SepangOnline

Saturday, September 02, 2006

Ucapan Dasar Kongres Nasional oleh Presiden, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

 Iftitah kata..

Saudara-saudari para perwakilan dan pemerhati yang dihormati sekalian,

KONGRES PERSIAPAN PILIHANRAYA

Kongres Nasional keADILan pagi ini amat bermakna kepada kita. Kita berhimpun dalam suasana harmoni dan semangat juang yang tinggi. Semangat Hari Kemerdekaan yang dirai dua hari lalu kita bawa bersama ke dalam dewan ini disertai azam untuk melakukan perubahan kepada senario politik tanahair.

KeADILan mewarisi kejayaan payah pejuang kemerdekaan dan keadilan sosial yang dipelopori Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan diteruskan pula oleh Parti Rakyat Malaysia. KeADILan ditubuhkan apabila seruan Reformasi dilaungkan pada 1998 yang sekali gus menunjukkan rakyat mula menolak pimpinan kerajaan BN yang ternyata pincang dan bersifat perkauman. Selama tujuh tahun ini keADILan telah banyak menyaksikan perubahan-perubahan nyata di dalam mahupun di luar negara.



Di arena antarabangsa kita telah menyaksikan bagaimana kuasa besar Amerika Syarikat secara rakus menceroboh negara Iraq yang telah mengakibatkan semakin rancaknya kegiatan keganasan dunia. Baru-baru ini, Israel pula bertindak memerangi Wilayah Labenon yang telah membawa kemusnahan dan pertumpahan darah yang dahsyat terutama kepada wanita dan kanak-kanak. KeADILan konsisten menolak dan mengecam sebarang bentuk penaklukan dan penindasan kuasa asing terhadap mana-mana negara yang merdeka. KeADILan juga mengecam segala bentuk terrorisme meskipun ia dilakukan atas dasar agama, tamaddun mahupun keselamatan antarabangsa.

Hari ini pula kita menyaksikan bagaimana pergolakan di dalam pimpinan kerajaan pada tahap yang begitu merimaskan rakyat. Rakyat juga semakin melihat bahawa UMNO adalah parti perkauman apabila pimpinan tertinggi Pemudanya dengan secara sengaja cuba mewujudkan ketegangan kaum semata-mata mahu menutup keaiban diri dan penyelewengan yang dilakukannya. Kita kesal kerana beliau sanggup meletakkan keharmonian rakyat sebagai batu galas dan ternyata tindakannya benar-benar memalukan pimpinan hari ini.

Justeru kewujudan keADILan semakin relevan kerana meskipun kita adalah parti muda namun perjuangan kita adalah perjuangan rakyat dan melampaui batasan agama dan kaum. Walaupun kita terpaksa bertarung dalam gelanggang yang berat sebelah tetapi kita berbangga kerana kita bukanlah sebuah parti pilihanraya semata-mata. KeADILan adalah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia dari berbagai bangsa, etnik dan latar belakang agama serta budaya.

KeADILan telah menampakkan perkembangan yang sangat mengkagumkan apabila penglibatan pelbagai kaum menjadi semakin signifikan. Kemasukan lebih dari 2000 orang kaum India baru-baru ini telah memantapkan lagi perjuangan kita. Begitu juga dengan kemasukan beramai-ramai kaum Khadazan dari Sabah telah membuktikan kita semakin mendapat sokongan rakyat Malaysia.

Semangat hari ini juga kita gapai dengan berjayanya kita bertapak di DUN Padungan, Bumi Kenyalang. Kita juga menyaksikan semangat mahukan perubahan rakyat Sarawak di kesemua DUN yang kita bertanding kerana margin kekalahan yang tipis terutama di DUN Saribas iaitu hanya 93 undi.

Mari kita jadikan kesempatan ini fokus untuk berbincang dan merumuskan beberapa aspek dasar-dasar Parti dan kaedah terbaik bagi kita menghadapi Pilihanraya Umum kelak. Memang menjadi hasrat keADILan, mahu menang dengan cemerlang dalam pusingan kali ini dan dengan izin Allah ingin membentuk sebuah kerajaan yang sah. Semangat dan cita-cita ini ibarat orang yang berpantun:

Buluh runcing atas tikar,
Patah arang pada belangnya;
Tujuh musim gunung terbakar,
Baru sekarang nampak julangnya.

Saudara-saudari sekalian,

PERJUANGAN MURNI BERSEJARAH

Negara baru saja menyambut ulang tahun Kemerdekaan. Hari ini, Parti kita benar-benar mahu membawa cita-cita murni pejuang awal kemerdekaan. Kita berbangga menjadi parti yang demokratik, yang merdeka jiwanya dan dapat meneruskan tradisi perjuangan membela rakyat. Perjuangan kita boleh juga diungkapkan dengan kata sejarah seperti: untuk menegakkan perpaduan, pembebasan dan persamaan dan membentuk pemerintahan daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.

Inilah juga cita-cita pejuang-pejuang bangsa terdahulu, termasuklah [allahyarham] Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin al-Helmi.

Dr Burhanuddin mengungkapkan cita-cita itu dengan kata-kata bersejarah:

Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatupadulah seluruh baka
Membela hak keadilan pusaka!

Malaysia mencapai kemerdekaan kerana muafakat antara kaum dan kita bersyukur kerana dapat menyambut ulangtahun kemerdekaan pada setiap tahun. Saya prihatin bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak lebih senang untuk menerima tarikh penggabungan mereka ke dalam Malaysia pada 16 September 1963. Walau apapun, sambutan hari Merdeka seharusnya bukan hanya untuk berpesta-pestaan jauh sekali untuk bermegah-megah dengan pembaziran. Makna “Merdeka” harus menimbulkan keinsafan dan semangat kebebasan.

Memang rakyat boleh bergembira dan berbangga mengibarkan bendera. Tetapi kita harus menyedari Merdeka seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas. Justeru, Merdeka tidak bererti sepenuhnya jikalau ramai rakyat yang masih melarat, miskin atau ditindas. Begitu juga jika rakyat masih dipecah-belahkan melalui pemisahan parti-parti politik berasaskan kaum, di samping perlaksanaan dasar-dasar tertentu yang membeza-bezakan antara kaum di kalangan rakyat Malaysia, nikmat Merdeka sebenarnya masih belum tercapai.

Saya lihat, selagi muafakat Merdeka tidak dihayati, selagi semangat penting dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak dihormati, selagi itulah rakyat menjadi tidak karuan, resah gelisah dan bercakaran sesama sendiri. keADILan komited di dalam mempertahankan kedaulatan negara dengan kesedaran dan cita-cita menegakkan keadilan tanpa batasan kaum dan agama serta memberi ketuanan kepada rakyat. Kami menegaskan :

Alang-alang bertukang terbuang kayu
Alang-alang mandi biar basah;
Alang-alang berjuang terus maju
Membujur lalu, melintang patah.


Sidang kongres sekalian,

MENEGAKKAN MASYARAKAT MADANI

Sesungguhnya masa depan akan menyaksikan sesuatu yang amat menarik. keADILan adalah parti masa depan Malaysia. Ia parti pelbagai kaum. Namun ia menerima penampilan Melayu yang signifikan memandangkan realiti sejarah serta demografi politik Malaysia dan juga rantau ini secara keseluruhannya. Ia menampilkan juga nilai-nilai Islam yang universal, tanpa mengenepikan nilai-nilai agama lain, yang memperlihatkan keserasian. Pada masa yang sama keADILan mempunyai idealisme politik berteraskan Masyarakat Madani, yang berkemampuan menjadi idealisme penyatuan dalam perjuangannya.

Masyarakat Madani yang cuba kita kemukakan berasaskan prinsip akhlak dan pemerintahan berlandaskan hukum. Kita akan berusaha menyemai benih kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, memulangkan nilai keperimanusiaan serta membajai sikap berlapang dada.

Kita akui kekuasaan pula perlu diamanahkan kepada pihak berwibawa yang dipilih secara demokrasi, bukannya dalam genggaman seorang individu. Demokrasi yang dilaksanakan secara saksama, dengan memberi pertimbangan kepada segala kenyataan sosial dan politik, akan menjamin keteraturan dan kestabilan kerana ia memberi ruang untuk meluahkan keluhan dan ketidakpuasan. Isu yang diperselisihkan pula didebatkan secara terbuka. Justeru, demokrasi akan menghalang nafsu serakah dari meledak.


Penasihat Parti, Anwar Ibrahim pula mengungkapkan : Masyarakat Madani adalah suatu masyarakat dengan sistem sosial yang subur, cekap dan saksama, berpaksikan prinsip moral, keseimbangan antara kebebasan perseorangan dan kestabilan masyarakat yang mendorong daya usaha dan inisiatif individu, serta pemerintahan yang mengikut undang-undang.

Sidang Perwakilan sekalian,

INTEGRASI NASIONAL

Akhir-akhir ini ketegangan kaum nampaknya cuba diperkuatkan oleh ketegangan pandangan tentang beragama dan hak memilih agama. Pandangan yang dilontarkan telah dilakukan secara terbuka dan penuh emosi oleh golongan tertentu. KeADILan sentiasa merai sebarang bentuk usaha mewujudkan perbincangan tetapi dengan cara yang sederhana, rasional dan penuh tanggungjawab. Perbincangan untuk mencari kebenaran, atau sekurang-kurangnya persetujuan pandangan tidak harus disekat dengan arahan apatah lagi ugutan.

Kami berpendapat, perpaduan sebenarnya mestilah berteraskan kepada nilai keadilan serta nilai-nilai universal bersama yang disuburkan dalam suasana kebebasan dan hormat-menghormati. Kuasa yang ada seharusnya digunakan untuk mengukuhkan nilai-nilai moral yang murni dan bukannya untuk kekuatan dan kemegahan. Persoalan nilai moral atau akhlak sewajarnya menyanjungi semua spektrum dalam kehidupan dan peradaban manusia.

KeADILan amat prihatin dengan hubungan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur yang walaupun usia Persekutuan Malaysia telah mencecah 43 tahun namun jurang dari segi ekonomi, pembangunan sosial, kebudayaan dan pendidikan masih melebar. Meskipun Sabah dan Sarawak banyak menyumbang sumber kekayaan alam dan pertumbuhan ekonomi namun pengagihan kekayaan kepada negeri–negeri tersebut masih rendah. Walaupun Sarawak adalah negeri pengeluar petrol dan gas tetapi Sarawak merupakan negeri yang paling ramai rakyat termiskin. Tindakan kerajaan menaikkan harga petrol kononnya untuk pembangunan pengangkutan telah mendiskriminasi rakyat Sarawak yang bukan sahaja pengeluar petrolium tetapi terpinggir pula dari pembangunan infrastruktur.


Pembangunan infrastruktur yang tidak seimbang di Sabah dan Sarawak telah menzalimi rakyat di sana. KeADILan berpendapat Sabah dan Sarawak seharusnya mempunyai Pelan Induk Ekonomi tersendiri. Pelan itu hendaklah mengkhususkan kepada pembangunan negeri tersebut bagi menjana peluang pekerjaan dalam mengatasi masalah pengangguran di sana.

KeADILan menghormati kehendak rakyat Borneo kerana Persekutuan Malaysia di bentuk atas muafakat kesatuan negeri-negeri dalam memberi kesejahteraan kepada semua rakyat di dalam Persekutuan. KeADILan sentiasa mementingkan perpaduan dan mahukan rakyat Sabah dan Sarawak menikmati semangat Persekutuan secara adil dan saksama. Perkara 17 yang dimeterai semasa pembentukan Persekutuan hendaklah dikotakan tanpa berdolak dalih lagi.

Sabah dan Sarawak begitu kaya dengan kepelbagaian kaum dan etnik dan ia merupakan satu khazanah negara yang amat berharga. Suku kaum Iban Malanau Orang Ulu Khadazan Dusun Murut Bidayuh adalah antara suku kaum yang tinggi nilai budayanya. KeADILan dengan ini mencadangkan agar kerajaan berusaha mengembangkan bahasa dan budaya kaum-kaum tersebut dengan membina satu institusi khusus untuk mengkaji dan memajukan budaya dan bahasa masyarakat ini. Institut Kajian Borneo hendaklah mula diperkenalkan di Universiti Malaysia di Sabah dan Sarawak. Selain dari memelihara khazanah negara saya yakin ia juga dapat mewujudkan intergrasi nasional tulen di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur yang ternyata gagal sebelum ini.


Sahabat-sahabat seperjuangan,

KEADILAN SOSIO-EKONOMI

Ekonomi dunia sedang menyaksikan tempoh pertumbuhan yang belum pernah dilihat sebelum ini. Sebab utamanya ialah pertumbuhan pesat di China, India dan Russia. Tetapi ada risiko yang semakin mencabar akhir-akhir ini. Risiko utamanya berpunca daripada ketidakimbangan akaun semasa antara ekonomi-ekonomi utama dunia dan ancaman peningkatan harga minyak yang lebih serius lagi berikutan konflik di Timur Tengah dan kapasiti pengeluaran lebihan yang terhad.

Inflasi semakin menjadi faktor yang harus diambil kira dengan prospek peningkatan kadar faedah dunia yang berterusan. Pasaran kewangan menjadi semakin tidak stabil dan ada persepsi risiko telah bertambah di dalam sistem sejagat. Perbincangan perdagangan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) telah digantung, menjadikan prospek Rundingan Doha yang berjaya lebih sukar untuk dicapai. Selagi risiko ini terus wujud, kestabilan dan pertumbuhan dunia terus terancam.

Pelancaran RMK-9 baru-baru ini dan Belanjawan negara gagal memacu pertumbuhan ke tahap mampan. Peniaga, pengilang dan kontraktor mulai mengalami kesusahan. Indeks utama, termasuk indeks pengeluaran, secara umumnya tidak meningkat. Pertumbuhan Penggunaan Persendirian telah berkurangan kepada 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini, dari 9.0 peratus pada suku ke empat tahun 2005.

Dalam keadaan ekonomi lembab sedemikian kerajaan pula telah menaikkan harga minyak dan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus. Kadar inflasi menunjuk kepada 4.6 peratus indeks pengguna teratas, meskipun indeks sebenar bagi harga barang keperluan adalah lebih tinggi lagi. Secara tunasnya kadar faedah sebenar telah menjadi negatif dengan kadar inflasi yang lebih tinggi. Keadaan ini pastinya menekan kehidupan rakyat, terutama pegawai kerajaan, pekerja kilang, petani, peladang dan nelayan. Sementara itu kadar pengangguran terus meningkat, malah pengangguran di kalangan siswazah telah mencecah 60, 000 orang.

Kita bersetuju dengan dasar untuk membantu peniaga-peniaga Bumiputera, tanpa mengenepikan yang bukan Bumiputera. Akan tetapi kita tidak bersetuju dengan amalan lebih mengutamakan hanya kroni dan suku sakat pimpinan pemerintah, walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa pengalaman atau kebolehan. Kita mahu melahirkan peniaga dan usahawan yang tulen.

Sejak krisis kewangan 1997, Malaysia sampai hari ini pun belum mampu pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk bangkit bersaing dengan negara-negara lain seperti Korea Selatan, Taiwan, China dan India. Kita semakin tertinggal jauh, terutama apabila dibanding pendapatan per-kapita dan diukur dengan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Laporan Pembangunan Manusia ( Human Development Report ) dua tahun lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara golongan kaya-miskin yang paling lebar berbanding dengan negara-negara serantau. Nisbah perbezaan antara kaya-miskin di Malaysia ialah 22.1% manakala di Singapira 17.7%, Filipina 16.5%, Thailand 13.4% dan di Indonesia 7.8%.

keADILan telah membentangkan satu agenda ekonomi yang cukup tuntas, yang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Baru [AEB]. Agenda tersebut kita bentangkan bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru [DEB] yang jelas gagal mencapai matlamat sepenuhnya; gagal bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian ekonomi orang Melayu tetapi tidak releven untuk menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi negara keseluruhannya.

Semangat dan roh DEB telah dikhianati apabila ia ditunggangi oleh segelintir elit politik dan ekonomi yang bersekongkol untuk memunggah kekayaan negara. Atas nama Bumiputera, segelintir korporat kroni dan pemimpin politik pemerintah menjadi kaya raya. Penumpuan kekayaan di kalangan mereka menimbulkan jurang sosio-ekonomi semakin buruk. Namun, pemimpin parti pemerintah masih menyibarkan propaganda dengan menanamkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa nasib orang Melayu akan lebih buruk sekiranya DEB dihapuskan.

Sasaran 30% penguasaan ekonomi oleh Bumiputera dalam DEB ternyata gagal, kerana walaupun telah dilaksanakan selama 36 tahun kita hanya mencapai setakat 18% sahaja. Harapan di dalam DEB indah di atas kertas tetapi kenyataannya sangat buruk sekali. DEB nampaknya lebih berjaya mematikan hasrat untuk melahirkan peniaga dan pengusaha yang tulen. Selain itu ia melebarkan lagi jurang pendapatan di antara wilayah, di antara kaum dan juga dalam tiap-tiap kaum, khususnya Melayu.

Mengenai kemiskinan pula, kadar kemiskinan diakui sudah menurun, tetapi jurang di antara miskin-kaya, sebagaimana yang dinyatakan lebih awal, semakin melebar. Sebenarnya, jikalau garis kemiskinan dinaikkan mengikut taraf hidup terkini dan tidak dibekukan pada garis yang lama, kadar kemiskinan sebenar tidak akan serendah yang ditunjukkan sekarang.

Kemiskinan tidak mengenal kaum. keADILan berpendapat bahawa segala rancangan untuk membanteras kemiskinan hendaklah dilakukan secara adil dan ini dinyatakan secara tegas di dalam Agenda Ekonomi Baru. Justeru, orang Melayu usah gusar dengan propaganda bahawa tanpa DEB Melayu akan terpinggir kerana kenyataannya 70% golongan miskin adalah orang Melayu. Agenda Ekonomi Baru akan menumpukan bantuan kepada golongan miskin ini dan ia melampaui batasan kaum. Nasib orang miskin bukan Melayu akan tetap dibela. Di sinilah konsep ”Kepedulian Rakyat” atau konsep ”Ekonomi yang Manusiawi” akan kita perkenalkan dan laksanakan.


Saudara-saudari sekalian,

Semalam Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet Defisit 2007. Belanjawan dan peruntukan kewangan negara yang tidak berimbang telah merimaskan hati pembayar cukai kerana ia juga menunjukkan bahawa negara ini masih tidak berdaya untuk keluar dari kelembapan ekonomi setanding dengan beberapa negara yang pada tahun 1980-an dan 90-an berada sebaris dengan Malaysia.

Pembayar cukai mahukan sistem percukaian yang lebih adil. Perbincangan telah kerap kedengaran untuk melaksanakan sistem ” cukai tambahan nilai” ( value added tax-VAT ) kerana sistem ini dilihat lebih adil memandangkan cukai akan dikenakan mengikut nilai sesuatu barangan. Justeru, secara prinsipnya golongan yang lebih berkemampuan akan membayar cukai yang lebih tinggi berbanding dengan golongan miskin.

KeADILan berpendapat sememangnya kita sewajarnya mulai memikirkan secara serius perlaksanaan sistem ”value added tax” di atas. Walau bagaimanapun, kesan yang agak ketara ialah rakyat akan terpaksa menanggung dua bebanan cukai iaitu cukai pendapatan individu atau korperat dan cukai barangan belian jika tidak dibuat dengan teliti. Kita juga maklum bahawa kos pengurusan bagi sistem VAT ini sangat tinggi dan ditakuti jika dilaksanakan, jumlah cukai yang dikutip tidak dapat menampung kos pengurusan apatah lagi kos pembangunan negara.

KeADILan menegaskan adalah jauh lebih penting untuk mengkaji bagaimana wang kutipan pembayar cukai tersebut dibelanjakan dan diagih-agihkan. Apa yang kita lihat kos mengurus dan mentadbir negara telah meningkat sekali ganda sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu mencecah lebih 100 billion ringgit. Ini bermakna, meskipun kutipan meningkat 10% ia masih belum mampu menampung kos pengurusan. Akhirnya peruntukan untuk pembangunan tidak dapat dilaksanakan. KeADILan dengan ini menggesa agar kerajaan harus membuat belanjawan yang berimbang dan berhemah. Setiap Ringgit yang dikutip dari rakyat hendaklah dibelanjakan bagi kepentingan rakyat.

Apatah lagi perbelanjaan berbilion-bilion ringgit untuk projek-projek gajah putih ini sering disusuli dengan penyelewengan dan korupsi di kalangan pemimpin-pemimpin politk dan pegawai-pegawai tinggi tertentu. Kita tidak mahu projek pembangunan disalahguna serta diseleweng oleh pegawai, kontraktor dan peniaga yang tidak amanah tidak bertanggungjawab dan hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

KeADILan menggesa kerajaan menghentikan gaya pengurusan ekonomi secara boros dengan peruntukan yang sangat besar diberikan kepada acara pesta dan keraian. Begitu juga belanjawan yang amat tinggi digunakan bagi tujuan pengiklanan misalnya ketika memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia. Memang kita mahukan pulangan dari industri pelancongan tetapi keADILan merasakan ada cara lain untuk mendapatlkan pulangan tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan insentif dan pengecualian cukai kepada industri pelancongan dan ejensi pelancongan swasta yang berjaya membawa kemasukan pelancong dengan ramai. Begitu juga insentif boleh diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa seperti Emirates yang berjaya membawa sejumlah pelancong yang menggunakan penerbangan mereka dengan mengecualikan yuran pendaratan (landing fee). Dengan cara ini, tanpa mengeluarkan modal 520 juta ringgit untuk pengiklanan, negara masih mampu mendapat imbuhan dari sektor pelancongan. Ini adalah contoh kecil yang mahu saya kongsi bersama sidang sekelian.

KeADILan juga menegaskan sebarang bentuk cukai dan kadar yang dikenakan hendaklah menjurus kepada “Sustainable Development Concept”. Cukai-cukai hendaklah mesra rakyat, mesra alamsemulajadi dan mesra para peniaga kecil dan sederhana. Kita akan memastikan cukai yang dikenakan tidak akan menyusahkan perniagaan mereka hingga tidak mampu bertahan lama. KeADILan akan mula membincangkan secara serius perkara ini untuk pengetahuan rakyat.


Sidang Kongres sekalian,

REFORMASI PENDIDIKAN

Pendidikan adalah salah satu institusi penting untuk membawa perubahan. Walaupun sistem pendidikan negara mempunyai potensi besar tetapi malang sekali keadaannya semakin buruk. Sebabnya ialah dasarnya sudah kehilangan arah tuju dan perlaksanaannya tidak memuaskan. Akibatnya mutu pendidikan di semua peringkat semakin merosot.

Kerajaan berada dalam keadaan keliru dan kusut untuk membangunkan sistem pendidikan nasional. Memang menteri-menteri sering bercakap kononnya kerajaan serius di dalam bidang pendidikan tetapi pada masa yang sama, peruntukan di dalam bidang Pendidikan Rendah di dalam RMK-9, jauh lebih rendah dari RMK-8.

Kita tidak faham mengapa tiba-tiba Kerajaan boleh menambah peruntukan bagi bidang ketenteraan tetapi mengurangkan kira-kira RM300 juta peruntukan pendidikan rendah. Kajian oleh sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ) menunjukkan bahawa perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malayasia untuk pendidikan peringkat rendah secara pukul rata adalah lebih rendah daripada perbelanjaan yang dikeluarkan oleh negara-negara di Afrika.

Saya ingin sebutkan di sini bahawa masih ada sekolah rendah di negara ini yang pencapaian pemeriksaan sekolah rendah atau UPSR sangat mengecewakan. Dalam satu kajian oleh Persatuan Guru-guru Malaysia, lebih 100,000 murid tahun satu tidak boleh menulis dan membaca dengan baik dalam Bahasa Malaysia, apatah lagi dalam Bahasa Inggeris. Dasar mengajar subjek Matamatik dan Sains di dalam bahasa Inggeris ternyata gagal, terutama di kalangan murid di kawasan kampung, ladang, setinggan dan kawasan-kawasan mundur yang lain. Angka 100,000 itu tidak dicampur lagi dengan generasi pertama yang menjadi tikus putih kepada eksperimen dasar itu. Namun amat mendukacitakan kerana kerajaan masih belum mahu berganjak dengan keputusan tersebut dan sanggup memperjudikan masa depan dan nasib anak bangsa.

Lebih malang lagi kesan dari dasar dan perlaksanaan Kerajaan yang tidak tegas juga telah menyebabkan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan semakin lemah. KeADILan memandang serius perkara ini. KeADILan juga akan memastikan penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa ibunda lain dapat ditingkatkan dan dikembang di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Kita sedar bahawa bahasa Inggeris penting, sepertimana juga kita sedar bahasa bahasa Arab, Perancis dan bahasa dunia lainnya juga tidak kurang pentingnya. Kami berpendapat, dalam soal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, adalah sangat perlu kita memperkenalkan semula pembelajaran dan pengajaran matapelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri kepada murid-murid sejak di Tahun Satu lagi. Bahkan pada peringkat lebih tinggi pula kita harus menggalakkan pembelajaran Sastera Inggeris.

Begitu juga dengan bahasa-bahasa dunia lainnya. Semua ini perlu dilakukan tetapi tidak dengan mengorbankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara (lingua franca) yang diterima sebagai Bahasa Kebangsaan.

Di peringkat Pengajian Tinggi pula, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa mutu universiti-universiti tempatan dan juga graduan-graduan yang dikeluarkannya secara umum semakin menurun. KeADILan amat memandang serius perkara ini kerana masa depan negara ini terletak di tangan golongan ini. Kemerosotan mutu universiti ini antara lainnya disebabkan oleh hilangnya autonomi Universiti dalam negara kerana telah bertukar menjadi seperti jabatan kerajaan dan gagal bertindak sebagai pusat ilmu yang tulen.

Campurtangan politik juga adalah punca utama kemerosotan mutu ini. Perlantikan pegawai-pegawai penting Universiti ditentukan pada dasar politik dan mengakibatkan pegawai ini gagal memberi pimpinan akademik secara yang berkesan. Perlantikan bagi jawatan-jawatan akademik juga dipengaruhi oleh unsur politik dan tidak berdasarkan kecemerlangan akademik. Keadaan menjadi lebih rumit apabila wujud pelbagai undang-undang dan pekeliling yang mengongkong fikiran bagi menimbulkan psikologi takut di kalangan pelajar dan tenaga pengajar untuk mengeluarkan pandangan dan menghasil karya yang benar-benar bersifat akademik.

Apa yang hendak saya tegaskan di sini ialah sistem pendidikan negara, di semua peringkat, menghadapi pelbagai masalah dari segi mutu, bahasa, kurikulum, kecekapan penuntut, dedikasi guru, peruntukan kewangan, kelakuan anti-sosial, bahkan juga rasuah.

Negara hari ini memerlukan Reformasi Pendidikan secara menyeluruh. Kajian secara mendalam serta penuh tanggungjawab mesti dilakukan segera. Kajian ini hendaklah dilakukan oleh sebuah Suruhanjaya bebas serta berwibawa, yang dianggotai oleh wakil-wakil dari pelbagai golongan, aliran, kepentingan dan latar belakang.


Sidang Kongres yang dimuliakan.

KESIHATAN HAK SEMUA

Bagi keADILan, hak mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan adalah hak rakyat. Perkara ini diakui oleh Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan menetapkan bahawa setiap warganegara mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan rawatan. Malaysia menandatangani deklarasi ini. Oleh itu, dengan mengukur pendapatan isi rumah yang masih rendah, penswastaan hospital buat masa ini adalah dasar yang menzalimi rakyat. Kita tegas menolak cadangan ini.

Dasar kita ialah memberikan kadar rawatan dan penjagaan kesihatan yang paling minima kepada rakyat. Kita boleh menyumbang kepada sektor “pelancongan kesihatan” (health tourism) untuk menjadikan negara ini destinasi hospital dunia. Hospital swasta boleh didirikan dengan kualiti lima-enam bintang untuk menjadikan negara memperolehi keuntungan daripada warga asing yang mahu mendapat perkhidmatan rawatan di sini.

Pada masa yang sama, kita harus melahirkan doktor dan doktor pakar yang lebih ramai, yang boleh berkhidmat di hospital-hospital awam, tanpa mengutamakan keuntungan bagi diri sendiri, tetapi lebih mementingkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Masalahnya ialah bagaimana hendak memastikan mereka tidak akan berhijrah ke luar negara atau kepada sektor swasta selepas beberapa waktu. Justeru, insentif dan galakan yang sejajar dengan kepakaran mereka harus difikirkan secara serius. Ini termasuk memanggil rakyat Malaysia yang sedang bertugas di luar negara untuk kembali dan bertugas di dalam negara. Di sinilah sebenarnya kewibawaan dan kebijaksanaan kerajaan hari ini terukur.

Masalah kos perubatan menjadi lebih teruk apabila penswastaan ubat-ubatan dilaksanakan. Hari ini pengamal perubatan swasta pula dihimpit apabila kerajaan mewajibkan prasarana yang membebankan di klinik-klinik swasta. Peraturan kerajaan tersebut akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat kerana para pengamal perubatan swasta terpaksa menaikkan yuran perkhidmatan mereka demi menampung kos penyelenggaraan yang tinggi

Sekali lagi saya tegaskan, setiap warganegara adalah berhak untuk mendapat kemudahan kesihatan dengan harga paling rendah, jikalau tidak boleh percuma. Saya percaya perkara ini boleh dilakukan sekiranya sumber kekayaan negara dibelanjakan secara berhemah dan tidak berlaku ketirisan di dalam mentadbirnya. KeADILan menegaskan sikap kepedulian terhadap rakyat adalah inipati bagi sebuah kerajaan yang adil.

Saudara-saudari sidang Kongres yang dirahmati,

KEGIATAN SENI-BUDAYA

Seni dan budaya merupakan aspek penting dalam membina sebuah tamaddun. Sumbangan karyawan seni dan budaya tidak boleh diperkecilkan dalam masyarakat. Apa Apa yang lebih penting ialah para karyawan seni-budaya ini kekal mempertahankan prinsip kemanusiaan, keadilan sejagat dan kebaikan.

Sehubungan ini, keADILan membantah tindakan kerajaan yang mengharamkan beberapa judul buku dan hasil karya seni. KeADILan yakin, setelah hampir setengah abad kita merdeka pastinya rakyat Malaysia mampu berfikir dan menilai buruk baik satu-satu karya Saya percaya bahawa masih ramai seniman dan budayawan di Malaysia yang jujur menghasilkan karya dan bukannya untuk membawa kerosakan. Kalaupun wujud unsur kontrovesi seperti hujah dan pandangan yang kurang popular, ia harus dibawa ke tengah untuk perbincangan dan perdebatan. Bukan dengan cara mengharam dan membunuh terus karya tersebut.

Selain ingin merai setiap hasil karya di meja perbincangan, keADILan juga merasakan kerajaan sepatutnya menyedari fakta bahawa masih ramai golongan seniman yang hidup dan nasib mereka tidak mendapat pembelaan dan perhatian sejajar dengan pembangunan pesat negara. Prasarana yang cukup hendaklah disediakan bagi membolehkan golongan ini mengembang dan menghasilkan karya-karya yang setanding dengan hasil karyawan agong.

Kita maklum bahawa Petronas membelanjakan berjuta-juta ringgit setahun untuk Orkestra Philharmoninya. Gaji pemuzik-pemuziknya yang, kebanyakan dari negara luar, dibayar dengan begitu tinggi. Perkara yang sama tidak pula berlaku kepada pemuzik tempatan. Malah, dalam pada pihak kerajaan menyatakan sokongan kepada pengamal seni tidak pula diperuntukkan perbelanjaan untuk mengembangkan budaya seni seperti teater.

keADILan sebagaimana yang tegaskan di dalam 17 dasar-dasar Parti akan terus menjurus kepada perkembangan seni dan budaya negara. Kita yakin bahawa dengan hasil seni bermutu tinggi, daya pemikiran yang kuat dan idelisme yang luhur dalam setiap pekerjaan termasuk dalam bidang kesenian, kita boleh membina dan memanjangkan hayat kekuatan bangsa kita. Sehubungan ini, kami bersedia untuk mengkaji semula dan melihat kembali Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal sejak 1971.


Sahabat-sahabat seperjuangan,

KEBEBASAN MEDIA

Kebebasan media adalah tunggak penting dalam sebuah negara demokrasi. Adalah menjadi hak rakyat untuk mendapat maklumat yang betul dan tepat. Kebanyakan media cetak dan elektronik yang beroperasi hari ini adalah media kerajaan pemerintah. Maka kebanyakan maklumat yang disiarkan adalah berat sebelah dan tidak menggambarkan situasi sebenar. Berita yang disiarkan hanya mengenai rancangan kerajaan dan udapan pemimpin kerajaan sahaja. Lebih malang lagi apabila terdapat beberapa undang-undang, terutama sekali Akta Percetakan dan Penerbitan, yang mengawal semua penerbitan. Melalui akta ini, semua penerbitan perlu mendapat permit dan dikehendaki pula membaharuinya pada setiap tahun. Begitulah caranya kerajaan hari ini mengawal dan mengongkong media dari bersifat bebas.


KeADILan kesal dengan tindakan Perdana Menteri dan KDN yang sehingga hari ini gagal mengeluarkan permit untuk Suara Keadilan. Adalah menjadi hak kita sebagai sebuah parti politik yang sah dan berdaftar untuk mengeluarkan akhbar parti bagi memastikan rakyat mendapat maklumat seimbang. Lebih mengecewakan, apabila pegawai KDN bertindak ala mafia dengan merampas akhbar dan mengugut para pengedar. Kami menuntut janji Perdana Menteri di dalam Parlimen pada 27 Oktober 2005 untuk meluluskan permit Suara Keadilan.

Kami juga menuntut agar keperluan akhbar memperbaharui lesen setiap tahun dimansuhkan. Malah kita juga menuntut supaya parti-parti politik yang berdaftar diberikan peluang untuk mengambil peranan dalam media cetak dan media elektronik khususnya ketika kempen pilihan raya. Rakyat harus diberikan peluang untuk mendapat maklumat yang adil sebelum mereka membuat pertimbangan dan keputusan dalam pilihanraya.

keADILan percaya bahawa tidak ada cara lain yang lebih baik untuk mewujudkan kesejahteraan kecuali keluar daripada politik kongkongan dan pemisahan rakyat. Malaysia adalah negara majmuk yang cukup terbuka dalam hal budaya dan kepercayaan rakyatnya. Justeru keADILan menuntut kebebasan media dan hak bersuara bukan sahaja untuk menyuburkan elemen demokrasi tetapi ia juga amat penting di dalam memastikan pentadbiran yang baik, akauntabal dan membantu perkembangan pertumbuhan ekonomi.

Saudara Saudari sekalian,

KEDUDUKAN HAK ASASI

Kita semua mengetahui sebenarnya Hak Asasi Manusia mencakupi bidang yang sangat luas. Ekonomi, hak untuk hidup dan hak untuk mempunyai pekerjaan merupakan sebahagian dari hak asasi. Begitu juga pendidikan, kesihatan dan perumahan menyentuh soal hak asasi bahkan bagi setengah-setengah golongan merupakan hak asasi .

Namun begitu, di negara ini apabila orang berbicara tentang hak asasi, mereka lebih merujuk kepada undang-undang yang menyekat kebebasan. Barangkali ini kerana Malaysia ini sangat kaya dengan undang-undang, akta dan peraturan yang zalim dan mencabul hak asasi individu. Tetapi, ini tidak bererti kita harus memandang mudah hak-hak asasi yang timbul dalam bidang-bidang lain seperti yang disebut tadi.

Dalam Sidang Parlimen yang lalu, saya telah mengemukan usul tergempar agar Akta Universiti dan Kolej Universiti, iaitu AUKU, dihapuskan. Tanpa segan silu kerajaan telah meminta mahasiswa dan mahasiswi di universiti supaya dibolehkan menyertai beberapa NGO yang ditaja oleh pemerintah, tetapi tidak mengizinkan agar golongan ini menjalankan aktiviti berpersatuan yang bebas untuk mengisi keperluan mereka sendiri.

Apa maknanya ini semua? Maknanya, kerajaan masih belum mampu berhadapan dengan teguran jujur dan kritis dari golongan mahasiswa di negara ini. Bahkan jelas bahawa penggubalan AUKU sejak awal tidak lain dan tidak bukan ialah untuk membunuh idealisme mahasiswa dengan alasan kononnya mereka hanya perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Pada masa yang sama, prestasi dan mutu universiti pula yang semakin merosot.

KeADILan menegaskan sekali lagi kami menentang semua akta yang bertentangan dengan prinsip demokrasi, antara lain AUKU, ISA, Akta Percetakan dan Akta Polis. Kami mendesak supaya kajian semula dilakukan ke atas akta –akta tersebut terutama peruntukan-peruntukan yang dengan begitu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kami akan tanpa henti menuntut agar semua akta yang bertentangan dengan hukum dan Perlembagaan dimansuhkan.


Saudara saudari pejuang keadilan,

MARUAH DAN INTERGRITI BADAN KEHAKIMAN

Lapan belas tahun lalu Ketua Hakim Negara waktu itu, Tun Salleh Abbas telah disingkirkan dari jawatannya. Diikuti pula dengan dua orang Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk George Seah dan (Allahyarham) Tan Sri Wan Sulaiman. Berikutan peristiwa ini bermulalah proses pemusatan kuasa oleh golongan Eksekutif dan pengongkongan ke atas Badan Kehakiman negara. Hakim-hakim menjadi takut untuk bertindak bebas terutama jika bertentangan dengan selera Eksekutif dan para Hakim serta Mahkamah mulai hilang kewibawaan dan tidak dihormati umum.

Baru-baru ini Majlis Peguam telah mendesak supaya peristiwa 18 tahun lalu dikaji semula agar dapat diketahui apakah yang sebenarnya telah berlaku. Setelah berdiam diri selama 18 tahun, akhirnya Tun Salleh menyuarakan sokongannya kepada tuntutan Majlis Peguam bukan untuk membersihkan namanya tetapi untuk memulihkan intergriti dan kewibawaan Badan Kehakiman itu sendiri.

keADILan mendesak supaya kajian dan siasatan terperinci dilakukan oleh sebuah badan bebas agar kebenaran yang muncul dan kepalsuan pula terbongkar. Jauh lebih penting ialah pastinya siasatan dan kesimpulan yang dihasilkan akan menyemarakkan lagi usaha untuk mengembalikan kedudukan maruah Institusi Kehakiman negara.

KeADILan menegaskan siasatan terperinci juga harus dilakukan terhadap pembongkaran Hakim Datuk Syed Aidid melalui tulisannya mengenai amalan rasuah yang terdapat di dalam Badan Kehakiman. Juga terhadap dakwaan-dakwaan rasuah yang lain yang melibatkan badan tersebut.

Siasatan juga hendaklah merangkumi isu kriteria kenaikan pangkat para hakim kerana sering diperkatakan bahawa berlaku pilih kasih di dalam proses tersebut. Hakim kanan akan tersisih kerana sebab-sebab yang tidak bersangkutan dengan mutu kerja mereka. Benar kenaikan pangkat ditentukan oleh Ketua Hakim Negara dan bukan faktor ”kekananan” saja yang menjadi perkiraan. Tetapi pada anggapan masyarakat, faktor penting yang menjadi penentu ialah pengaruh politik dari pihak Eksekutif, terutama sekali Perdana Menteri. Keraguan tentang proses kenaikan pangkat yang dilihat tidak bersih dan tidak telus ini sudah cukup menjadi asas untuk proses ini dikaji semula.

KeADILan juga menggesa Kerajaan dan Badan Kehakiman mengkaji secara terperinci cadangan mewujudkan sebuah Suruhanjaya Kenaikan Pangkat bagi semua peringkat Hakim. Kami menegaskan bahawa reformasi Badan Kehakiman wajib dilakukan secara keseluruhan jika mahu mengembalikan intergriti badan tersebut setelah tercalar dengan begitu dahsyat pada tahun 1988 dan dimusnahkan sepenuhnya sepuluh tahun kemudian pada tahun 1998.

Sidang hadirin sekalian,

KEADAAN ANTARABANGSA

Parti Keadilan Rakyat tidak boleh menerima dan menentang sekeras-kerasnya tindakan zalim dan tidak adil yang dilakukan oleh sesiapa atau mana-mana negara, terutama kuasa-kuasa besar walau apa sekalipun alasannya. Kami menentang tindakan Amerika Syarikat yang telah menyerang dan masih menduduki negara Iraq. Kita menuntut tentera Amerika dikeluarkan segera dari bumi Iraq. Rakyat Iraq hendaklah bebas bagi menentukan nasib mereka sendiri.

Akhir-akhhr ini media penuh dengan berita penaklukan wilayah Palestin dan pencerobohan negara Labenon oleh Zionis Israel. keADILan mengutuk sikap dan tindakan biadab tentera Israel menakluki Palestin dan menyerang Labenon. Tindakan mereka mencerobohi kedaulatan negara dan menyerang orang awam, terutama kanak-kanak, wanita dan orang tua di bumi Palestin dan di wilayah Lubnan itu adalah satu tindakan zalim dan tidak bertamaddun.

keADILan bersama-sama rakyat seluruh dunia dari berbagai bangsa dan agama meliputi seluruh benua menentang pencerobohan, penaklukan, kezaliman dan peperangan. Kami berganding bahu dengan rakyat seluruh dunia yang berjuang menegakkan keadilan, kebebasan dan keamanan.

Kita bangga kerana kerajaan Malaysia juga amat prihatin dengan apa yang berlaku terhadap Labenon dan bersedia menghulurkan bantuan. Walau bagaimanapun, kita seharusnya berhati-hati di dalam menentukan bentuk bantuan yang kamu kita hulurkan. Tindakan Menteri Pertahanan bercadang menghantar pasukan bala tentera kita untuk turut serta di dalam misi pengaman seharusnya dikaji se dalam mungkin. Isu ini seharusnya di bahas di Parlimen dengan pembentangan secara terperinci akan buruk baik dan kesan penghantaran bala tentera ke sana. Kita seharusnya menyediakan persiapan fizikal dan mental para tentera terlebih dahulu dan tidak meletakkan keselamatan mereka pada risiko yang tinggi kalaupun tidak terkorban.

Kita harus sedar kompleksiti di Timur Tengah khususnya Labenon. Apatah lagi bendera Malaysia- Jalur Gemilang, jika dilihat dari jauh atau sekali pandang seakan-akan bendera seteru utama bumi Arab- Amerika Syarikat. Apa yang kita takuti, pasukan pejuang kita akan menjadi tumpuan bedilan tentera-tentera pejuang Islam Labenon. Akibatnya tentera kita akan terperangkap di dalam peperangan sivil tersebut.

Adalah lebih baik sekiranya kita menumpukan bantuan kemanusiaan dan bantuan perubatan sahaja. Kita juga boleh turut membantu di dalam membangunkan semula institusi kemasyarakan di sana tanpa turut terjebak dengan persengketaan mereka yang mungkin akhirnya kita akan di arah oleh PBB untuk memujuk Hizbollah meletakkan senjata yang mana kita tahu beliau tidak akan begitu mudah melakukannya demi maruah bangsa dan agama mereka. Pada ketika itu, kita mungkin akan terperangkap di dalam dilema yang memalukan.

Sidang Hadirin sekalian,

MENJANA TENAGA KEMENANGAN

Menjelang Pilihanraya Umum ke-12 akan datang, kita amat bertuah kerana buat julung kalinya dalam sejarah Parti ini, kita berjaya menggubal serta merencanakan suatu Pelan Tindakan Strategi parti yang menyeluruh.

Pelan ini merangkumi soal memperkukuhkan keberkesanan dalaman parti, meningkatkan profil serta imej keADILan di khalayak ramai, membina perpaduan di antara parti-parti rakan, mewujudkan satu pakatan pembangkang yang lebih kredibel untuk memerintah yang mampu menarik segmen-segmen pengundi yang kritikal, mengambil tindakan strategi bersama pakatan terhadap medan pertandingan yang tidak sama rata, sehinggalah kepada perancangan serta persiapan menjelang Pilihanraya Umum Ke-12.

Pelan Tindakan Strategi ini dijelmakan dalam suatu bentuk dokumen yang seterusnya diterjemahkan kepada gerak kerja parti yang melibatkan keseluruhan jentera parti pelbagai peringkat dalam satu projek utama parti yang disebut ’Menjana Tenaga Kemenangan’ (MTK). Projek ini diyakini bakal melakarkan secara terperinci proses pemerkasaan parti, perjuangan reformasi dan penjanaan tenaga dalam kempen memenangi Pilihanraya akan datang.

Pilihanraya Umum ke-12 menampakkan satu lanskap politik yang menarik ke arah perubahan. Pertama, hadirnya Sdr Anwar Ibrahim di pentas politik Malaysia mampu menjadi tokoh utama yang boleh menyatukan pakatan parti pembangkang dan pejuang reformasi. Kedua, konflik dalaman yang terus menghantui UMNO terutama antara dua pucuk pimpinannya. Ketiga, keadaan ekonomi yang terus suram menimbulkan keresahan di kalangan kebanyakan rakyat. Dan keempat, tiadanya persempadanan semula yang memberikan ruang perancangan yang lebih munasabah dalam mengatur strategi.

Kita berharap keempat-empat faktor ini, ditambah dengan wujudnya pelan tindakan strategi, yang perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan bersungguh-sungguh dan penuh komitmen, boleh memberi peluang kemenangan kepada keADILan.


Justeru itu, agenda perlaksanaan MTK sewajarnya dijadikan sebagai agenda utama yang tetap bagi parti dengan memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang wajib diambil berdasarkan keputusan bersama sejajar mengikut tanggungjawab tugas yang telah dipersetujui dan terangkum dalam Dokumen MTK tersebut.

Saudara saudari pejuang demokrasi,

DEMOKRASI, PILIHANRAYA DAN SISMEP

Pilihanraya yang bebas dan adil adalah asas penting bagi sebuah negara demokrasi. Demokrasi, sekurang-kurangnya secara teori, diterima di seluruh dunia di mana kerajaan dipilih menerusi pilihanraya. Tetapi di banyak negara, pilihanrayanya begitu tempang sehingga menjejaskan nilai demokrasi. Malaysia tergolong di dalam kategori tersebut. Satu kelemahan yang merobek imej kejayaan kita sebelum ini ialah proses pilihanraya di dalam negara ini tidak bebas dan tidak adil.

Oleh itu, kelangsungan perjuangan Keadilan adalah untuk menyuburkan amalan demokrasi dalam negara. Berkaitan ini, perkara utama yang perlu kita lakukan ialah memastikan proses pilihanraya ke 12 akan datang dijalankan secara adil, telus, bebas dan berlangsung di atas padang yang rata. Satu kenyataan perit yang tidak boleh kita terima ialah tahap demokrasi di Malaysia semakin merosot jika dibandingkan dengan negara-negara yang menjadi contoh demokrasi di negara membangun seperti di Turki, India dan Indonesia, yang semakin subur.

Pembaharuan menyeluruh harus bermula dari sekarang. Pembaharuan sikap harus bermula dari pemerintah, badan-badan masyarakat (NGO) dan rakyat keseluruhannya, untuk menilai betapa pentingnya demokrasi dari sudut pemahaman sistem dan proses pilihanraya. Reformasi menyeluruh harus bermula dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang tidak seharusnya bertindak sebagai sebuah agensi yang menjadi alat parti pemerintah.

Perlantikan Ahli Suruhanjaya termasuk Pengerusi dan Setiausaha SPR mestilah dibuat dengan telus dan bertanggungjawab. Mereka hendaklah dipilih dari kalangan individu yang mendapat kepercayaan orang awam dan bukan dari kalangan pegawai-pegawai pentadbir, sama ada yang sudah bersara atau masih berkhidmat, yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Negara.

Kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi supaya pegawai-pegawai yang dilantik oleh SPR untuk mengendalikan pilihanraya bukan dari kalangan Pegawai-Pegawai Daerah. keADILan, dengan ini mendesak Kerajaan agar membenarkan Pemerhati Antarabangsa untuk meneliti dan mengikuti proses pilihanraya di Malaysia. Amalan ini bukanlah asing bagi negara-negara yang berpegang teguh kepada prinsip demokrasi seperti Turki, India, Indonesia, Thailand dan Afrika Selatan.

Pemerhati-pemerhati ini hendaklah dibenarkan mengikuti bukan saja proses semasa pilihanraya, tetapi juga proses-proses sebelum pilihanraya, termasuk menyiasat berbagai-bagai jenis penyelewengan yang sering berlaku. Kehadiran Pemerhati Antarbangsa pasti akan memekarkan lagi budaya dan amalan demokrasi di dalam negara ini.

keADILan juga menggesa supaya kerajaan dan SPR mempertahankan hak rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk mengundi. Diplomat, ahli-ahli perniagaan, pelajar-pelajar dan rakyat yang bekerja di luar negara mestilah mempunyai peluang untuk mengundi dengan mekanisma yang telus.

Bagi menghapuskan dakwaan bahawa ada pengundi yang mengundi dua kali atau sebagainya, keADILan mencadangkan supaya SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) bagi mengenal mereka yang sudah mengundi. India, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai lebih satu bilion orang dan mempunyai rekod pengurusan pilihanraya yang kemas dan baik di dunia, telahpun menggunakan sistem ini secara menyeluruh dan ternyata berkesan. Selanjutnya, keADILan juga mencadangkan supaya SPR menggunakan peti undi yang lut sinar untuk menjamin kesahihan semasa proses pembuangan dan juga pengiraan undi.

Sidang kongres sekelian,

Saya tegaskan di sini, keADILan serius dalam mewujudkan sistem pilihanraya yang adil. Justeru, kita bangga kerana menjadi satu-satunya Parti di negara ini yang memiliki satu sistem perisian komputer yang canggih yang telah berjaya dibangunkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat [JPRP] untuk membaca data-data Pilihanraya dan membuat analisis saintifik yang penting untuk Parti. Sistem ini dinamakan SISMEP 12, atau “Sistem Menang Pilihanraya Ke-12.”

SISMEP 12 berperanan membaca dan menganalisa data secara saintifik dan sistematik bagi tujuan merancang dan melaksanakan Tindakan Strategik bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke 12. Sistem yang dinamik ini akan berjaya apabila ia dilaksanakan secara menyeluruh di semua Bahagian Pilihan Raya yang akan ditandingi oleh keADILan. Profil Bahagian Pilihan Raya dan analisa terperinci yang terkandung di dalam SISMEP 12 akan membantu pimpinan dan jentera Parti untuk bergerak dengan lebih fokus dan terancang berdasarkan fakta dan petunjuk “kelakuan politik” pemilih di kawasan-kawasan yang berkenaan.

Sistem perkomputeran ini berpotensi untuk membuat semakan tempat mengundi secara on-line dan mencetak slip semakan daftar pemilih bagi seseorang pemilih dalam sesuatu Bahagian Pilihan Raya. SISMEP 12 juga merupakan satu sistem yang berupaya untuk membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua - berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tiada Kad Pengenalan baru.

Melalui SISMEP 12, keADILan telah berjaya mengesan sejumlah 223,950 orang pengundi di Selangor yang tidak mempunyai Saluran. Kita juga berjaya mengesan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, jumlah pengundi yang berumur 90 tahun hingga 122 tahun berjumlah hampir 18,000 orang dan jumlah pengundi yang tidak memiliki kad pengenalan baru seramai hampir 50,000 orang.

SISMEP 12 bukan sahaja boleh mengesan penipuan dan penyelewengan tetapi juga kaedah-kaedah penyelewengan, misalnya jumlah kertas undi yang dikeluarkan tidak sama bagi sesuatu Parlimen dengan Dewan Undangan Negeri yang terletak di bawah Parlimen berkenaan. Kewujudan “Daerah Mengundi Hantu” juga telah dikesan di Negeri Selangor.

Keupayaan parti membina sistem ini telah memaksa Pengerusi SPR untuk memberikan kenyataan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar Melayu pada 10 Ogos 2006 lalu. Kita ingin menuntut jawapan yang jelas dari SPR; sekiranya tiada istilah “pengundi hantu” dalam daftar pemilih seperti yang didakwa oleh Pengerusi SPR, apakah istilah yang sesuai untuk pengundi yang meninggal dunia tetapi masih berada di dalam daftar pemilih dan apakah status pengundi Cina yang berada di dalam rumah Melayu yang tiada hubungan atau tidak dikenali oleh keluarga Melayu itu?

Bukankah “hantu” namanya apabila pengundi-pengundi menggunakan alamat palsu seperti menggunakan alamat yang bercirikan pangsapuri sedangkan tidak wujud sebarang bangunan tinggi di Daerah Mengundi berkenaan?

Keadilan akan terus menerajui usaha untuk mewujudkan kesedaran politik di kalangan rakyat khususnya pengundi-pengundi tentang keperluan mendesak reformasi dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Bagi maksud ini, Unit Penyelidikan dan Perancangan JPRP telah menyiapkan laporan yang komprehensif berhubung kaedah-kaedah penyelewengan dan penipuan yang digunakan di dalam Pilihanraya Umum ke-11. Laporan ini juga memuatkan beberapa pemerhatian penting yang diperolehi melalui SISMEP 12.

Laporan yang bertajuk “The Democratic Deficit in Malaysia : A Report on Malaysian Elections” ini dilengkapi dengan bukti-bukti kukuh yang mencukupi untuk mendedahkan penyelewengan dan penipuan serta kelemahan-kelemahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia, yang akan dilancarkan sebentar lagi. Laporan berkenaan telahpun dihantar kepada YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, pada 29 Jun 2006 lalu. keADILan menggesa Perdana Menteri agar meneliti laporan tersebut dan mengambil langkah segera dan tegas untuk mengatasi kelemahan-kelemahan sistem Pilihanraya di negara ini.

Kita mahu mengingatkan Perdana Menteri sekiranya masalah-masalah ini berterusan, ia akan menjejaskan prinsip dan amalan demokrasi yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.. Di Thailand, Pengerusi badan pilihanraya mereka yang didapati melakukan penipuan kini sedang dipenjara, setelah didapati bersalah. Tetapi di negara Malaysia ini mereka dilindungi oleh pemerintah, yang menafikan segala penyelewengan dan penipuan SPR.

KeADILan akan bertindak tegas dalam hal ini. Justeru, laporan tersebut juga akan kita edarkan kepada semua pejabat kedutaan asing yang berpusat di Kuala Lumpur, agensi-agensi serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan badan-badan NGO serta individu-individu. Kita berharap masyarakat antarabangsa tidak menerima mudah kemenangan Barisan Nasional yang dicemari dengan amalan rasuah dan penipuan. Laporan tersebut juga membuktikan bahawa kemenangan besar yang selalu diperolehi Barisan Nasional bukanlah berdasarkan sokongan rakyat tetapi penipuan yang ketara dalam pilihanraya.

KeADILan juga akan merujuk perkara penyelewengan ini kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan pelindung Perlembagaan Persekutuan. Kita akan memohon limpah kurnia Tuanku meneliti laporan tersebut dan melakukan usaha-usaha demi mengembalikan amalan demokrasi di dalam negara. KeADILan dengan ini menuntut agar Pengerusi dan Setiausaha SPR meletakkan jawatan kerana gagal menjalankan tugas mereka dengan jujur amanah dan bertanggungjawab.

Saya juga berharap agar setiap makalah, maklumat dan data yang telah disediakan pimpinan tertinggi Parti dimanfaatkan oleh pimpinan di semua peringkat untuk mewujudkan kesedaran politik di kalangan rakyat, khususnya pengundi-pengundi, tentang keperluan reformasi dalam sistem pilihanraya di negara ini.

Saudara-saudari sekalian,

PENUTUP

Setiap antara kita tentunya tidak lupa bagaimana gelombang besar kebangkitan rakyat yang terserlah di dalam perhimpunan raksaksa di Dataran Merdeka dalam bulan September 1998. Ada yang menyebutkan kira-kira 100 ribu orang telah berhimpun di sana. Selepas negara merdeka, tidak ada lagi perhimpunan rakyat yang segagah itu. Itu sejarah kita, saat pentakrifan atau defining moment kepada generasi baru.

Mereka yang berhimpun melaungkan kata-kata membenci kezaliman, nepotisme serta korupsi dan rakyat mahukan keadilan, ketelusan serta perubahan. Kini adalah masa untuk perubahan. Kita telah melalui temoh dan saat-saat getir dan kita sama-sama berjaya berlayar di dalam bahtera Parti ini dengan gagah berani.

Semangatnya tak pernah pudar. Sebelum rumah di nombor 8 Jalan Setiamurni 1 dipecah masuk oleh pasukan polis cawangan khas pada malam 20 September 1998, sebahagian besar rakyat yang berhimpun di Selangor, di Kedah, di Pulau Pinang, di Terengganu, di Pahang, di Johor dan di Kuala Lumpur masih bersama kita. Saya percaya mereka akan terus bersama-sama kita sebagai tulang belakang dan jentera dalam pilihanraya akan datang.

Saya yakin, para pendukung ini, samada yang sudah menyertai Parti atau belum, masih tetap bersama kita. Gelombang baru sedang terbentuk. Sambutan kepada ceramah-ceramah Parti yang diadakan dua tiga minggu sekali, terutama yang dihadiri Penasihat Parti Sdr Anwar Ibrahim, mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sambutan ini masih berterusan dan semakin berkembang..

Orang berinai berhitam kuku,
Mari disiram si air mawar;
Kalaulah sampai hasrat hati ku,
Racun ku minum jadi penawar.

Jikalau sampai hasrat hati ku,
Racun ku minum jadi penawar.

Saudara-saudari dan sahabat seperjuangan, kerajaan hari ini cuba mengaburi mata rakyat kononnya mereka juga mahu melakukan reformasi dengan meniru jenama kita, namun rakyat telah mulai celik, mengapa mesti mereka menerima barangan tiruan sedangkan mereka mempunyai jenama tulin iaitu keADILan. Saya bangga menerajui parti ini dan tugas saya amat jelas, tugas saudara juga jelas, iaitu memacu keADILan dari sebuah Parti Pembangkang kepada Parti Pemerintah. Ayuh... bila mana kita melihat keadaan yang berat sebelah, kita akan mencabarnya, bila mana kita melihat ketidakadilan kita akan menyerangnya, bila mana kita melihat prasangka kita akan bersemuka. Marilah kita bersama-sama melakukan perubahan dengan segenap daya upaya kita bagi menggantikan kerajaan yang lama dengan Kerajaan Baru.

Sekian,
wabillah hi-taufik walhidayah-wasallamualaikum warah-matullahi-wabarakatuh.

Terima kasih dan selamat berkongres.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home