SepangOnline

Friday, December 23, 2005

Angkatan Muda Keadilan Akan Boikot Pilihanraya

Dimuatkan oleh Pemerhati pada 23 December 2005

oleh Zulkifli Mohamed

KUALA LUMPUR : Angkatan Muda Keadilan Malaysia akan bertindak memboikot pilihanraya sekiranya Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal merombak sistem dan perundangan yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Pendirian tegas ini antara dua usul yang diluluskan sebuat suara dalam Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan, yang berlangsung di Hotel Istana, di ibu kota, Khamis.


Kongres yang bertemakan ‘Membina Reformis Tulen’ itu menuntut kerajaan melakukan pembersihan minimum dalam sistem pengendalian pilihanraya negara ini, iaitu menghapuskan sistem undi pos, mencalit dakwat kepada jari pengundi dan membersihkan daftar pemilih.

Pendirian tersebut diluluskan tepat jam 6.49 petang selepas dibahaskan di hadapan para perwakilannya seramai 611 orang dan 160 pemerhati dari seluruh negara.

“Sekiranya kerajaan gagal melakukan pembersihan minima tersebut, maka Angkatan Muda tidak akan teragak-agak untuk memboikot pilihanraya,” kata resolusi tersebut yang dibacakan oleh Shamsul Iskandar Mohd Amin selaku Pengerusi Kongres Angkatan Muda Keadilan.

Kongres kali ke-2 itu juga mengambil keputusan menolak penubuhan suruhanjaya siasatan mengenai keganasan dan salahlaku Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sebarang siasatan yang dijalankan.

“Suruhanjaya dalam prosiding yang dijalankan, didapati gagal atau dengan sengaja tidak mengendahkan keputusan siasatan, cadangan-cadangan dan kes-kes yang pernah berlaku sebelum itu,” menurut resolusi tersebut.

Menurut resolusi itu penubuhan suruhanjaya berkenaan hanyalah untuk melindungi kepincangan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan Barisan Nasional.

Isu ketelusan SPR mengendalikan pilihanraya dan isu tahanan wanita dipaksa berbogel sambil melakukan ketuk ketampi di balai polis, menjadi tumpuan utama para perwakilan yang membahas ucapan dasar Ketua Angkatan Muda Ezam Mohd Nor.

Teks Resolusi Angkatan Muda Keadilan

Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia yang bersidang di Hotel Istana pada 22hb Disember 2005 yang bertemakan Membina Reformis Tulen dengan ini mengambil ketetapan berikut:

Menolak penubuhan siasatan yang ditubuhkan mengenai keganasan dan salahlaku Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sebarang siasatan yang dijalankan. Suruhanjaya dalam prosiding yang dijalankan didapati gagal atau dengan sengaja tidak mengendahkan keputusan siasatan, cadangan-cadangan dan kes-kes yang pernah berlaku sebelum itu. Yang jelas kerajaan di bawah Abdullah Badawi berselindung atau “cover up”. Penubuhan suruhanjaya tersebut didapati hanya untuk melindungi PM Abdullah Bawawi dan kerajaan Barisan Nasional.

Mendesak kerajaan BN di bawah Abdullah Badawi untuk merobak sistem dan perundangan yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pilihanjaya (SPR). Sekiranya kerajaan gagal untuk melakukan pembersihan minimum iaitu menghapuskan sistem undi pos, mencat dakwat kepada jari pengundi, membersihkan daftar pemilih, maka Angkatan Muda tidak akan teragak-agak untuk MEMBOIKOT pilihanraya.
Disediakan pada 22hb Disember 2005

Oleh
Shamsul Iskandar Mohd Ahin
Pengerusi
Kongres Angkatan Muda keADILan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home