Kemajuan Ekonomi: PKR kesal PM bohongi rakyat
Oleh Mohd Sabri Said
PULAU PINANG, 3 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dikritik hebat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana disifatkan tidak bercakap benar apabila memberi gambaran tentang keadaan ekonomi negara.
Berucap membentangkan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR ke-3, di sebuah hotel, dekat sini, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan PM sebagai membohongi rakyat kerana mendakwa kononnya negara telah mengecapi pemacuan ekonomi yang berkesan sedangkan ekonomi negara masih belum mampu bangkit sejak berlaku krisis kewangan pada 1997.
"Perdana Menteri kelihatan terus membohongi rakyat dalam setiap ucapan beliau kononnya Malaysia telah bebas dari belenggu kewangan apabila ekonomi negara mencatat keuntungan yang besar. Sedangkan pada hakikatnya, kita ketinggalan jauh berbanding pendapatan perkapita," tegasnya tatkala membentangkan ucapan dasar bertemakan 'Masa Untuk Berubah'.
Malah Malaysia, jelasnya, gagal untuk bangkit bersaing dengan negara-negara lain di rantau Asia seperti Korea Selatan, Taiwan, China dan India.
Menurut Azizah, laporan Pembangunan Manusia (Human Development Report) dua tahun lalu menunjukkan Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin yang paling lebar berbanding negara-negara seratau.
Jelas beliau, nisbah perbezaan antara kaya dan miskin di Malaysia adalah 22.1 peratus berbanding Singapura (17.7 peratus), Filipina (16.5 peratus), Thailand (13.4 peratus) dan Indonesia (7.8 peratus).
"Kadang-kadang kita terasa malu dengan peningkatan sektor ekonomi negara serantau (berbanding negara ini)," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Justeru itu, PKR jelasnya, telah merangka pelan Agenda Ekonomi Baru (AEB) yang mampu menjadi alternatif kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) tajaan BN yang ternyata gagal mencapai matlamat yang digariskan lebih 30 tahun lalu.
Menurut beliau, DEB bukan sahaja gagal meningkatkan pencapaian ekonomi Melayu bahkan tidak releven untuk menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi negara keseluruhannya.
Sehbungan itu, beliau yakin AEB akan menjadi alternatif kepada rakyat miskin yang mengharapkan pembelaan tanpa mengira kaum dan agama dengan memperkenalkan konsep 'Kepedulian Rakyat' dan 'Ekonomi Yang Manusiawi'.
Hadir sama dalam majlis perasmian Kongres PKR ialah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar dan wakil-wakil parti politik serta badan bukan kerajaan (NGO)./tajdid
0 Comments:
Post a Comment
<< Home