SepangOnline

Sunday, December 25, 2005

Kongres Keadilan Putus Tidak Akan Boikot Pilihan Raya

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail Foto: Mazlan Samion

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Kongres kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang berakhir di sini hari Sabtu memutuskan untuk tidak menerima usul pergerakan Pemuda parti untuk memboikot pilihan raya akan datang di negara ini.

Presiden Keadilan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata memboikot pilihan raya bukan merupakan pilihan pada waktu ini kerana terdapat banyak isu lain yang perlu dipertimbangkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa diminta mengulas gesaan Ketua Pemuda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor pada Khamis lepas supaya memboikot pilihan raya di masa depan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menangani apa yang didakwa sebagai penyalahgunaan kuasa oleh jentera kerajaan semasa pilihan raya.

"Kami faham kekecewaan mereka apabila menyertai pilihan raya yang tidak menyediakan wadah yang adil kepada mereka, tetapi kami juga perlu fikirkan perkara lain," katanya selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada kongres itu yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau menjelaskan keputusan untuk tidak meluluskan resolusi bagi boikot itu adalah kerana parti itu tidak mahu mewujudkan tanggapan bahawa mereka tidak mampu menang pada pilihan raya di masa depan.

"Pergerakan Pemuda menerima pendirian kami," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Keadilan, Dr Syed Husin Ali berkata memboikot pilihan raya merupakan jalan terakhir "apabila keadaan benar-benar teruk."

"Keputusan kami bukan dibuat secara tergesa-gesa, ia akan bergantung kepada keadaan ketika itu," katanya.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

<< Home