Info Media & Aktiviti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat
Ucapan Perasmian
KONGRES WANITA DAN ANGKATAN MUDA
Oleh DR SYED HUSIN ALI, TIMBALAN PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT (keADILan)
22 Disember 2005
--------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Saya memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah (swt) kerana kita dapat berjumpa di Kongres ini dalam suasana begitu indah. Saya sangat gembira kerana ramai wakil dan pemerhati dari sayap Wanita dan Angkatan Muda hadir. Ini satu pertanda baik. Ia menunjukkan Parti Keadilan Rakyat wujud dan berpotensi untuk berkembang maju.
Peranan Bersejarah
Masyarakat kita mempunyai penduduk seramai 24 juta, terdiri dari pelbagai kaum. Bilangan wanita lebih sedikit daripada lelaki dan orang muda yang berumur antara 18 hingga 30 tahun besar bilangannya. Golongan wanita dan muda penting bukan semata-mata dari segi angka, akan tetapi sebagai tenaga perubahan, kerana mereka mempunyai potensi yang besar.
Sejarah di banyak negara dalam dunia ini membuktikan bahawa angkatan muda (terdiri dari para pelajar dan belia lelaki perempuan) merupakan salah satu penggerak penting bagi perubahan. Mereka mencetuskan pergolakan yang memaksa perubahan besar, baik dalam bidang politik mahupun ekonomi dan sosial. Cuma malangnya, apa yang dimulakan oleh gerakan angkatan muda dengan penuh idealime tidak dapat mereka teruskan kerana kurang tersusun.
Usaha yang mereka pelopori sering di”hijack” oleh golongan politik yang lebih berpengalaman serta tersusun, tetapi tidak semestinya bersih dari korupsi atau bebas dari tendensi kuku besi. Peranan angkatan muda menjadi terpinggir. Sebabnya? Selain kurang tersusun mereka selalunya tidak mempunyai program politik yang jelas. Ini satu pelajaran penting yang sepatutnya kita ambil sebagai ingatan dan teladan.
Jikalau Angkatan Muda keADILan mahu kuat dan berkesan membawa perubahan dalam parti dan seterusnya negara, ia harus tersusun dan mempunya visi politik yang jelas serta padu yang dilaksanakan dengan penuh keazaman serta istiqamah. Presiden Sukarno, pejuang kemerdekaan Indonesia pernah berkata lebih kurang begini: “Beri saya sepuluh orang pemuda, kami akan mengubah dunia.”
Banyak perkara yang dikata atau dilakukan oleh Sukarno boleh kita pertikaikan. Akan tetapi, saya bersetuju dengan pandangan optimistik beliau tentang pemuda. Ia memberikan penilaian yang saya anggap tepat terhadap kekuatan tenaga muda itu. Dan saya yakin, apabila beliau menggunakan perkataan “pemuda”, beliau tidak maksudkan hanya lelaki, tetapi meliputi perempuan.
Percayalah, dalam banyak hal golongan perempuan, terutama yang muda sering mempunyai kekuatan semangat serta tenaga yang kadang- kadang lebih kuat daripada lelaki. Akan tetapi kedua-duanya mampu dan pernah menjalankan peranan yang bersejarah.
Kekuatan Wanita
Wanita bukan saja tabah dan sabar apabila melalui pelbagai duri serta ranjau yang mencabar hidup mereka sendiri, keluarga mereka dan masyarakat mereka. Di sebalik lemah lembut wanita tersembunyi kekuatan waja. Kadangkala mereka bersedia membenarkan semangat serta kekuatan ini dilenturkan, tetapi mereka tidak akan membenarkannya dipatahkan.
Ini semacam fitrah mereka, yang timbul dari segala kesakitan melahirkan bayi di dunia, menghadapi bermacam percubaan serta masalah membesarkan anak supaya menjadi manusia berguna, dan menanggung dominasi pelbagai kehendak serta perlakuan sang suami yang selalu saja menganggap diri lebih kuat serta bijak.
Lebih penting daripada ini mereka lazimnya mempunyai sifat setia. Bukan semata-mata setia kepada tanggungjawab terhadap anak serta suami, tetapi setia berpegang kepada kepercayaan dan perjuangan yang sudah menjadi darah daging mereka.
Lihat saja contoh permaisuri Firaun, setelah mempercayai keesaan Allah. Firaun yang begitu kaya serta berkuasa, dan dianggap serta menganggap diri sebagai tuhan, berani disangkal dan dilawannya. Lihat juga Aishah, isteri Rasul Allah (saw) yang muda tetapi perkasa serta bijaksana memimpin untuk mempertahan serta menegakkan kebenaran.
Di banyak negara, termasuk Malaysia, sekali wanita yakin kepada perjuangan untuk menegakkan kemerdekaan, mereka tidak melepaskannya. Angkatan Wanita Sedar (AWAS), dalam Parti Kebangksaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan pelopor dalam gerakan Merdeka. Kita mesti akui juga Gerakan Wanita memainkan pernan yang sangat “crucial” bagi memastikan kejayaan Umno menuntut kemerdekaan.
Malang sekali selepas kemerdekaan tercapai, semangat perjuangan untuk Merdeka di kalangan Wanita Umno dibantutkan dan tidak digalakkan berkembang oleh golongan pemimpin (kebanyakannya lelaki) yang tebal dipengaruhi oleh sikap feudal serta pandangan konservatif. Akhirnya, tenaga mereka digunakan hanya untuk merayu undi dalam pilihanraya saja.
Zaman ini wanita membuktikan mereka berkebolehan untuk dipilih atau dilantik kepada kedudukan tertinggi dan mampu memainkan peranan yang penting dalam jabatan dan negara. Semakin ramai wanita dari semua benua berjaya menjdi Presiden dan Perdana Menteri.
Hari ini, di negara kita sendiri, wanita lebih ramai mencapai puncak kejayaan dalam semua peringkat pendidikan, lebih bertambah wanita di universiti dan semakin banyak wanita yang menyerlah di hadapan dalam pelbagai profesyen. Bahkan dalam banyak hal dan bidang mereka sudah mengatasi lelaki.
Kemampuan Angkatan Muda
Golongan muda pula mempunyai kekuatan serta kebolehan mereka sendiri. Mereka selalunya penuh dengan idealisme, berani dan cepat bertindak. Oleh itu kadang-kadang mereka dituduh lebih suka bertindak mengikut perasaan daripada fikiran.
Tetapi mesti diakui, dalam apa perjuangan pun, peranan hati tidak boleh diperkecilkan, dan tidak patut dibantutkan. Yang penting ialah bagaimana hendak menyeimbangkan hati yang berkobar dengan otak yang rasional dan berfikir secara jangka panjang.
Seterusnya, dan ini merupakan asset sangat bernilai, majoriti golongan muda tidak dicemari oleh korupsi yang meresapi fikirian serta menpengaruhi tindakan manusia yang korup dan zalim kerana kuasa. Semangat pengorbanan mereka tinggi. Oleh yang demikian, mereka mudah dan segera digerakkan oleh tuntutan dan perjuangan untuk menegakkan keadilan, kebenaran serta kebebasan.
Mereka menjadi pencetus dan perintis kepada gerakan perubahan. Perasaan serta “passion” mereka boleh memanaskan bahkan membakar semangat rakyat ramai, dan menggerakkan mereka, walau yang berhati serta berotak beku. Sesuailah mereka sebagai pembina reformasi tulen.
Peranan golongan muda sebagai pemangkin perubahan boleh kita lihat contohnya di banyak negara pernah terjajah. Golongan muda sering menjadi pelopor di barisan hadapan dalam medan perjuangan untuk menegakkan kemerdekaan dan keadilan.
Di negara kita sendiri, golongan yang mula menyuarakan tuntutan kemerdekaan terdiri daripada golongan muda dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM). Kerana keberanian menuntut Merdeka, pertubuhan ini diharamkan oleh Jepun walaupuan beberapa orang pemimpin mereka bekerjasama dengan Jepun untuk menghalau penjajah Inggeris.
Begitu juga dalam PKMM, golongan muda yang cergas bergerak adalah Angkatan Pemuda Insaf (API). Dengan lantang dan berani mereka menuntut kemerdekaan, walaupun dengan darah, sehingga pemimpin ditangkap dan pertubuhan dibubar.
Bahkan dalam Umno yang konservatif, dengan pimpinan elit tradisional yang senang bekerjasama dengan pihak penjajah, sayap pemudanyalah yang mula-mula melaungkan slogan Merdeka. Sayap inilah yang berjaya menongkah arus yang dibawa oleh pemimpin yang mahu menangguh ataupun menyekat kemerdekaan, semata-mata kerana mereka menganggap kita belum pandai membuat jarum pun.
Sebelum dan selepas krisis kewangan melanda negara dan Sdr Anwar Ibrahim disisisih dan diaibkan beserta keluarganya, ramai golongan muda yang menyertai bahkan mempelopori gerakan reformasi. Antara mereka ada yang kemudian menyertai dan memimpin keADILan.
Walaupun kerana perubahan keadaan serta suasana politik, corak bertindak a la reformasi sudah berubah dan kendur, namun saya yakin semangat reformasi masih kuat dan dihidupkan, mungkin dalam bentuk dan arah lain sedikit dalam Angkatan Muda.
Gerakan reformasi pada asasnya adalah gerakan untuk perubahan. Kita perlu perubahan dalam diri, masyarakat dan negara. Saya yakin dan berharap Wanita dan Angkatan Muda keADILan akan dapat mempelopori gerakan perubahan ini. Untuk berbuat demikian, kita perlu sama-sama menjalankan tanggungjawab membina organisasi yang besatu, berdisimplin dan tersusun rapi.
Membina Perpaduan Organisasi
Pada masa ini tidak boleh dinafikan Parti, termasuk sayap Wanita dan Angkatan Muda, mempunyai banyak kekuatan. Akan tetapi, silap sekiranya oleh sebab itu kita berpeluk tubuh dalam leka. Kita patut juga mengakui bahawa Parti tidak kurang mempunyai pelbagai kelemahan.
Di sesetengah Negeri dan Bahagian kelemahan lebih banyak daripada kekuatan dan di sesetengah yang lain sebaliknya pula. Bahkan di peringkat Pusat pun ada hal-hal berkaitan organisasi yang kurang memuaskan dan perlu dibaiki.
Saya syorkan Wanita dan Angkatan Muda memulakan segera proses perbincangan dengan berani berterus terang serta tulus ikhlas. Mereka harus sanggup mengkritik dan mengkritik diri, untuk mengenalpasti semua kelemahan, terutama yang besar-besar.
Tujuannya ialah untuk bersama-sama menentukan langkah-langkah dan tindakan-tindakan kongkrit serta berksan bagi mengatasinya. Ini adalah proses yang sulit serta pedih, tetapi perlu dilaksanakan demi mamastikan organisasi parti menjadi lebih kukuh.
Dengan rendah diri saya meminta izin untuk mengemukan apa yang saya lihat sebagai kelemahan kita. Ini mengikut pemerhatian serta pengalaman pribadi. Ia boleh diterima atau ditolak, setelah dihalusi dan dibincang. Yang penting, akhirnya semua kelemahan yang dikenalpasti perlu diatasi.
Antaranya adalah seperti berikut:
a. Kurang menjaga waktu, terlalu lewat datang untuk mesyuarat atau kegiatan, kadang-kadang tanpa alasan atau meminta maaf;
b. Tidak menepati janji, suka berdolak dalik dan kadang-kadang berbohong, sehingga boleh menggagalkan sesuatu acara atau rancangan;
c. Tidak atau kurang amanah ketika ditugaskan dengan tanggungjawab, setelah dipilih untuk memimpin, terutama yang melibatkan wang;
d. Memperlihatkan sikap atau perlakuan egoistik, angkuh, pemarah, apabila menjadi pemimpin, sehingga menimbulkan kecil hati atau kerenggangan dalam Parti;
e. Membuat kerja secara tidak bersungguh dan kurang berdisiplin serta berdedikasi apabila menjalankan tugas serta kewajipan sebagai anggota, apatah lagi pemimpin Parti;
f. Tidak suka menyelesaikan perselisihan melalui perbincangan atau bersemuka, akan tetapi selalu memilih untuk buruk-memburuk, tikam-menikam dari belakang dan jatuh-menjatuh antara satu sama lain, dan terus berdendam walaupun selepas penyelesaian tercapai melalui perbincangan;
g. Tidak bersifat inklusif tetapi sebaliknya sering suka menggalakkan klik atau kelompok yang dianggap sebulu atau sealiran, dan oleh itu sanggup membiar jawatan kosong tidak diisi berbulan-bulan bahkan bertahun, walaupun ada yang berkebolehan serta berkelayakan;
h. Tidak mengadakan mesyuarat dan bebincang secara demokratik dengan melibatkan ramai anggota atau semua ahli jawatankuasa untuk merancang dan menjalankan kegiatan, tetapi sebaliknya lebih senang bertindak secara autokratik dengan mengajak hanya kelompok sendiri;
i. Tidak boleh disentuh atau ditegur, dan walaupun mudah menkritik bahkan mencela orang lain namun tidak sanggup menerima kritik orang lain apatah mengkritik diri sendiri untuk membaiki keadaan dan mengukuhkan Parti;
j. Tidak kuat hubungan persaudaraan atau ukhuwah di kalangan anggota dan di antara pemimpin dengan anggota, kerana tidak banyak pertemuan, perbincangan, kegiatan, perjuangan dan pengorbanan bersama yang boleh menimbulkan persefahaman, saliturrahim dan kekitaan yang kukuh;
k. Banyak cawangan dan ada bahagian atau negeri tidak mengadakan mesyuarat, apatah lagi menganjurkan aktiviti dalaman parti serta di kalangan rakyat, dan lemah perhubungan dari atas ke bawah dan sebaliknya, kerana organisasi parti kurang tersusun;
l. Ketiadaan atau kekurangan sumber kewangan atau aktivis parti sepenuh masa yang bergaji untuk memastikan perhubungan rapat serta tersusun di antara semua peringkat dan badan parti dan untuk menjalankan urusan pentadbiran harian serta kegiatan yang telah dibincang dan diputuskan; dan
m. Kurang fahaman serta pendirian serupa lagi mendalam terhadap isu semasa kerana kenyataan atau ucapan para pemimpin hampir tiada disalurkan ke bawah dalam parti serta di kalangan rakyat, dan kurang penghayatan terhadap dasar perjuangan parti kerana kurang pengkajian dan hampir tiada kursus atau latihan untuk memahaminya.
Saudara saudari sekalian.
Kelemahan dan masalah yang saya senaraikan ini menyentuh anggota, pemimpin dan organisasi parti. Saya ingin menegaskan bahawa ia terdapat hanya di kalangan sebilangan kecil saja. Walaupun begitu, ia hendaklah dibendung dan ditangani supaya tidak menjadi duri dalam daging atau menjangkit sehingga merosak dan menggugat parti seluruhnya
Tahun lalau Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) telah mengadakan beberapa temu rapat untuk mengenalpasti semua masalah dan kelemahan parti. Ini diikuti pula dengan konvensyen yang melibatkan semua Negeri dan Bahagian. Akan tetapi, hasilnya belum begitu ketara lagi.
Tahun ini, berikutan satu lagi temu rapat, sebuah dokumen strategi tindakan yang bertajuk “Menjana Tenaga Kemenangan” telah diterima. Ia menggaris secara terperinci segala rancangan dan tindakan yang perlu diambil dalam tiga tahun akan datang untuk memperkasakan Parti.
Selepas Kongres ini, Insha Allah, kita akan mengadakan beberapa lagi konvensyen dan latihan di peringkat nasional, negeri dan jkalau mungkin bahagian, untuk membincang dan melaksanakannya. Saya harap dokumen ini tidak akan tinggal di atas kertas saja.
Sangat sesuai sekali bagi Wanita dan Angkatan Muda mengkaji serta menghayati dokumen ini dan melaksanakannya demi menyatukan organisasi dan memperkasakan Parti.
Membina Perpaduan Politik
Kita sudah maklum bahawa perpaduan organisasi adalah satu prasyarat penting bagi membina parti yang perkasa. Satu lagi ialah perpaduan politik.
Dengan ini bererti menimbulkan perpaduan fikiran serta fahaman bulat tentang dasar dan matlamat parti, yang harus menjadi panduan untuk tindakan, terutama bagi membela kepentingan dan kebajikan rakyat ramai.
Perlembagaan Parti menyenaraikan 17 perkara yang menjadi asas perjuangan Parti. Pemimpin, aktivis dan anggota parti harus berpegang kepadanya sebagai panduan politik dan jangan menyimpang daripadanya. Dalam Kongres kali ini kita akan membincangkan dua kertas kerja berhubung 17 perkara ini. Setiap perkara harus difahami dan dihayati.
Apabila ini tercapai dan setiap pemimpin dan anggota parti bertindak di kalangan rakyat atas dasar kepentingan parti serta rakyat, berlandaskan asas perjuangan ini secara berprinsip, dan bukan atas perkiraan kepentingan diri dan kelompok secara oportunistik, maka perpaduan organisasi dan politik akan tercapai, Insha Allah.
Saudara saudari sekalian
Kita telah mewarisi masyarakat pelbagai kaum yang sengaja dibentuk oleh kuasa penjajah Inggeris untuk memudahkan mereka menjalankan polisi pecah dan perinah bagi melanjutkan penjajahan mereka. Apabila ibu bapa dan datuk nenek kita mula berjuang menuntut kemerdekaan, mereka didorongkan oleh cita-cita untuk mendapatkan kebebasan rakyat. Kebebasan ini mereka anggap penting bagi menegakkan kedaulatan negara, perpaduan bangsa dan keadilan sosial.
Malangnya para pemimpin konservatif, terdiri dari golongan bangsawan Melayu dengan hartawan Cina yang menerima kemerdekaan negara, gagal menjalankan dasar dan tindakan untuk membela hak serta kepentingan rakyat. Mereka juga gagal menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum yang dicipta dan ditinggalkan oleh penjajah. Mereka meneruskan dasar-dasar lama dan tidak melaksana perubahan pokok dalam sistem serta institusi ciptaan pemerintahan kolonial itu.
Tidak ada usaha membina jambatan kukuh di antara pelbagai kaum. Mereka begitu terpisah oleh faktor-faktor tradisional seperti bahasa, kebudayaan dan juga agama. Kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di kalangan rakyat, dan sebagai alat perhubungan rasmi dalam pentadbiran dan medium penting dalam pendidikan mula-mula dikukuhkan tetapi sekarang sudah mula merosot. Bahasa dan pendidikan nasional seolah-olah sengaja hendak dilemahkan oleh para pemimpin yang bertindak arbitrari untuk menguatkan semula kedudukan bahasa Inggeris.
Kita tidak menentang bahasa Inggeris. Bahkan kita memang mahu anak-anak kita belajar dan diajar bahasa itu dan bahasa-bahasa internasional lain juga. Akan tetapi kita tidak rela sekiranya ia mengakibatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan rasmi menjadi lemah.
Mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak akan membantu manaikkan mutu bahasa itu di kalangan penuntut. Bahkan ia mengorbankan penuntut miskin, terutama dari desa, yang lemah dan tidak mendapat latihan baik dalam Bahasa Inggeris. Cara terbaik menguatkan Bahasa Inggeris ialah dengan belajar bahasa dan sastra dalam bahasa itu dari peringkat rendah lagi.
Pada masa yang sama, oleh kerana ada semacam dasar yang dianggap sebagai menekan bahasa ibunda, khususnya dalam pendidikan, maka timbul penentangan terhadap bahasa Melayu di kalangan kaum-kaum lain. Itu sebab kita menegaskan dasar mengiktiraf hak belajar dalam bahasa ibunda, selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Akan tetapi, di samping itu perlu dijalankan usaha-usaha berkesan untuk menguatkan asas serta nilai ekonomi dan politik bahasa Malaysia dan pendidikan nasional.
Sekolah-sekolah yang mengajar dalam bahasa ibunda masing-masing hendaklah berusaha juga menjamin taraf pencapaian yang tinggi dalam bahasa Malaysia. Selain itu mesti wujud pendemokrasi dari segi pendidikan, dengan erti kata hak serta peluang untuk mencapai pendidikan sehingga peringkat tinggi tidak tersekat atau terbatas oleh faktor ekonomi, politik atau kaum.
Dari segi kebudayaan pula, kita mewarisi kekayaan dari peradaban seantero dunia - Arab-Islam, India-Hindu, China-Buddha-Confucius dan Barat Kristian. Kita adalah pewaris tamaddun dunia yang sah. Mengapakah kita tidak boleh menerima unsur-unsur tamadun dunia yang tidak bercanggah dengan kepercayaan dan moral, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah?
Mengapakah kita tidak giat meluaskan usaha untuk kenal mengenal antara pelbagai kebudayan dan peradaban? Mengapakah kita tidak rajin mendalami, melalui dialog tidak formal dan juga pendidikan formal tentang agama-agama besar di dunia? Mengapakah harus digalakkan rasa curiga apatah lagi benci terhadap kaum, budaya dan agama orang lain?
Perbezaan dan pertentangan dalam bidang-bidang bahasa, budaya dan agama mudah ditambah runcingkan oleh jurang perbezaan ekonomi dan politik bercorak perkauman yang bertambah lebar. Jurang ekonomi masih terdapat di antara kaum, bahkan semakin melebar di kalangan tiap-tiap kaum juga.
Kita mengetahui bahawa perbezaan dan persamaan etnik sering digunakan secara oppotunis dalam proses politik untuk melanjut atau merampas kuasa serta pengaruh dalam bidang ekonomi dan politik.
Dalam negeri ini golongan Melayu, Cina, India dan Orang Asal hidup bersama, kadang-kadang sebelah menyebelah, sungguhpun masing-masing punya sejarah, agama, budaya dan bahasa sendiri. Pelbagai institusi yang dicipta penjajah dan diteruskan oleh pemerintahan sekarang, dirancang untuk mengasing dan memishkan mereka di antara satu lain.
Namun, proses integrasi sedang berlaku juga. Terdapat asas sistem pendidikan bersama, kerjasama ekonomi yang meningkat, dan juga perkongsian kuasa, walaupun terbatas kepada lapisan atasan masyarakat. Golongan menengah semakin besar, tetapi mereka sering dipengaruhi oleh pandangan dan cara hidup kebaratan.
Saki baki ketakutan serta kesangsian kaum masih wujud, dan mudah saja boleh terbakar oleh percik persaingan dan pertentangan dalam bidang politik dan ekonomi.
Ada anggapan steriotaip bahawa orang Melayu miskin tetapi membolot kuasa politik, manakala orang Cina pula memonopoli ekonomi. Pada hakikatnya tokoh dari pelbagai kaum terlibat dalam elit pemerintah, walaupun diakui tokoh-tokoh Melayu lebih ramai dan kelihatan memainkan peranan lebih besar.
Akan tetapi, pada masa yang sama majoriti orang Melayu dinafikan hak serta peluang untuk memainkan peranan yang bererti dalam proses membuat keputusan politik, selain daripada hanya mengundi empat atau lima tahun sekali.
Sebaliknya, walaupun secara perbandingan orang Cina mamainkan peranan lebih besar dalam perdagangan tradisional dan sesetengahnya kaya sekali, namun kaum lain juga terlibat dalam pembentukan golongan elit ekonomi.
Kini bilangan orang Melayu yang berjaya merebut peluang daripada dasar membantu Melayu dalam perdagangan dan perusahaan semakin bertambah.
Menggunakan hubungan politik atau keluarga dengan pucuk pimpinan, mereka berpeluang untuk menjadi kaya raya.
Mereka memperalatkan Dasar Ekonomi Baru dan “hak istimewa Melayu” bukan untuk membela rakyat jelata yang miskin akan tetapi untuk mengaut kekayaan bagi diri sendiri.
Segelintir keluarga Melayu menguasai kemuncak berbagai-bagai perusahaan baru. Mereka membentuk perikatan yang kuat dengan keluarga Cina dan India yang menguasai perdagangan. Tokoh-tokoh jutawan dan mahajutawan di Malayusia tediri daripada pelbagai kaum. Mereka semua bergantung kepada perlindungan dan naungan pucuk pimpinan kerajaan BN. Dalam pada itu modal asing dibenarkan terus memainkan peranan penting.
Akan tetapi, sebahagian besar rakyat masih terpinggir dalam kawasan-kawan mundur dan hidup dalam keadaan miskin serta serba kekurangan. Mereka sering dinafikan pelbagai kemudahan asas. Hidup mereka bertambah sempit akibat harga barang terus meningkat dan tidak diseimbangkan dengan kenaikan gaji yang fleksibel.
Kita akui pada umumnya pendapatan per kapita bertambah dan kadar kemiskinan berkurang. Akan tetapi, satu perkara yang harus dipandang serius ialah pemusatan kekayaan di kalangan segelintir semakin ketara dan jurang antara desa dengan kota, miskin dengan kaya semakin melebar teruk.
Perkembangan ekonomi dan politik kadang-kadang pesat, kadang-kadang lambat. Sebaliknya, masalah sosial terus turun merosot. Misalnya, penyakit korupsi sangat parah. Ini diketahui dan diakui oleh pucuk pimpinan negara, akan tetapi perang yang mereka isytiharkan untuk menghapuskan penyakit jijik dan bahaya ini tidak memperlihatkan kesan. Lebih banyak kenyataan daripada tindakan.
Nampaknya, dalam banyak hal pemimpin politik di negara-negara tetangga, seperti Indonesia, lebih berazam dan komited daripada pucuk pimpinan di Malaysia dalam tindakan mereka untuk menghapuskan korupsi, terutama di lapisan atasan.
Selain itu keruntuhan moral, khususnya di kalangan muda, semakin teruk dan tidak terkawal. Penagihan dadah sudah menjadi penyakit kronik bukan saja di jalan-jalan tersorok dalam kota, bahkan meluas di merata pelusuk desa. Pembuangan bayi masih berlaku walaupun kempen meluas pernah dilakukan oleh media untuk mendedahkannya.
Ugutan, perompakan, perogolan dan pembuhuhan sudah menjadi jenayah biasa yang berani dilakukan di siang hari, bukan dalam gelap malam saja. Pasukan polis nampaknya gagal mengawal jenayah yang bertambah luas berlaku. Adakah kerana mereka lebih terbabit dengan rasuah dan dan terlibat dengan jenayah?
Saudara saudari sekalian.
Barisan Nasional (BN) pada bentuknya merupakan sebuah pertubuhan pelbagai kaum. Akan tetapi pada hakikatnya setiap parti komponen mewakili hanya satu kaum secara tertutup dan memperjuangkan kepentingn kaum itu saja.
Dalam setiap pilihanraya BN mengugut dan menimbulkan ketakutan kaum untuk mendapatkan sokongan dan kemenangan. Nyata sekali BN meneruskan dasar pecah dan perintah yang mereka warisi dari penjajah.
Kami menuntut supaya UMNO, MCA dan MIC membuka pintu kepada kaum-kaum lain, jika mereka benar-benar serius mahu menegakkan perpaduan kaum. Tidak hairanlah selepas hampir 50 tahun merdeka, BN terus gagal menegakkan perpaduan nasional di negara tercinta kita ini.
Dalam negeri ini ruang terlalu sempit untuk menjalankan aktiviti yang demokratik. Masyarakat sivil atau madani banyak terbatas kepada kaum tertentu. ISA yang membenarkan pemerintah menahan seseorang tanpa bicara dan Akta Penerbitan dan Percetakan mengakibatkan mustahil bagi wujudnya kebebasan media atau suasana perbincangan awam yang bebas.
Saya tidak mengatakan akta-akta “draconian” ini sengaja diwujudkan untuk memcahbelah. Saya hanya hendak tegaskan ia menyekat perubahan dan menggalakkan ketegangan sosial dan permusuhan kaum.
Saya yakin, sebagai sebuah parti pelbagai kaum keADILan mampu memberi sumbangan besar serta berkesan untuk menegakkan Keadilan Sosial dan Perpaduan Nasional. Sayaratnya kita hendaklah berjuang atas asas perjuangan Parti yang murni.
Kita berhasrat untuk nendaulatkan Ketuanan Rakyat bukan ketuanan mana-mana kaum. Kita mahu menukar segala sistem yang zalim, korup, mungkar serta menindas. Kita komited kepada perjuangan membela nasib rakyat ramai dari semua kaum yang miskin, tertindas atau terpinggir.
Kita prihatin juga terhadap nasib rakyat lain yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kita menolak dasar yang lebih menjamin kesenangan serta kemewahan bagi segelintir pemimin serta kroni, konco dan kerabat mereka saja. Kita harus nyahnya pencuri dan penyangak di kalangan pemimpin.
Kita berikrar untuk memperjuangkan “Keadilan Untuk Semua”. Sekiranya ini tercapai, keadilan sosial dan perpaduan nasional lebih mudah menjadi kenyataan. Antara dua, perpaduan nasional lebih susah hendak direalisasi.
Kita perlu bekerja kuat untuk menjayakannya. Kita perlu berusaha kuat untuk merapatkan hubungan kaum dan menghapuskan dasar perkauman serta institusi yang memisahkan kaum.
Seluruh Parti, terutama Wanita dan Angkatan Muda mempunyai peranan dan tugas besar serta penting untuk mempelopori agenda menegakkan Keadilan Sosial dan Perpaduan Nasional. Ini adalah Masa Untuk Perubahan. Kita perlu merebutnya.
Akhir sekali, dengan lafaz BismilLah, saya dengan sukacita merasmikan Kongres Wanita dan Kongres Angkatan Muda dibuka.
Kuala Lumpur

0 Comments:
Post a Comment
<< Home