SepangOnline

Wednesday, November 09, 2005

Tuntutan Keadilan ‘dipersetujui’ Gerakan

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Keadilan sejak awal telah menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, memandangkan dasar tersebut akan menemui kegagalan kerana dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa perancangan teliti.

Demikian kata Naib Presidennya, Mohd Azmin Ali yang dihubungi Malaysia Today ketika diminta mengulas gesaan Naib Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang meminta kerajaan membenarkan pelajar sekolah rendah mempelajari kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa ibunda masing-masing dan bukan dalam bahasa Inggeris.

Dr Koh dipetik telah berkata, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa ibunda akan memudahkan mereka menguasai kedua-dua mata pelajaran itu.

Beliau turut menggesa kerajaan mengkaji semula kesan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di semua sekolah, sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil.

“Sejak awal lagi Keadilan telah mengingatkan kerajaan tentang hal ini, berdasarkan beberapa alasan untuk kita menolak cadangan tersebut,” kata Azmin.

Mulai 1 Jan 2003, kerajaan memperkenalkan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi murid Tahun Satu, Dua dan Enam di semua sekolah rendah bagi membantu rakyat negara ini menguasai bahasa itu.

Menurut Azmin, tindakan gopoh kerajaan itu telah memangsakan 200 ribu pelajar, khususnya pelajar Melayu yang gagal atau tercicir akibat dasar yang hanya dipersetujui oleh seorang dua pemimpin Umno.

Katanya laporan kemerosotan kritikal prestasi pelajar Melayu itu disahkan oleh tokoh-tokoh bahasa dan beberapa pegawai Kementerian Pelajaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perjumpaan tertutup dengan mereka.

Tambahnya, pihaknya juga mempunyai laporan terperinci kajian UNESCO yang berpusat di Paris, yang membuktikan penguasaan ilmu sains dan teknologi oleh sesuatu bangsa, antara lain kerana ilmu itu dipelajari dalam bahasa ibunda masing-masing.

Beliau menjadikan contoh kejayaan bangsa Jepun, Korea, German dan Perancis yang mendalami ilmu tersebut dalam bahasa ibunda mereka.

Dengan dasar tergesa-gesa itu, katanya guru-guru sains dan matematik juga tidak mendapat latihan secukupnya untuk menguasai bahasa Inggeris dengan sempurna bagi mengajar mata pelajaran tersebut.

“Menteri Pelajaran jangan cuba menafikan kegagalan dasar yang merugikan anak-anak Melayu ini,” katanya.

Beliau juga membidas Umno yang mengenepikan agenda terpenting itu dalam perhimpunan Agung mereka yang lalu.

“Di mana peranan Umno untuk memartabatkan Melayu, kerana dasar mereka telah merugikan anak bangsa sendiri?” tanyanya.

“Kita mahu dasar ini dikaji semula, pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan secara terbuka dengan tokoh-tokoh akademik bagi membetulkan kepincangan yang berlaku.

“Kita tidak mahu dasar sepenting itu hanya diputuskan oleh beberapa kerat pemimpin Umno sahaja,” tegasnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home