SepangOnline

Wednesday, November 02, 2005

keADILan akan adakan kongres kedua

LAPORAN KHAS KONGRES NASIONAL PKR YANG KEDUA: 22-24 DISEMBER 2005

Malaysia Today

Parti Keadilan Rakyat (keADILan) akan mengadakan kongres kedua mereka pada 22 hingga 24 Disember akan datang.

Ia dijangka akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

keADILan kini mempunyai kira-kira 170 bahagian yang berdaftar dan lebih kurang 1,700 cawangan. Daripada jumlah tersebut, parti itu kini mempunyai ahli yang berdaftar seramai sekurang-kurangnya 200,000.

Pada kongres tahunan nanti, seramai 12 perwakilan setiap bahagian akan menghantar wakil mereka. Dengan itu, seramai kira-kira 2,000 perwakilan akan membanjiri Kuala Lumpur.

Kongres tersebut akan menerima laporan tahunan yang akan dibentangkan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Pada bulan September yang lepas, Datuk Kamarul Baharin Abbas, mengetuai rombongan pusat yang dianggotai timbalan-timbalannya, Zahir Hassan, Dr Xavier Jayakumar, Abdul Halim Mohd Yusof dan Ang Hiok Gai, telah turun ke setiap negeri untuk berdialog dengan ketua, timbalan ketua, setiausaha, wanita, angkatan muda serta wakil-wakil dari peringkat bahagian parti.

Bermula pada 4 September, rombongan pusat bertemu dengan bahagian-bahagian Johor di Simpang Renggam. Ia disusuli Kedah pada 10 September, Pulau Pinang pada 11 September, Melaka pada 13 September, Pahang dan Perak serentak pada 18 September, Negeri Sembilan pada 20 September di Seremban, Kelantan pada 22 September di Kota Bharu, Terengganu pada 23 September di Kuala Terengganu, Wilayah Persekutuan pada 24 September di Brickfields dan Selangor pada 25 September di Shah Alam.

Program lawatan pusat ke negeri-negeri, bulan September lalu merupakan lawatan pusingan kedua Setiausaha Agung dan Timbalan-Timbalannya.

Kongres yang akan datang itu akan melaporkan hasil lawatan pusat tersebut bagi memperkemas dan melicinkan pentadbiran parti di samping mengeratkan perhubungan antara pusat dengan negeri dan bahagian.

Dialog-dialog diadakan secara ikhlas dan terus terang sambil mengenalpasti masalah-masalah pentadbiran parti.

Antara perkara-perkara yang ditegaskan dalam setiap lawatan ke akar umbi ialah menyatakan dengan terperinci tugas-tugas setiausaha bahagian seperti yang termaktub dalam fasal 25.11.4 perlembagaan parti iaitu:


1. Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua Bahagian
2. Menjadi pegawai utama mentadbir pejabat Bahagian
3. Bertanggungjawab atas kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa dan Mesyuarat Agung Bahagian
4. Menyimpan rekod Daftar Ahli Bahagiannya
5. Menyediakan penyata tahunan Bahagian

Bagi peringkat cawangan pula, tugas-tugas setiausaha cawangan termaktub dalam fasal 26.10.3 perlembagaan parti seperti berikut:


1. Bertanggungjawab secara langsung kepada Ketua
2. Mentadbir perjalanan pejabat Cawangan dan menjadi pegawai awam
3. Melaporkan kepada Ketua Cawangan segala tindakan yang diambil berhubung dengan pentadbiran pejabat Cawangan
4. Bertanggungjawab atas kesempurnaan mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa dan Mesyuarat Agung Cawangan
5. Menyediakan penyata tahunan Cawangan
6. Memangil mesyuarat Jawatankuasa Cawangan
Dengan usaha dan kerjasama semua peringkat, pentadbiran parti akan menuju ke tahap yang mantap.

Justeru, dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat 2005 yang akan datang, ahli-ahli dapat menilai sejuah mana tercapainya keberkesanan organisasi parti pada semua peringkat.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home