SepangOnline

Tuesday, November 08, 2005

Setengah juta risalah mencabar maruah Umno

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Setengah juta risalah yang diedarkan Angkatan Muda Keadilan ke seluruh negara, adalah cabaran kepada ahli Umno, sama ada mereka mempunyai maruah untuk menerima kebenaran dan menolak kebatilan.

Ini berikutan keputusan mahkamah terhadap buku ’50 Dalil’, telah terbukti fitnah yang mereka percayai selama ini hanyalah alat untuk merosakkan karier politik bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Badrul Hisham Shaharin, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, setelah mahkamah memutuskan buku ‘50 Dalil’ adalah alat fitnah bagi menjatuhkan kerjaya politik Anwar, maka menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pemimpin Umno mendokong kebenaran tersebut.

Katanya, keputusan mahkamah tersebut juga sebagai ujian, sama ada Islam Hadhari menjunjung kebenaran atau sebaliknya.

“Sebab itu kita mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menubuhkan suruhanjaya diRaja bagi menyiasat pihak yang benar-benar terlibat dalam konspirasi fitnah terhadap Datuk Seri Anwar,” katanya dalam sidang media di Pejabat Keadilan Negeri, Taman Kelasah, sempena ‘road show’ pengedaran risalah ‘Suara Rakyat 2’ oleh Angkatan Muda.

“Abdullah tidak boleh lepas tangan, beliau perlu buktikan beliau mendokong kebenaran yang diputuskan mahkamah,” katanya.

Badrul turut mengingatkan Abdullah, kedudukan yang dikecapinya sekarang berhubungkait dengan konspirasi fitnah terhadap Anwar.

Suara Rakyat 2, antara lain memuatkan intipati penghakiman Datuk Hishamudin Mohd Yunus yang mengesahkan buku 50 Dalil adalah buku fitnah.

Menurut Hakim Hishamudin, berdasarkan cara dan luasnya penyebaran buku tersebut di perhimpunan Agung Umno, buku itu dimasukkan ke dalam beg perwakilan. Tertuduh (Khalid Jafri) dan yang lain telah berkonspirasi dan berjaya mencapai matlamatnya.

Risalah itu turut memuatkan kenyataan Dr Mahathir dalam Persidangan Agung Umno pada 18 Jun 1999, yang mempercayai tuduhan dalam buku 50 Dalil sebelum memecat Anwar.

“Saya cuma mempercayai kebenaran tuduhan terhadap Anwar apabila polis, selepas siasatan awal terhadap buku 50 Dalil susulan kepada laporan yang dibuat olehnya (Anwar) sendiri, melaporkan kepada saya bahawa ada kebenaran dalam buku itu. Selepas itu saya tidak dapat lagi menafikan kebenaran tuduhan yang dibuat terhadap Anwar.”

Kesalahan Anwar, kata Badrul bukan seperti yang didakwa Mahathir tetapi kerana beliau membela kepentingan rakyat, menentang salahguna kuasa, rasuah dan kronisme yang membarah dalam pentadbiran negara.

Dalam pada itu, menceritakan sambutan orang ramai terhadap program itu, Badrul mengakui masih ramai rakyat yang tidak mengetahui kedudukan sebenar isu itu.

“Masih ada yang tidak peka dengan perkembangan politik negara,” jelasnya.

Namun begitu, katanya risalah tersebut sedikit sebanyak membantu pihaknya menyebarkan maklumat ke akar umbi.

Menariknya kata Badrul, ada ahli-ahli Umno yang mengoyak risalah yang mereka terima.

“Itu satu respon yang baik, kerana selepas melihat kejadian itu ada ahli Umno lain yang marah (melihat tindakan mengoyak risalah) datang kepada kita meminta membeli risalah tersebut untuk diedarkan kepada rakan-rakannya yang lain,” jelasnya.

Kejadian itu berlaku di sebuah pasar Ramadan di Kelang, 16 Oktober lalu.

Risalah itu mula diedarkan 18 September lalu. Sasarannya di kawasan-kawasan kubu Umno, termasuk ke pejabat-pejabat kerajaan dan kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Umno.

Di Pulau Pinang sebanyak 20 ribu risalah telah diedarkan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home