SepangOnline

Monday, November 07, 2005

NAIB CANSELOR UM HARUS TERIMA KENYATAAN

SYED HUSIN SYED ALI
--------------------------------------------------------------------------------

(Artikel ini bertujuan untuk menjawab dakwaan-dakwaan Naib Canselor UM, yang sangat lemah. Untuk mendapat gambaran lebih lengkap, sila baca juga kenyataan S. Husin Ali bertajuk “Cari Punca dan Atasi Kemerosotan Mutu Universiti” bertarikh 31 Oktober. Kenyataan ini mengemukakan beberapa faktor yang mengakibatkan kemerosotan universiti. Terima kasih)
--------------------------------------------------------------------------------

Naib Canselor (NC) Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Hashim Yaacob harus menerima kenyataan bahawa mutu Universiti Malaya telah merosot. Walaupun mengikut laporan Times Higher Education Supplement (THES), kedudukan taraf UM telah merosot dari nombor 89 ke 169 (iaitu merosot 80 anak tangga), beliau tetap mengatakan UM telah menjadi universiti lebih baik dari tahun lalu dan “UM sudah terbilang!”
THES adalah salah satu daripada dua buah badan yang membuat kajian tentang kedudukan taraf universiti-universiti di dunia. Satu lagi ialah Shanghai Jiaotong Universiti. Jikalau THES, yang dianggap oleh NC UM kebaratan dan mungkin menilai universiti-universiti Barat lebih tinggi, meletakkan UM pada kedudukan 169 tahun ini. Lebih teruk, Shanghai Shiatong Universiti, yang berpust di China, tidak pun memasukkan UM dalam senarai 500 buah universiti terbaik di dunia pada tahun 2004 (belum ada untuk 2005).

Perlu ditegaskan di sini bahawa mengikut kedua-dua senarai THES dan Shanghai Jiaotong, 10 buah universiti yang berkedudukan teratas adalah lebih kurang sama, iaitu meliputi Havard, Cambridge, Oxford, Berkeley, MIT dll. Dalam pada itu 36 buah universiti dari Jepun, 16 buah dari Cina, Taiwan serta Hongkong, dan 8 dari Korea dan 2 dari Singapura termasuk dalam senarai 500 itu. Mengapakah tiada sebuah universiti pun dari Malaysia, termasuk UM, yang layak masuk dalam senarai ini? Perkara ini tidak pernah disebut.

NC UM gembira sebab UM masih dalam senarai 200 universiti terbaik di dunia, daripada kira-kira 30,000 buah universiti di seluruh dunia. Dari segi ini memang ada asas kegembiraan. Tetapi adakah beliau gembira apabila kedudukan UM turun dengan 80 anak tangga, dan tidak termasuk dalam 500 yang disenarai oleh Shanghai Shiaotong. Sepatutnya beliau rendah diri sedikit dan menerima bahawa kajian perlu dijalankan mengapa ini berlaku.

Apabila kita teliti perbandingan kedudukan 200 universiti terbaik antara tahun 2004 dengan 205, mengikut laporan THES, kita dapati kedudukan 79 buah universiti merosot turun, manakala kira-kira 120 buah universiti meningkat naik. Di antara yang merosot itu, 31 buah menurun antara 1-10 tingkat dan 24 menurun antara 11-30 tingkat. Akan tetapi, UM merosot 80 tingkat.

Cuma tiga buah universiti lain saja yang merosot lebih teruk, iaitu Technology Universiti Berlin, University of California Santa Barbara dan Alabama University, yang masing-masing merosot dengan 94, 87 dan 85 tingkat. Adakah NC UM hendak bergembira juga dengan ini? Jikalau keadaan UM tidak diperbaiki, ada kemungkinan ia akan tersingkir daripada senarai 200 ini tahun depan, seperti UKM dan USM terkeluar tahun ini.

Kita lihat bahawa terdapat 16 buah universiti dari Asia yang berkedudukan lebih baik daripada UM, iaitu: Jepun 6, Singapaura 2, Korea 1, China 4, Hongkong 2, dan Taiwan 1. Yang lebih menarik ialah 2 dari Singapura, 2 dari Jepun, 2 dari Hongkong dan 2 dari China berkedudukan dalam senarai 75 universiti yang teratas.

Universiti-universiti dari China, Jepun dan Korea tidak menggunakan bahasa Inggeris. Universiti-universiti di Hongkong dan Singapura itu, 30-40 tahun dulu dianggap oleh dunia akademik sebagai lebih kurang sama tarafnya dengan UM. Apa sudah berlaku sekarang?

NC UM seterusnya bergembira kerana katanya mata (atau markah) yang diperolehi UM meningkat dari 16.6 kepada 23.5 dari 2004 ke 2005. Sebenarnya, angka ini bukan merupakan markah pencapaian, tetapi hanya skor perbandingan yang terkumpul oleh tiap-tiap universiti. Walaupun kita terima, sebagai asas berhujah, dakwaan silap NC UM bahawa ini ialah peratus pencapaian, asas kegembiraan beliau tetap boleh dipertikaikan.

Sebab asas UM berkedudukan 169 pada tahun 2005 walaupun mendapat 23.5 mata, berbanding dengan kedudukan 89 dengan hanya 16.6 mata pada tahun 2004 ialah kerana secara keseluruhan taraf pencapaian universiti-universiti dunia bertambah baik. Sekiranya tahun ini UM mendapat hanya 16.6 mata juga, ia pasti akan terkeluar daripada senarai 200 itu, kerana jumlah mata terendah untuk masuk dalam senarai itu ialah 20.8.

Mata atau markah yang diperolehi UM naik hanya dengan 5.9 (tahun 2005 dibanding dengan 2004), akan tetapi lebih banyak lagi universiti yang berjaya meningkatkan jumlah mata pencapaian mereka dengan lebih tinggi. Itu sebabnya kedudukan kira-kira 120 buah universiti meningkat naik. Itu sebabnya juga daripada 79 buah universiti yang merosot, 75 buah universiti merosot turun kurang daripada 80 tingkat, berbanding dengan UM.

Akan tetapi NC UM bangga dan gembira kerana penilaian kedudukan UM agak baik dalam bidang-bidang Sains Sosial, Sastra dan Kemanusiaan, dan Bioperubatan. Saya pun turut bangga dan gembira. Ini adalah hasil daripada asas-asas kukuh yang telah dibina dari mula bidang-bidang ini diperkenalkan. Kita tidak mempunyai asas perbandingan dengan 2004 kerana tidak ada data mengenainya. Harapan kita ialah pencapaian ini tidak merosot tahun hadapan.

Pada 31 Oktober saya telah mengelurkan kenyataan bertajuk “Cari Punca dan Atasi Kemerosotan Mutu Universiti”. Dalam kenyataan itu saya telah mengemukakan beberapa faktor yang mengakibatkan kemerosotan sambil menggesa supaya kajian menyeluruh dibuat oleh sebuah suruhanjaya yang berwibawa. Namun, tidak perlu saya ulangi gesaan yang sama. Saya tidak mahu mengulang perbincangan tentang faktor-faktor yang sama. Tapi ada perkara lain yang mesti ditegaskan.

Sekarang ini diakui umum bahawa mutu kebanyakan pelajar yang sampai ke Universiti pun sudah merosot. Sistem pendidikan yang semakin bobrok serta kucar kacir menyebabkan mutu pendidikan di peringkat rendah dan menengah semakin teruk. Mutu bahasa Inggeris mereka pun tidak tinggi bila sampai ke Universiti. Malangnya perkara ini tidak diberi tumpuan. Mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bukan cara yang bijak. Bahasa itu sendiri mesti diajar sedara langsung.

Nilai atau mutu tenaga pengajar di universiti pun semakin menurun, walaupun ramai mempunyai Ph.D. Di banyak universiti, termasuk UM, diketahui bahawa kenaikan pangkat, peluang mendapat dana untuk penyelidikan, bahkah pengambilan pensyarah baru, acap kali dipengaruhi atau ditentukan oleh NC atas dasar hubungan keluarga, politik, sahabat bahkan juga kadang-kadang kaum. Ini menjatuhkan morale atau semangat ramai pensyarah yang baik-baik. Ditambah pula dengan kemerosotan mutu majority pelajar, perkara ini boleh membawa padah yang sangat buruk kepada UM.

Baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi telah membentuk sebuah Jawatankuasa yang bertujuan untuk mengkaji mutu universiti-universiti di Malaysia dengan tujuan menarik pelajar asing. Dengan taraf kedudukan universiti tempatan kini, mereka akan bermasalah untuk menarik pelajar-pelajar asing. Yang dating nanti ialah yang bermutu sederhana tetapi mempunyai wang. NC UM berkata universiti tempatan, sesuai dengan dasar kerajaan, penting lebih mengutamakan pengeluaran tenaga manusia dari kalangan pelajar tempatan.

Akan tetapi, apakah yang sudah berlaku sehingga 60,000 keluaran universiti sekarang ini masih menganggur? Baru-baru ini dilaporkan melalui media tentang kemudahan mendapat pekerjaan bagipara siswazah universiti tempatan, secara perbandingan. Siswazah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terletak di kedudukan pertama. Sebaliknya, UM terletak pada kedudukan yang keempat

Benar, mungkin terdapat lebih besar permintaan untuk siswazah UPSI bagi menjadi guru. Tetapi mengapakah siswazah UM tidak menarik majikan, walaupun kedudukannya dalam bidang Sosial Sains, Sastera dan Sains Perubatan di kalangan universiti-universiti dinilai tinggi? Perkara seperti ini harus membimbangkan. NC UM perlu menumpukan perhatian lebih serius kepada peranan universiti yang sebenarnya, dan jangan terbawa-bawa dengan menekankan hobi pribadi ke atas UM dan juga khayal dengan bermain politik parti.


Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

7 November 2004

0 Comments:

Post a Comment

<< Home