SepangOnline

Tuesday, November 01, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

CARI PUNCA DAN ATASI KEMEROSOTAN MUTU UNIVERSITI
31 Oktober 2005

--------------------------------------------------------------------------------

Parti Keadilan Rakyat merasa sedih dan terperanjat kerana kedudukan universiti-universiti di Malaysia dari segi kecemerlangan telah merosot. Kedudukan Universiti Malaya menurun dengan mendadak dari tempat ke-89 ke tempat ke-169. Universiti Sains pula terkeluar daripada senarai 200 universiti yang cemerlang. Universiti Kebangsan Malaysia tidak termasuk dalam senarai 200 itu, walaupun diletakkan pada tempat ke-101 sebagai universiti sains. Universiti lain tidak masuk buku pun.
Sebenarnya kemerosotan kedudukan universiti-universiti ini mencerminkan keadaan parah mutu sistem pendidikan negara ini seluruhnya, dari yang rendah kepada yang tinggi. Ini sudah lama berlaku dan sekarang sudah hampir sampai kemuncaknya. Kami mendesak supaya pihak Kerajaan membentuk sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan berwibawa untuk menyiasat punca-punca kemerosotan ini dan memperakukan cara-cara mengatasinya.

Boleh dikatakan mutu universiti-universiti kita mulai merosot teruk selepas Akta Universiti dan Kolej-Kolej Universiti (AUKU) dipinda pada tahun1976. Berikutan pindaan itu universiti-universiti diletakkan di bawah kuasa Kerajaan, dan Kerajaan (bahkan seorang Perdana Menteri) boleh mengumumkan kenaikkan taraf sebuah pusat pengajian tinggi atau pembentukan sebuah universiti baru hanya atas asas politik tanpa mengambil hirau aspek akademik atau keilmuan.

Majoriti anggota Majlis Universiti ditentukan oleh kerajaan. Naib Canselor Universiti serta timbalan-timbalannya ditunjuk oleh dan bertanggungjawab kepada Kerajaan, dan Dekan-Dekan dilantik oleh Naib Canselor. Acap kali pegawai-pegawai universiti ini diangkat daripada kalangan yang tidak begitu berkelayakan atau berkebolehan tinggi, akan tetapi sanggup untuk menjadi pak turut saja.

Para pensyarah dijadikan sebagai pegawai kerajaan, tertakluk kepada segala peraturan, arahan serta surat pekeliling dan dikenakan berbagai-bagai sekatan, seperti kakitangan perkhidmatan awam. Sering berlaku kenaikan pangkat terutama kepada professor dan profesor madya tidak mengambil kira penuh prestasi dan penilaian pensyarah dari segi pengajaran, penyelidikan dan penerbitan. Sering yang diutamakan ialah hubungan dengan Canselor dan kaitan dengan politik tertentu. Dan malang sekali ada kalanya latar belakang kaum menjadi perkiraan juga.

Akibatnya ia membantutkan dorongan kepada pensyarah yang baik untuk melakukan kerja-kerja akademik, kerana ini tidak begitu diikhtiraf. Bahkan ramai daripada kalangan mereka menjadi kecewa dan meninggalkan universiti. Sikap pimpinan universiti terhadap apa yang dikatakan kecemerlangan dapat dilihat daripada iklan besar-besaran yang telah dikeluarkan oleh sebuah universiti sempena Sambutan 100 tahunnya. Hanya gambar menteri-menteri saja, termasuk seorang bekas menteri yang didapati bersalah terlibat dengan politik wang, yang dipaparkan sebagai bukti-bukti kecemerlangan universiti itu. Tidak ada seorang pun ahli akademik atau professional mendapat tempat.

Sepanjang zaman, Universiti merupakan dan dipertahankan sebagai pusat ilmu pengetahuan berasaskan kebenaran. Kebenaran tercapai hasil usaha belajar, mengajar serta menyebar ilmu dan mengkaji serta menyelidik dalam suasana yang bebas. Tidak harus ada sekatan, apatah lagi daripada pihak berkuasa, untuk pensyarah serta pelajar universiti mencari ilmu bagi menegakkan kebenaran ini. Hanya dalam suasana seperti itu baru boleh timbul minda kritikal yang mungkin membantu penghasilan penyelidikan dan penerbitan bermutu tinggi.

Sebenarnya kerajaan, melalui berbagai-bagai akta, peraturan dan sekatan, telah mencabul autonomi dan menjejaskan peribadi atau sifat pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia sebagai universiti yang tulen. Kementerian Pendidikan Tinggi lebih baik berfikir dan berusha untuk menaikkan taraf universiti daripada melibatkan diri dengan pemilihan umum mahasiswa. Naib Canselor yang diangkat hendaklah mempunyai kaliber tinggi, faham akan peranan universiti dan mampu memberi kepimpinan akademik. Mereka tidak harus bertindak sebagai birokrat kelas dua yang perlu selalu menunjukkan taat setia kepada pemerintah supaya dapat lama memanaskan kerusi empuk mereka.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
31 Oktober 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home