlu komited. Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan agenda Reformasi. Antara tugas yang perlu diberi perhatian yang lebih serius adalah usaha menyedarkan rakyat. Kita perlu mengedarkan lebih banyak risalah secara sistematik menerangkan dasar dan pendirian kita dalam setiap isu, membongkar kepincangan pemerintah dan mendedahkan penyelewengan.

Kita perlu bekerja siang dan malam membina kekuatan dan memantapkan jentera. Yakinlah hanya kerja keras dan ketekunan yang akan dapat memberikan kejayaan kepada perjuangan ini.

Usaha keras kita sejak tahun 1998 ternyata kini membuahkan hasil. Kita melihat pendedahan-pendedahan yang kita lakukan kini terbukti benar. Pertembungan Mahathir-Abdullah memberikan kita kemenangan moral. Justeru kita perlu lebih berani. Kita perlu melipatgandakan usaha kita untuk melihat hasilnya dengan lebih pantas.

Sekarang adalah masa yang sangat kritikal untuk kita meningkatkan usaha kerana Kongres ini mungkin yang terakhir sebelum kita menghadapi pilihanraya umum. Kita perlu sedar, pilihanraya di Malaysia ditentukan oleh akar umbi. Oleh itu, tahap persediaan kita di peringkat Bahagian adalah yang paling penting.

Kita harus kenal para pengundi, kenal dengan pemimpin-pemimpin masyarakat. Mereka juga harus mengenali kepemimpinan kita sebagai sentiasa bersedia membantu rakyat. Kita perlu benar-benar menterjemahkan komitmen kita untuk membela kepentingan rakyat dalam bentuk praktikal.

Meski isu nasional akan menentukan mood secara keseluruhan, tetapi kegagalan beroperasi secara berkesan di peringkat akar umbi akan menggagalkan usaha kita.

Kita juga perlu bersikap inklusif dan berusaha mengumpul kekuatan anak muda tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik mereka. Kita perlu gembling tenaga generasi muda untuk melakukan reformasi dengan bersungguh-sungguh untuk kepentingan rakyat.

Atas dasar itu, saya melihat kita tidak seharusnya mempunyai masalah untuk menjalin hubungan dengan Pemuda Barisan Nasional sekalipun. Yang kita tentang, yang kita perangi adalah amalan rasuah mereka. Tidak sewajarnya kita membenci mereka kesemuanya. Namun saya faham jika saudara enggan bekerjasama dengan pemimpin mereka yang secara terang-terangan menjadikan rasuah sebagai cara hidup. Ini saya serahkan kepada kebijaksanaan saudara, asalkan kepentingan rakyat yang menjadi pertimbangan utama.

Di kala kita membuat perubahan-perubahan pendekatan, kita tidak akan berkompromi dalam perkara-perkara asas. Kepentingan rakyat tidak akan kita korbankan. Perjuangan kita menentang rasuah, menegakkan keadilan tidak akan kendur.
Kita tetap tegas dan komited dengan perjuangan Reformasi. Kita akan terus mempertahankan agenda Reformasi untuk membela kepentingan rakyat. Komitmen ini yang saya pohon daripada saudara dan komitmen yang sama saya pertegaskan daripada saya.

Sekian. Selamat berkongres.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home