SepangOnline

Saturday, September 02, 2006

Kongres PKR: Perbahasan bermula hari ini


Oleh Helmi Khalid

PULAU PINANG, 2 Sept (Hrkh) - Kongres Nasional Tahunan Ketiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung hari ini di Pulau Mutiara dimulakan dengan tayangan semula detik reformasi dan peristiwa penahanan penasihatnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Pemilihan tarikh 2 September juga bertepatan bermulanya gerak reformasi negara selepas pemecatan Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sementara pemilihan Pulau Pinang pula bertepatan dengan pelbagai kelemahan Perdana Menteri yang berasal dari negeri ini.

Terdahulu, ketibaan Presiden, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail disambut Timbalannya, Dr. Syed Hussain Ali, Ketua Pemuda, Mohd. Ezam Mohd. Noor dan pimpinan lain.

Dijangkakan perbahasan hari ini dan esok akan hangat memandangkan pelbagai isu timbul mutakhir ini dan isu pertembungan Tun Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bakal disentuh para perwakilan.

Di awal ucapan dasar Wan Azizah menegaskan kewujudan parti ini adalah mewakili kepelbagaian kaum di negara ini bagi menggantikan dasar parti perkauman yang diasaskan Barisan Nasional.

Contohnya beliau menyebut bahawa baru-baru ini, Dato' S. Nallakarupan berjaya mendaftar 2000 orang wanita dari kaum India sebagai ahli.

"Kaum Kadazan di Sarawak juga telah beramai-ramai menyertai Keadilan," sambungnya.

Bermula hari ini dan esok, perwakilan akan berbahas mewakili negeri masing-masing setelah kelmarin, 1 September, Angkatan Muda dan Wanita selesai berkongres.

Difahamkan, Anwar bakal bersama Kongres esok, 3 September.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar, adalah antara jemputan kehormat yang hadir, termasuk Pengerusi Kesatuan Sekerja (MTUC), Syed Shahir, wakil DAP dan wakil-wakil kedutaan luar. - mns

0 Comments:

Post a Comment

<< Home