SepangOnline

Tuesday, November 01, 2005

MEDIA KEADILAN RAKYAT

PERUTUSAN EIDUL FITRI 1426 H,
PARTI KEADILAN RAKYAT
31 Oktober 2005

--------------------------------------------------------------------------------

Mewakili seluruh pimpinan dan warga Parti Keadilan Rakyat (keADILan) saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Eidul Fitri minal aidil wal faizeen kepada seluruh rakyat Malaysia dan para Muslimin dan Muslimat. Adalah diharapkan kita semua dapat menyambutnya dengan penuh rasa taqwa, syukur dan semangat yang tinggi.
Sesungguhnya Eidul Fitri merupakan lambang kejayaan sebuah perjuangan. Sepanjang sebulan kita berpuasa kita telah berjaya menghadapi ujian lapar dan dahaga, keperitan dan cubaan serta beristiqamah di dalam proses penyucian diri kepada Allah SWT.

Justeru kedatangan Syawal sewajarnya diraikan manakala pemergian Ramadan
pula seharusnya ditangisi. Apatah lagi pada Ramadan kali ini beberapa orang penting negara pergi meninggalkan kita. Saya sendiri dapat merasa betapa pilunya perasaan Perdana Menteri pada Syawal kali ini dengan ketiadaan Allahyarham DS Endon. Justeru kita juga harus bersedih dengan turut memikirkan adakah kita akan bertemu Ramadan pada tahun yang akan datang.

Ramadan yang juga dikenali dengan bulan mulia, bulan para Muslimin membuat amalan sama ada kepada sesama insan mahupun kepada Yang Maha Esa sewajarnya telah mampu pemangkin suatu proses yang menuju kepada reformasi diri agar menjadi manusia yang lebih baik. Sewajarnya juga segala amalan kebaikan yang telah kita lakukan sepanjang Ramadan dapat diteruskan sebagai amalan harian.

Kepada para pejuang kebenaran dan keadilan, ahli-ahli parti dan para pendokong, sesungguhnya cabaran dan ujian ketika Ramadan amatlah perlu dijadikan latihan jangka panjang sebelum kemenangan yang kita cita-citakan dapat dikecapi. Matlamat perjuangan kita iaitu mewujudkan sebuah negara merdeka yang mendaulatkan rakyat menghapuskan sebarang bentuk kezaliman dan pada masa yang sama berusaha membina sebuah masyarakat madani sememangnya memerlukan ketekunan kesabaran dan ketaqwaan yang amat tinggi.

Bagi seluruh rakyat Malaysia, bersempena dengan kehadiran Syawal kali ini, marilah kita sama-sama berjuang di dalam satu landasan. Landasan yang telah kita rangkakan melalui Agenda Perubahan agar dapat kita wujudkan sebuah negara yang bebas dari amalan rasuah, berhentinya penyelewengan dan wujudnya urustadbir sosio-ekonomi yang berhemah dengan mempunyai bangsa Malaysia yang berjiwa merdeka berani sabar dan berdaya maju.

Saya juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, agar sementara kita meraikan Syawal, kalangan yang bertarung dengan pelbagai keperitan tidak pula dilupakan. Menginsafi bagaimana perasaan dan keadaannya para saudara kita yang ditimpa bencana gempa bumi di Kashmir, Pakistan dan India pada Syawal kali ini seharusnya menjadikan kita manusia yang lebih bersyukur. Begitu juga mereka yang tertindas secara politik seperti di Selatan Thailand, Afghanistan dan di Iraq terutamanya di Penjara Abu Ghraib semuanya mendambakan simpati sokongan pembelaan serta doa dari kita semua.

Saya secara peribadi amat bersyukur kerana dapat meraikan Syawal bersama Sdr Anwar dan anak-anak namun pada masa yang sama saya terkenangkan nasib saudara-saudara kita, Nik Adli dan teman-temannya yang masih menjadi tahanan politik di bawah tahanan ISA di penjara Kamunting. Syawal kali ini merupakan kali yang ke empat mereka meraikannya tanpa keluarga isteri dan anak-anak. Kita doakan agar mereka tabah dan mempunyai semangat yang tinggi di dalam menempuh ujian dari Allah ini.

Untuk sekian kalinya, marilah sama-sama kita merafakkan rasa syukur dengan penuh keinsafan kepada Allah SWT atas nikmat dan rahmatNya.
Salam Eidul Fitr, Maaf Zahir dan Batin

Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat

0 Comments:

Post a Comment

<< Home